Masa PKP, inilah masa terbaik untuk anak-anak manja ibu dok berkepit dengan mak kesayangan. Kalau tak hanya hujung minggu dapat berjumpa. Itu pun kalau rumah dekat, kalau kerja di bandar, telefon sahaja penghubungnya.
Isteri? Diabaikan dan rimas dengan sifat mengada-ada suami bila ada mak kesayangan di sebelah. Ini ulasan oleh Dr Ben Fadzil Mohd Salleh, Business Forencic Psychologist Grand master Hypnotherapist dari Practice Training & Consultancy di Asia Barat apabila bercakap tentang suami anak manja mak.
Tanggungjawab Anak
Dilema berkahwin dengan suami yang begitu manja dengan ibu. Semasa bercinta, isteri sudah nampak sikapnya yang begitu mengambil berat tentang ibunya. Tetapi, tidaklah terlalu ketara. Anggapan sudah tentu itu tanggungjawab anak pada ibunya.
Namun, selepas berkahwin barulah tahu suaminya itu terlalu manja, hinggakan tiap kali balik ke rumah, mesti suaminya berada di bawah ketiak ibunya. Kadang-kadang, isteri seperti diabaikan dan tidak sedar tentang kehadirannya. Bagaimanakah cara untuk isteri menghadapi situasi ini?
Keadaan suami masih tidak boleh melepaskan dirinya dari bergantung dengan ibu sendiri boleh dikategorikan sebagai mempunyai sindrom Seperation Anxiety Disorder iaitu sindrom anak kecil yang tidak boleh dipisahkan atau takut dipisahkan disebabkan apa yang dia ada dan selesa memilikinya. Keadaan begini akan dilihat juga sebagai Oedipus complex dari segi Theory Sigmund Freud di mana anak itu ingin mengambil tempat bapanya terhadap ibunya sendiri. Kesilapan anak manja ini juga ada kalanya bukanlah salah dirinya sendiri tetapi salah ibu nya juga yang kelihatan tidak mahu melepaskan anaknya untuk diuruskan oleh orang lain, iaitu isterinya.
Kenali Suami Anak Manja Melalui Sikap:
Setiap perbualan dan keputusan memerlukan tindakan atau penglibatan ibu dan semua keputusan adalah keputusan ibu.
Setiap masa yang terluang dia akan pulang ke pangkuan ibunya.
Suami akan mengadu hal apa yang berlaku kepada ibu walaupun ianya hanya perkara kecil.
Suami akan sering buat perbandingan isteri dengan ibunya dan ibunya adalah yang terbaik baginya dalam apa saja perkara.
Setiap kali memuji kehebatan ibunya daripada layanan sehinggalah ke masakan dan penjagaan.
Sering kali mencari ibu nya di dalam semua perkara.
Menghabiskan masa yang agak lama dengan ibunya.
Setiap kali gaji dan perbelanjaan rumah akan ditadbirkan oleh ibunya sendiri
Nasihat Terbaik Untuk Suami Dan Isteri
BUAT SUAMI:
Ads
Setiap keputusan, hendaklah berbincang dengan isteri dan bukan dengan ibu. Berenggang dengan ibu bukan bererti berpisah. Ianya bererti menjalankan hidup berkeluarga sendiri. Cara begini si suami dapat menjaga perasaan isteri dan mentadbir keluarganya.
Si suami perlu juga menjaga perasaan ibu mereka dengan mengatakan bahawa sesuatu keputusan itu adalah keputusan keluarga dan bukan keputusan dirinya sendiri.
Elakkan daripada melibatkan ibunya dalam kebanyakkan perancangan dan percaturan hidup. Ianya adalah sekadar memberitahu ibunya sahaja.
BUAT ISTERI:
Perlu banyak bersabar dan hendaklah sering berkomunikasi. Walaupun ianya menyakitkan hati, isteri hendaklah mendorong dan mengingatkan suami bahawa dia telah berkeluarga dan dah tiba masanya untuk suami membuat keputusan sendiri bersama keluarga.
Jika boleh, si isteri hendaklah menjadi rakan baik ibu mentuanya dan berkongsi perasaannya terhadap suami. Nasihat yang akan diberi kepada isteri adalah nasihat yang sama yang akan di beri pada suami oleh ibunya.
Isteri tidak boleh memisahkan perasaan anak terhadap ibunya tetapi boleh menggunakan ibu mentuanya sebagai perantaraan.
Cara begini adalah lebih senang dari memusuhi ibu mentua. Isteri pula setiap masa tidak boleh memburuk buruk kan ibu mertuanya di depan suami kerana suami akan bertindak membenci isteri sekiranya ia berlaku. Isteri perlu menggunakan teknik conditioning and dissociate
Kesimpulan:
Seorang suami, perlu mendahulukan isteri dan berbincang untuk keputusan dan persetujuan isteri.
Suami tidak boleh membandingkan ibu dengan isterinya sendiri dalam apa jua keadaan termasuk masakan dan layanan.
Suami harus tahu membezakan antara isteri dan ibu dan kurangkan mengadu hal isteri kepada ibunya.
Ads
Ads
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Madu itu manis, tapi bermadu itu pahit bagi wanita bergelar isteri! Kadangkala tertanya-tanya, apa kesilapan mereka hingga diri dimadukan dalam diam?
Ikuti luahan hati seorang wanita yang telah dijawab oleh kaunselor dan penulis bebas, Puan Hajah Maimunah Mohamad. Beliau juga salah seorang penulis tetap di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Assalamualaikum puan. Saya berusia awal 40-an. Memiliki empat orang cahaya mata, dua lelaki dua perempuan. Saya beryukur kerana mempunyai suami yang penyayang, anak-anak yang sihat dan boleh dikatakan cemerlang di dalam pelajaran.
Yang sulung kini di Ireland mengikuti jurusan kedoktoran; kedua di UiTM di dalam jurusan Mechanical Engineering, ketiga di UIA di dalam jurusan Undang-Undang dan keempat sedang menunggu keputusan SPM (ketika e-mel ini dihantar).
Suami seorang ahli perniagaan dan saya pula tidak lagi bekerja selepas anak kedua lahir. Soal duit tak jadi masalah dan kami mampu hidup selesa. Namun, kami bukan sesenang sekarang. Awal kahwin, saya bersusah payah bersama suami yang baru nak membina perniagaan. Sehinggalah akhirnya dia memiliki beberapa buah syarikat.
Saya jenis isteri yang tak pernah campur urusan kerja suami dan fokus saya pada anak-anak. Sejak anak-anak kecil, saya yang uruskan segala-galanya tentang mereka; pelajaran dan sebagainya. Suami hanya akan berikan duit. Tapi saya tak kisah kerana faham tanggungjawab masing-masing.
Walau pun ada bibik, tapi saya selesa bab memasak, saya tak lepas tangan kerana suami dan anak-anak cerewet soal makan. Kami jarang makan di luar kecuali nak meraikan hari-hari tertentu seperti hari jadi dan sebagainya.
Saya juga bersyukur, dua anak gadis saya rajin membantu mengemas dan memasak. Mungkin kerana saya dah didik mereka sejak kecil. Yang lelaki juga sama, malah mereka pandai masak walau pun tak lah sehebat chef. Bolehlah masak untuk mereka makan. Jadi, saya tak risau bila anak-anak belajar jauh kerana bab makan, mereka akan masak sendiri.
Jika suami cuti lama, kami akan curi masa untuk melawat anak sulung di Ireland. Kalau dia sibuk, kadangkala saya pergi bercuti bersama anak-anak atau rakan-rakan saya. Tak Pernah merungut kalau suami sibuk kerana faham nak uruskan bisnes bukan mudah.
Di kala anak-anak sudah besar, saya punya banyak masa luang dan itu yang membuatkan saya menyertai beberapa NGO. Dapatlah saya hilangkan kebosanan bila anak-anak sibuk dengan pelajaran dan suami juga sibuk dengan kerjanya.
Saya seronok bila dapat menyumbangkan tenaga untuk badan-badan tersebut. Itu juga bagi saya, salah satu cara untuk saya mencari sedikit pahala untuk amalan. Kadangkala saya turut menyertai misi ke luar negara menerusi badan-badan sukarelawan tertentu.
Selain itu, saya banyak menyertai kelas pengajian bagi menimba ilmu agama dan saya ada ‘geng road to jannah’. Kadangkala kami akan ronda-ronda, sambil makan-makan, kami cari masjid untuk ‘merasa’ pengalaman solat di situ. Rasa seronok yang sukar digambarkan.
Menuju ke usia emas, saya inginkan kehidupan yang tenang. Bersama suami dan anak-anak. Namun, ternyata dugaan hebat muncul di penghujung usia.
Sejak tahun lalu, saya perasan suami bersikap pelik tapi saya cuba bersangka baik. Namun akhirnya terjawab semua apabila dia pergi menunaikan umrah awal tahun ini. Saya tak ikut serta kerana saya baru saya menunaikan umrah hujung tahun lalu. Ketika itu suami tak boleh pergi kerana banyak kerja katanya.
Kuasa Tuhan, ada salah seorang sahabat ‘ Road To Jannah’ saya turut menunaikan umrah pada waktu yang sama dan terserempak dengan suami ketika di Madinah. Sekembali ke Malaysia, rakan itu terus berjumpa saya. Katanya, puas dia berfikir namun demi sayangnya pada saya, dia rasakan dia patut luahkan. Dia pulang beberapa hari lebih awal.
Rupanya di Mekah, dia terserempak dengan suami dengan seorang wanita muda. Bila ditanya, suami mulanya hanya diam namun wanita itu yang menjawab yang dirinya adalah isteri kepada suami!
Tuhan saja yang tahu apa yang saya rasa ketika itu. Tiada air mata yang mengalir kerana saya sangat terperanjat. Dalam diam, suami memadukan saya rupanya! Dia menunaikan umrah bersama isteri muda.
Saya memohon kekuatan daripada Yang Esa dan akhirnya saya tekad untuk berterus terang dengan suami sebaik dia kembali ke tanah air. Dia seolah dapat menduga saya akan bertanya hal tersebut. Dia mengaku, dia telah berkahwin dengan seorang janda anak tiga, hujung tahun lepas ketika saya menunaikan umrah.
Waktu inilah air mata saya tumpah. Sebelum ini hati saya cuba menafikan berita yang disampaikan oleh rakan saya itu tapi bila keluar daripada mulut suami sendiri, ia adalah satu hakikat.
Saya masih keliru dengan apa yang terjadi. Hati saya sakit dan marah tapi tak mampu saya luahkan. Memang benar suami mampu berpoligami. Tapi sebagai isteri, ia teramat pedih untuk saya telan. Rasa diri ini dikhianati. Wanita itu masih muda, baru berusia 32 tahun.
Saya sedaya upaya melayan suami dengan baik jika giliran dia di rumah. Namun saya tak dapat membohongi kedukaan hati saya. Sikap saya berubah. Jarang berbual dengannya lagi. Walau pun pelbagai cara dilakukan untuk mengambil hati saya, tapi hati saya seolah-olah sudah layu.
Saya tak tahu sampai bila saya mampu bertahan dalam keadaan ini. Saya cuba reda untuk terima namun hati saya amat sakit.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Poligami adalah perkara yang tidak disukai oleh isteri, tetapi disukai oleh ramai suami. Ada suami yang mampu dan mahu berpoligami. Ada yang tidak mampu tetapi mahu berpoligami.
Ada yang mampu tetapi tidak mahu berpoligami kerana tidak mampu menjalankan tanggungjawab yang lebih berat. Kepada seorang isteri ia adalah suatu kecurangan terhadap kesetiaan dan kasih sayang yang telah diberikan sepanjang perkahwinan.
Tiada wanita yang mahu dimadukan oleh suaminya. Kepada suami diberikan kasih sayang, layanan yang baik, dijaga makan dan pakaiannya, diberi asuhan yang sempurna kepada anak-anak , namun kenapa suami mencari wanita lain selain dia. “Apa salah saya” adalah soalan yang biasa diajukan oleh isteri apabila suaminya ada wanita lain, sama ada dalam alam percintaan dengan wanita lain, mahupun suami telah berkahwin dengan wanita lain. Rasa dikhianati, rasa tertipu, rasa keliru dan kecewa bermain dalam emosi yang remuk redam.
Puan yang dirahmati Allah. Saya dan pembaca memahami situasi yang puan alami. Bukan mudah untuk menerima hakikat dan berhadapan dengan hakikat suami telah ada seorang lagi wanita lain yang disayangi suami.
Tidak dinafikan untuk menerima dan menyayangi suami seperti sebelumnya teramatlah sukar. Ada kebenarannya yang puan sebut, tidak mampu berbohong dengan diri. Namun, kehidupan perlu dilalui bersama suami. Apa yang perlu dilakukan?
Pertama, ambil masa untuk menerima suami. Luka yang teruk pastinya memerlukan rawatan yang lama. Malah luka itu perlu ubat yang kuat untuk menyembuhkannnya. Antara ubat itu adalah banyak mengingati Allah melalui solat, doa, zikir, membaca al-Quran. Kerap mengikuti kuliah agama juga antara penawar untuk sembuhkan luka.
Luka ini pula kalaupun sembuh pastinya meninggalkan parut yang boleh memberi sedikit kecacatan. Malah setiap kali pastinya akan terkenang apabila melihat parut itu. Namun parut tidak boleh hilang bukan? Maka apa yang suami lakukan terhadap puan mungkin sukar untuk dilupakan.
Tidak mengapalah jika hati masih rasa berat untuk menerimanya. Puan boleh melayan perasaan itu. Kita tidak mampu berbohong apabila kepercayaan dicalari. Namun membiarkan perasaan sebegitu dalam tempoh yang lama juga memberi kesan buruk kepada puan. Aktiviti seharian tidak terfokus, emosi tidak gembira, kecewa dan sebagainya.
Sebagai manusia kita perlu meneruskan kehidupan. Cuba puan lihat sekeliling dan lihat kehidupan yang puan miliki. Puan punya anak-anak yang berjaya, punya harta, punya masa dan hobi yang puan boleh lakukan, puan juga mampu menjalankan kerja-kerja amal dalam hidup yang ramai orang belum dapat melakukannya.
Puan juga punya suami yang bertanggungjawab.Tiada apa pun kekurangan yang puan miliki. Namun, Allah hanya beri sedikit ujian ini. Ujian suami ada wanita lain. Jika ditakdirkan puan dilanda ujian yang lebih besar bagaimana? Ujian pastinya ada dalam hidup bagi meningkatkan keimanan kita. Bila ingin mengubat hati, pasti kita bermunajat dan lebih banyak memohon kepada Allah agar hati kita tidak kecewa dengan begitu lama.
Daripada apa yang puan nyatakan, saya dapat memahami bahawa puan tidak dapat membohongi diri puan untuk menyayanginya. Untuk meringankan kekecewaan yang puan hadapi, terus terang katakan kepada suami bahawa hati puan tidak dapat menyayanginya walaupun telah cuba. Puan ada menyebut tidak mampu luahkan.
Jangan biarkan ianya tersimpan dalam hati. Perlu luahkan kepada suami. Lihat responsnya. Kalau dia tidak respon bermakna dia tidak kisah kepada persoalan hati dan perasaan. Maka tidak perlu puan menjeruk rasa terhadapnya. Puan boleh memilih sama ada puan belajar dan berusaha menyayanginya atau pun puan kekal untuk perasaan biasa-biasa terhadapnya.
Perasaan kasih dan sayang terhadapnya boleh diagihk-agihkan kepada aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang puan terlibat. Ini adalah salah satu cara bagaimana puan boleh mengubat hati yang duka kerana puan tidak memfokuskan kasih itu kepada suami sahaja. Banyak ruang dan peluang untuk menyebarkan kasih sayang dan dengan sendirinya hati puan akan terubat.
Banyakkan sedekah, menyantuni asnaf dan anak yatim. Insya-Allah, lagi banyak kebaikan yang puan lakukan untuk manusia lain dan untuk agama Allah, suatu hari Allah akan “campakkan” ketenangan dan kebahagiaan dalam diri puan. Wallahuallam.
Menjadi tanggungjawab mak ayah, menyemai perasaan kasih sayang buat anak-anak semenjak mereka masih kecil. Bertuahnya mempunyai anak yang masih kecil namun sudah tahu tanggungjawab, bersikap melindungi pada adik beradik sendiri sehingga sanggup bergadai nyawa.
Pengorbanan kanak-kanak ini yang sanggup bergadai nyawa menyelamatkan adiknya mungkin tidak mampu dilakukan orang dewasa lain.
Ketika itu dia baru berusia lima tahun dan sanggup berkorban nyawa memeluk Aulia yang berusia tiga tahun pada 2018 menyebabkannya melecur teruk di muka, kepala dan kedua-dua bahagian tangan dalam satu tragedi kebakaran bilik di sebuah rumah di Johor Bahru.
Difahamkan, ketika kejadian, empat beradik itu, Muhammad Fariz Nasir Mohd Nasir, 10, Muhammad Fizz Firdaus, 9, Aulia Izzatul Nisa, 7, dan Muhammad Firash, 5, sedang tidur di sebuah bilik sebelum terbakar.
Fizz Firdaus yang menyedari kejadian itu terus memeluk Aulia menggunakan selimut menyebabkan muka dan tangan terbakar teruk manakala Fariz dan Firash hanya mengalami kecederaan ringan.
Nenek saudara mereka, Norfaizah Kamal, 37, berkata, selepas kejadian itu dia mengambil alih menjaga empat beradik berkenaan di Batu Pahat, Johor.
“Saya bersyukur diberi kesempatan menjaga mereka sebagai pelengkap hidup saya dan suami selepas menunggu mendapat cahaya mata sendiri belum kesampaian.
“Semuanya dipermudahkan Allah SWT kerana empat beradik ini memang anak yang baik dan mendengar kata,” katanya.
Katanya, Fizz Firdaus sangat menyayangi adik beradiknya terutama Aulia dan Firash manakala Fariz pula sangat melindungi adik-adiknya.
“Fariz dan Fizz Firdaus sangat sayangkan adiknya, jika salah seorang menumpahkan air, mereka cepat-cepat mengambil kain lap bimbang saya marah.
“Walaupun baru berusia lapan tahun, Fariz sudah pandai melakukan kerja rumah seperti memasak nasi, basuh baju dan melakukan kerja rumah yang lain,” katanya.
Menurutnya, dia sangat berharap dapat melakukan rawatan wajah untuk Fizz Firdaus.
“Dia selalu mengadu diejek rakan sekolah membuatkan saya terkesan dan memikirkan perlu melakukan sesuatu,” katanya.
Memperincikan tragedi itu, Norfaizah berkata, kebakaran bilik di sebuah rumah berlaku di Taman Nora, Ulu Tiram, Johor Bahru kira-kira jam 11.21 pagi, Oktober 2018.
“Fariz, Aulia dan Firash hanya cedera ringan tetapi paling teruk Fizz Firdaus selepas api menyambarnya ketika dia memeluk Aulia,” katanya.
Kisah Fizz Firdaus menyelamatkan adiknya tular di media sosial yang dikongsi seorang aktivis Suara Anak Muda Batu Pahat, Mohd Firdaus Isa, 40, menerusi laman Facebooknya.
Mohd Firdaus berkata, perkongsiannya mengenai pengorbanan seorang abang yang sanggup bergadai nyawa untuk adiknya sebagai contoh kepada masyarakat luar.
“Sebagai orang dewasa pun kita mungkin ragu-ragu untuk bergadai nyawa melakukan perkara sama, tindakan adik Firdaus begitu meruntun jiwa saya,” katanya.
MW: Hebatnya anak ini. Walaupun usianya masih kecil dah tertanam sikap bertanggungjawab dan melindungi adik-adiknya. Semoga anak-anak kita juga memiliki sifat sebegini, kasih dan sayang pada adik beradik sendiri.
Kadang-kadang, mak ayah sudah terbiasa bergaduh mahu pun bertekak depan anak-anak. Tanpa kita sedar, anak ini mungkin akan pendam perasaan atau lebih teruk mula memberontak tanpa kita sedar.
Mungkin mak ayah anggap itu hanyalah perkara biasa dan anak tidak faham apa yang ditekakkan oleh mereka berdua. Tapi dari gerak badan dan muka sudah tentu ia boleh menggambarkan keadaan ini. Lebih teruk bila anak-anak perasan mak ayah tak bercakap. Macam mana tu?
Haru biru jadinya, suami tinggi suara isteri pula nyaring mempertahankan diri, masing-masing tidak mahu mengalah, ego meninggi mempertahankan soal hak dan membela diri, tanpa mereka sedar anak sedang memerhati, anak sedang menilai dan anak sedang meletakkan hukuman tanpa disedari oleh si suami dan isteri yang masih leka menghamburkan kata-kata tajam dan sinis.
Iye lah, angin dah penuh satu badan mana boleh nak ditahan-tahan lagi rasa marah tu, mana nak tahu anak ada berdekatan. Allahu, cukup mudah memberi alasan tanpa ada nilai keinsafan apakah yang mungkin berlaku terhadap anak yang sering melihat pergaduhan ibu dan ayahnya, yang mendengar ucap nista, serangan kata-kata pedas di antara ibu dan ayahnya, apakah yang dirasai oleh si anak ketika itu? Tidak bimbangkah anak ini akan trauma kemudiannya dan terganggu perkembangan mentalnya hanya kerana mahu dilepaskan kemarahan terhadap pasangan?
Ramai yang mengambil mudah soal ini, mereka anggap anak ini tidak faham dan tidak perlu masuk campur urusan orang tua. Benar, mereka tidak perlu masuk campur namun pergaduhan ini berlaku di depan anak dan telah menyebabkan hidup mereka juga sudah dicemari dengan peristiwa yang tidak sepatutnya dipertontonkan. Apakah tidak ada rasa bersalah terhadap anak ini?
Bayangkan saja, dalam usia bawah 12 tahun, anak ini telah dihidangkan dengan gambaran tidak baik tentang ibunya, tentang bapanya, perbalahan, pergaduhan dan pertengkaran, bermasam muka dalam rumah tangga. Sedikit demi sedikit ia akan memakan jiwa dan rasa bahagia si anak hingga memungkinkan timbulnya rasa bosan, benci terhadap kedua ibubapanya. Apatah lagi jika ibu bapa pula melibatkan si anak dalam pergaduhan mereka. Ya Allah, mereka tidak faham dan mereka tidak mahu dimengertikan apa isu pokoknya pertengkaran ini, anak ini hanya mahu bahagia bersama keluarga, anak ini hanya mahukan kehidupan yang normal bersama ibu dan ayahnya.
“Awak kan tahu keadaan saya bagaimana? Kenapa awak asyik mendesak saya je, kalau saya tidak buat kerja overtime ini mana saya nak dapat duit tambahan untuk belanja keluarga. Saya dapat duit nanti, saya akan bayar yuran anak-anak ni, awak uruskan lah dulu dengan sekolah, janganlah desak saya macam ni”
Bagaimana perasaan anak-anak jika mereka mendengar pertengaran ini? Anak ini akan kemurungan dan rasa sangat bersalah kerana mereka menjadi punca pergaduhan.
“Sudahlah abah, jangan lah marah ibu lagi, kesian ibu. Abah sudahlah bergaduh tu abah. Ibu sudahlah ibu, jangalah lagi bergaduh dengan abah” Iye anak merayu, jika tidak di depan ibu bapanya, dia akan merintih dalam hati, merayu dan mengharap agar dihentikan pergaduhan.
Suami isteri perlu tahu dan sedar bahawa pergaduhan mereka di depan anak akan hanya membawa keburukan dan menjejaskan emosi serta mental juga perkembangan tingkah laku anak-anak. Malah kajian daripada Earmon McCrory, Universiti College London membuktikan jika ibu bapa bergaduh depan anak dan si anak melihat ibunya dipukul, dimarahi kesannya anak ini akan memiliki corak pemikiran yang sama seperti tentera di medan perang.
Setiap suami dan isteri perlu ambil kira sebelum mahu memulakan perang dalam keluarga di depan anak.
Anak akan menbesar dengan emosi yang tidak terkawal, mereka melihat dan merasai letusan emosi ibu dan ayahnya, perkara ini terpasak dalam fikiran anak-anak dan mereka akan semudahnya menjadi stres, kemurungan dan rasa bersalah. Mereka tidak mampu untuk mengawal emosi ini dan semudahnya dilepaskan tanpa kewarasan.
Anak tidak dapat lagi membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, kekasaran akan dianggap satu kebiasaan dan penindasan diterima sebagai satu budaya. Anak-anak ini akan membesar dalam keadaan punya satu sifat prejudis dan persepsi negatif yang tinggi terhadap keluarga dan orang lain.
Latar belakang keluarga akan sering mempengaruhi tingkah laku anak-anak, anak yang lari daripada rumah kerana tidak tahan ibubapanya sentiasa bergaduh, menjadi liar dan rosak tingkah laku. Anak hilang keyakinan diri dan menjadi mangsa buli kerana sering melihat penindasan berlaku di rumah malah ada anak yang akan hidup hanya dalam dunianya, menyisihkan diri dan anti sosial kerana merasakan dunia ini tidak adil, mereka takut untuk berhubung rapat dan menerima kasih sayang.
Anak yang sering dilibatkan dalam pergaduhan ibu bapa akan memilih jalan diam dan memendam rasa, mereka tidak mahu memihak dan tidak mahu dilibatkan. Anak ini akan lazimnya bercakap sendirian, mempunyai ‘kawan khalayan’ dan sering meluahkan rasa di media maya mengunakan akaun palsu. Anak ini sedang mengalami keadaan ketidaktentuan diri dengan pelbagai rasa yang dipendam dan membentuk nilai diri seakan bom jangka yang bila-bila masa saja boleh meletop dan membahayakan keluarga dan rakan sekelilingnya.
Anak ini akan hilang ketenangan dalam hidupnya, perasaan marah, kecewa, sedih akan sering menguasai diri. Anak ini akan mula bertindak agresif, menjadi biadap dan kurang ajar, anak ini protes dalam diam dan memberontak sehingga hilang kepercayaan mereka terhadap ibu bapa dan orang sekeliling. Anak ini akan membesar dalam keadaan bersangka-sangka dan berpendapat orang akan sentiasa mahu menyerangnya.
Perasaan bimbangkan ibu dan bapanya akan menghilangkan fokus dalam akademik, anak ini merasakan tiada maknanya lagi dan tidak ada keperluan untuk dia cemerlang dalam akademik, anak ini lebih melayan rasa dan membuai perasaan sehingga hilang minatnya dalam akademik.
Anak lemah dalam kemahiran meneruskan hidupnya, lemah dalam perjuangan, lemah dalam kemahiran berkawan, lemah dalam menyelesaikan masalah. Anak ini akan sering menjadi mangsa keadaan dan tidak mampu untuk mempertahankan diri sendiri.
Langkah yang terbaik adalah mengelakkan pergaduhan ini di depan anak-anak, ibu bapa perlu belajar untuk berlakon dan bersikap hipokrit di depan anak agar perselisihan faham mereka ini tidak dihidu anak. Persoalan paling penting adalah bagaimana untuk mendisiplin diri agar tidak bertengkar di depan anak?
Cuba lakukan perkara ini untuk mengelakkan berlakunya pergaduhan di depan anak.
Elakkan daripada melawan cakap dan ikut sama meninggi suara, ini akan hanya memburukan keadaan anak yang sedang melihat.
Kemarahan pasangan anda tidak akan sentiasa meninggi, apabila telah agak reda, anda minta izin untuk bawa anak ke bilik dan bertenanglah.
Apabila telah tenang, berjumpa lah dengan pasangan anda dan berbincang dengan rasa hormat dan sayangkan rumah tangga.
Setiap pasangan perlu tahu di mana keutamaan mereka dalam rumah tangga dan perlu sedar bahawa setiap perbuatan mereka akan mendatangkan kesan sama ada baik ataupun tidak kepada anak-anak. Anak-anak perlu membesar dengan perkembangan emosi, fikiran dan tingkahlaku yang baik, anak-anak perlu mempercayai bahaya mereka bahagia dan hidup dalam keluarga yang dipayungi rasa cinta kasih sayang sekeluarga.
Ianya bermula dengan anda, berbincanglah dengan baik dan elakkan pertembungan konflik ego dalam rumah tangga, anda berdua ada anak yang perlu dijaga dan dididik dan mereka adalah amanah yang akan ditanyakan oleh-Nya nanti.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!