Isi Kandungan
ToggleSemuanya ada berkait dengan hati. Apa yang hati bisikkan, itulah yang selalunya terpancar di wajah. Lalu tersalur ke minda kita. Lagi-lagi bila tengok kekurangan orang lain.
Mulalah kita berkata-kata dalam hati, luahkan di media sosial. Betapa tak sepatutnya begitu begini, padahal kita tak duduk dalam kasut orang itu. Dan kita tak tahu pun apa yang sedang orang itu alami.
Pesanan mak-mak yang disampaikan Puan Ashikin Hashim ini tersangatlah biasa jadi di kalangan kita-kita. Tanpa sengaja, ter’judge’ orang. Ternilai orang dari pandangan mata kasar kita sahaja.
Didik Diri Agar Tak Hakimi Orang Yang Baru Kita Jumpa
Jom lah kita didik diri untuk tidak hakimi orang yang baru kita jumpa.
Dia pakai baju tak gosok kita ingat dia memang jenis selebet.
Dia bagi anak dia jajan kita ingat setiap hari dia makan jajan.
Dia bagi anak dia phone masa di rumah terbuka, kita ingat anak dia dah ketagihan.
Dia pakai kereta nak tercabut kita ingat dia sengkek.
Sebelum ‘Judge’ Fahami Dulu Kisah Orang Lain
Kita tak tahu kisah orang. Kita tak tahu yang dia sedang dan pernah alami.
Dia pakai baju tak gosok baru hari ni. Rupanya anak dia berderet demam. Tak sempat gosok baju.
Dia bagi anak dia jajan baru hari tu sebab ada orang hulur, dia nak jaga hati. Ukhwah lagi penting. Balik nanti dia cakap balik dengan anak dia.
Dia bagi anak dia phone kat rumah terbuka kawan dia sebab semalam kat rumah terbuka kawan lagi satu anak dia dah terpecahkan pinggan. Plan bawa mainan tertinggal pula.
Dia pakai kereta nak tercabut sebab kawan dia nak pinjam kereta dia yang elok sebab kawan mak dia sakit kat kampung.
Mudah sangat pemikiran kira judge orang
Mudah sangat kita berkira-kira kita lebih tahu dari orang lain.
Mudah sangat kita kata cara dia salah.
Sumber/Foto : Ashikin Hashim, Ummi Yang Biasa
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Gara-gara Kesilapan Sendiri, Pasangan Muda Merayu Kes Cerai Talak 3 Di Mahkamah
Isi Kandungan
TogglePasangan suami isteri yang masih terlalu muda, dengan anak perempuan seorang mendatangi Peguam Syarie, Roslina Sabiyah. Si isteri menangis teresak-esak, suaminya pula dalam kebingungan. Mereka baru selesai kes pengesahan lafaz cerai talak 3 di hadapan hakim.
Selepas hakim putuskan keduanya sah bercerai talak 3 barulah masing-masing menyedari kesilapan. Dan berusaha untuk bersatu semula. Tegas Roslina, tidak semua kes cerai talak 3 boleh dirayu semula di mahkamah.
Rupanya ada kisah yang jadi pada suami isteri muda ini sehingga berlakunya lafaz talak 3 dari mulut suami muda ini di luar mahkamah.
Rayuan Kes Cerai Talak 3
Tak semua kes cerai talak 3 boleh dirayu semula di Mahkamah. Jika lafaznya soreh walaupun tiada niat tetap akan jatuh talak tu walaupun berapa jumlah talaknya sekalipun. Sebab tu jangan main-main dengan perkataan talak.
Namun setiap kes itu berbeza dan kena tengok situasi sebelum mahkamah boleh putuskan adakah cerai talak 3 itu jatuh talak 3, atau hanya jatuh talak 1 ataupun cerai tu tak jatuh langsung pun sebenarnya macam kes yang saya nak kongsikan ni..
Kami baru keluar dewan lepas habis kes ketika tiba-tiba ada pasangan suami isteri yang sangat muda menghampiri kami. Si isteri sambil menangis teresak-esak manakala si suami nampak kebingungan.
Rupanya, mereka baru selesai kes pengesahan lafaz cerai talak 3 dan hakim putuskan talak 3 tu sah. Mereka sedang mencari peguam untuk failkan rayuan kerana tak puashati dengan keputusan hakim. Memandangkan kes rayuan perlu difailkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan, mereka terus minta untuk datang ke pejabat bagi mendapatkan consultation.
Ini Sebab Berlakunya Lafaz Cerai Talak 3
Apa yang berlaku? Macamana suami boleh terlafaz cerai talak 3 tu? Si suami hanya tunduk. Si isteri yang bersungguh memulakan cerita.
“Saya yang salah Puan.. saya yang salah.” sambil air mata tak berhenti mengalir di pipi.
“Pada hari kejadian, seharian suami tak dapat dihubungi. Rupanya dia ada masalah di tempat kerja dan balik ke rumah untuk tenangkan diri. Saya geram sebab dia tak jawab call, saya masuk bilik dan terus hempas pintu hingga terkena kaki suami yang tengah solat. Bilik kami sempit dan saya tak perasan dia tengah solat belakang pintu.
Dia terduduk dan tak jadi teruskan solat. Saya tanya dia banyak kali tapi dia masih diam tak jawab. Dan saya mula naik hantu dengan baling semua benda yang tercapai kat tangan termasuklah kipas dan televisyen.
Saya dah macam kena rasuk sambil cakap, “ceraikan talak 3! ceraikan talak 3!” Berkali-kali.
Dengan keadaan bilik yang tunggang-langgang, dengan suara baby saya yang menangis, dengan saya yang menjerit.. akhirnya suami saya terikut cakap perkataan “ceraikan talak 3” sebab tak tau nak tenangkan saya macamana.
Lepas suami lafaz saya terus terdiam. Suami ambil baby yang sedang menangis bawak ke ruang tamu untuk tenangkan baby dan dia. Saya macam tak sedar apa yang berlaku. Semuanya berlaku terlalu pantas. Saya betul-betul menyesal”
Ketika Di Hadapan Hakim..
Q : Puan ada ceritakan semua perkara yang berlaku ni kat Hakim?
A : Tak ada.
Q : Kenapa tak cerita?
A : Hakim tak tanya.
Q : Puan ada niat nak rujuk semula?
A : Nak. Kami sama-sama menyesal dan memang nak rujuk semula.
Q : Tahu tak kalau talak 3 tak boleh rujuk?
A : Tahu. Tapi saya ingat Hakim akan jatuhkan 1 talak sahaja.
Q : Kenapa berani failkan kes sendiri tak pakai peguam? Talak 3 pulak tu.
A : Keluarga tak bagi pakai peguam. Katanya kes ni senang je.
Q : Yang berkahwin dan nak rujuk semula tu Puan ke keluarga Puan?
A : Sayaaa… **nangis lagi**
Isi Borang Online Hanya Tulis Nak Sahkan Cerai Talak 3
Banyak lagi yang saya bebel sebenarnya. Isi borang online hanya tulis nak sahkan cerai talak 3. Tak ada langsung fakta yang lain. Sendiri tak nak guna khidmat peguam lepas tu nak salahkan Hakim bila Hakim putuskan berdasarkan apa yang dia masukkan dalam pliding.
Dalam alasan penghakiman, Hakim ada tanya cuma pihak-pihak yang tak cerita detail. Sedangkan, fakta-fakta tentang perkara-perkara yang berlaku sebelum, semasa dan selepas talak dilafazkan itulah yang paling penting untuk diceritakan supaya mahkamah ambil kira.
Failkan Rayuan Untuk Kes Suami Isteri Muda..
Saya tanya si suami pulak.
Q : Apa lafaz yang encik lafazkan sebenarnya?
A : Saya ikut apa yang isteri cakap.. “ceraikan talak 3”
A : Kenapa kat dalam perintah mahkamah tulis, “Aku Ceraikan Kau Dengan Talak 3”?
Q : Haaa? Saya tak tau. Saya tak faham apa yang Hakim tanya sebab masa tu saya tengah bingung. Apa semua yang Hakim cadangkan saya pakai angguk je tak boleh nak fikir. Yang penting saya nak kes cepat selesai dan nak bersama isteri dan anak saya semula.
Q : ………….. **geleng kepala**
.
Saya ambil keputusan untuk failkan rayuan dalam kes ini sebab ada percanggahan fakta yang jelas dan ada banyak isu-isu yang patut diambilkira tapi tak dimasukkan dalam permohonan.
Walaupun pada awalnya di pihak keluarga isteri ramai yang bersuara sinis kata rayuan ni takkan berjaya dan menuduh peguam lawan hukum Allah dan buat kes semata nak duit.
Ye macam-macam tohmahan tapi kami professional dan telan je. Kami teruskan sebab itu memang tanggungjawab kami sebagai peguam yang mana orang awam tak mampu buat tugas tu semua. Kita hanya usaha selebihnya biarlah Mahkamah yang putuskan.
Kalau betul lafaz tu soreh dan cukup semua rukun talak, maka menangis air mata darah sekalipun hukum tetap hukum dan tak boleh nak tarik balik semula apa-apa yang dah terlepas. Tapi kalau betul ada rukun talak yang tak sempurna, ada keadaan tertentu di mana suami dalam keadaan gila, marah yang menghilangkan kewarasan, dipaksa, terdesak atau tertekan sehingga tidak sedar apa yang dilakukan.. maka hukum syarak tidaklah zalim.
Setiap inci keterangan, fakta, situasi, saksi, bukti bertulis atau tidak, iqrar mahupun qorinah akan sangat bernilai dan memberi kesan kepada kes. Itulah beza tugas peguam yang tak boleh diambil alih oleh orang awam.
Baca : Dicerai Suami Talak 3 Selepas 7 Tahun Berkahwin, Namun Ia Hari Paling Bahagia Buat Wanita Ini
Berbulan Berpisah Tak Dibenarkan Berjumpa
Setelah melalui beberapa episod duka akibat tindakan diri sendiri yang melulu dan mengikut perasaan, berbulan-bulan berpisah tak dibenarkan berjumpa selagi keputusan rayuan tidak diketahui.
Maka akhirnya mahkamah membenarkan rayuan kami dan memutuskan talak 3 tersebut tidak jatuh kerana ada rukun yang tidak lengkap dan mereka berdua masih sah sebagai suami isteri.
Alhamdulillah.. Semoga peluang “kedua” yang disambut dengan air mata gembira itu tidak disia-siakan dan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pasangan muda tersebut dan menjadi pengajaran kepada kita yang lain.
.
Nota :
- semua kes lafaz talak di luar mahkamah perlu disahkan di Mahkamah untuk menentukan berapa bilangan talak yang jatuh dan berapa baki talak yang tinggal.
- jika suami rujuk dalam tempoh iddah, hanya perlu daftar sahaja di pejabat agama KECUALI jika isteri tak setuju dengan rujuk tu, barulah bawa ke mahkamah syariah untuk disahkan rujuk tersebut.
- jangan pandai-pandai cerai sendiri rujuk sendiri.. kerana di sisi hukum syarak ia memberi kesan kepada status hubungan suami isteri, nasab keturunan anak2 dan hukum perwarisan.
Wallahua’lam.
#peguammenulis
#CelikSyariah
#darifailmahkamah
#siri1001kisah
Sumber/Foto : Roslina Sabiyah
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Entah Apa Amalannya..’ Isteri Meninggal Tenang Di Atas Riba Suami
Isi Kandungan
ToggleAlangkah indahnya kehidupan seorang isteri apabila mendapat redha suami dalam setiap apa yang dilakukan. Begitulah isteri ini, sehingga ke penghujung hayat, masih mendapat sentuhan kasih suami malah meninggal di atas riba suaminya.
Kisah yang dikongsikan Abdul Muiez Ruslee ini begitu menyentuh hati untuk dibaca. Ini cerita salah seorang pekerja dewan makan di tempatnya bekerja. Sungguh baik isteri ini, sehinggakan pemergiannya itu menjadi sebut-sebutan di kalangan rakan-rakan mereka.
Kehilangan Pekerja Dewan Makan Yang Baik
Dua hari lepas (ketika catatan ini dikongsikan awal Mei lalu), sekolah kami kehilangan pekerja dewan makan yang baik.
Saya tidak mengenali beliau dengan rapat. Tapi, sebaik sahaja berita pemergian beliau tular di semua grup termasuk grup COD, ramai yang memuji kebaikannya.
Semalam, rakan warden bercerita kepada kami.
Kisah sebelum pemergian wanita hebat ini.
Awal-awal pagi, badan beliau menggigil kesejukan. Kemudian, berpeluh pula. Sampai basah habis semuanya.
Suami beliau, mahu bawa ke hospital, tapi beliau enggan. Kerana nampak kondisinya semakin memburuk, si suami tetap menghubungi ambulan.
Baring Di Atas Riba Suami
Sementara menunggu ambulan sampai, wanita hebat ini sempat lagi berbual dengan suaminya.
“Bang. Boleh saya baring di riba abang?”
Sebaik sahaja dengar ayat itu daripada rakan yang bercerita, saya sudah mula sebak. Air mata sudah mula bergenang. Bergetar, menunggu masa untuk tumpah sahaja. Allahu akbar.
Kemudian, dengan suara sayu, suaminya mengangguk.
Sewaktu di ribaan suami, si isteri bertanya lagi. “Abang sayang saya?”
“Sayang.” Si suami menjawab.
Tatapan Terakhir Seorang Isteri
Kemudian si isteri menggenggam erat tangan si suami dengan penuh kasih sayang. Matanya memandang tepat ke wajah lelaki yang amat dicintai. Nampak bahagia.
Siapa sangka, rupa-rupanya itulah tatapan terakhir daripada si isteri, kerana tak lama selepas itu, beliau pergi buat selama-lamanya selepas menarik nafas terakhir yang dalam.
Allahu akbar. Kami yang mendengar cerita itu turut sama menangis.
Kisah cinta dan kasih sayang yang dibawa hingga ke mati.
Mudah sungguh beliau pergi.
Tanpa sakit, tanpa tanda, beliau pergi pada 10 Ramadan terakhir.
Pergi pula di pangkuan suami. Sudah pasti diiringi reda dan kasih sayang pemegang kunci syurga buat isteri.
Saat saya bercerita ini pun, dada masih terasa berat.
Entah apalah amalan beliau sehingga Allah mudahkan perjalanan akhirnya.
Semoga kita semua dikurniakan Husnul Khatimah seperti mana doa yang kita titip usai menunaikan solat fardu. Amin.
MW : Indahnya pengakhiran isteri ini. Al-Fatihah untuk Allahyarham, semoga ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Sumber/Foto : Abdul Muiez Ruslee
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
16 Tahun Bahagia Tanpa Campur Tangan Sesiapa, Pesanan Abah Ini Sebabnya
Isi Kandungan
ToggleAlangkah beruntungnya 16 tahun melayari bahagia rumah tangga tanpa campur tangan daripada sesiapa. Baik keluarga sendiri mahupun keluarga mentua. Dan pesanan abah inilah sebabnya.
Inilah yang dikongsikan Puan Marliya Ramli. Dan dalam tempoh itu bukanlah kerana berdasarkan nasib baik semata. Tetapi pesanan abah membentuk prinsip dirinya. Malah, inilah yang menjadi teras hidup bahagia, jauh dari derita kehidupan berumah tangga.
Dia diajar bukan semata taat walaupun jiwa raga malah fizikal sedang terseksa.
Kongsinya,
PESANAN ABAH
“Kalau tak bahagia jangan bertahan. Sentiasa ingat Kak Ya ada Mak Bapak. Abah tak hantar Kak Ya belajar sampai universiti untuk dibuli sesuka hati”
Hingga hari ini akak masih ingat pesanan Abah. Walaupun Abah dah tak ada, pesanan Abah akak tak penah lupa.
- Abah tak pesan, jika suami melayan dengan buruk, tunggu hadap suami taguna yang sama.
- Abah tak pesan, jika mentua buli kena telan sabar dan berdoa semata-mata.
- Abah tak pesan, jika ipar duai perangai serupa najis mugholazoh minta akak pasrah dan redha.
- Abah tak pernah ajar anak-anak gadisnya – diam bila sakit. Tak pernah!
Abah ajar – untuk bersuara, bersuara dan bersuara. Abah ajar, hidup jangan terbiasa menjadi mangsa. Abah ajar anak gadisnya bijak berniaga dan tahu bekerja.
Abah selalu cakap, dah kawen jangan tinggalkan kerjaya. Abah cakap sentiasa ada kekayaan sendiri. Abah selalu cakap, bila kita berharta – baik suami, mentua dan ipar duai tak berani nak buat benda-benda bodoh cam kisah dalam KRT. #apeni
Idealogi Abah yang akak bawa ke dalam rumahtangga. Ada perkara tak puas hati, berhari-hari bertekak dengan suami pun akak sanggup – janji settle isu berbangkit. Akak cuma bagi kata dua – take it or leave it. Akak tahu nilai diri akak. Jangan expect Akak nak hadap benda-benda yang menyakitkan hati selamanya.
Jika Tak Puas Hati Dengan Mentua Atau Ipar Duai
Ada perkara tak puas hati dengan mentua atau ipar duai? Maaf, akak tak reti diam. Akak akan cari jalan sampaikan dan tunjukkan apa yang akak tak puas hati. Akak akan pastikan jika akak sakit, mereka sakit sama. Akak mengamalkan konsep golden rule. Kau baik, aku baik. Kau serupa syaiton, kau akan lihat neraka dunia itu bagaimana. Adil bukan?
Ada benda menyakitkan hati dengan mentua dan ipar duai akak segera beritahu suami berdasarkan fakta. Akak bagi pilih, nak dia yang tegur atau akak yang bersuara? Sebab kalau akak yang bersuara, keluarga ini akan ingat sampai mati. Akak tak kisah lancarkan 4,000 peluru berpandu selagi tak puas hati.
Akak diajar bahawa – berbanding ada suami, mentua dan ipar duai versi neraka lebih baik akak jadi janda hot menyara anak-anak. After all, hidup adalah keputusan. Kita bukan lapar sangat nak hadap setakat suami, mentua dan ipar duai yang berkualiti Made In China.
Akak lahir dari Mak Abah yang tak benarkan anaknya dibuli. Bahasa mudahnya – jangan layan akak serupa takde mak bapak.
Akak ibarat Ratu di dalam sarang tebuan. Akak sangat fokus menjaga sarang. Akak tak akan kacau sesiapa yang tidak mengacau akak.
Ramai yang tengok bahagianya akak dan suami. Suami yang sentiasa setia, rajin bekerja, bertanggungjawab, romantik, berlemah lembut dan tunaikan nafkah setiap bulan.
16 Tahun Bahagia Rumah Tangga Tanpa Campur Tangan Sesiapa
Mertua dan ipar duai pun tak de nak buat benda-benda sebarangan. Tak de yang berani melebih-lebih di depan akak. Rumahtangga akak tak de campur tangan orang luar selama 16 tahun ini. Pendek kata, rumahtangga ini lengkap segalanya dengan anak sepasang. Nampak macam nasib baik bukan?
Bagi akak, ini bukan nasib baik. Ini adalah keputusan. Sebab akak bertegas sejak hari pertama perkahwinan. Ada yang tak kena? Selagi tak settle, akak tak akan diam. Biar susah sekali, jangan menderita berkali-kali.
Dan akak okay je setakat nak bertekak sampai sekampung dengar. Malu? Tolak tepi. Ini tentang kebahagiaan masa depan diri sendiri. Ramai pasangan mengelabah cicak takut nak bertekak konon nak jaga aib. Dok nyanyi aib, aib end up masalah membuku ibarat gunung berapi yang tunggu masa nak meletus. Pastu mengadu kat KRT. Ntah apa-apa.
Hidup ini singkat. Ramai wanita menderita sebab terlalu pasrah, redha dan menyerah cam drama petang-petang. Lembik serupa puding jagung. Semua benda nak mengalah. Terlalu nak jaga hati orang sekeliling hingga hati sendiri tidak bahagia. Apa guna?
Bila anda minta tips rumahtangga bahagia – akak tak ada tips. Akak hanya berpegang kepada PESANAN ABAH. Hidup berprinsip, bersuara, berdikari, punya harta sendiri dan sayangi diri. Selagi kita tidak berikan ruang untuk dibuli, kita tidak akan dibuli.
MW : Belajarlah untuk jadi isteri yang berani dan sayang diri sendiri.
Sumber/Foto : Marliya Ramli
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI