
Hanya disebabkan cemburu buta, seorang suri rumah berdepan detik mengerikan apabila cedera parah selepas ditet*k dan diserang sebanyak 14 kali oleh suaminya menggunakan sebilah parang dalam satu kejadian tragis di halaman rumah mereka di Kampung Mangkupa, Jalan Popok.
Akibat Cemburu Buta

Mangsa yang berusia 40 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan kritikal di beberapa bahagian anggota badan selepas diserang secara melulu oleh suspek yang menuduhnya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden berdarah itu pada jam 9.06 pagi sebelum mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu suspek yang keterlaluan. Suspek bertindak menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit dengan jiran-jiran lelaki hanya kerana mangsa bertegur sapa dengan mereka.
“Pertengkaran mulut mula tercetus sekitar jam 8.30 pagi apabila mangsa menafikan dakwaan suaminya itu ketika berada di halaman rumah. Suspek yang gagal mengawal amarah kemudiannya meluru ke dapur untuk mengambil sebilah parang,” katanya.
Penoreh Getah Tetak Isteri 14 Kali Sebelum Melarikan Diri

Menurut pihak polis, insiden tersebut turut disaksikan oleh ahli keluarga yang berada di dalam rumah sebelum keadaan bertukar menjadi ganas.
Suspek bertindak merebahkan mangsa ke tanah sebelum mengacukan parang pada bahagian leher mangsa.
Saksi yang ketakutan segera membawa anak-anak mangsa untuk bersembunyi di dalam rumah dan hanya mampu mendengar jeritan mangsa meminta pertolongan dari luar.
Mangsa akhirnya ditemui oleh seorang jiran yang baru pulang dari ladang getah dalam keadaan longlai dan berlumuran darah di hadapan rumah berhampiran, sebelum talian kecemasan 999 dihubungi.

Pemeriksaan perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan parah yang amat serius akibat serangan senjata tajam berkenaan.
Mangsa mengalami 14 kesan luka akibat ditetak, termasuk kecederaan di bahagian leher, bawah dagu, kedua-dua belah lengan, tapak tangan, kening serta lutut kanan.
Namun mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kini dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu bagi mendapatkan rawatan kepakaran lanjut.
Siasatan lanjut mendapati mangsa dan suspek, seorang lelaki warga Indonesia berusia 50 tahun yang bekerja sebagai penoreh getah, telah mendirikan rumah tangga mengikut adat kampung selama 19 tahun serta hasil perkongsian hidup dikurniakan enam orang anak.
Anda mungkin berminat dengan
Pihak polis kini telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah menggunakan senjata berbahaya, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Gerakan memburu dan mengesan suspek yang telah melarikan diri sejurus selepas kejadian kini sedang giat dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu.
Sumber: Info Bencana & Kemalangan
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

