Satu pinjaman yang paling bernilai dariNYA, bila ada ibu yang masih setia mendengar luahan anak-anak, kadang tunaikan keinginan anak-anak nak makan apa dan mungkin ada ibu yang sanggup gadaikan sesuatu sebab nak tolong anak-anaknya.
Betapa besarnya pengorbanan seorang ibu dan bertuah lah jika kalian masih mempunyai RATU KELUARGA sampai hari ini, tempat menumpang kasih walau masing-masing sudah berumah tangga.
Namun, ada anak-anak yang terlalu sibuk uruskan hal dunia sampai lupa bertanyakan khabar ibu. Allahu… berubahlah nak, pulanglah jenguk ibu jika dia masih ada.
Atau mungkin kita lupa dan tak pernah tahu kasihnya ibu sampai tak sanggup nak ganggu kesibukan anak-anaknya walau hatinya sarat dengan rindu.
Ads
Nah, jemput selami hati seorang ibu dengan bait tulisan indah daripada seorang ibu, Hajjah Rohana Saad dalam perkongsiannya tentang pengorbanan kaum ibu.
Inilah Pengorbanan Seorang Ibu
SYURGA KECIL YANG KAU MILIKI ADALAH SENYUMAN IBU MU
Saat kita berganjak dewasa, saat itu juga ibu semakin tua. Kedut diwajahnya menjadi saksi hidup kita. Sudahkah kita membuat dia bahagia?. Masa bersama ibu tidak lama, masa berlalu begitu pantas. Sekejab saja ibu telah tua. Andai kita terlalu sibuk, tidak luangkan masa bimbang kita tak sempat ‘rapat’ dengan ibu sebelum ‘nafas terakhirnya’.
Ads
Kita tak pernah nampak pun lebam mata ibu bersengkang mata tak tidur malam menjaga kita. Kita tak tahu pun mereka pernah ikat perut tak cukup makan. Kita tak pernah ambil kisah pun mereka jenuh berlari nak setlekan hutang demi membesarkan anak-anaknya.
Jangan biarkan masa berlalu tanpa berbakti padanya. Takut nanti tidak sempat Allah menjemputnya di tengah kelalaian kita. Kita sibuk mencari syurga Dunia semakin jauhlah syurga sebenar kita.
Ibu selalu punya cara untuk membuat anaknya bahagia. Punya beribu alasan untuk mengorbankan diri demi anaknya. Ibu selalu memberi yang tidak pernah orang lain beri untuk anaknya. Memberi apapun dalam hidupnya, hanya demi melihat anaknya bahagia. Masih tega kita menyakitinya?.
“Allah memerintahkan aku berbakti pada ibuku dan tidak menjadikan ku sebagai orang yang sombong dan celaka” (QS Mariam:32). Hadis Rasullullah saw “Orang tua adalah sebaik baik pintu syurga. Jika kamu mahu, jagalah pintu itu jangan kau sia-siakan”(HR Tarmidzi).
Semoga Allah mengampuni semua dosa kita dan kelalaian serta kekhilafan kita sebagai anak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Walau ke mana pun ibu pergi, hatinya tetap terkenang anak-anak di rumah. Sudah makan kah belum? Bergaduh tak mereka dengan anak-anak yang lain, selesaikan tak pesan ibu sebelum keluar tadi.
Dan bila ibu pulang, pasti ibu akan siapkan ole-oleh untuk anak-anak. Sayangnya, ada suami yang kadang terlupa. Bila keluar dan balik ke rumah dengan tangan kosong.
Ambil ikhtibar dari kisah yang dikongsikan Ustaz Abd Ghani Haron ini.
Subuh suatu hari minggu lepas, saya membawa karipap dan bancuhan nescafe gold creamy latte untuk berkenduri kecil dengan jemaah subuh di surau.
Pada subuh esoknya, imam surau bercerita kepada saya yang dia minum nescafe yang dihidangkan separuh cawan sahaja, lagi separuh dia bawa balik (rumahnya bersebelahan surau).
Katanya “Nak bagi Mak Long rasa juga, sedap.” Saya terkedu mendengarnya.
Mari kita ambil iktibar dari peristiwa ini.
Betapa dia begitu menyayangi isteri walau telah tua. Terasa apa yang dia makan di luar ingin juga dikongsi dengan isteri. Bukan dia miskin kerana mereka suami isteri ada pencen, anak-anak kerja professional. Tetapi ingatan kepada orang di rumah menyebabkan dia ingin berkongsi dengan mereka walau sekadar setengah cawan nescafe.
Bandingkanlah dengan diri kita bila kita makan di luar, di tempat kerja, majlis, di hotel dan sebagainya.
Apakah ada ingatan kita kepada anak, isteri semasa menjamah makanan yang sedap dan menarik itu.
Jangan sesekali sekadar membawa sendawa balik ke rumah, membawa balik cerita kepada mereka yang di rumah. (Esoknya saya membawa beberapa paket nescafe gold creamy latte untuk imam surau, dia gelak besar menerimanya.)
Saya perturunkan semula tulisan saya yang dulu yang menyerupai kisah ini juga tetapi makannya berlainan.
Terjumpa seorang tua yang tinggal sekampung dengan saya di pekan, katanya nak ke stesen bas untuk balik. Saya ajak balik dengan saya. Dia setuju. Mukanya berpeluh kerana berjalan dalam panas, datang ke pekan nak beli batu pengasah dan pisau menebas rumput.
“Kita singgah minum sikit.” kata saya mempelawa. Dia tidak menolak mungkin kerana terasa haus. Saya singgah di satu kedai nasi kandar.
Saya order tosai masala dan teh o ais. Dia hanya order teh o ais. Bila disuruh order makan, dia menolak tetapi saya rasa dia hanya terasa segan.
Lalu saya tanya dia, “Pak ngah, kita cuba tose masala, sedaaap!”
Dia membalas, “Cikgu nak belanja saya, saya terima saja.Tekak orang susah macam saya ni mana boleh memilih.” Saya senyum saja. Kami makan sambil berbual.
Katanya, “Sedap cikgu. Saya tak pernah makan, ingat ini orang India saja makan.”
Selesai makan dia bertanya,”Mahai ka tose ni, berapa duit sebiji?”
Saya membalas,”3.50 sebiji.”
Dia kelihatan meraba poket baju telok belanganya, mengeluar uncang plastik kecil yang berlipat. Ada beberapa not seringgit dan duit siling.
Saya sangka dia nak bayar, cepat-cepat saya suruh dia simpan, kerana saya nak bayar. Tetapi dia berkata, “Saya rasa bersalah, rasa mengkelan, kerana saya dapat makan yang sedap hari ni, tapi anak bini saya tidak. Kami selalu kongsi susah senang. Bila makan sedap begini, saya teringat kat depa, saya nak beli bawak balik untuk depa juga, supaya saya tak rasa bersalah, rasa penting diri. Beli sebiji pun jadilah, depa boleh kongsi lima orang. Kalau tak kenyang pun, dapat rasa jadilah.”
Ya Allah. Subhanallah! Saya tergamam, sebak mendengar kata-katanya.
Betapa kuat ingatan kasihnya kepada anak isterinya. Dan Betapa aku tidak pernah mempunyai ingatan sebegini bila makan di luar sendirian.
Jernihnya jiwa insan ini, kemiskinan mendidik mereka berkongsi segalanya, baik yang susah mahupun yang menyenangkan.
Saya order 3 biji tose masala untuk dia bawa balik. Senyumnya ketika turun dari kereta membayangkan kepuasan dan kegembiraannya.
Allah menunjukkan kepada saya hari ini bagaimana bersihnya jiwa mereka yang serba kurang dalam hidup, berkongsi segalanya, sedang kita yang mewah, membina sikap individualistik.
Makan pun dah jarang bersama, makan pun tak sama, apa lagi berkongsi susah senang. Lihatlah betapa anak anak mengabai ibubapa,apa yang mereka makan, apa masalah yang mereka hadapi.
Ada juga ibubapa yang tak peduli masalah anak, asal beri duit dah cukup. Dan ada bapa yang ke majlis sana sini, hanya membawa perut yang kekenyangan balik ke rumah.
Ada yang hanya bawa balik sendawa berbau durian bila dijamu di luar sedang anak isteri tak pernah merasa.
Perkahwinan itu perkongsian yang berterusan hingga ke liang lahat. Berkongsi dengan isteri, anak bahkan cucu. Binalah ingatan bersama.
Jika orang tua ini begitu terasa perlunya berkongsi walau hanya pada perkara makan, bermakna mereka berkongsi lebih jauh lagi dalam hal lain. Itulah yang membina keeratan ikatan kekeluargaan.
Ambillah iktibar. Jangan pentingkan diri. Rezeki yang diturunkan kepada kita sebenarnya ada di dalamnya rezeki isteri, anak anak, jangan dipolok sendiri.
Jangan kita saja sibuk bertukar baju baru, bini berpakaian lusuh, anak anak berpakaian koyak, jangan kita saja bertukar handphone, smartphone, anak tak ada satu permainan pun, jangan kita saja bertukar kereta, anak berbasikal cabuk, isteri bergelumang di dapur serba buruk.
Berfikirlah lebih lanjut. Jika ada yang terasa, memang saya nak bubuh serbuk perasa, kerana sendiri tak mahu rasa.
Andai kita terlalu menyayangi seseorang, suatu masa nanti cukup berat untuk kita menerima ujian bila Allah pisahkan dengan orang tersayang. Namun apa hak kita?
Kena beringat, apa yang kita miliki hari ini semuanya sebuah pinjaman. Tiada yang kekal abadi, termasuklah pasangan dan anak-anak.
Apa lagi yang berkira sangat nak berkongsi rezeki dan harta yang kadang jadi sebab manusia bermusuh sesama darah daging.
Nauzubillah…
Sebagai renungan bersama, jemput berlapang dada dengan perkongsian hati daripada Puan Hajjah Rohana Saad sejenak.
Kita sering menyalahkan takdir. Kenapa kita harus kehilangan orang yang kita sayang? Kenapa kita tak boleh bersama dengan dia sedangkan kita sayang kan dia sangat?! Lupakan semua persoalan itu dan cuba kembali berfikir dan bermuhasabah diri. Cuba tanyakan balik pada diri kita.
Kenapa ALLAH pisahkan kita dengan dia?
Kenapa ALLAH tidak satukan kita dengan dia?
Jangan asyik katakan mengapa dan kenapa. Tapi katakanlah, Aku yang terpilih!
Ketahuilah aturan ALLAH itu sangat sempurna. Lebih baik seandainya kita kehilangan cinta manusia yang kemudiannya kita kembali mengejar cinta ALLAH. Atau mungkin ALLAH telah menjanjikan sesuatu yang lebih baik bagi kita. Apabila kita mencintai ALLAH, ALLAH akan mencintai kita dan apabila ALLAH telah mencintai kita, semua orang yang mencintai ALLAH akan turut mencintai kita.
Mungkin juga ada ‘kesilapan’ semasa kita bersama dengannya. Mungkin juga apabila bersama dengannya telah membuatkan kita lalai daripada rasa cinta kepada yang Maha Pengurnia Cinta. Mana satu pilihan kita? Mahu bersama hanya sementara di Dunia? Ataupun bersama selamanya di Akhirat kekal abadi?
Jika kita mahu bersama nya di dunia dan akhirat jagalah batas-batas pergaulan kita dengan nya selagi dia belum menjadi milik kita. Jika rasa cinta kita terhadap seseorang melalaikan kita daripada menunaikan kewajipan kita kepada ALLAH, maka BERPISAHlah. Dan berdoa lah agar kita akan berjumpa dengannya di Akhirat kelak. Jadi usahlah mengeluh.
Kadang-kadang ALLAH PISAHKAN kita dengan seseorang yang kita KENAL untuk SEMENTARA WAKTU. Beberapa tahun kemudian, ALLAH TEMU dan TAUTKAN HATI kita kembali dengan IKATAN yang SUCI. PERANCANGAN ALLAH itu INDAH andai kita MELIHAT sesuatu yang MENIMPA kita dengan MENERIMANYA dengan TERBUKA.
Mengeluh hanya akan meletihkan dan menyakitkan hati. Tetapi BERDOA mampu menguatkan dan mengubati kedukaan. Jadikanlah ALLAH sebagai tempat kita bergantung harap bukannya simpati dari manusia.
ALLAH temukan kita bersebab dan ALLAH pisahkan kita pun bersebab. Mungkin DIA nak kita belajar menghargai, tahu apa itu kesabaran dan ketabahan, yang penting, kita redha atau tidak dengan takdirNYA.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kasih ibu tiada penghujungnya. Sanggup berkorban apa saja demi anak-anak. Seorang ibu mampu menahan apa juga rintangan dan dugaan yang melanda, asalkan anak tersayang dapat pulih sepenuhnya.
Ikmal Amiliah bt Mhd Isa, 38, sesungguhnya mampu menjadi inspirasi buat ibu-ibu lain. Ketabahan dan kecekalannya membuatkan hati tersentuh saat berbicara dengan wanita muda berjiwa kental ini. Malah kekentalan dan ketabahannya turut diwarisi oleh Adi Harris yang terus kuat melawan penyakitnya. Malah melihatkan penampilan Adi yang sentiasa ceria, pasti ramai tidak menyangka derita yang sedang ditanggung anak kecil itu.
Ikmal Amiliah atau mesra dipanggil Amie, diduga saat anak bongsunya, Adi Harris, didiagnosis dengan penyakit kanser Neuroblastoma Stage 4 High Risk. Hati ibu mana yang tak remuk tika menerima perkhabaran tersebut. Namun sebagai hamba-Nya, Amie sedar ini adalah ujian Allah untuknya.
“ Adi Harris bin Rosidin, lahir pada tanggal 31 Jan 2015. Dilahirkan sihat dan cukup bulan. Adi mempunyai empat orang abang iaitu Adam Harris,14 tahun, Aiman Harris, 12 tahun, Azha Harris, 10 tahun, Akmal Harris, 7 tahun.
“ Adi membesar dengan sihat sehinggalah pada usia 7 bulan, bahagian belakang tapak tangannya membengkak hingga ke siku. Risau dengan keadaan itu, saya dan suami bawa dia ke hospital. Setelah x-ray, doktor kata tiada yang merisaukan dan kami tunggu temu janji seterusnya.
“ Ketika umur Adi 1 tahun 2 bulan, dia batuk-batuk dan kami bawa ke klinik. Tapi doktor masih sama. Kali ketiga ke klinik baru doktor dapat kesan kelainan pada hatinya. Hati Adi telah membengkak dan terus dirujuk ke hospital.
“ Mac 2016, Adi disahkan menghidap kanser Neuroblastoma Stage 4 High Risk. Kanser saraf yang tumor utamanya di adrenal sebelah kanan dan telah merebak ke beberapa bahagian dalam tubuh badannya seperti hati, tulang, saraf utama.
” Adi menjalani rawatan di HKL. Dia telah menjalani beberapa fasa termasuk pemindahan sum-sum tulang. Kini telah memasuki fasa keenam: Ubat makan CisRetinoic Asid yang perlu dimakan selama setahun.
“ Tetapi setelah masuk bulan keenam, Adi tak mampu lagi meneruskan rawatan kerana badannya telah membengkak dan mengalami alahan terhadap ubat tersebut. Doktor telah mengarahkan pemberhentian serta merta segala ubatan bagi memberi peluang dirinya menerima rawatan penyembuhan alahan sahaja,” ujar Amie membuka bicara.
Demi memberikan sepenuh perhatian pada anak bongsunya, Amie telah mengambil cuti tanpa gaji.
“ Setelah doktor diagnosis Adi menghidap kanser, saya telah mengambil cuti tanpa gaji dan sepanjang rawatan Adi lebih kurang dua tahun, saya sentiasa ada di sisinya. Keputusan itu saya ambil kerana ia membolehkan saya fokus dengan rawatan Adi manakala suami akan bekerja dan menjaga empat orang anak lain.
“ Memang rasa kasihan pada anak-anak yang terpaksa ditinggalkan namun terpaksa saya kuatkan hati demi melihat Adi sembuh. Saya berterima kasih pada anak-anak. Besar pengorbanan jiwa anak-anak yang ditinggalkan. Mengurus diri mereka sendiri tanpa ada pembantu rumah. Hanya ada ayah untuk memantau. Setiap hari hanya doa yang saya kirimkan buat suami dan anak-anak. Semoga mereka sentiasa dalam lindungan rahmat dan kasih sayang-Nya.
“ Saya kini telah mula kembali bertugas pada Feb 2018.Keadaan Adi juga nampak bertambah baik. Cuma Adi masih belum boleh pergi ke taska sebab masih belum menerima suntikan vaksin. Adi memerlukan pengulangan suntikan vaksin seperti bayi yang baru lahir kerana Adi telah menjalani pemindahan sum-sum tulang pada Jan 2017,” tambah Amie lagi.
Ketika ini, akui Amie, Adi sudah semakin kurang ulang alik ke wad dan tidak memerlukan peralatan sokongan. Maka kos rawatan tidak sebesar sewaktu masih dalam rawatan dulu.
“ Banyak duit simpanan yang dikeluarkan bagi menampung kos sara diri, kos ulang alik hospital, kos anak yang ditinggalkan, kos ubatan dan hospital dan kos-kos sampingan. Tapi itulah pengorbanan yang perlu dibayar demi melihat Adi sembuh.
“ Kini Adi masih dalam pemantauan pihak hospital. Cuma sudah tidak lagi menerima rawatan kansernya. Setiap tiga bulan Adi akan ke Klinik Pakar Onkologi di Institut Pediatrik HKL bagi melakukan ultrasound dan pemeriksaan yang berkaitan bagi tujuan pemantauan kesihatannya. Adi juga telah mula menerima vaksin pertama pada Oktober 2018,” kongsi ibu cekal ini.
“ Selain itu, anak kedua saya pula seorang Mild Autisme + Mild Disleksia. Diagnosis ketika umurnya 3 tahun dan memulakan rawatan di Hospital Putrajaya pada 2009 sehingga tahun 2013. Manakala suami saya pula seorang kanser survival (leukemia) tapi masih perlu menjalani pemeriksaan rutin kerana disahkan menghidapi Cronic Hepatitis B ketika masih dalam rawatan sebelum ini,” Kongsi Amie.
Amie juga mengakui, sebagai manusia biasa, pasti akan ada ketikanya jiwa rasa terlalu rapuh. ” Bila kita di dalam wad, memandang keadaan sekeliling yang mana anak-anak lain yang diuji kesakitan sebegini setiap hari berperang untuk hidup. Mereka sangat kental, kuat semangat.
” Sebagaimana mereka setiap hari berjuang untuk terus hidup, berusaha untuk terus melihat esok, begitu juga saya akan sokong Adi untuk terus melihat dunia. Adi sendiri memiliki semangat juang yang tinggi. Sentiasa tersenyum dan ceria walau diduga dengan penyakit kronik. Ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk melihat dia sembuh sepenuhnya. Saya serap semangat juang Adi agar saya juga tidak sesekali mengalah.
“ Ketika anak sakit, suami jarang di sisi kerana hospital jauh dan perlu jaga anak-anak lain di rumah. Tapi Allah hadirkan sahabat-sahabat yang selalu datang membantu. Saya sangat berterima kasih pada kumpulan perubatan dan sokongan hospital, ibu bapa, kawan-kawan, jiran, guru-guru anak saya dan orang-orang sekeliling yang sangat baik. Walaupun sebenarnya ada ketika saya juga lemah, hampir tersungkur menyembah bumi, tapi saya pilih untuk kuat dan terus kuat menghadapi hari depan, demi orang-orang yang saya sayang,” akhiri Amie menutup bicara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Lelaki Bangladesh kahwini wanita lumpuh berusia 69 tahun sebelum dipercayai mempergunakan isterinya untuk mendaftarkan tiga syarikat yang dikaitkan dengan kegiatan menyediakan permit kerja palsu kepada warga asing.