Bukan mudah seorang anak muda dalam usia 19 tahun sanggup menumpukan sepenuh masanya pada ibu yang sakit dan tidak mampu uruskan diri sendiri. Tetapi Che Muhammad Arif Che Suhaimi membuktikan dia sebaliknya.

Ketika remaja lain sibuk dengan dunia masing-masing, Che Muhammad Arif lebih selesa mengambil tanggungjawab menguruskan ibunya.

Sudah setahun dia tak pernah mengeluh cuci kain najis ibunya pakai tangan, sekarang ada mesin basuh hasil sumbangan legalah.

Cuci Kain Najis Ibu Pakai Tangan

“Sudah setahun Arif cuci kain najis saya dengan tangan, tak pernah dia mengeluh atau mengadu geli. Bila ada mesin basuh baharu ni, ringan sikit tugas dia,” kata Junaidah Ismail, penghidap angin ahmar dari Kampung Cina, di Kota Bahru, Kelantan.

Menurut, Junaidah, 55, anak keduanya itu, Che Muhammad Arif Che Suhaimi, 19, sudah menjaganya sejak hampir dua tahun lalu selepas diserang angin ahmar sebelah kiri tubuh yang menyebabkannya terlantar dan tidak mampu menguruskan diri.

Katanya, ada kalanya dia membuang air dalam kain yang dipakai disebabkan kehabisan lampin pakai buang dan tanpa rasa geli, anaknya itu menyental kain berkenaan termasuk selimut yang turut terkena najis.

Tak Pernah Mengeluh Mahupun Geli

“Arif (nama panggilan Che Muhammad Arif) anak yang baik, usahkan merungut, dia langsung tidak menunjukkan rasa geli ketika menyental kain yang terkena najis dan ia sangat menyentuh hati saya.

IKLAN

“Banyak kerja yang perlu dia lakukan untuk menguruskan saya antaranya menyuap makan, memandikan, mengurut (fisioterapi), membasuh pakaian malah perlu memasak dan mengemas rumah sehinggakan beberapa kali demam akibat kepenatan.

“Jauh di lubuk hati, saya sangat kasihankan Arif kerana dalam usia muda dia terpaksa menggalas tanggungjawab ini sehingga menghalangnya daripada bekerja disebabkan perlu menguruskan saya dan tiga adik yang masih bersekolah serta abang yang menghidap masalah kemurungan,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Baca Juga Di sini:

18 Tahun Uruskan Mak, Ayah OKU, Akur PKP Ibu Tunggal Hilang PEKERJAAN

IKLAN

Rezeki Uruskan Mak Ayah, Setiap Adik Beradik Ada Bahagian Masing-masing

Untuk info lebih menarik, klik saja di sini. 

Kisah Pengorbanan Anak Pernah Tular

Kisah pengorbanan Che Muhammad Arif yang mengorbankan zaman remajanya untuk menguruskan ibunya pernah dipaparkan sebelum ini dan mengundang simpati ramai pihak termasuk badan bukan kerajaan, Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) yang tampil menyerahkan sumbangan mesin basuh kepada keluarga itu.

IKLAN

Selain menyerahkan mesin basuh dan barangan makanan, kira-kira 15 wakil POKB turut membantu membersihkan rumah Junaidah yang turut dihuni bersama kakak dan dua anaknya yang juga menghidap kemurungan.

Sementara itu, Ketua Aktivis POKB, Saripah Ismail berkata, mereka terpanggil untuk membantu keluarga itu atas dasar prihatin dan simpati dengan nasib Che Muhammad Arif yang juga terpaksa berhenti sekolah sejak di Tingkatan Satu disebabkan kekangan hidup.

“Kami ada menziarah mereka sebelum ini dan Junaidah turut memberitahu bahawa mesin basuh di rumahnya sudah setahun rosak.

“Kami juga meluangkan masa kira-kira satu jam membersihkan rumah mereka bagi memberi sedikit keselesaan selain menyumbangkan barang makanan,” katanya.

MW: Kisah ini patut dijadikan inspirasi buat anak muda di luar sana. Bukan sahaja menguruskan maknya yang sakit, dia juga mencuci kain najis maknya. Akhlak baiknya harus diberi pujian. Semoga Che Muhammad Arif dan maknya tabah menghadapi ujian ini.

Sumber: myMetro

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI