'Dari Sekolah Rendah, Setiap Tugasan Saya Ada Sentuhan Mak’ Selepas 30 Tahun Ibu Ini Kongsi Kejayaan Dengan Anak

Sejak dari sekolah rendah, ibu Rehan Sidik tak pernah gagal menjalankan tanggungjawabnya. Meletakkan dalam hati anak, bahawa guru pertama anak adalah ibunya. Kisah ibu Hajah Norma Abdullah ini dikongsikan sendiri oleh anaknya, Rehan yang kini turut mendidik 4 orang anaknya dengan cara yang sama, tegas penuh kasih sayang.

Bagaimana Saya Melihat Dunia Hari Ini

Adalah bagaimana ibu saya memperkenalkan dunia kepada saya 30 tahun yang lalu.

Corak saya berfikir, diasuh dengan begitu kreatif oleh ibu yang sangat kreatif.

Beliau guru pertama saya, menulis dan membaca. Pada usia saya 7 tahun, saya pernah memenangi pertandingan bercerita peringkat negeri Kelantan. Masya Allah, dengan segala ‘props’ dan persiapan pentas, beliau sendiri yang hasilkannya.

Siang malam, saya dilatih untuk membiasakan diri bercakap di khalayak. Pada usia 7 tahun saya mampu berbicara dengan petah, menyanyi dan menari, bermain alat muzik dan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran di pentas.

Anak.. Bila ibunya sangat gigih, anak juga akan turut serta. Mula-mula terpaksa, lama kelamaan, akan jadi terbiasa. Dari sekolah rendah, semua tugasan saya ada sentuhan dari mak. Begini dan begitu.

Mak nak hasil kerja saya sempurna. Kami akan buat sama-sama. Kadang-kadang saya mengeluh untuk ubah balik kerja, tapi mak cukup sabar.

Kita mahu hasilkan sesuatu yang terbaik, sabarlah”.

 

IKLAN

Masuk Sekolah Menengah, Cara Kerja Makin Teratur

Bila tiba masa saya ke sekolah menengah, saya dah dapat rentak bekerja cara beliau. Semuanya mesti sempurna dan dalam keadaan yang teratur. Mesti cantik dan smart. Dan apabila anak mula berdikari, itu lah masanya mak menunggu hasil-hasil yang lebih baik untuk dikongsi bersama.

Alhamdulillah.

Hari ini, saya amat menghargai dirinya, sebagai seorang ibu yang sentiasa memberikan doa dan sokongan, seorang sahabat yang sangat memahami, dan seorang pejuang yang tidak pernah luntur semangat juangnya. Kami ke Pesta Buku Bologna Italy bersama. Bergandingan sebagai rakan sekerja.”

Saya mengangkat beliau sebagai penulis.

Tulislah mak, tentang segala pengalaman, suka dan duka.. moga-moga setiap dari kami dapat mengambil segala iktibar dari kisah hidupnya yang penuh inspirasi.”

IKLAN

 

Tahun Kejayaan Rehan Sidik

Di sini, di Rome, Italy, kami berdiri. Bersaksikan bangunan Colosseum yang penuh sejarah. Ini juga sejarah buat kami penulis-penulis IDEAS & TINTA MUALIM. Apalagi kami berkesempatan mempromosikan pelbagai cerita yang berkonsepkan budaya Malaysia dengan penuh bangga.

Saya tidak pernah lupa, di mana saya bermula.

Pada tahun 2015, saya menyertai Program Pengkarya Guru di bawah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, seliaan Lynn Rahman.

IKLAN

Sokongan tanpa henti diberikan sehingga saya bersama 12 Pengkarya Guru yang lain berjaya menghasilkan buku ilustrasi kanak-kanak kami Kids Book by IDEAS yang pertama dan dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tahun 2016.

Seterusnya pada tahun 2017, saya menyiapkan 100 guru Kelantan yang juga mempunyai harapan yang tinggi untuk menjadi penulis, juga tercapai. Terhasillah 3 Antalogi Cerpen Tinta Mualim. Syukur. Berkat doa dari semua.

2018 adalah langkah saya untuk mengantarabangsakan penulis-penulis. Langkah ini bukan mudah. Dan semua pengalaman-pengalaman berurusan dengan pelbagai ragam manusia ini, membuka mata hati, akal dan iman saya agar terus kuat dengan segala ujian yang Allah berikan.

Terima kasih sahabat-sahabat yang sentiasa bersama.

Terima kasih Kak Lynn kerana terus memberikan kata-kata nasihat dari hati ke hati.

Rehan Sidik juga merupakan pengasas Tadika Permata Raudhah yang mempraktikkan Quranic Early Childhood Practitioner.

Sumber/Foto : Rehan Sidik

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI