Rumah tangga penuh dengan onak duri, bukan sedikit ujian yang datang. Tak kira di pihak suami atau isteri. Andai tersilap langkah dan kalah dengan godaan, pastinya perpisahan jadi penamat cerita.

Begitulah yang terjadi kepada seorang suami yang menyesal apabila ditinggal isteri dan anak-anak kerana silapnya sendiri yang sibuk mengejar cinta wanita muda lain. Ikuti pengakuannya yang dikongsikan di dalam majalah Mingguan Wanita, di ruangan Pengakuan Duda.

Ingin Keluarga Besar

Kata orang, lelaki kalau tak tertarik langsung dengan wanita cantik, memang tak normal jawabnya. Itu perumpamaan yang amat tepat untuk menggambarkan diri Mus, lelaki berusia pertengahan 30-an. Telah mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan hati dan dikurniakan enam orang cahaya mata yang berusia 2, 5, 9, 11, 13 dan 14 tahun.

Lahir dalam keluarga besar, seramai 11 orang adik-beradik, membuatkan Mus juga bercita-cita memiliki keluarga yang besar juga. Malah dia bangga bila rakan-rakan tahu yang dia memiliki enam orang anak, lebih-lebih lagi jarang pada zaman sekarang orang beranak ramai.

Isterinya, Nadia, dahulu bekerja dalam dunia perbankan namun berhenti kerja setelah melahirkan anak tiga. Itu pun atas permintaan Mus yang ingin Nadia menumpukan sepenuh perhatian pada keluarga memandangkan dirinya sangat sibuk kerana memiliki beberapa perniagaan.

Rezeki Murah

Tak dinafikan, rezeki Mus cukup murah. Mungkin kerana dia sendiri seorang yang gemar bersedekah terutama ibu bapa, keluarga mahu pun rakan-rakan. Pantang orang minta bantuan, pasti akan dihulurnya tanpa was-was walau pun sering kali hutang itu tak dilunasi.

IKLAN

Dalam usia pertengahan 30-an, hidup Mus seperti sudah sempurna. Ada keluarga bahagia dan perniagaan yang boleh dikatakan maju. Setiap tahun staf terpilih turut diberikan ganjaran menunaikan umrah dan dia disenangi oleh pekerja-pekerjanya.

Di rumah, dia seorang ayah dan suami yang penyayang. Rumah yang disediakan untuk keluarganya cukup selesa dan setiap tahun sekurangnya sekali mereka akan bercuti di luar negara bila cuti sekolah.

Lelaki Ini Menyesal Tak Sudah, Ditinggal Isteri Gara-gara Sibuk Kejar Cinta Gadis Muda

Godaan

Sebagai lelaki, Mus juga agak ‘nakal’ bila di luar rumah. Ada awek sana sini namun tidak pernah ambil serius. Sekadar nak menunjuk di depan teman-teman ‘sahamnya’ masih tinggi walau sudah ada anak enam. Mus sedar perempuan-perempuan itu hanya mengejar wangnya saja.

IKLAN

Namun, perkenalan dengan Ika, telah merubah segala-galanya. Ika bekerja di syarikat salah seorang rakan niaganya. Gadis itu masih muda, berusia 23 tahun, cantik dan seksi orangnya. Pada mulanya Mus hanya mengajak dia keluar minum. Tak sangka diterima baik dan sejak itu mereka sering keluar bersama.

Ika gadis yang manja dan pandai mengambil hati Mus, sehinggakah Mus terbuai-buai oleh perasaan. Baginya Ika berbeza dengan gadis lain kerana tak pernah minta itu dan ini. Jika diberi, barulah diterima.

Lama-kelamaan, Mus sudah jatuh sayang sepenuhnya pada gadis itu dan mereka telah terlanjur. Mus tekad untuk mengahwininya. Mus yakin Nadia dapat memberikan kebenaran untuk dia berkahwin lagi memandangkan selama ini Nadia sangat patuh padanya. Lagi pun, dia berjanji tidak akan melupakan Nadia dan anak-anaknya.

IKLAN

Tak Sangka

Mus tidak pernah sangka, Nadia yang selama ini lemah lembut orangnya boleh berubah sekelip mata. Nadia tidak dapat menerima kenyataan dirinya bakal dimadukan. Dia memberikan kata dua sama ada Mus lupakan hasrat untuk mengahwini Ika atau lepaskan dirinya.

Mus menganggap Nadia hanya mengugutnya saja dan tidak berani untuk bertindak jauh tapi ternyata segala-galanya meleset. Bila Mus bertegas untuk mengahwini Ika, Nadia keluar rumah bersama anak-anak.

Mus umpama terkejut daripada mimpi. Dia tak rela kehilangan Nadia dan anak-anaknya. Dia cuba memujuk Nadia namun ternyata hati Nadia sekeras batu, tidak mampu dicairkan lagi. Mus terpaksa lepaskan Nadia dengan hati yang berat.

Nasib Mus tambah malang apabila selepas perceraiannya, diketahui bahawa Ika sekadar ingin mempermainkannya saja dan tidak ingin mengahwininya. Itu membuatkan Mus semakin rasa bersalah terhadap Nadia dan anak-anak. Namun nasi sudah menjadi bubur…

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI