Niat tegur anak itu sebenarnya nak bentukkan dia jadi anak soleh dan solehah, biar jadi anak yang baik-baik sampai ke alam perkahwinan.
Tetapi sebelum menegur, mak ayah kena ada ilmunya dulu, seperti yang Ustazah Sharifah Zahidah panjangkan kali ini, nada dan cara susun ayat itu kena tepat.
Jemput amalkan dalam mendidik anak-anak kita ya…
Betulkan Cara Tegur Anak
Bila berkomunikasi dengan anak, especially bila kita MENEGUR SESUATU KESALAHAN ANAK, elakkan menyebut apa yang kita TAK MAHU DIA JADI, TAPI SEBALIKNYA SEBUT APA YANG KITA MAHU DIA JADI.
Contoh situasi yang kerap berlaku, anak kita selalu tumpahkan air atau makan berlari. Kita pun sebut,
“Kakak, janganlah makan sambil berjalan-jalan sana sini. Ibu tak suka anak Ibu makan bersepah. Makan tu duduk jelah setempat.” Ini salah. Sebab kita sebut pada dia, apa yang kita tak suka dia jadi, tapi itulah yang kita dok ulang-ulang sampai mati. Pastu kita kata, “Berbuih dah mulut menegur. Tak makan saman!”
Walhal, strategi kita salah.
Yang sepatutnya kita, sebut,
“Kakak, ibu suka anak Ibu makan duduk setempat dan tak bersepah. Hati ibu rasa seronok.. Rumah pun kekal bersih, kan?”
Maksudnya sama, nak suruh anak makan duduk, jangan lari lari.
Tapi PENDEKATANNYA JAUH BERBEZA, bukan?
Contoh lain, bila anak kita misbehave.
Ads
“Ahmad, janganlah lari-lari macam tu. Tak soleh.”
Ini juga salah. Ini punca sindrom “MULUT BERBUIH IBU2 SEANTERO DUNIA”
Tapi tukarkan kepada,
“Ahmad jalan elok-elok ya. Macam itu baru anak soleh.”
Ringkas kan? Tapi win.
Winning their hearts, percayalah.
Kenapa kemahiran menegur anak ini sangat PENTING untuk kita pelajari sebenarnya?
Kerana WORDS ARE SO POWERFUL.
IT CREATE PERCEPTION THAT WILL BE HARDWIRED INTO THEIR BELIEF SYSTEM.
Ads
Kalau dah seminggu 3x 4x dia dengar mak cakap dia “Haip tak solehah, haip tak solehah, haip tak betul haipp tak bagus..” Maka apa yang masuk dalam mindanya?
“Aku tak soleh, aku tak betul, aku tak bagus dan sebagainya.”
The mind process those words and sends signals to their body on how to produce action of being tak soleh tak betul tak bagus. It becomes, their PROGRAMME.
Niat asal kita nak MEMBINA, tetapi yang terjadi adalah MEMBINA-SA.
Kerana itu, ketika menegur, jangan ucapkan apa yang kita tak mahu dia jadi semata, tapi ucapkan apa yang kita MAHU DIA JADI.
Contoh situasi lagi, bila anak mencarut.
Kita pun kata,
Ads
“Jangan mencarut. Mulut jahat. Ibu tak suka”.
Ya, anda betul.
Mencarut memang petanda mulut jahat.
Tapi approach itu salah untuk anak-anak kecil.
Sebetulnya, katakan,
“Anak Ibu tak mencarut. Sebab anak Ibu mulutnya baik. Tadi dia termencarut sebab dia tak sengaja. Kan kakak? Kakak tak sengaja kan? Kakak lupakan tadi sebab tu tercakap dekat adik bod** dan gila, betul Kakak?”
Selalunya, anak akan tone down bila dia tau kita tak marah tapi WE ARE THERE TO HELP THEM TO COPE WITH THEIR MISBEHAVIOR. Mereka tak perlu seorang hakim yang menjatuhkan mereka hukuman, tetapi mereka perkukan seorang yang HALIM (rahmah dan kelembutan) yang memberi mereka pedoman.
Dengan teknik ini juga, anak mudah untuk mengaku bersalah. Dan ketika ini, kita boleh ajar pula padanya, BAGAIMANA KITA AMEND KESALAHAN KITA apabila kita tersalah laku.
Buat Anak Mengaku Dia Buat Salah
Ok, ini kita sambung di tulisan lain. Bab ni pun panjang. Bagaimana nak buat anak mudah mengaku dirinya bersalah bila dia buat salah dan MEMINTA MAAF setulus hati, dan bagaimana nak dorong mereka untuk aiki kesilapan mereka.
Ini adalah part sangat penting dalam tumbesaran anak, supaya dia tak perlu hidup sebagai penipu yang menjadikan penipuan sebagai defending mechanisme-nya. Tetapi sebaliknya dia membesar sebagai individu yang mampu to stand up admitting that he is wrong and ready to take charge of it. Ini anak berjiwa besar. Anak yang bertaggungjawab. Kita mahu anak yang macam ini.
Apa pula strateginya?
Ada masa, nanti kita kongsi bab ini pula.
Allahualam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mendapat perkhabaran bahawa dirinya berbadan dua buat kali ketujuh membuatkan dia rasa cukup teruja, gembira dan bahagia kerana dapat merasai nikmat mengandung dan pertambahan ahli keluarga baru. Malah sepanjang perjalanan kehamilan Sity Warhana Sa’yan kelihatan normal dengan tiada komplikasi berat yang melanda. Keterujaan bakal menimang cahaya mata jelas terpancar pada pasangan ini, namun berita yang diterima ketika usia kandungan 36 minggu ternyata membuatkan pasangan ini sedikit gusar.
“Sepanjang hamilkan Jannah, doktor tidak dapat kesan sebarang kelainan. Semuanya nampak normal. Daripada awal kehamilan, perkembangan Jannah dalam kandungan sentiasa normal, kecuali pada minggu ke-36. Berat bayi dalam kandungan saya dikesan menurun dari 2.8kg kepada 2.6kg. Begitulah minggu seterusnya bila purata penurunan sekitar 200gm seminggu berlaku. Saya mula rasa bimbang tetapi tetap yakin bahawa bayi yang saya kandung akan sihat,”ujar ibu kepada 7 cahaya mata ini.
Anak yang dikandung selama 40 minggu ini, dilahirkan dengan kelainan kromosom trisomi 18 atau turut dikenali sebagai Sindrom Edward. Sesungguhnya keajaiban itu kuasa Maha Pencipta, nyawa si kecil yang diberi nama Sity Nur Jannah yang sudah berusia setahun lebih masih lagi utuh hingga ke detik sekarang. Meskipun doktor pernah meramalkan hayat Jannah tidak lama namun benarlah ajal maut itu di tangan Allah Yang Maha Esa.
“Cukup usia kandungan 40 minggu pada tarikh 8 Mei 2017, saya terpaksa lahirkan bayi yang dikandung dengan bantuan ubat indius oleh doktor di Kajang Plaza Medical Centre, Kajang. Doktor bimbang dengan corak penurunan berat badan bayi yang berlaku setiap minggu. Syukur, mudah saya lahirkan Jannah. Sakit kontraksi hasil cetusan ubat indius pun tidak lama.
“Bayi yang saya lahirkan terlihat sempurna, panjang dan lilit kepala bayi saya normal, cuma doktor terkejut dengan berat yang cuma 2.2kg. Terus bayi saya dibawa ke NICU bagi mendapatkan bantuan oksigen kerana gagal bernafas sendiri.”
Rawatan pakar
Melihat kepada keadaan kesihatan bayi yang semakin merosot, doktor menyarankan Jannah di bawa ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan pakar. Seakan lupa diri masih berpantang, demi bayi yang baru dilahirkan Sity Warhana dan suami membawa anak kecilnya untuk mendapatkan rawatan pakar yang sewajarnya.
“Seorang doktor pakar kanak-kanak menyatakan bahawa kondisi bayi saya agak kritikal dan mencadangkan kes ini segera dirujuk kepada doktor pakar di Hospital Kajang. Tanpa berlengah, pagi itu juga saya terus ke hospital Kajang. Kalau ikut teori, doktor kata peluang untuk bayi saya hidup sangat tipis. Boleh bertahan dua hari sahaja.
“Syukur, pada hari ketiga Jannah masih lagi bernyawa, doktor cadangkan sampel darah bayi saya diambil untuk menjalani ujian kromosom di LPPKN. Selepas 14 hari, ujian mengesan kromosom Jannah trisomy 18. Menurut doktor hayat anak saya tidak lama memandangkan ada masalah jantung dan saluran paru-paru berlubang. Saluran pernafasan juga sempit. Selepas berbincang, saya dan suami mahu bawa pulang anak kami ke rumah kerana doktor jangkakan dia hanya boleh bertahan paling lama pun, dua bulan. Siapa tak sedih mendengar makluman doktor pada saat itu. Tapi saya dan suami perlu kuat untuk menghadapi hari-hari mendatang.
Perkembangan terkini Jannah
Sehingga kini Jannah masih lagi menerima rawatan fisioterapi tanpa had umur dari Hospital Kajang di samping turut menjalani rawatan di Kardiologi Pediatrik, ENT Pediatrik, Ortopedik Pediatrik di Hospital Canselor Tuanku Muhriz atau lebih dikenali sebagai HUKM sebelum ini.
“Jannah masih dapatkan rawatan daripada Klinik Pakar Kanak-kanak Hospital Kajang di samping pemeriksaan jantung oleh doktor pakar jantung kanak-kanak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz atau HUKM . Doktor pakar kardiologi kanak-kanak di PPUKM mendapati, dahulu VSD dan PDA adalah sebesar 1sm. Sewaktu umur Jannah empat bulan, echo yang dilakukan sekali lagi menunjukkan PDA sudah tertutup manakala VSD pula 5mm, Syukur!
Kuatnya si kecil Jannah ditambah dengan usaha dan semangat serta sokongan ibu dan ayah, perkembangan positif yang ditunjukkan Jannah sedikit sebanyak membuatkan hati Sity Warhana dan suaminya lega. Siapa sangka si kecil yang dahulunya dikatakan hanya mampu bertahan selama dua hari, diikuti dua minggu dan seterusnya dua bulan sehingga kini nyawanya masih dikandung badan. Namun menurut Sity Warhana, dia dan keluarga sudah bersedia menerima segala kemungkinan yang akan berlaku kelak.
“Alhamdulillah, Jannah kini semakin aktif. Walaupun perkembangan tidak sama seperti bayi yang sebayanya, Jannah banyak tunjukkan perubahan positif. Dia sudah boleh meniarap. Berat juga makin bertambah dari semasa ke semasa. Kalau dahulu Jannah hanya boleh makan dan minum menggunakan ryles tube disebabkan masalah jantung, kini dia sudah boleh makan dan minum menggunakan sudu atau shrink. Saya dan suami sangat bersyukur melihat perubahan tersebut.
“Ketika Jannah dilahirkan doktor ramalkan dia hanya mampu bertahan selama dua hari, kemudian dua minggu dan seterusnya dua bulan. Saya dan suami sebenarnya sentiasa bersedia dengan apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku kepada Jannah suatu hari nanti. Apa yang kami tahu adalah untuk memberikan rawatan yang terbaik untuk anak kami selebihnya kami serahkan pada yang Maha Esa.
“Menjaga anak seperti Jannah memang memerlukan lebih pemerhatian. Jannah tak boleh dibiarkan selesema atau batuk. Bimbang keadaan tersebut akan memburukkan lagi kesihatannya. Jadi saya akan sentiasa pastikan pengudaraan dalam keadaan baik selain memastikan kebersihan dalam rumah. Anak-anak saya yang lain juga memahami keadaan adik mereka yang tidak sihat. Mereka sangat memahami dengan keadaan kami jadi anak-anak yang lain tak banyak bagi masalah buat saya dan suami,” ujarnya lagi.
Setiap ibu bapa pasti mahukan anak-anak mereka sihat dan membesar dengan baik. Sity Warhana dan suami juga tidak terkecuali. Namun dengan ketentuan Ilahi, dugaan yang sedang dialami dihadapi dengan penuh keredaan. Tidak pernah putus harapan dan semangat dalam menghadapi hari-hari mendatang, setiap ujian yang menimpa dilihat dalam sudut positif oleh pasangan ini.
“Mempunyai anak seperti Jannah buat saya dan suami belajar banyak benda baharu. Sudah semestinya semua ibu dan ayah mahukan anak-anak yang sihat dan membesar dengan baik, tapi untuk Jannah kami sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Tapi kami tak pernah putus asa dan doa untuk kesihatan anak kami itu. hadirnya dia bukan setakat seorang puteri buat saya dan suami tetapi lebih kepada amanah Allah yang datangnya dari syurga,”akhirinya sayu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Menjadi impian dan besar harapan mak ayah apabila anak-anak menjadi seorang tahfiz, menghafaz 30 juzuk AlQuran. Kejayaan 3 adik beradik berjaya menghafal Alquran pada usia yang masih kecil, sebelum umur 5 tahun dan direkodkan sebagai Hafiz Termuda Dunia merupakan satu pencapaian yang luarbiasa.
1.Tabarak Kamil El Leboody
Anak pertama, lelaki, bernama Tabarak Kamil El Leboody, mula menghafal pada usia 3 tahun , berjaya melengkapkan hafalan 30 juz ketika usianya 4 tahun 6 bulan.
Tabarak diiktiraf sebagai hafiz termuda di Masjid Syu’aibi, Jeddah, Saudi Arabia, oleh Syeikh Dr. Abdullah Ali Bashfar, Ketua Umum Lembaga Kebangsaan untuk Tahfizhul Qur’anil Karim.
2.Yazid Tamammudin El Leboody
Anak kedua, lelaki, Yazid Tamammudin El Leboody, juga berjaya melengkapkan hafalan 30 juz ketika usianya 4 tahun 6 bulan dan berjaya memecahkan rekod dunia dengan pencapaian terbaik 95% .
Yazid Tamammudin El Leboody menyatakan bahawa beliau tidak pernah menonton rancangan kartun.
3.Zeenah El Leboody
Anak ketiga Zeenah El Leboody, anak perempuan juga berjaya melengkapkan hafalan 30 juz ketika usianya 5 tahun.
Mereka adalah 3 adik beradik dari pasangan suami isteri Dr. Kamil El Laboody dan Dr. Rasya Abdul Mun’in El-Gayyar, berasal dari Mesir dan ketiga -tiga adik beradik ini menyelesaikan proses hafalan dirumah mereka sendiri.
Dr. Kamil El Laboody dan isterinya adalah seorang pensyarah, yang ketika itu mengajar di Batterjee Medical College, Jeddah, Saudi Arabia.
Pada 29 Ramadhan 1437H, Dr. Kamil El Laboody berkongsikan program khas yang digunakannya sehingga anak -anaknya berjaya menyelesaikan hafalan 30 Juz sebelum umur 5 tahun.
Berikut tips yang dikongsikan sebagai panduan;
1. Ketika anak baru lahir dan umurnya 1 hari, perdengarkan Al Quran pada bayi setiap hari sebanyak 1 juz dan ulang sebanyak 5 kali.
2. Kemudian jika hari kedua, perdengarkan Al Quran juga dengan juz yang sama dan ulang sebanyak 5 kali.
3. Langkah ini berulang-ulang setiap hari selama 30 hari. Maka bayi telah mendengar 1 juz yang sama sebanyak 150kali dalam tempoh 1 bulan.
4. Setelah masuk bulan ke 2,barulah masuk juzuk ke 2. Ulangi langkah yang sama setiap hari, sebanyak 5 kali dan berjalan untuk tempoh sebulan (30hari).
5. Setelah masuk bulan ke 3, barulah masuk juzuk ke 3. Ulangi langkah yang sama setiap hari, sebanyak 5 kali sehari dan berjalan untuk tempoh sebulan (30hari).
5. Maka, tempoh yang diperlukan untuk menamatkan mendengar bacaan Al Quran sebanyak 30 juz ,diulang 150 kali adalah 30 bulan atau 2 tahun 6 bulan .
Secara ringkasnya begini :
Usia anak sehari-30hari : Juzuk : 1 Jumlah ulangan/hari : 5 Tempoh :30 hari Begitu juga seterusnya sehingga 30 juzuk.
6. Pilihlah bacaan dari para qari yang terkenal bacaannya fasih, seperti qari Syeikh Mahmud Khalil Al Hushari, Syeikh Shiddiq Al Minsyawi, atau para qari dari Saudi Arabia, seperti Syeikh Ali Al Hudzaifi atau Syeikh Muhammad Ayyub.
7. Selepas anak sudah tamat mendengarkan bacaan Al Quran 30 juz tadi pada umur 2 tahun 6 bulan ,maka mulakan ajarkan hafalan iaitu sehari separuh muka surat atau satu muka surat. Langkah hafalan ini diulang setiap hari sebanyak 5 kali.
8. Dengan kaedah seperti ini, tempoh yang diperlukan untuk anak menghafal Al Quran 30 juz adalah 1 tahun 6 bulan iaitu ketika usia anak 4 tahun jika istiqamah dan konsisten menghafal setiap hari.
9. Menurut Dr. Kamil El Laboody , mereka menyediakan 3 jenis hadiah untuk anak-anak mereka . Jenis hadiah itu meliputi jenis hadiah biasa, hadiah lebih menarik dan hadiah yang sangat menarik. Hadiah itu diletak di tempat yang tinggi dan dipamerkan pada anak-anak.
10. Berdoa kepada Allah Taala agar dimudahkan dalam membimbing anak kita dalam proses menghafal Al Quran 30 juzuk.
MW: Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat mak ayah dalam mendidik anak-anak cintakan Al Quran dan mudah menghafaz Al Quran sejak dari kecil.
Sesi persekolahan yang hampir tiba ke suku awal perlaksanaannya membawakan pelbagai pengalaman baru buat anak-anak. Ada yang sudah mula berdikari bangun pagi sendiri dan tidak kurang juga yang mula merungut, membuat pelbagai alasan untuk mengelak daripada ke sekolah.
Keletihan dan kepayahan yang dihadapi di sekolah terutama musim suku awal yang agak sibuk dengan pelbagai aktiviti terutama bagi anak-anak yang mula masuk ke tahap dua agak menyesakkan. Ikuti perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhammad, Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Bagaimana Nak Respons?
Dalam menghadapi situasi dan pengalaman baru ini, pelbagai reaksi yang pasti kita terima. Bagaimana untuk respons? Inilah perkara penting yang harus kita cakna. Hal ini kerana jika tersilap langkah mungkin akan meletakkan anak dalam “mood” yang tidak baik sepanjang proses penyesuaian.
Anak-anak yang masuk ke dalam fasa baru kehidupan mereka sedang berhadapan dengan pengalaman baru. Oleh yang demikian, kita harus cakna dengan fasa-fasa tersebut. Contohnya, anak-anak yang baru masuk ke sekolah, sama ada tadika, sekolah rendah atau sekolah menengah. Kemudian, perubahan tahap daripada tahap satu ke tahap dua persekolahan. Dan mungkin juga perubahan dari segi perlaksanaan kurikulum dan silibus.
Dengar Dan Analisa
Jika yang pertama tadi agak jelas, namun fasa-fasa yang lain mungkin tidak kelihatan begitu jelas jika kita tidak mendengar sendiri daripada mereka. Justeru, amat penting untuk kita mengambil masa untuk mendengar atau membuka perbualan tentang keadaan mereka dan persekitaran di sekolah.
Dari sini kita akan dapat tahu daripada kaca mata dan persepsi mereka apa yang sedang dihadapi di sekolah. Jadi bagi saya, pada awalnya rungutan yang dibawa balik ke rumah bukan sesuatu yang tidak baik malah dengan rungutan tersebut kita dapat mengetahui situasi yang sedang mereka hadapi dan seterusnya membawa anak berfikir dengan betul tentangnya.
Pertama sekali, yang amat penting untuk dijaga adalah penerimaan kita tentang apa sahaja cerita dibawa balik ke rumah. Contohnya, kerja sekolah banyak, cikgu garang, kawan ambil barang dan sebagainya. Bagaimana reaksi kita menerima perkara ini?
Untuk mengetahui dan memahami keadaan secara holistik, kita perlu bersikap tenang dan rasional.
Penjelasan
Di sinilah kunci kepada persepsi dan tindakan kita seterusnya. Proses tabayun iaitu mendapatkan penjelasan harus dilakukan. Tidak dapat dinafikan sebagai ibu bapa kita agak sensitif dengan segala perkara yang melibatkan anak kita. Di sinilah rasa kasihan belas harus dibimbing dengan akal rasional.
Kita harus bijak menentukan apa sebenarnya punca atau masalah utama yang sedang dihadapi oleh anak. Mungkin rungutan hanya untuk meluahkan perasaannya sahaja dan tidak lebih daripada itu atau dia hanya ingin berkongsi rasa dan mendapatkan nasihat apa yang harus dilakukan.
Dengan perasaan tenang yang ditunjukkan bukan sahaja meletakkan kita pada keadaan yang lebih bersedia namun anak juga mudah mengatur percakapannya. Jadi, cuba dengar dengan teliti apa yang anak cuba perkatakan kemudian analisa apa yang sebenarnya yang cuba disampaikan.
Bincang
Setelah yakin telah dapat tahu apa yang cuba disampaikan, ajak anak untuk berbincang dalam masa yang sama untuk mendapatkan pengesahan terhadap analisa yang dibuat di awalnya tadi.
Bercakap tentang perasaannya adalah sesuatu yang amat digemari anak. Bagi mereka, ini adalah satu penghargaan dimana ibu dan ayahnya amat menyanyangi dan ambil berat tentang dirinya. Jadi bukan sahaja kita dapat mengetahui dan mendalami isi hatinya, dalam masa yang sama, bounding time antara ibu-anak, ayah-anak atau ibu bapa – anak dapat dicapai.
Kemudian, setelah kata sepakat dapat diambil, barulah tindakan dapat dibuat. Jika sebagai contoh, rungutannya adalah tentang kerja sekolah yang banyak dan setelah diselidik dan berbincang, kita dapati anak ini dalam keadaan yang letih apatah lagi baru balik daripada sekolah. Maka tindakan pantas yang boleh kita lakukan adalah pujuk dia untuk bersihkan diri terlebih dahulu, sediakan makanan kesukaannya kemudian berikan kepastian untuk menemani dan membantunya menyiapkan kerja tersebut.
Kata-kata Semangat
Setelah nampak anak semakin reda, ibu boleh cuba berikan kata-kata semangat dengan memberikan sebuah visi yang jelas dalam kehidupannya tentang kenapa dia perlu menghadapi apa yang sedang dia hadapi sekarang, apa kebaikannya untuk kehidupan dunia dan akhiratnya serta bawakan contoh-contoh yang dia dapat lihat dan kaitkan dengan dirinya. Visi ini penting bagi memberikan semula persepsi yang jelas tentang kehidupannya.
Rungutan hanya akan berlaku jika seseorang berasa sesuatu yang sedang dihadapi tidak kena dengan persepsi yang ada dalam mindanya. Jadi perteguhkan persepsinya dengan persepsi yang benar. Insya-Allah jika dia dapat lihat kesungguhan kita membantunya dan persepsi mindanya juga jelas tentang apa yang sedang dihadapi, dia akan mula menerima dan rungutannya terhadap perkara tersebut akan berkurangan.
Justeru, pastikan kita bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi setiap fasa dalam kehidupan anak-anak. Patikan kita terus kekal menjadi tempat rujuk utama dalam menentukan konflik dalam kehidupannya. Dengan ini, insya-Allah kita dapat mengetahui dengan jelas hala tuju yang sedang dituju dan ada ruang untuk membawanya kembali kepada tujuan sebenar kehidupannya. Wallahualam..
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Dari sejuta untung ke RM10 juta, Richworks bantu usahawan bumi Borneo. Dengan strategi yang tepat dan ilmu yang dipelajari, penyertaan dalam dunia perniagaan sebenarnya...