Masalah kewangan merupakan faktor utama yang mendorong kepada kes-kes perceraian yang berlaku di negara ini. Kebanyakan kes perceraian didorong oleh pelbagai masalah kewangan termasuk melibatkan pemberian nafkah, kehilangan pekerjaan dan pendapatan yang kecil sehingga tidak dapat menampung keperluan isi rumah.
Masalah Kewangan Punca Pasangan Bercerai
Masalah kewangan dalam kehidupan berumah tangga menjadi antara punca utama perceraian berlaku. Berdasarkan undian di laman sosial X Sinar Harian dalam tempoh 24 jam bermula jam 1 petang Jumaat, mendapati 50 peratus daripada 319 yang mengundi bersetuju bahawa masalah kewangan menjadi punca utama perceraian.
Penganalisis ekonomi dan muamalat di Universiti Sains Islam, Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata tekanan masalah kewangan antara penyebab utama perceraian.
“Gaji sekadar cukup makan juga menyebabkan pasangan bergaduh kerana tidak mampu menyara kehidupan seharian.
“Mereka perlu bekerjasama dan bertoleransi dengan cara berkomunikasi bagi mencapai persefahaman dalam mengatasi masalah kewangan.
“Sememangnya sukar merealisasikan impian hidup berkeluarga tanpa menghadapi krisis kewangan. Namun, mereka perlu bersabar dan tidak cepat melatah dengan apa jua cabaran akan datang.”
Beliau mencadangkan kursus pra-perkahwinan ditambah baik, antaranya membantu peserta merancang perbelanjaan sejajar pendapatan mereka, menggalakkan simpanan wang selepas majlis perkahwinan dan penerangan mengenai perancangan serta pengurusan kewangan.
Kos sara hidup tinggi menjadi antara penyumbang kepada jumlah perceraian di Selangor
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, peningkatan pendapatan yang tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup ini mendatangkan pelbagai implikasi buruk kepada psikologi mahupun sosial.
Sibuk Cari Rezeki Sampai Tak Ada Masa Dengan Famili
“Apabila pendapatan isi rumah tidak dapat menampung perbelanjaan maka rakyat perlu keluar mencari pekerjaan sambilan atau tambahan bagi menampung keperluan perbelanjaan yang tidak mencukupi.
“Disebabkan kesibukan masa bekerja, masa berkualiti bersama anak-anak berkurangan terutama bagi mereka yang telah pun berumah tangga dan akhirnya akan memberi kesan kepada institusi kekeluargaan dengan berlakunya perceraian.”
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mu’izzudden Mahyuddin (PN – Hulu Bernam) mengenai faktor mendorong Selangor mencatatkan jumlah penceraian tertinggi berbanding negeri-negeri lain pada tahun lalu.
Tambah beliau, peningkatan jumlah cerai juga adalah disebabkan akses kepada perkhidmatan peguam syarie sama ada disediakan oleh agensi-agensi kerajaan atau swasta.
“Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) mencadangkan supaya kajian menyeluruh dilakukan oleh pakar penyelidik dari mana-mana institusi atau agensi supaya hasil kajian tersebut boleh diguna pakai untuk membuat dasar atau program bagi mengurangkan kadar perceraian di Selangor,” katanya.
Komunikasi diantara suami isteri sangatlah penting dalam hubungan perkahwinan. Tak kiralah apa juga topik, penting atau remeh rajin-rajinlah ringankan mulut berborak dengan pasangan. Isteri akan lebih gembira bila suami saling berkongsi cerita dengannya. Ia membuatkan isteri rasa lebih dihargai, dipercayai dan disayangi berbanding orang lain.
Perkongsian daripada Dr Mahyuddin Mohamed ini boleh dijadikan panduan pasangan suami isteri;
Teman 80:20
Malam ni saya berborak dengan isteri. Berkongsi cerita & mengenang kisah lama.
Ada suami yang tidak suka berborak dengan isteri. Lebih suka berkongsi dengan kawan. Dengan isteri, semuanya RAHSIA.
Pada saya itu adalah kesilapan yang besar. Jika kita ada masalah, berkongsilah dengan isteri. Wanita ni lain fikiran dia. Dia pasti ada sisi pandang yang berbeza. Ada masanya isteri kita nampak penyelesaian yang kita tak nampak.
Jadi Pendengar Yang Baik
Buat para isteri pula, jadilah pendengar yang baik. Elakkan daripada menyampuk atau membebel pula. Hargai suami anda yang berkongsi kisah atau masalah beliau.
Paling tidak pun, berkongsi dengan isteri ni therapeutics. Lega bila dah luah perasaan. Percaya cakap saya. Isteri gembira bila anda berkongsi dengannya. Beliau rasa dihargai, dipercayai & disayangi.
80:20
Saya ingat pesanan Prof. Muhaya, suami ni dia berkehendakkan 80 peratus hormat daripada isteri & baki 20 peratus lagi ialah kasih sayang. Isteri pula sebaliknya. Isteri perlu 80 peratus belaian kasih sayang. Jadi suami perlu zahirkan dengan ucapan & belaian.
Hubungan suami isteri yang berkasih sayang akan melahirkan suasana rumahtangga bahagia yang kondusif untuk pembesaran anak-anak yang sihat emosi & berakhlak mulia.
Pesan saya, berkongsilah dengan suami dan isteri anda jika anda ada sebarang masalah. Itulah perkahwinan. Jika anda hadapi sendiri kelak memakan diri sendiri nanti.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Pesanan buat para suami, rajin-rajinlah berborak dan berkongsi cerita dengan isteri.Memang ada benarnya, ia mampu buat isteri bertambah bahagia dan lebih gembira.
Mendidik anak-anak zaman sekarang penuh dengan cabaran. Selain persekitaran sosial yang boleh mempengaruhi anak-anak, pendedahan penggunaan gajet seperti handphone, tablet dan sebagainya juga perlu dipantau dan dikawal rapi.
Cukup membimbangkan apabila kanak-kanak seawal usia 12 tahun sudah pandai berzina dan melakukan hubungan intim pada usia yang cukup muda. Perkara ini didedahkan oleh Dr Asmi Syabil, pengalaman yang beliau ketika mengendalikan salah satu kes di One Stop Crisis Centre (OSCC).
One Stop Crisis Centre (OSCC) adalah salah satu perkhidmatan 24 jam yang terdapat di semua Hospital Kerajaan seluruh Malaysia melibatkan kes-kes antaranya seperti :
-Keganasan rumah tangga
-Penderaan fizikal atau emosi
-Mangsa rogol,liwat atau cabul
-Gangguan seksual atau mangsa pornografi
-Mangsa eksploitasi
Berikut perkongsian daripada Dr Asmi Syabilsebagai peringatan dan pengajaran buat mak ayah;
“Sedang santai bersarapan bersama keluarga di warung tepi jalan hujung minggu yang lalu,saya terpandang sebuah keluarga dihadapan kami,sepasang suami isteri dan tiga orang kanak-kanak dalam lingkungan umur 5-12 tahun”
“Sambil menunggu makanan sampai,pandangan setiap seorang dari mereka hanya tertancap pada telefon bimbit masing-masing.Ya,setiap seorang dari mereka termasuk anak yang kecil sudah mempunyai telefon bimbit masing-masing”.
“Pada mulanya saya tidak perasan,tetapi hanya selepas melihatkan anak perempuan saya berusia 5 tahun khusyuk menoleh ke belakang baru saya sedar yang dia ingin turut menonton paparan animasi yang terpapar pada salah satu skrin telefon bimbit milik keluarga tersebut.Lantas saya tegur anak saya secara lembut dan dia faham”.
“Mungkin bagi sesetengah ibu-bapa,itu adalah perkara biasa dan cara paling mudah agar anak-anak tidak membuat perangai di tempat umum”.
Saya berbeza pandangan berkenaan hal ini kerana kesan negatif jangkamasa panjang yang amat teruk. Saya pernah menulis antara kesan-kesan negatif pendedahan berlebihan kepada gadget (termasuk HP,PC,Playstation,Xbox dan sebagainya) terhadapap perkembangan anak-anak pada posting saya sebelum ini,boleh dibaca pada pautan ini:
Cuma pada kali ini saya nukilkan kesan yang lebih dahsyat daripada itu,dan ini merupakan antara kes-kes sebenar pesakit OSCC yang saya olah untuk pengajaran kita bersama.
Usia 12 Tahun Lakukan Hubungan Seks
Seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun dibawa masuk ke bilik khas di mana saya dan jururawat bertugas berada.Kanak-kanak tersebut diiringi oleh ibunya dan juga pegawai polis.
Saya baca sekilas laporan polis yang terdapat pada fail di hadapan saya.Ibu kanak-kanak tersebut telah membuat laporan polis mengatakan anaknya telah melakukan hubungan seks dengan rakannya,seorang budak lelaki berumur 13 tahun yang baru dikenali.
Perkara tersebut hanya diketahui oleh ibunya selepas rakan anaknya mengadu kepadanya lantas dia terus membuat laporan polis.
Dr : Adik kenal budak lelaki tu dah barapa lama?
P : Baru je dalam sebulan,dia kawan kepada kawan saya.
Dr : Adik selalu ke berhubung dengan dia?
P : Selalu mesej,hujung minggu jumpa dekat taman mainan
Dr : Selalunya awak mesej apa dengan dia?
P : Mesej biasa-biasa je.
Dr : Dia ada hantar apa-apa yang pelik kepada awak?
P : Ada,dia hantar gambar kemaluan dia.
Dr : Lepas tu ?
P : Lepas tu dia minta saya hantar gambar dada saya.
Dr : Dan awak hantar ?
P : (dia mengangguk)
Ibunya menggeleng kepala dan saya lihat wajahnya amat muram dan sayu.Anak yang ditatang bagai minyak yang penuh tiba-tiba ibarat menconteng arang ke muka sendiri.
Rumusan Hubungan Seksual Dikalangan Kanak-Kanak
Daripada kes-kes yang saya kendalikan,ini antara yang dapat saya rumuskan melibatkan hubungan seksual dikalangan kanak-kanak :
1.Kebanyakan kes melibatkan pelbagai faktor seperti latarbelakang keluarga,taraf hidup dan pendidikan,suasana sekeliling,pengaruh rakan sebaya dan banyak lagi.
2.Majoriti kes melibatkan kanak-kanak dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah.(Tapi mampu membeli telefon bimbit untuk anak-anak)
3.Mangsa kebanyakannya mempunyai latar-belakang keluarga yang porak-peranda :ibu dan ayah bercerai,ayah penagih dadah,ditinggalkan kepada keluarga lain semenjak kecil,pernah dicabul penjaga dan sebagainya.
4.Boleh dikatakan hampir kesemua kes mempunyai satu PERSAMAAN,iaitu medium perhubungan utama antara pelaku dan mangsa adalah menggunakan aplikasi media sosial seperti Whatsapp, WeChat, Facebook, Instagram dan sebagainya.
5.Ini diterukkan lagi dengan penggunaan telefon bimbit yang tidak terkawal,apatah lagi seawal usia 6-7 tahun sudah diberikan gajet.
6.Tambahan pula dengan kebanjiran applikasi seperti TikTok,Bigo dan sebagainya menggalakkan lagi kanak-kanak dan juga remaja mempamerkan aksi lucah dalam talian.(Terlampau banyak dapat kita lihat pada hari ini kaum wanita di setiap peringkat umur tanpa perasaan malu malah berlumba-lumba untuk melakukan aksi-aksi ghairah dan lucah)
7.Kebanyakan anak-anak ini sudah pernah menonton video lucah seawal usia 7 tahun. Ada yang tertonton di telefon bimbit ayahnya sendiri.
8.Sesetengah dari mereka akan cuba untuk melakukan aksi lucah yang pernah ditonton tanpa mengetahui apa sebenarnya yang dilakukan. Ya,ada antara mereka yang langsung tidak faham apa yang mereka sendiri lakukan!
9.Bermula dengan berkongsi gambar payudara dan kemaluan masing-masing di applikasi sosial,kemudian berjumpa sekali-sekala dan akhirnya terjebak dengan zina.
10.Kebanyakan anak-anak ini akan berisiko untuk ketagihan seks.Saya pernah berjumpa kes seorang budak perempuan 16 tahun melakukan hubungan seks dengan 10 orang sekaligus. Dan apabila diselidiki, rupa-rupanya sudah berkali-kali bertukar pasangan,sekejap 6 orang,sekejap 8 orang sedari usia awal belasan tahun,dan akhirnya dapat ditangkap oleh ayahnya sendiri.
Dipengaruhi Pelbagai Faktor
Saya tidak katakan penggunaan gajet adalah penyebab utama kearah kejadian seperti ini kerana ia dipengaruhi pelbagai faktor.
Tetapi penggunaan gajet pada usia yang amat muda dalam keadaan kita tidak mampu mengawal seluruh konten internet dan dengan siapa anak kita berhubung sebenarnya amat berbahaya.
Setakat ini tiada lagi kes-kes kematian kanak-kanak di hospital disebabkan tidak diberikan gajet.Biarlah kita tegas dalam mendisiplinkan anak sedari kecil daripada kita menyesal dikemudian hari.
Saya akan huraikan lebih panjang berkenaan OSCC pada posting akan datang,Insya’Allah.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan memberi peringatan buat mak ayah dalam mendidik dan memantau tingkahlaku anak-anak. Semoga anak-anak kita dijauhkan daripada segala masalah sosial, yang cukup membimbangkan ini.
Beruntung sungguh bakal menantu sekiranya ada mentua yang mendidik anak-anaknya baik lelaki mahupun perempuan, untuk mahir buat kerja rumah.
Nak-nak kerja-kerja dapur yang remeh tetapi amat penting dalam memastikan rumah siap berkemas dan tersusun. Bayangkan kalau kerja dapur itu boleh dibuat sama-sama dengan anak-anak, ibu dan ayah. Tentu segalanya jadi ringan.
Inilah yang dititikberatkan oleh Suzy Sharif dalam mendidik anak-anak lelaki dan perempuan mahir buat kerja di dalam rumah. Semoga boleh dijadikan inspirasi untuk mak-mak yang lainnya.
Yang mungkin, masih berkira-kira untuk mengajar atau mendedahkan anak lelaki dengan kerja dapur.
Tak Ingat Bila Mula Ajar Anak-anak Buat Kerja Rumah
Anak saya ada tiga orang.
Yang sulung perempuan, yang tengah dan bongsu lelaki.
Saya tak ingat di usia bila saya sudah mula ajar mereka buat kerja rumah.
Tapi apa yang pasti, walaupun saya seorang surirumah saya tak biarkan diri saya buat semua kerja rumah seorang diri.
Saya akan suruh dan tunjuk.
Saya akan naik hantu apabila nampak pinggan mangkuk penuh dalam sink.
Saya akan rasa nak baling semua pinggan mangkuk dalam drainer jika ia tidak disusun di rak pinggan.
Saya akan melaung minta sampah dalam tong sampah dibuang sebelum berulat.
Anak-anak saya boleh buat apa yang mereka suka di rumah dengan syarat semua house chores mereka dah beres.
Kakak basuh pinggan.
Abil tangkup pinggan.
Saddiq buang sampah.
Tak banyak pun kan?
Kain baju masing-masing pun diri sendirilah yang bereskan.
Bukan nak kena angkut air dekat perigi atau kena sental baju kat tebing sungai.
Masukkan je dalam mesin basuh, isi sabun, tekan suis ‘start’ and thats it.
Masak nasi pun sama.
Tak kiralah anak perempuan atau anak lelaki, semua mesti kena pandai masak nasi.
Setakat nak masak nasi putih apalah yang susah sangat?
Again, bukan nak kena banting padi lepas tu nak kena cari kayu hidupkan api.
Basuh beras, bubuh air ikut sukatan.
Masukkan dalam rice cooker, tekan ‘cook’.
Anak orang lain siap pandai masak lauk.
Mungkin ada yang beranggapan saya ini emak jenis apalah?
Semua nak suruh anak buat.
Dahlah dia tu duduk rumah.
Persediaan Hidup Anak-anak
Duduk rumah bukan bermakna kena jadi hamba.
Ini persediaan hidup untuk anak-anak saya juga.
Terutamanya anak-anak lelaki saya.
Mereka tak selamanya akan hidup sebumbung dengan saya, sampai masa mereka harus menjalani hidup sendiri.
Mereka akan beristeri dan mempunyai keluarga juga.
Saya tak mahulah nanti tengok menantu saya macam nak mati buat kerja rumah seorang diri sambil perlu layan suami dan anak-anak tak berhenti-henti.
Anak-anak lelaki saya tahunya duduk sahaja di meja makan sambil melaung kat isteri nak itu nak ini.
Abil, Saddiq kalau tak mampu nak tolong isteri awak nanti harapnya mampulah nak sediakan orang gaji.
Abah pun goreng keropok sendiri tau, tiber.
Apa pun yang saya kongsikan di sini hanyalah pendapat dan cara saya mendidik anak-anak saya.
Mereka memang far from perfect tetapi sekurang-kurangnya mereka tahu basic house chores yang mereka perlu buat.
Tak adalah nanti mereka hidup dan semua benda nak kena disuakan ke mulut mereka.
Dan saya tahu cara didikan ini melalui contoh-contoh baik yang saya perhati dan amati juga.
MIngguan Wanita : Baguskan jika mak-mak mula melatih anak-anak mahir kerja dapur sejak dari kecil lagi. Sebenarnya mudahkan urusan ibu itu sendiri kelak.
Isu abang bas 'crush' murid sekolah rendah, sebagai ibu Diana Danielle puas hati dengan tindakan polis. Hari ini heboh mengenai pemandu bas yang memuatnaik...