Cinta ke hujung nyawa, “ayah ibu tak pernah berpisah. Ke mana sahaja memang akan pergi berdua..” Itulah luahan penuh sebak Yuslizawati Mohamad Shaufi, 48, selepas kehilangan kedua-dua insan tersayang dalam satu kemalangan tragis yang meragut nyawa ibu bapanya serentak.
Ayah Ibu Tak Pernah Berpisah
Mangsa, Mohamad Shaufi Awang Kechik, 69, dan isterinya, Kamarsah Musa, 68, meninggal dunia selepas motosikal yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Kancil di Jalan Selising-Tok Bok berhampiran simpang Kampung Sungai Durian.
Menurut Yuslizawati, pasangan warga emas itu bermalam di rumahnya di Bukit Marak sebelum bertolak pulang sekitar jam 6.50 pagi. Arwah bapanya mahu pulang ke Kampung Pek, Machang untuk menoreh getah seperti kebiasaannya.
“Mereka memang suka datang berjalan ke rumah anak-anak apabila ada masa terluang. Malam tadi mereka bermalam di rumah saya,” katanya.
Namun siapa sangka, pertemuan pada pagi itu menjadi detik terakhir bersama kedua-dua ibu bapanya.
Ads
Ke Mana Saja Berdua dan Akhirnya ‘Pergi’ Bertemu Tuhan Bersama
Yuslizawati yang bertugas di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian berkata, dia menerima panggilan mengenai kemalangan tersebut sebaik sahaja tiba di tempat kerja sekitar jam 7.45 pagi.
Dengan harapan yang masih tersisa, dia terus bergegas ke lokasi kejadian sambil berdoa agar kedua-duanya selamat. Namun harapan itu musnah apabila melihat gambar kemalangan yang dihantar kepadanya.
Ads
“Ayah dan ibu meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam nada pilu.
Pasangan suami isteri yang dikurniakan lapan orang anak dan enam cucu itu sememangnya dikenali sebagai pasangan yang sangat akrab. Menurut keluarga, mereka hampir tidak pernah berpisah dan sentiasa bersama dalam setiap urusan harian.
Ads
Pemergian mereka serentak mengundang kesedihan mendalam dalam kalangan ahli keluarga, saudara-mara serta penduduk setempat.
Difahamkan, semua lapan anak mereka berjaya pulang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada kedua-dua arwah.
Kisah cinta dan kebersamaan pasangan ini berakhir dengan cara yang sangat menyentuh hati — pergi bersama-sama selepas puluhan tahun melayari kehidupan sebagai suami isteri.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh kedua-duanya. Al Fatihah.
Selesa duduk rumah sendiri berbanding tinggal dengan mentua. Kalau mampu, semua pasangan suami isteri nak duduk rumah sendiri sebagai ruang membina kehidupan berkeluarga.
Namun disebabkan kekangan kewangan, komitmen semasa dan kos sara hidup yang semakin meningkat menjadi antara faktor yang menghalang hasrat itu, sekali gus menyebabkan ada pasangan memilih untuk tinggal bersama keluarga atau mentua.
Sebenarnya tak salah pun kalau memilih duduk rumah mentua, malah dibenarkan dalam Islam. Namun, jika tidak diurus dengan baik, ini boleh mengundang pelbagai isu serta salah faham, khususnya membabitkan hubungan antara menantu dan mentua.
Sebagai anak, mereka mungkin tidak berasa kekok tinggal bersama keluarga sendiri. Namun, keadaan ini sedikit sebanyak boleh memberi kesan kepada menantu yang perlu menyesuaikan diri apabila tinggal bersama keluarga mentua.
Bagi sesetengah suri rumah, tinggal serumah bersama keluarga mentua bukanlah pilihan yang dirancang. Namun, keputusan itu diambil sebagai langkah untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi keluarga. Orang kata, awal-awal kahwin ini banyak duit nak guna. Jadi ikutlah apa yang suami mampu.
Mungkin ada yang terfikir untuk tinggal bersama keluarga sendiri, namun risau akan menyusahkan ibu bapa. Tambahan pula, memikirkan suami agak sukar menyesuaikan diri dengan keluarga baharu, ini menyebabkan ada yang memilih untuk mengalah demi menjaga keharmonian keluarga.
Pengalaman tinggal bersama mentua, pada dasarnya tidak timbul banyak masalah. Namun, ada batasan tertentu seperti kekurangan privasi dan setiap tindakan perlu dijaga, lebih-lebih lagi apabila tinggal bersama adik ipar lelaki.
Selain itu, katanya campur tangan dalam urusan rumah tangga juga kadangkala berlaku, ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada keselesaan sebagai pasangan suami isteri.
Kehidupan bersama keluarga mentua juga adakala membuatnya berasa tidak bebas sepenuhnya untuk melakukan sesuatu mengikut kehendak sendiri. Tetapi banyak juga kelebihan tinggal bersama keluarga mentua, terutama dari segi penjimatan kos makanan dan utiliti.
Antara kesan yang mungkin dialami apabila hubungan menantu dan mentua tidak harmoni ialah tekanan emosi yang berpanjangan, ketegangan dalam hubungan suami isteri dan penurunan kualiti perkahwinan. Pada masa sama, akan rasa hilang kawalan atau autonomi, serta keletihan mental dan ‘burnout’.
Kesan ini boleh berlaku apabila tiada sempadan peranan yang jelas antara menantu dan mentua, ketiadaan komunikasi terbuka, kurangnya sokongan daripada pasangan, serta keterbatasan privasi dan kebebasan untuk melakukan aktiviti bersama pasangan atau keluarga.
Kalau berlarutan, ini meningkatkan risiko tekanan dan konflik rumah tangga. Sebagai contoh, wujud pertindihan peranan antara tanggungjawab sebagai suami dan peranan sebagai anak kepada ibu bapa.
Dalam situasi konflik antara menantu dan mentua, anak sering berada dalam keadaan tersepit dan tertekan kerana perlu menjaga hati kedua-dua pihak. Sekiranya tersilap langkah, tindakan atau sikap boleh disalah tafsir sebagai memihak atau berat sebelah.
Pada masa sama, anak juga akan berasa bersalah kerana tidak dapat memenuhi jangkaan ibu bapa atau tidak mampu melaksanakan peranan sebagai suami sepenuhnya.
Jika tiada pilihan lain selain daripada terus tinggal bersama, anda boleh menetapkan sempadan yang jelas. Ini termasuk, siapa membuat keputusan dan siapa yang menguruskan apa.
Jika mentua yang tinggal di rumah anak atau menantu, maka mentua perlu belajar untuk menghormati keputusan ketua rumah. Urusan rumah tangga hendaklah diputuskan suami isteri serta elakkan campur tangan daripada pihak ketiga. Perkara ini untuk mengelakkan salah faham dan mengekalkan autonomi pasangan.
Nak lagi tenang, pasangan kena mewujudkan ruang privasi keluarga, misalnya ruang peribadi khusus untuk suami dan isteri berkenaan tanpa ‘kehadiran’ mentua atau ahli keluarga lain.
Suami isteri kena bersatu hati untuk menangani masalah kerana setiap pasangan memerlukan sokongan antara satu sama lain untuk menunjukkan kesepakatan. Persefahaman semua pihak penting jaga keharmonian
Isteri tidak berdosa sekiranya meminta untuk tinggal berasingan kerana itu adalah haknya dalam perkahwinan. Pada peringkat awal, mungkin isteri bersedia untuk bertolak ansur dalam hal tempat tinggal. Namun, apabila keadaan menjadi sukar dan dia merasakan tidak lagi mampu untuk meneruskan kehidupan dalam situasi itu suami bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal lebih sesuai.
Perkara ini menjadi lebih penting sekiranya situasi itu mendatangkan mudarat, seperti berlaku konflik berpanjangan, kesukaran mengurus anak-anak dan rumah tangga, serta campur tangan yang berlebihan.
Jika tidak ditangani, keadaan ini boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga dan berpotensi membawa kepada konflik yang lebih serius.
Apa pun sebaiknya pasangan baru berkahwin kena ada tempat tinggal yang berasingan bagi mengelakkan pertelingkahan, walaupun berpunca daripada perkara kecil.
Dari sudut adab, hubungan antara menantu dan mentua perlu dijaga dengan baik, sebagaimana seorang anak menjaga adab terhadap ibu bapanya.
Menantu perlu menjaga tutur kata, bersikap toleransi dan saling menghormati, lebih-lebih lagi kerana perbezaan latar belakang antara kedua-dua pihak.
Keharmonian boleh dicapai sekiranya wujud toleransi dan komunikasi yang baik antara ahli keluarga. Pada zaman dahulu, adalah perkara biasa untuk keluarga besar tinggal bersama dalam satu rumah.
Namun, bagi menyesuaikan keperluan yang semakin bertambah, struktur rumah juga sering diperluaskan secara berperingkat bagi menyediakan ruang yang lebih selesa kepada setiap keluarga.
Isu menantu tinggal bersama mentua bukanlah sesuatu perkara yang salah, malah boleh menjadi satu bentuk sokongan keluarga jika diurus dengan baik.
Tanpa sempadan jelas, komunikasi yang terbuka dan sikap saling menghormati, ini berpotensi menimbulkan tekanan emosi serta konflik dalam rumah tangga.
Kunci utama terletak pada persefahaman antara semua pihak. Hak pasangan, terutama dari segi privasi dan autonomi, perlu dipelihara, manakala adab dan toleransi dalam hubungan kekeluargaan juga tidak boleh diabaikan.
Dalam keadaan tertentu, tinggal berasingan mungkin menjadi pilihan terbaik demi menjaga keharmonian rumah tangga. Apa yang penting, setiap keputusan perlu dibuat secara matang, melalui perbincangan dan mengambil kira kesejahteraan semua pihak.
Isu melibatkan institusi agama sering menarik perhatian masyarakat, lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan dakwaan serius yang tular di media sosial.
Baru-baru ini, nama siak masjid menjadi perbualan hangat selepas timbul dakwaan seorang jemaah wanita menjadi mangsa rogol oleh seorang lelaki yang bertugas sebagai siak di sebuah masjid di Melaka.
Lebih mengejutkan, dakwaan yang tular itu turut mendakwa pihak pengurusan masjid telah menggantikan siak masjid berkenaan bagi menutup kejadian yang dikatakan berlaku di bilik pengurusan jenazah.
Perkongsian tersebut pantas mendapat perhatian netizen dan mencetuskan pelbagai spekulasi sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Bagaimanapun, selepas siasatan dijalankan, pihak polis tampil menjelaskan keadaan sebenar berhubung kes yang menjadi tumpuan ramai itu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kes itu pada jam 9.12 pagi daripada seorang wanita berusia lingkungan 50-an.
Menurut beliau, wanita tersebut mendakwa menjadi mangsa cabul dan rogol berulang kali oleh seorang lelaki berusia 48 tahun yang merupakan siak masjid di sebuah masjid di negeri itu.
Susulan laporan yang diterima, polis menjalankan siasatan terperinci termasuk mengambil keterangan daripada individu yang terlibat bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai dakwaan tersebut.
Kes itu kemudiannya menjadi perhatian ramai apabila pelbagai versi cerita mula tersebar di media sosial.
Namun begitu, pihak polis menegaskan bahawa setiap dakwaan perlu disiasat secara menyeluruh sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
Menurut Datuk Dzulkhairi, hasil siasatan mendapati tiada elemen paksaan yang boleh membuktikan berlakunya kesalahan jenayah seperti yang didakwa.
Beliau menjelaskan bahawa keterangan yang diperoleh daripada pihak-pihak berkaitan gagal menunjukkan wujud unsur jenayah dalam kes tersebut.
“Keterangan yang diperoleh menunjukkan tiada sebarang elemen paksaan, sekali gus gagal membuktikan kewujudan unsur jenayah berkenaan,” katanya.
Susulan penemuan itu, kes yang membabitkan siak masjid tersebut tidak diteruskan di bawah siasatan jenayah.
Penjelasan polis itu sekali gus menafikan dakwaan yang tersebar di media sosial bahawa berlaku kes rogol seperti yang didakwa sebelum ini.
Walau bagaimanapun, perkara tersebut tidak bermakna kes berkenaan ditutup sepenuhnya kerana masih terdapat aspek lain yang memerlukan penelitian pihak berkuasa agama.
Selepas siasatan polis selesai, kes melibatkan siak masjid itu diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk tindakan lanjut.
Menurut pihak polis, kes tersebut kini berada di bawah bidang kuasa JAIM untuk dinilai mengikut Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.
Langkah itu diambil kerana walaupun unsur jenayah tidak dapat dibuktikan, terdapat kemungkinan isu berkaitan pelanggaran hukum syarak yang perlu diteliti oleh pihak berkuasa agama.
Kes seperti ini lazimnya memerlukan penelitian berasingan kerana melibatkan dua aspek berbeza iaitu undang-undang sivil dan undang-undang syariah.
Sehubungan itu, masyarakat diminta memberi ruang kepada JAIM menjalankan siasatan tanpa gangguan atau spekulasi yang boleh mengelirukan orang ramai.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman sebelum ini mengesahkan bahawa siak masjid yang dikaitkan dengan dakwaan tersebut telah meletakkan jawatan pada Mei lalu.
Namun menurut beliau, pihak pengurusan masjid tidak dapat mengesahkan sama ada peletakan jawatan itu mempunyai kaitan dengan dakwaan yang kini tular.
Kenyataan tersebut turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang cuba mengaitkan kedua-dua perkara berkenaan.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada bukti rasmi yang menunjukkan peletakan jawatan siak masjid tersebut berkaitan dengan kes yang sedang disiasat.