
Ramai suami-suami hari ini walaupun tidak semua merasakan mereka adalah majikan kepada isteri. Mereka menganggap isteri sebagai orang gaji. Pada mereka semua kerja-kerja rumah itu tugas isteri.
Sudahlah isteri penat keluar bekerja, balik pula ke rumah perlu uruskan rumah tangga. Sang suami pula tidak mahu membantu dengan alasan bukan tugas suami membuat kerja-kerja rumah. Memang menyedihkan!

Suami Bukan Majikan Isteri
Ramai isteri yang terkilan dengan sikap suami yang goyang kaki di rumah. Balik rumah tonton tv, layan telefon. Yang dia tahu balik rumah makanan sudah siap. Biarpun suami adalah ketua keluarga, itu tidak bermaksud yang isteri itu pekerja suami.
Tugas isteri adalah penasihat pada suami, yang salah diperbetulkan. Tak semua apa yang ketua keluarga buat itu betul sebab suami adalah manusia, bukan Malaikat yang tak ada dosa!
Banyak rintihan para isteri mengadu perkara ini. Tambahan pula yang tinggal di bandar, isteri juga bekerja. Isteri juga penat. Balik rumah dia nak menguruskan keluarga. Sebenarnya kalau diikutkan isteri tak perlu bekerja sebab nafkah wajib atas suami. Tapi memandangkan faktor ekonomi keluarga, isteri berkorban untuk ringankan beban suami.

Suami jangan pula ambil kesempatan atas kebaikan isteri. Ayuh kita lihat bagaimana kehidupan rumahtangga Nabi SAW. Aisyah r.a. pernah ditanya seorang lelaki yang bernama al Aswad bin Yazid tentang apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika dalam rumahnya?
🌷Aisyah r.a menjawab: Rasulullah SAW sentiasa membantu ahli keluarganya dalam kerja rumah. Dan apabila sudah tiba masuk waktu solat, Baginda keluar untuk solat. (Bukhari & Muslim)
Isteri Pula Bukan Orang Gaji Suami
TIGA TIP UNTUK SUAMI:
✅ Bantu isteri dalam membuat kerja rumah. Kerja rumah yang dimaksudkan adalah kerja yang dilakukan bersama untuk meringankan tugas isteri. Ini termasuklah mengemop lantai, menyapu sampah, buang sampah, sidai kain.
✅ Berikan surprise pada isteri dengan kerja-kerja yang suami tak pernah buat. Contoh, sepanjang perkahwinan, suami tak pernah lipat baju, apa kata suami cuba sekali lipat baju. Pasti berbunga-bunga hati isteri.

✅ Mudahkan perkara yang susah bagi seorang isteri. Waktu isteri tidur, suami pergilah tolong isi minyak kereta isteri, tolong basuhkan kereta dia. Isi minyak ni perkara yang kurang digemari kaum wanita tambahan pula bawa anak-anak kecil dalam kereta, ia memang merumitkan bagi isteri. Kasihan kat isteri kita.
Perhatian bagi isteri, janganlah pula diperli dan mengkritik apa yang suami buat, sebaliknya ucap terima kasih dan puji hasil kerjanya. Hormon Dopamine suami akan meningkat, hormon Oxytocin isteri pula akan melonjak tinggi.
Sumber: FB Imam Muda Hassan Adli
Baca artikel lain yang berkaitan di sini: Suami Kalau Nak Buat Sebarang Keputusan, Berbincang Dengan Isteri Dahulu Bukan Mak
Suami Bila Layan Isteri Bercakap, Rupa-rupanya Boleh Buat Otak Bergeliga
Siapa Patut Di Persalahkan Jika Suami Orang Bercinta Dengan Gadis Muda ?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Perangai Anak-anak, Mak-mak Kena Buang Label Negatif Kepada Positif

Semua mak ayah mengharapkan perangai anak-anak yang elok dan tidak mendatangkan masalah. Namun realitinya anak-anak ini perangainya tak sama, ada yang jenis boleh duduk diam di kedai makan, ada yang jenis suka berlari-lari satu kedai dan macam-macam gayalah!
Namun mak-mak kena banyak bersabar dan jangan cepat melatah terus lantun perkataan negatif disebabkan tak sabar dengan karenah anak. Haaa… macam mana nak berdepan dengan situasi ini, baca perkongsian ilmu daripada Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK), Puan Noor Afidah Abu Bakar…
Perangai Anak-anak
Anak-anak dilahirkan dengan sifat semulajadi yang membezakan setiap seorang daripada mereka. Kadang-kadang apabila kita membanding-bandingkan mereka, secara tidak sengaja kita menggunakan label yang ‘negatif’ sebagai diskripsi diri mereka contohnya malas, kedekut, lembap, lembik, serabut, cemerkap, degil, buas dan bermacam-macam lagi kosa kata negatif yang sudah sebati dalam masyarakat.
Adakalanya kita menggunakan label negatif ini dengan tujuan untuk memotivaasikan anak supaya anak berubah. Ini adalah kaedah yang salah.
“A child will behave better when the child feels better”.
Seorang anak akan berkelakuan baik jika dia merasa senang dengan dirinya dan bukannya dengan merasakan dirinya tidak berguna.
Kepercayaan dan konsep diri seorang anak terbentuk sejak anak berusia lingkungan 5 tahun lagi. Jika label negatif ini diberikan oleh individu yang terdekat dan dipercayai oleh anak, anak akan percaya dengan label tersebut dan akan merasakan diri tidak mempunyai harapan untuk berubah. Berpandukan label-label ini, anak akan percaya apa yang diperkatakan tentang dirinya.
“Itulah saya!”
Lihatlah pembawaan anak dari kaca mata yang positif. Gunakanlah label yang positif untuk menerangkan tentang anak tersebut apabila berada di hadapan anak dan apabila menceritakan perihal anak kepada orang lain di hadapan anak. Ini bukanlah bermakna anda perlu bercerita berlebih-lebihan tentang anak sehingga membosankan orang lain.
‘Be realistic’.
TUKARKAN LABEL:
1) BUAS KEPADA BERTENAGA
Semua kanak-kanak mempunyai banyak tenaga. Malah kita perlu memupuk keupayaan fizikal anak sehingga boleh mencapai tahap yang maksima kerana perkembangan fizikal adalah penting untuk perkembangan-perkembangan yang lain.
Walau bagaimanapun sesetengah anak mempunyai tenaga yang lebih berbanding anak yang lain. Mereka dilahirkan dengan keupayaan fizikal yang berbeza dan luar biasa. Bagi anak yang sebegini, ibubapa perlu membantu anak menyalurkan tenaganya melalui saluran yang betul.
Jika anak suka memanjat, bawalah dia ke taman permainan atau pusat rekreasi yang sesuai. Tahukah anda semua kanak-kanak mempunyai kecenderungan fizikal untuk memanjat, berguling, melompat, dan berlari? Itu sifat yang normal pada kanak-kanak. Jika kecenderungan ini tidak dibimbing dengan betul, sudah tentulah dia melompat atas sofa rumah atau memanjat gril pintu rumah.
Marah atau menengking tidak akan menyelesaikan masalah tersebut. Makin dihalang makin dibuatnya. Lebih membahayakan jika anak memanjat apabila kita tidak melihatnya. Ibubapa yang bijak dan kreatif tahu bagaimana mempositifkan setiap cabaran dan situasi supaya dapat dimanfaatkan oleh anak. Ibubapa yang bijak akan melengkapkan diri dengan ilmu perkembangan kanak-kanak kerana mereka ingin memahami kenapa tingkah laku anak mereka sedemikian. Ibubapa yang bijak akan berfikir, “Adakah anak saya mempunyai kecerdasan kinestetik tubuh badan?”
2) SUKA BERKHAYAL KEPADA KREATIF
Keperluan yang penting bagi anak yang suka berkhayal adalah pensil, kertas, blok binaan, berus, warna, kertas lukisan, dan alat muzik.
Mereka selalunya memiliki kecerdasan bahasa atau linguistik, kecerdasan visual atau artistik, atau kecerdasan muzik. Kenalpasti apakah yang mengisi khalayan mereka dan beri anak-anak ini peluang untuk meluahkannya melalui saluran kreativiti. Beri anak peluang untuk meluahkan apa yang dikhayalkan. Mungkin mereka memikirkan satu inovasi atau falsafah yang boleh mengubah dunia satu hari nanti.
Apa yang penting adalah memastikan masa yang diambil untuk anak berkhayal tidak berlanjutan sehingga mengabaikan rutin harian yang perlu dilunaskan. Biarlah khayalan itu ada kandungan dan batasannya.
Kenalpasti potensi anak melalui tingkah laku anak yang mungkin tidak menyenangkan kita. Lihatlah potensi itu sebagai satu kelebihan anak yang harus dipupuk. Jika kita mencari dan melihat yang positif, maka positiflah yang akan kita jumpa sebaliknya jika ia dilihat sebagai negatif, kita akan gagal untuk menyaring potensi anak.
3) DEGIL KEPADA TEGAS (ASSERTIVE)
Satu sifat penting yang perlu ada pada anak-anak kita adalah ‘assertive’. Anak yang ‘assertive’ adalah anak yang teguh mempertahankan pendiriannya dan tidak mudah dipermain-mainkan oleh orang lain.
Anak yang kita labelkan sebagai degil merupakan seorang yang kental apabila berhadapan dengan cabaran dan mempunyai percaya diri yang tinggi.
Bagi anak yang sebegini, peraturan memainkan peranan yang sangat besar untuk memastikan mereka degil bertempat. Ibubapa tidak boleh menjadi permisif iaitu mengizinkan apa saja yang ingin dilakukan anak. Batasan perlu diwujudkan untuk memastikan mereka selamat dari segi fizikal dan mempunyai pemikiran dan amalan yang bersesuaian dengan nilai dan budaya. Tanpa peraturan, anak ini boleh menjadi degil yang biadap dan tidak kena tempat.
Pemikiran mereka harus diasah dan dipupuk supaya mereka berupaya menjadi seorang yang tegas dengan prinsip yang dipegang.
Anak yang ‘assertive’ ini perlu dipuji dan sifat mereka harus digalakkan lagi kerana itulah diri mereka.
Beri mereka peluang untuk membuat keputusan kerana peluang yang sebegini akan membantu memperkayakan proses pemikiran mereka.
Bagi anak yang sering berbeza pendapat dengan kita terutamanya yang sudah remaja, itu adalah perkembnagan yang normal kerana peringkat pemikiran mereka melangkah ke tahap ‘Formal operational stage’ dari ‘Concrete operational stage’. Mereka berupaya untuk menganalisa dan mengamati sesuatu yang abstrak.
Jika mereka ‘assertive’, bekalkan mereka dengan adab kiranya tidak bersetuju dengan sesuatu pendapat dan bimbinglah mereka dengan adab untuk berdebat secara berhikmah.
Anak-anak sebegini perlu dilatih untuk mempunyai empati yang tinggi supaya dapat menjadi seorang individu yang mempertahankan hak dan maruah orang lain yang ditindas dalam masyarakat.
4) KEDEKUT KEPADA BERJIMAT-CERMAT
Usah terlampau ringan mulut melabelkan anak sebagai seorang yang kedekut jika amalan berbelanja anak tidak sama seperti diri kita. Mungkin anak mempunyai tafsiran yang berbeza tentang berbelanja dan berkongsi. Ingatlah anak-anak bukan kita. Ramai kanak-kanak yang suka menabung walaupun tanpa disuruh oleh ibubapa. Sifat itu seakan-akan lahir dengan sendirinya dalam diri anak. Inilah yang dinamakan pembawaan. Mereka lahir dengan sifat sebegitu walaupun ayah dan ibu adalah dari kalangan mereka yang suka berbelanja tanpa batasan. Mungkin juga anak belajar dari ibubapa dan bertekad mahu mengamalkan sesuatu yang berbeza.
Individu yang berjimat cermat sifatnya tidak membazir. Dia berbelanja untuk keperluan dan bukannya kemahuan semata-mata. Dia berjaya mengekang keinginan untuk memiliki sesuatu dengan ‘delayed gratification’. Dia sabar menunggu ganjaran.
Latihlah anak-anak ini untuk memberi dan menyumbang kepada mereka yang memerlukan. Latih mereka membantu dengan apa saja kelebihan yang dimiliki.
Melabel mereka dengan label ‘kedekut’ hanyalah satu penghinaan buat anak ini kerana mereka mempunyai agenda mereka yang tersendiri. Cuba fahami agenda mereka walaupun ia mungkin bertentangan dengan agenda kita. Ada pelbagai sebab manusia berjimat cermat.
5) PEMALU KEPADA BERHATI-HATI
Jika dilihat pada otak mereka, anak yang pemalu mempunyai aktiviti yang lebih pada otak kanan mereka. Mereka lebih cenderung kepada aspek kreativiti dan aestetik. Mereka mengambil masa untuk menyesuaikan diri, tidak selesa dalam situasi yang baru dan selalunya sangat sensitif. Mereka berbeza daripada anak-anak yang mudah berkawan dan sesuaikan diri. Mungkin mereka bukan ‘ekstrovert’ seperti ibubapa, namun itu tidaklah bermakna mereka tidak berupaya untuk keluar menyumbang dalam masyarakat. Terimalah diri mereka seadanya.
Ibubapa perlu mengingatkan diri sendiri bahawa anak-anak ini adalah pemerhati yang sangat baik. Itu kelebihan mereka. Anak-anak ini mendekati orang lain dan menyesuaikan diri dengan sesuatu situasi dengan lebih berhati-hati. Mereka tidak terburu-buru dalam mengambil keputusan. Itu juga adalah satu kelebihan. Anak memerlukan peluang untuk melatih diri sendiri untuk lebih ke hadapan. Ramai anak yang pemalu dan tidak banyak bercakap tetapi mereka berupaya berada di atas pentas apabila perlu tanpa sebarang ketakutan.
Mereka memerlukan kaedah latihan yang berbeza. Ibubapa haruslah kreatif dan tidak memaksa mereka untuk menjadi seperti anak yang lain. Paksaan hanya akan meletihkan mereka dan membuatkan mereka berputus asa kerana merasakan diri gagal. Dengan memberi penekanan kepada kelebihan anak, anak akan lebih yakin dengan diri sendiri.
6) CEREWET KEPADA MEMPUNYAI CITARASA
Setiap individu mempunyai citarasa yang berbeza-beza. Kita tidak boleh memaksa seseorang untuk menyukai sesuatu yang kita suka. Anak-anak yang cerewet dalam memilih sesuatu adalah anak yang mempunyai citarasa dan gaya yang tersendiri. Mereka mungkin lebih kreatif atau menilai sesuatu dari kaca mata yang berbeza daripada kita. Mungkin juga cara berfikir mereka dan persepsi mereka berbeza. Gaya pembelajaran mereka juga mungkin berbeza daripada orang lain. Perbezaan ini tidaklah menjadikan anak itu anak yang tidak baik. Fahami pemikiran anak tersebut dengan banyak bersoal jawab dan berinteraksi dengan anak.
Jika perspektif mereka cuba untuk difahami, dan berlakunya toleransi dua hala, anak akan menjadi lebih terbuka untuk menerima pilihan dari perspektif orang lain. Anak yang cerewet tentang pemakanan perlu dilatih dengan adab supaya bersyukur dengan rezeki yang ada. Dengan itu walaupun makanan itu bukannya citarasa anak, dia tetap menjamahnya kerana perspektifnya telah berubah.
Anak yang cerewet ini selalunya sukar untuk menjadi seorang pengikut atau ‘follower’ secara membabi buta. Mereka tidak ada sindrom FOMO (Fear Of Missing Out) atau takut ketinggalan berbanding orang lain kerana citarasa mereka berbeza. Lihatlah sifat ini sebagai satu kelebihan pada diri anak.
KESIMPULANNYA
Ibubapa perlu positif dan kreatif dalam menilai sifat semulajadi anak. Lebih mudah untuk anak membina jati diri dan keyakinan diri apabila label yang digunakan untuk menerangkan tentang anak adalah sesuatu yang positif seperti kreatif, bertenaga dan berprinsip. Perkataan yang menggambarkan imej yang positif akan menjadi benteng dan memberi kekuatan untuk anak dalam menangkis pengaruh yang negatif. Anak yang sayangkan diri sendiri kerana kekuatan yang dimilikinya tidak akan merosakkan diri sendiri dengan tingkah laku dan pengaruh yang tidak sepatutnya.
Dengan menukar label ini kita memfokuskan pada kebaikan dan kekuatan dalam diri anak berbanding kelemahan yang dimilikinya.
Didik anak untuk melihat kekuatan pada diri orang lain dan mengagumi kelebihan orang lain juga. Ini dapat menghindari anak dari sifat cemburu dan iri hati yang hanya akan membawa kepada tabiat buli dan memakan diri.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Cari ANAK HILANG Jangan Jerit Nama, Buat Begini Lebih Berkesan Senang Jumpa!

Rupanya bila anak hilang di tempat awam, jangan jerit namanya sebaliknya ada cara yang lebih berkesan mak ayah boleh lakukan supaya anak mudah jumpa kembali.
Bukan apa, anak-anak kecil bila berada di tempat awam, adakalanya walau dijaga dan diperhatikan macam mana pun, sekali terlepas pandang sekejapan dan boleh hilang dari pandangan mata.
Bila anak hilang, mak ayah memang rasa berderau darah, nak gugur jantung dibuatnya. Lumrahnya tindakan spontan yang dilakukan kebanyakkan kita, ialah dengan menjerit nama anak.
Cara Berkesan Cari Anak Hilang
Namun menerusi perkongsian daripada seorang wanita bernama Reina Lum di TikTok, ada tip dan cara yang lebih berkesan dan praktikal untuk mencari anak yang hilang di tempat awam. Ujar Reina perbuatan menjerit dan memanggil nama anak bukanlah cara yang efektif.

Sebaliknya, menjerit dengan menerangkan ‘details’ yang anak ada pada anak, sebagai contoh,rupa, usia, warna pakaian, warna kasut, ketinggian atau sebarang maklumat adalah lebih berkesan.

Menurut logiknya, lebih banyak orang akan sama-sama turut membantu mengesan dan peluang untuk menemukan kembali anak yang hilang adalah lebih tinggi.
Sebagai contoh;
“Jerit, saya tengah cari budak lelaki umur 5 tahun, baju putih, seluar jeans, kasut warna hijau, pasti semua orang akan turut memerhatikan dan mula mencari anak tersebut..”

Dengan cara itu juga, penculik akan membatalkan niat untuk melakukan perbuatan jahat kerana sedang diperhatikan orang ramai.
@reinalum This child was found, thank god. But please share this #parentingtips #lostchild #anakhilang #fypmalaysia #tiktokmalaysia #viralmalaysia ♬ original sound – Reina Lum
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang bersetuju bahawa cara cari anak hilang yang dikongsikan ini lebih berkesan berbanding tindakan menjerit memanggil nama sahaja.





Semoga bermanfaat!
Mesti Baca:Selepas Dengar Pengumuman Anak Hilang Di Pasaraya, Isteri Jatuh Cerai Talak Tiga
Baca Lagi Di Sini:“Hilang Selepas DiHantar Bapa Ke Stesen Bas.” Selepas Tiga Tahun, Anak DiTemui Kebingungan
Artikel Menarik:Bila ANAK Jatuh Sakit, Sekelip Mata Rumah Hilang Serinya
Mingguan Wanita: Menarik tip ini. Tip yang sangat berguna buat mak ayah yang ada anak kecil, sekiranya kehilangan anak di tempat awam.
Sumber: TikTok Reinalum
Follow kami di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
TikTok: https://tiktok.com/@mingguanwanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Berusahalah Jaga Hati Pasangan Walaupun Mungkin Pernah Terasa Hati Sepanjang Kahwin

Persoalan yang sangat cliché, namun berapa ramai yang menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan. Sememangnya, pasti mengatakan pada awal hubungan perkahwinan, pasangan akan sangat menjaga hati tetapi apabila sudah lama berkahwin, usaha ke arah itu semakin pudar.
Sifat untuk menjaga hati pasangan bukan lagi menjadi keutamaan kerana masing-masing saling mengharapkan agar difahami. Malah, saling mengharapkan dan tidak mengusahakan adalah antara punca berlakunya keretakan dalam rumah tangga. Inilah antara kupasan oleh Mohd Shariman Che Deris pada topik kali ini.

.
Fasa Perkahwinan
Bagaimana untuk menjaga hati pasangan? Sebenarnya, ada empat fasa perkahwinan iaitu setiap satu fasa ini memerlukan kaedah yang berbeza.
Fasa Bulan Madu – Usia Perkahwinan Bawah Lima Tahun
- Fasa ini segalanya indah dan masing-masing masih tenggelam dalam lautan membaranya cinta. Setiap satu bicaranya manis, tingkah lakunya terlindung tanpa tersadung, pasangan akan berusaha memperlihatkan dirinya sebagai perfect di mata suami/isteri.
Fasa Pasakan Cinta – Usia Perkahwinan Antara 6 Hingga 10 tahun
- Mula menghidu kekurangan pasangan masing-masing, proses menyesuaikan dan pasakan cinta sangat penting pada fasa ini. Isteri mula tahu suaminya kaki pancing manakala suami mula tahu isterinya tidak suka bergaul dengan kawan-kawannya dan macam-macam lagi perkara mula terbongkar tentang pasangan.
- Setiap pasangan perlu kembali belajar untuk menerima, hidup bersama dan meraikan kekurangan pasangan. Cinta wajib dipasak semula dalam fasa ini.
Fasa Cinta Sejati – Usia Perkahwinan Antara 11 Hingga 20 Tahun
- Masing-masing mula mengenali hati budi kerana fasa ini semakin kritikal jadinya dan tidak mustahil perceraian boleh berlaku atas alasan tidak serasi, haluan berbeza dan pelbagai seribu satu macam alasan kononnya telah lama bersabar.
- Fasa ini akan membentuk jati diri dalam rumah tangga, memperkuatkan rasa hati dan keteguhan cinta rumah tangga.
- Tidak boleh diremehkan fasa ini dengan berkata “Kami sudah berkahwin 15 tahun, dia sudah kenal siapa aku. Tak perlu lagi aku nak menjaga hati isteri aku, dia dah faham aku” Ini antara kesilapan besar dalam fasa ini.
Fasa Syurga Cinta – Usia Perkahwinan Selepas 20 Tahun
- Sepatutnya, ini adalah fasa yang sangat mendamaikan. Tempoh fasa ini mengatakan cinta itu wujud setiap kali melihat wajah pasangan. Fasa yang tidak lagi, hati mudah koyak, jiwa mudah sentap yang akhirnya membawa diri merajuk tanpa hala tujunya.
- Fasa ini tidak lagi kita mencari cinta kerana kita sedang bercinta. Namun kita juga pernah mendengar tentang perceraian di usia 40 tahun perkahwinan, benar?
- Inilah pentingnya cinta di belai dan di bajai sentiasa biar pun berapa usia perkahwinan kita kerana matlamatnya adalah masuk syurga Allah SWT atas asbab pintu reda dan bahagia pasangan.
Tip Jaga Hati Pasangan
1.Fahami Kemampuan Fizikal
- Ramai terlepas pandang soal ini hingga menyebabkan pasangan berkecil hati. Fahami soal kemampuan kewangan pasangan, meminta-minta ada batasannya dan tidak boleh ditafsirkan sebagai kemanjaan semata.
- Pasangan tetap akan mengusahakan apabila isteri @ suami meminta namun ia sudah jadi beban, hati akan calar kerana dianggap gagal memahami soal kemampuan pasangan.
- Malah dalam aspek kekuatan fizikal pasangan juga satu perkara yang mesti difahami, suami tidak boleh mengharapkan isteri untuk tetap sibuk di dapur jika dirinya tidak sihat atau isteri mengharapkan suaminya mampu mengangkat barang berat dalam keadaan si suami lemah dan tidak berdaya, tiada kekuatan. Apabila wujud kefahaman bersama, kita akan melengkapi di mana ada kekurangan pasangan.
2.Hayati Jiwa Dan Semangat
- Ada waktunya jiwa dan semangat pasangan ini tidak sama sebagaimana kita hayati dan terima dengan baik sebelum ini. Semangat untuk menghias rumah di kala menjelangnya hari raya, jiwa tersentuh dan menangis di waktu cerita Korea atau semangat berniaga untuk menampung perbelanjaan keluarga.
- Selagi mana jiwa dan semangat ini adalah baik dan bukan mungkar, kita wajar menunjukkan semangat dan jiwa yang sama, berada dalam satu zon bersama pasangan. Inilah kata sesetengah orang muda sebagai ‘ada zing’ dengan pasangan.
3.Terima Dan Raikan Emosi
- Jangan sesekali diperlekehkan, sebaliknya terima dan raikan emosi pasangan. Apabila isteri balik bekerja dan tiada mood kerana masalah di tempat kerja, suami patut bersama dengan isteri. Apabila suami di buang kerja dan risau akan keluarga, isteri perlu ada di samping. Apabila berlaku kekusutan dalam rumah tangga, pasangan perlu bertenang dan fahami emosi, tidak perlu cepat melatah.
- Soal emosi adalah sangat subjektif dan sukar untuk ditafsirkan kerana itu setiap pasangan perlu banyak bercakap-cakap dan menyelami emosi.
4.Hadamkan Pemikiran
- Betul, sangat sukar untuk kita menyamakan cara fikir dengan pasangan. Namun, tentunya tidak juga sukar untuk kita menahan diri daripada membantah pemikiran pasangan.
- Pemikiran dan ideanya tidak sama, jadi apakah perlu dibantah ketika itu atau bertenang dahulu dan berikan pula pandangan kita tanpa mengusutkan keadaan.
- Idea adalah hanya idea dan hanya datang seimbas lalu, kerukunan dalam rumah tangga adalah lebih penting. Lihat dalam sudut pemikiran pasangan dan simpan dulu ego ketat-ketat, sebagaimana kita melihat cawan daripada sudut pandang yang sama.
Apakah hati tidak akan terguris? Apakah di sepanjang usia perkahwinan, tidak sedikit pun hati tercalar? Berusahalah untuk menjaga hati pasangan dan insya-Allah ketidak sempurnaan kita akan juga diterima dengan sebaiknya oleh pasangan dan kebahagiaan rumah tangga.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

