tengok buaya

Buat anda yang nak tengok buaya dalam jarak dekat boleh serang tempat ini, bukan tengok binatang ini nganga mulut statik macam di zoo tetapi buaya dalam lumpur lagi!

Mendapat undangan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakt (KPWKM), untuk menyertai Kembara batang Lupar 2017 bersama 40 pengamal media dari Kuala Lumpur dan Kuching bagaikan memberi laluan untuk lebih mengenali Negeri Sarawak terutamanya kawasan yang ada di Parlimen Batang Lupar yang diterajui oleh YB Dato’ Sri Rohani Abdul Karim yang juga Menteri di KPWKM.

Tempat Tengok Buaya

Program tiga hari yang bermula pada 20 hingga 22 Oktober tahun lalu itu sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada para peserta wartawan, jurugambar, juruvideo untuk mengenali budaya setempat dan lokasi-lokasi menarik yang ada di sekitar Parlimen Batang Lupar. Lebih menarik lagi, sebagai peserta kami turut berpeluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti masyarakat setempat yang ada.

Ads

Salah satu tempat yang menarik perhatian saya adalah Taman Negara Maludam. Di sini saya dan beberapa orang peserta kembara berpeluang melihat sendiri buaya dari atas bot peninjau.

Lebih kurang jam 10 pagi, kami sampai di Sungai Maludam. Sudah sedia menunggu bot-bot peninjau dan juga petugas Taman Negara Maludam untuk kami memulakan kembara. Sebenarnya, terselit sedikit perasaan gementar untuk ke Taman Negara Maludam ini kerana kami sudah diberi pesanan oleh YB Dato’ Seri Rohani Abdul Karim untuk tidak meletakkan tangan di luar bot peninjau kelak kerana bimbang ada mata raja sungai yang memandang selain tidak bermulut celupar sepanjang perjalanan ke Taman Negara Maludam.

Ads

Ada Homestay

Ternyata perjalanan selama sejam dengan bot peninjau menjadi kenangan indah buat kami para perserta kembara. Menyelusuri Sungai Maludam bersaksikan pemandangan yang indah sepanjang perjalanan membuatkan kami terlupa sekejap dengan pesanan YB Dato’ Seri Rohani. Sejam perjalanan dirasakan hanya sebentar cuma, setelah berehat selama lima minit di pit stop di tengah-tengah Taman Negara Maludam, kami meneruskan perjalanan pulang ke jeti tempat kami bermula.

Mulanya hampa kerana tidak berpeluang untuk melihat sendiri buaya atau monyet belanda yang dikatakan dapat ditemui di Taman Negara Maludam ini, tapi akhirnya rezeki kami dapat juga melihat seekor buaya yang sederhana besar saiznya sedang berehat di celah-celah pepohon dan di sebalik lumpur di salah sebuah tebing. Hampir sahaja kami tidak nampak sosok tubuh buaya yang sudah diselimuti lumpur itu, tapi apabila diperhatikan dengan teliti dan ditunjuk oleh pengemudi bot kami, barulah kami dapat melihat dengan jelas buaya tersebut. Kami antara yang bernasib baik kerana hanya dua bot peserta kembara yang dapat melihat sang raja sungai itu.

Ads

Siap Ada Jamuan

Dua jam perjalanan pergi dan balik ke Taman Negara Maludam agak memenatkan, kami singgah di Rumah En Kifli Bin Le, salah seorang penduduk di situ yang turut menyediakan perkhidmatan Home Stay bagi pengunjung yang ingin merasai sendiri suasana hidup di perkampungan di Sarawak. Istimewanya di sini kami dihidangkan dengan jamuan ringan yang sangat menyelerakan. Cucur udang segar menjadi pilihan peserta kembara, bagaikan pisang panas goreng panas, sekelip mata sahaja hidangan tersebut habis dimakan.

Sememangnya ia satu pengalaman berharga untuk saya kenang. Bukan sahaja di Taman Negara Maludam, malah tempat-tempat lain yang saya dan peserta lain sempat kunjungi di Sarawak. Jadi kalau ada sesiapa yang rasa nak tengok sendiri buaya dari jarak dekat mungkin anda boleh ke sini sendiri nanti. Memang terbaiklah!

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI