
Masih muda usianya, Siti Nurdiana Mohamad Bistawi, 20, terpaksa tangguh pengajian dan memikul tanggungjawab yang begitu berat, menjaga ayahnya yang kini terlantar sakit.
Siti Nurdiana Tangguh Pengajian

Bercita-cita nak jadi tentera sejak kecil, namun gadis ini terpaksa berkorban demi ayah tangguhkan pengajian enam bulan untuk menjaganya.
Ayahnya, Mohamad Bistawi Bakar, 56, disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat dan turut kehilangan deria penglihatan.
Lebih memilukan, Nurdiana adalah anak tunggal.
Sejak ibunya meninggal dunia pada 2009, ayahnya membesarkannya seorang diri. Dengan pendapatan hanya sekitar RM500 sebulan sebagai pembuat pasu di Gunung Keriang, lelaki itu tetap berusaha sedaya upaya memastikan anak tunggalnya mendapat pendidikan yang baik.
Sedikit yang ada, itulah yang diberikan. Penat bekerja, disembunyikan. Susah, ditelan sendiri. Asalkan anaknya dapat belajar dan mempunyai masa depan.
Hinggalah anak kecil yang dahulu dibesarkannya itu kini sudah dewasa. Dan apabila ayahnya jatuh sakit, Nurdiana memilih untuk pulang.
Dia menangguhkan pengajian semester tiga di UPNM selama enam bulan. Memetik kata-katanya di portal Harian Metro:
“Hanya dia satu-satunya harta berharga yang saya ada sekarang kerana sanggup berkorban besarkan saya, kini giliran saya puka berkorban untuk jaga ayah.”
Pilih Jaga Ayah Sakit Kanser Selepas Ibunya Meninggal

Bukan kerana dia sudah tidak mempunyai cita-cita. Tetapi kerana buat masa ini, ayahnya lebih memerlukannya. Setiap hari, Nurdiana memandikan ayah, menyuapkan makanan dan minuman, menguruskan rumah serta memastikan segala keperluannya cukup.
“Sebelum ini, kalau saya pulang ke kampus, saya meminta bantuan jiran untuk tengokkan ayah dan beri dia makan tetapi bila ayah kerap masuk wad, saya kena balik jaga dia,” katanya.
Siti Nurdiana berkata, untuk menampung wang sepanjang pengajiannya di UPNM sebelum ini, dia sanggup bekerja sambilan di sebuah hotel di Kuala Lumpur kerana tidak mahu menyusahkan bapanya.
Wang simpanan hasil kerja sambilan di Kuala Lumpur pula digunakan untuk membeli lampin dan keperluan harian ayah. Bayangkan, seorang anak berusia 20 tahun sepatutnya sibuk mengejar impian, membina masa depan dan menikmati kehidupan sebagai seorang mahasiswa tetapi Nurdiana memilih untuk duduk di sisi seorang ayah yang sedang melawan penyakit.

Dulu ayah membesarkannya dengan RM500 sebulan. Kini, anak itu pula mengorbankan masa depannya demi membalas jasa seorang ayah. Mungkin Nurdiana belum mampu membalas semua pengorbanan ayahnya. Namun sekurang-kurangnya, dia mahu memastikan ayahnya tidak melalui saat-saat terakhir dalam hidup seorang diri.
Anda mungkin berminat dengan
Baginya, selagi ayah masih ada, dia tidak mahu mensia-siakan peluang untuk menjaganya. Kerana Nurdiana tahu, pelajaran boleh disambung dan cita-cita boleh dikejar semula.
Tetapi jika suatu hari nanti ayah pergi buat selama-lamanya, tiada lagi peluang untuk memeluk, memandikan atau menyuapkan makanan kepada lelaki yang pernah mengorbankan seluruh hidupnya demi membesarkan dirinya.
Hari ini, ayah mungkin sudah tidak mampu melihat wajah anak tunggalnya. Tetapi mungkin jauh di dalam hatinya, dia tahu anak kecil yang dahulu dibesarkannya dengan segala kepayahan itu kini sedang membalas cintanya dengan cara yang paling indah.
Buat orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh berbuat demikian dengan menghubungi Siti Nurdiana melalui telefon 019-7264889.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

