Kegembiraan mendaki bertukar menjadi detik cemas apabila seorang wanita mengalami patah kaki selepas tergelincir pada banir pokok ketika mendaki menuju Puncak Pine Tree, Bukit Fraser.
Kegembiraan Mendaki Bertukar Jadi Detik Cemas
Mangsa, Salina Zainal Abidin, 43, dilaporkan mengalami kecederaan serius pada kaki ketika dalam perjalanan dari kawasan Hobbit Cave menuju ke Pine Tree Hill (First Peak) sebelum terpaksa berpatah balik akibat kesakitan yang semakin memuncak.
Kejadian yang berlaku berhampiran kawasan Gua Akar itu menyebabkan mangsa tidak mampu meneruskan perjalanan dan memerlukan bantuan kecemasan untuk dibawa keluar dari laluan pendakian yang mencabar.
Menurut maklumat dikongsikan, sepasukan anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Raub segera digerakkan ke lokasi sebaik menerima laporan mengenai insiden tersebut.
Ads
Operasi menyelamat bukanlah tugas mudah kerana pasukan penyelamat terpaksa meredah laluan trek yang sempit, bergaung serta dipenuhi akar dan banir pokok yang berisiko. Keadaan muka bumi yang mencabar itu memerlukan penggunaan pelbagai teknik khas bagi memastikan keselamatan mangsa sepanjang proses pemindahan.
Wanita Patah Kaki Ketika Naik Ke Puncak Pine Tree Hill
Mangsa dibawa keluar menggunakan kaedah usungan darling carry, pengusung semula jadi serta Junkin Stretcher, selain bantuan sistem tali bagi melalui kawasan berbahaya sepanjang trek pendakian.
Ads
Selepas melalui operasi yang memenatkan, mangsa akhirnya berjaya dibawa keluar ke lokasi permulaan trek dalam keadaan selamat sebelum dihantar ke Hospital Raub menggunakan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) Bomba untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ads
Turut membantu dalam operasi berkenaan ialah Malim Gunung Perhutanan (MGP) Raub yang memainkan peranan penting dalam memandu pasukan penyelamat melalui laluan pendakian tersebut.
Syabas kepada anggota bomba dan semua pihak yang terlibat dalam operasi menyelamat ini. Semoga mangsa diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan.
Apa pun, buat anda yang mahu meneruskan minat mendaki, pastikan sentiasa berhati-hati dan membawa alatan yang membantu waktu-waktu kecemasan yang bakal menyinggah ketika di dalam hutan.
Bukan sedikit nilainya, isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor diperintahkan membayar RM67.5 juta kepada syarikat barangan kemas Lubnan selepas didapati bertanggungjawab atas kehilangan 43 barang kemas bernilai AS$14.57 juta.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Quay Chew Soon dalam penghakimannya sebentar tadi, memerintahkan Rosmah membayar jumlah ganti rugi atas kehilangan barangan itu dalam tempoh sebulan bermula daripada penghakiman yang diputuskan hari ini kepada Global Royalty Trading SAL.
Ketika membacakan penghakimannya, Chew Soon berkata terdapat ‘prima facie’ bahawa isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu gagal memulangkan barangan kemas berkenaan kepada syarikat berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan Rosmah membayar kos RM150,000 iaitu masing-masing RM75,000 kepada plaintif dan pihak ketiga.
Pada 29 Mac 2023, Global Royalty menyaman Rosmah dan mendakwa beliau berbohong bahawa 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh ejen syarikat kepada beliau telah dirampas pihak berkuasa Malaysia atas kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Syarikat berpangkalan di Beirut itu mendakwa, hanya satu daripada 44 barang kemas terbabit berada dalam simpanan dan kawalan polis, manakala 43 bakinya tidak berada dalam jagaan mereka.
Global Royalty kemudian mendakwa Rosmah meletakkan tanggungjawab kepada Kerajaan Malaysia sedangkan sebenarnya barang kemas itu telah hilang.
Hakim itu ketika membacakan penghakimannya, berkata, mahkamah mendapati terdapat prima facie bahawa Rosmah gagal memulangkan barangan kemas berkenaan kepada syarikat itu dan ia adalah suatu bukti kecuaian.
Beliau berkata, dalam kes saman itu, fakta mengenai apa yang berlaku kepada barang kemas plaintif (Global Royalty) selepas penyerahan berada dalam pengetahuan Rosmah sendiri selaku defendan.
Katanya, Rosmah gagal membuktikan dakwaan bahawa semua 43 barang kemas terbabit telah disita.
“Selepas bertahun-tahun prosiding, pemeriksaan dan prosiding pelucuthakan, hanya satu barang kemas berjaya dikenal pasti. Baki 43 barang kemas masih tidak dapat dikesan.
“Kegagalan defendan memanggil saksi material yang didakwa terbabit secara langsung dalam pengendalian dan pergerakan barang kemas itu turut menjejaskan pembelaannya.
“Kegagalan berkenaan menimbulkan inferens buruk terhadap defendan menurut Seksyen 114(g) Akta Keterangan,” katanya.
Hakim itu turut memerintahkan Rosmah membayar kos berjumlah RM150,00 iaitu masing-masing RM75,000 kepada plaintif dan Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai pihak ketiga.
Sementara itu, hakim menolak tuntutan Rosmah terhadap Ketua Polis Negara dan kerajaan, dengan menolak dakwaannya bahawa barang kemas yang hilang itu telah disita ketika serbuan polis yang berkaitan dengan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada tahun 2018.
Menurut Chew Soon, Rosmah menegaskan barangan kemas itu diserahkan kepadanya untuk dilihat di mana pengaturan itu adalah suatu konsainan.
Hakim itu berkata, Rosmah juga menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kewajipan untuk membeli barang kemas terbabit dan ia bukan miliknya serta telah disita pihak berkuasa.
Katanya, keaslian nota konsainan tidak pernah dipertikaikan dalam prosiding terdahulu, sebaliknya Rosmah sendiri telah bergantung dan merujuk kepadanya sebagai sebahagian daripada kedudukan yang dipohon dan juga keterangannya.
“Keseluruhan keterangan defendan membuktikan empat fakta utama yang tidak dipertikaikan, iaitu 44 barang kemas telah diserahkan kepadanya dan diterima.
“Barang kemas itu telah diamanahkan kepadanya untuk ditunjukkan di bawah suatu pengaturan konsainan di mana defendan tidak pernah membeli atau membayarnya.
“Defendan gagal memulangkan 43 daripada barang kemas itu dan fakta ini adalah muktamad. Setelah penyerahan, pemilikan dan kegagalan pemulangan dibuktikan, beban tidak lagi terletak pada plaintif untuk membuat spekulasi mengenai apa berlaku ketika barang berada dalam jagaan defendan,” katanya.
Chew Soon berkata, beban pembuktian kemudiannya beralih kepada Rosmah untuk membuktikan kehilangan dan kegagalan pemulangan barangan kemas itu tidak berpunca daripada kecuaian atau kegagalan melaksanakan tahap penjagaan yang dikehendaki oleh undang-undang.
“Defendan tidak boleh sekadar menyatakan bahawa terdapat serbuan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan barang mungkin telah disita, begitu juga bahawa pengawal peribadi mengendalikan beg berkenaan,” katanya.
Chew Soon berkata, keseluruhan pembelaan Rosmah akhirnya bergantung kepada satu dakwaan utama, iaitu bahawa barang kemas itu telah disita oleh PDRM semasa serbuan yang dijalankan pada 2018.
Beliau berkata, keterangan yang dikemukakan hanya membuktikan satu perkara dengan pasti, iaitu satu barang kemas akhirnya dikenal pasti dalam prosiding pelucuthakan dan dipulangkan kepada plaintif.
“Selain daripada satu barang kemas itu, tiada keterangan yang membuktikan bahawa baki 43 barang kemas itu pernah disita oleh PDRM.
“Dakwaan defendan bahawa barang kemas berkenaan disita oleh PDRM adalah suatu pembelaan positif yang dikemukakan bagi menjelaskan kegagalannya memulangkan barang kemas tersebut. Oleh itu, beban pembuktian terletak pada defendan.
“Seksyen 101, 102 dan 103 Akta Keterangan memperuntukkan bahawa beban membuktikan sesuatu fakta terletak pada pihak yang mendakwa fakta berkenaan dan undang-undang memerlukan bukti,” katanya.
Dengan itu, hakim berkata, Rosmah mesti membuktikannya.
Akhirnya kes dua sepupu remaja hilang sejak malam Khamis kini ditemui selamat di Machang petang semalam, kira-kira 32 jam selepas keluarga mereka membuat dua laporan polis berasingan pada pagi Jumaat.
Remaja terbabit yang masing-masing berusia 15 dan 16 tahun ditemui di sebuah inap desa di Machang, kira-kira 25 kilometer dari kediaman mereka di Kampung Baloh dekat Kok Lanas.
Susulan penemuan mereka, dipercayai polis menahan beberapa suspek bagi membantu siasatan berhubung kehilangan kedua-dua remaja berkenaan.
Ibu saudara mereka yang berusia 43 tahun berkata, kedua-dua remaja itu kini berada di bawah pemerhatian di Hospital Kuala Krai.
“Keluarga berasa lega kerana mereka akhirnya ditemui dan bersyukur kerana Allah telah memakbulkan doa kami.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak polis atas usaha mengesan mereka, selain saudara-mara dan orang ramai yang sentiasa mendoakan serta memberi sokongan sepanjang tempoh yang sukar ini.
“Kedua-duanya berada dalam keadaan sihat, namun masih sedikit trauma dengan apa yang berlaku.
“Keluarga memerlukan sedikit masa untuk bersama mereka, jadi kami berharap semua pihak dapat memberi ruang kepada kami,” katanya hari ini.
Untuk info, semalam dilaporkan bahawa dua sepupu ini dilaporkan hilang selepas keluar untuk bersiar-siar di sebuah pusat beli-belah terkenal Kota Bharu pada petang Khamis.
Kisah sedih nahas kemalangan di Lenggong menjadi satu memori yang tidak akan dilupakan oleh pasangan hidup guru wanita yang maut dalam tragedi di Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu.
Menurut suami arwah, Hazrul Jalaluddin, 45, segalanya berlaku terlalu cepat dan memang tidak disangka-sangka, pinjaman yang Allah kirimkan telah tinggalkan dirinya dengan anak-anak. Namun ada sesuatu naluri yang dilaluinya sebelum kejadian tersebut, kongsinya…
“Biasanya isteri akan salam dan cium saya sebelum keluar rumah. Tapi semalam dia keluar tergesa-gesa…”
Itulah kenangan terakhir yang akan terus terpahat dalam ingatan lelaki itu, selepas kehilangan isteri tercinta, Zuraida Abu Bakar, 47, dalam satu kemalangan tragis.
Menurut Hazrul, rutin itu tidak pernah ditinggalkan sepanjang 20 tahun mereka mendirikan rumah tangga. Namun pada hari kejadian, arwah keluar lebih awal untuk menghadiri kursus di Lenggong bersama rakan-rakan guru. Disebabkan mahu mengejar masa kerana menumpang kenderaan rakannya, arwah terus bergegas meninggalkan rumah tanpa sempat bersalaman dan mencium suaminya seperti kebiasaan.
“Apabila saya hubungi, dia beritahu nak cepat sebab tumpang kawan. Saya tak sangka itulah perbualan terakhir kami,” katanya dalam nada penuh sebak ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gerik.
Lebih memilukan, Hazrul mengakui sejak beberapa hari sebelum tragedi itu, hatinya sering diselubungi perasaan yang sukar dijelaskan. Wajah isterinya kelihatan berbeza di matanya, malah setiap kali melihat arwah tidur, hatinya terasa sayu seolah-olah bakal kehilangan insan yang paling disayangi.
“Masa saya ajak dia keluar ‘ride’ motosikal pun dia tak bantah. Selalunya dia cakap penat atau tak larat. Kali ini hujan pun dia sanggup ikut. Sekarang baru saya faham, mungkin itu kenangan terakhir Allah izinkan kami cipta bersama,” katanya.
Zuraida yang merupakan guru di Kolej Vokasional Gerik meninggal dunia selepas Honda Odyssey yang dinaikinya bersama lima rakan terlibat dalam kemalangan di Kilometer 29.3, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu sekitar jam 5.10 petang. Dalam nahas sama, seorang pegawai polis, Inspektor Melvindar Singh Gamum Singh, 41, turut maut di lokasi kejadian.
Pemergian Allahyarhamah meninggalkan suami serta tiga orang anak berusia antara 12 hingga 19 tahun. Paling terkesan ialah anak perempuan bongsu mereka yang sangat rapat dan manja dengan ibunya.
“Tak tahu nak cakap macam mana, mereka kena kuat. Mereka memang sangat manja dengan mama,” luah Hazrul sambil menahan air mata.
Kisah ini menjadi peringatan bahawa kita tidak pernah tahu bila pelukan, ciuman atau ucapan selamat tinggal yang diberikan kepada insan tersayang akan menjadi yang terakhir. Hargailah setiap detik bersama mereka selagi masih diberi kesempatan.
Al-Fatihah buat Allahyarhamah Zuraida Abu Bakar. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Dek kerana minat seni batik, Nur Shakilah Abd. Kadir, 25, memilih jalan berbeza apabila sanggup meninggalkan bidang pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan demi mengangkat seni warisan ini.