Meskipun sudah empat bulan berlalu, Kilafairy masih lagi dalam fasa menjalani kehidupan tanpa kelibat mama tersayang, Allahyarhamah Rohana Jalil yang menghembuskan nafas terakhir pada 20 Jun lalu.
Kilafairy atau nama sebenarnya, Syakila Nisa Jaghir Khan, 31 ketika ditemui pihak media di majlis pelancaran koleksi A Decade of Wows & Veils dari pereka fesyen Shanell Harun hujung minggu lalu berkata hanya video lama nyanyian ibu tersayang menjadi pengubat rindunya di samping azimat untuk dirinya bangkit untuk meneruskan kehidupan serta mencontohi kehidupan mama tersayang.
“Meskipun beberapa bulan sudah berlalu, Kila masih rasa ‘kosong’. Ada ketikanya Kila mengukir senyuman, tapi Kila sendiri tidak boleh melepaskan kesedihan selepas pemergian mama.Tiada hari yang tidak dipenuhi rasa rindu,” ujar Kilafairy yang menjadikan kebaikan ibunya sebagai inspirasi untuk dirinya merubah diri menjadi lebih baik.
Ads
Menyarungkan busana milik arwah ibunya di majlis pelancaran koleksi A Decade of Wows & Veils dari pereka fesyen Shanell Harun hujung minggu lalu, busana rekaan Shanell Harun itu mempunyai nilai sentimental untuk dirinya apatah lagi pakaian tersebut merupakan antara busana kegemaran mama tersayang yang digayakan ketika membuat persembahan tahun lalu.
“Ramai di kalangan rakan-rakan mama yang meminta unruk mendapatkan manna-mana baju mama sebagai kenang-kenangan. Tidak dinafikan susah untuk saya gayakan baju arwah kerana masih ada bau dan kenangan bersama dia. Saya dan adik beradik sememangnya merancang untuk memberikan sedekah pakaian arwah, tetapi ia belum dapat dilaksanakan memandangkan kami adik-beradik perlu berbincang mengenai perkara tersebut,” ujar Kilafairy lagi.
Sarung Busana Mama Ke Majlis Pertunjukan Fesyen
Shanell Harun antara pereka fesyen yang rapat dengan Allahyarhamah Rohana Jalil
Menjawab pertanyaan pihak media mengenai barangan peribadi Allahyarhamah yang terdapat di kediaman, Kilafairy berkata di rumah masih banyak koleksi baju arwah. Malah, barang-barang mama pun tidak banyak yang diusik kerana terlalu sukar untuk dirinya mengubah apa yang sedia ada di kediaman keluarga tersebut.
Ads
Kilafairy Terharu Ramai Mendoakan Arwah Mama Tersayang
Menyingkap tentang kebaikan ibu tersayang, Kilafairy berkata dia merasa sungguh terharu terhadap kebaikan yang diterima oleh dirinya sekeluarga sebaik ibu tersayang meninggal dunia.
“Selepas mama meninggal dunia, banyak perkara yang berlaku. Bayangkan, beberapa hari selepas arwah pergi, ada insan yang menempah dan memasang batu nisan di kuburnya selain ada yang datang membersihkan kuburnya. Alhamdulillah, mama disayangi ramai. Mama sememangnya seorang yang baik dengan semua orang, tak kira siapa sahaja. Saya sendiri tak tahu boleh atau tidak menjadi seperti dia,” ujar Kilafairy mengakhiri perbualan.
Sekeluarga disahkan positif Covid-19, kesemua jalani kuaranti kendiri di rumah, hanya isteri sahaja kritikal hingga akhir hayatnya. “Saya perlu kuat demi anak, jika saya tumbang anak-anak ikut tumbang.”
Setelah Shuib kehilangan Siti Sarah Raissudin, seorang lagi selebriti iaitu Badrol Shah juga berdepan dengan ujian berat ini. Dia juga kehilangan isteri tersayang akibat virus Covid-19.
Menurut pelakon kerdil, Badrol Shah, memberitahu isterinya, Farah Sheila Mazlan, 37, telah kembali ke rahmatullah, pada petang selasa selepas lapan hari arwah isterinya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur akibat virus berkenaan.
Isteri Sudah Tiada
“Isteri saya, Farah Shila sudah tiada. Allah lebih sayang kamu. Masuklah kamu ke dalam syurga bersama anak kita,” tulisnya ringkas di Facebook.
Dalam pada itu, beberapa kenalannya serta rakan selebriti turut mengucapkan takziah kepadanya dan berharap dia tabah dalam menghadapi dugaan berkenaan.
Nafi Isteri Hamil
Walau bagaimanapun Badrol menafikan isterinya sedang hamil ketika meninggal dunia seperti yang telah tersebar di media sosial.
Menurut doktor, arwah isterinya telah dijangkiti vitus Covid-19 varian Delta pada 20 Julai lalu dan sejak itu isterinya ditempatkan di CAC Titiwangsa sebelum keadaanya menjadi lebih teruk sehingga terpaksa di bawa ke ICU HKL.
“Sekarang saya hanya tunggu panggilan doktor bila jenazah isteri akan dilepaskan dan dikebumikan sebab memang ramai pesakit Covid-19 meninggal dunia setiap hari. “Saya juga nak betulkan info yang tersebar di media sosial, isteri saya tidak mengandung ketika meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi.
Dijangkiti Ketika Keluar Rumah
Allahyarham isteri Badrol merupakan seorang guru agama di Sekolah Rendah Agama Lembah Keramat, Kuala Lumpur yang telah dijangkiti Covid-19 ketika berada di sekitar kawasan rumah mereka iaitu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak.
“Arwah isteri dijangkiti virus masa keluar rumah nak sampaikan wang khairat kematian kepada penduduk perumahan dan lepas itu kami satu keluarga disahkan positif.
“Saya dan anak-anak jalani kuarantin kendiri di rumah sehingga gelang dipotong pada 1 Ogos lalu.
“Cuma keadaan isteri sahaja yang kritikal sehingga akhirnya dia menghembuskan nafas terakhir,” ujarnya lagi.
Badrol berkahwin dengan allahyarham pada 2017 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Putri Da’aiyatul Insyirah yang kini berusia dua tahun. Sebelum itu, pasangan ini juga pernah kehilangan anak sulung mereka yang keguguran ketika kandungan isteri memasuki bulan kelima pada tahun 2018.
Tiga anak perempuan hasil perkahwinan pertama allahyarham kini turut dijaga Badrol iaitu Putri Farah Nordina Dania, 12, Putri Farah Nordian Zawana, 11, dan Putri Farah Norhaziqah, 7.
Kini Arwah Bersatu Dengan Anak Sulung
“Dalam perkongsian Facebook, saya titipkan kata-kata yang arwah isteri kini dapat kembali bersatu dengan anak sulung kami yang meninggal dunia selepas isteri keguguran pada tiga tahun lalu.
“Sekarang saya perlu kuat demi anak-anak, kalau saya tumbang, pasti anak-anak pun ikut tumbang.
“Sekarang tidak boleh berlakon, saya buat kerja sebagai pemandu Grab, dapat RM20 hingga RM30 sehari pun saya sudah bersyukur asalkan dapat beli susu untuk anak,” katanya.
Badrol sebelum ini pernah muncul dalam filem Busat Bonang, Senario Pemburu Emas Yamashita serta drama bersiri One Two Hantu.
Mingguan Wanita : Salam takziah buat Badrol sekeluarga, semoga mereka terus kuat menghadapi ujian berat ini. Al-Fatihah.
Wanita ini pernah jadi viral gara-gara aksinya memandu lori kontena dengan berbaju kurung. Masyarakat terperanjat kerana ada orang perempuan yang memilih kerjaya yang cukup sinonim dengan lelaki. Apatah lagi kerjaya sebagai pemandu lori dikaitkan dengan kerja yang lasak, tak glamor dan tak sesuai dengan keperibadian wanita yang lemah lembut
Selesa Berbaju Kurung
Menurut Rokiah bt Salim, 52, atau mesra dengan panggilan Ekka, dia tidak pernah menyangka akan menjadi viral dan dikenali satu Malaysia. Yang pasti, dia cukup berbangga dengan kerjayanya sebagai pemandu lori kontena di Syarikat HL Super Sdn Bhd di Seberang Prai, Pulau Pinang.
“Saya tiba-tiba saja terkenal kerana aksi saya yang membawa lori dengan berpakaian baju kurung tersebar. Masyarakat memandangnya sebagai sesuatu yang pelik. Tapi secara peribadi, saya tak rasa pelik pun bila memandu lori dengan berbaju kurung. Pakaian tak pernah mengganggu saya melakukan kerja. Malah saya bangga dan selesa mengenakan pakaian itu kerana ia pakaian tradisi kita. Di bahagian dalam saya tetap mengenakan seluar jeans untuk menjaga aurat.
” Walau bagaimana pun saya gembira kerana kisah saya sedikit sebanyak dapat membuka mata masyarakat terutamanya wanita supaya lebih yakin untuk menceburi bidang yang di luar kebiasaan. Banyak cabang kerja yang boleh kita lakukan, asalkan rajin dan sanggup sahut cabaran. Jangan takut pilih kerja yang tak glamor, asalkan mampu beri pulangan yang lumayan. Malah saya bangga kerana dengan kerja ini, saya berjaya membesarkan dan menanggung pengajian dua anak saya hingga memperoleh ijazah di dalam bidang biotech dan pendidikan,” ujar wanita gemarkan aktiviti lasak ini.
Sahut Cabaran Rakan
Mengimbau keterlibatannya di dalam kerjaya ini, Ekka sebelum itu bekerja di sebuah kilang sehinggalah dia ditawarkan VSS.
” Selepas berhenti kerja dan ditawarkan VSS pada tahun 2014, saya tercari-cari pekerjaan untuk menyara dua anak lelaki saya memandangkan saya ibu tunggal. Ketika itu pula saya aktif di dalam dunia permotoran dan menyertai sebuah kelab motosikal. Rakan-rakan bikers yang menyarankan saya mencuba kerjaya sebagai pemandu lori. Lantas saya sahut saranan mereka itu. Lagi pun, saya banyak mengembara ke luar negara dan wanita yang bekerja sebagai pemandu lori bukan perkara yang asing di sana. Jadi, apa salahnya jika saya cuba kerjaya itu.
” Terus terang, pada mulanya banyak syarikat yang menolak permohonan saya. Sehingga akhirnya syarikat tempat saya bekerja sekarang, HL Super Sdn Bhd, membuka peluang pada saya. Sejak itu saya bekerja memandu lori kontena untuk dihantar ke pelabuhan Prai. Saya hanya buat local trip sahaja dan tidak minat untuk membuat long distance. Tempat kerja saya juga hanya 15 minit daripada rumah yang terletak di Tasik Gelugor.
“Dua anak lelaki saya sangat menyokong keputusan saya tetapi ada ahli keluarga saya yang menentang. Mereka beranggapan kerja itu susah dan tidak sesuai untuk wanita. Namun kini mereka dapat terima. Saya sedar mereka melarang sebab mereka sayangkan saya. Alhamdulillah, saya berjaya buktikan pilihan saya tepat. Namun sebenarnya kerja ini taklah begitu susah bagi saya. Hanya duduk di dalam lori dan pandu. Bukan kena angkat barang berat. Tapi, sudah tentu perkara pertama adalah mendapatkan lesen GDL bersendi untuk melayakkan saya memandu lori kontena,” tambah Ekka lagi.
Pecah Tradisi Kerjaya
Ujar Ekka, dia seronok berada dalam bidang yang dimonopoli oleh lelaki. ” Seronok dan bangga kerana kita melakukan kerja yang orang lelaki selalu buat. Tak ada masalah bergaul dengan rakan-rakan sekerja kerana mereka suka menolong,” jelas Ekka yang ingin menjadi inspirasi kepada wanita-wanita di luar sana agar tidak memilih kerja.
“Bagi anak-anak gadis, jangan terlalu memilih kerja. Konon nak bekerja di dalam pejabat saja, sedangkan masih banyak peluang yang ada. Kerjaya sebagai pemandu lori mendatangkan pendapatan yang lumayan. Cuma, kalau nak gaji lebih, kenalah kerja lebih masa. Semuanya terpulang pada diri sendiri.
” Anggaran pendapatan yang boleh diperoleh antara RM3000-RM5000 sebulan. Waktu kerja juga fleksibel. Saya bekerja antara jam 8.30 pagi hingga selewatnya 10.30 malam. Purata antara tujuh ke lapan trip sehari. Kalau nak pergi bercuti ke luar negara, saya akan buat target. Saya akan kerja lebih panjang dan kemudian akan ambil cuti panjang selepas itu. Saya pernah bercuti hingga 12- 20 hari. Yang penting, kena cukupkan 150 trip sebulan.
“Untuk ibu tunggal, kita perlu bangkit. Tiada gunanya bersedih terlalu lama. Fikir anak-anak tersayang dan jangan harapkan bantuan orang saja. Diri sendiri yang perlu berusaha.Peluang dan ruang ada, terpulang pada diri masing-masing. Walau bagaimana pun, saya ingin nasihatkan ibu-ibu tunggal di luar sana, perpisahan adalah di antara kita dan bekas suami. Jangan libatkan anak-anak. Jangan jadikan bekas suami musuh anda kerana dia tetap ayah kepada anak-anak anda selamanya,” nasihat Ekka.
Minat Aktiviti Lasak
Wanita bertubuh kecil molek ini sememangnya berjiwa kental dan minat dengan aktiviti lasak seperti mendaki gunung, camping dan maraton. Sebelum ini, dia terlibat di dalam dunia permotoran namun setelah kehilangan motosikal CBR hilang pada tahun 2008, dia mula beralih ke aktiviti mendaki gunung.
” Saya seorang yang aktif dan lasak. Saya gemar mendakI, kebanyakan gunung di Malaysia ini sudah saya tawan. Selain itu, saya sanggup ke luar negara untuk mendaki. Antara puncak yang pernah saya jejaki ialah Anapurna Base Champ dan Everest Base Champ. Di Filipina saya pernah mendaki Mount Pulag dan lebih banyak mendaki gunung-gunung di Indonesia. MisalnyaGunung Rinjani, Gunung Selamet, Gunung Sibayak dan banyak lagi.
“Selain mendaki, saya juga gemar bercuti ke luar negara untuk menimba pengalaman di tempat orang. Paling jauh saya pernah ke Rusia. Hujung tahun ini pula, saya akan ke Mongolia bersama anak sulung untuk melawat tempat-tempat menarik di sana. Anak sulung saya itu juga berkongsi minat mendaki dengan saya manakala si bongsu sebaliknya,” ulasnya lagi.
Walau pun berkerjaya lasak, namun sebagai wanita, dia tetap menitik berat soal kecantikan dan penampilan diri. Buktinya, walau pun bekerja sebagai pemandu lori kontena, Ekka tetap mampu kelihatan cantik.
“Siapa kata kerjaya sebagai pemandu lori kontena tak membolehkan kita kelihatan cantik? Saya tetap menjaga kecantikan dan penampilan diri sebagai seorang wanita. Bahkan terus terang, saya sangat mengambil berat soal pemakanan. Mungkin ada wanita yang takut hendak ceburi kerjaya sebagai pemandu lori kerana takut tak boleh jaga kecantikan. Itu tak betul. Terpulang pada diri sendiri. Sekarang ini di tempat kerja saya sudah ada lima pemandu lori wanita dan saya tumpang bangga kerana kerjaya itu mula diterima masyarakat. Cuma kami tidak lagi dibenarkan memakai baju kurung ketika memandu lori,” akhirinya yang akan mendaki gunung sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Warga Emas Bina Rumah Terapung Guna Tong Plastik, Persediaan Banjir Musim Tengkujuh!Pelbagai persiapan awal boleh dilakukan sebagai persediaan untuk menghadapi banjir, musim tengkujuh yang diramalkan bermula pertengahan November ini.
Bina Rumah Terapung Guna Tong Plastik
Seorang warga emas di Kampung Tebak, di sini menggunakan kreativiti sendiri membina sebuah rumah terapung sebagai persiapan menghadapi banjir yang sering melanda kawasan tersebut setiap kali musim tengkujuh.
A Bakar Che Ahmad, 67, berkata, sebanyak 69 biji tong plastik digunakan sebagai pelampung bagi memastikan rumah yang mempunyai lima bilik tersebut terapung dan tidak ditenggelami air.
“Saban tahun, kawasan ini sentiasa banjir dengan kedalaman air melebihi empat meter, jadi saya ambil keputusan bina rumah terapung ini sebagai persediaan awal untuk sebarang kecemasan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Menurut A Bakar, kejayaannya membina sebuah reban ayam terapung bagi menyelamatkan 60 ekor ayam denak pada tahun 2018 dijadikan inspirasi untuk menyiapkan rumah baharu tersebut.
Kos Keseluruhan RM47,000
Bapa kepada tujuh anak itu berkata, rumah terapung berkenaan mula dibina pada Februari lalu dan siap sepenuhnya bulan lepas dengan kos keseluruhan berjumlah kira-kira RM47,000.
Walaupun tidak mempunyai kemahiran dalam bidang pertukangan, A Bakar tetap berusaha menyiapkan rumah itu sendiri mengikut rekaan seperti yang digambarkan.
Katanya, dua tiang besi turut diletakkan di kiri dan kanan bagi membolehkan ia diikat pada rumah supaya kediaman terbabit kukuh serta tidak dihanyutkan arus banjir.
“Saya tinggal di sini bersama isteri dan dua anak, rumah lama dibina dua tingkat memang sering dinaiki air jadi saya buat rumah ini di sebelah.
“Rumah terapung ini masih di peringkat percubaan sebab baru siap, saya harap ia dapat terapung dengan baik ketika banjir nanti,” katanya.
Mingguan Wanita:Tahniah buat warga emas ini atas persediaan dan persiapan dalam menghadapi musim tengkujuh dan banjir yang bakal tiba. Berusaha sehabis baik, bersedia dalam menghadapi musim banjir nanti walaupun menghabiskan kos puluhan ribu.
Selebriti wanita popular, Yana Samsudin rupanya bukanlah berasal dari keluarga senang. Mengimbau kembali perjalanan hidup dari zaman kecil yang penuh kepayahan, ibu kepada tiga...