keluarga

Tak dapat digambarkan dengan kata-kata jika dikhabarkan dengan berita sebegini. Pilunya rasa hati, apabila kehilangan empat orang ahli keluarga secara serentak, lebih-lebih lagi melibatkan orang-orang tersayang. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah perasaan Mohamad Fazzli Toriman, 30 yang kehilangan empat ahli keluarganya serentak selepas terbabit dalam kemalangan maut membabitkan lori dan kereta di Sabak Bernam, semalam.

“Dalam tempoh dua jam, saya kehilangan empat ahli keluarga tersayang, terutama anak sulung (Aniq Anaqi) yang baru sahaja memasuki usia enam bulan,” katanya.

Mohamad Fazzli yang juga suami kepada Munira Abd Rahim, 30, salah seorang mangsa kemalangan maut Kilometer (KM) 43, Jalan Persekutuan Teluk Intan-Klang, tengah hari semalam.Turut terkorban ibu bapa Munira, Abd Rahim Abd Ghani, 61 dan Siti Fatimah Amat, 55 yang juga maut di lokasi kejadian. Kejadian itu turut mengorbankan anak sulungnya Aniq Anaqi, yang meninggal dunia dunia di Wad Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ).

Sempat Cium & Peluk Anak

Ketika ditemui pemberita di Bilik Mayat HTAJ, Mohamad Fazzli berkata, dia sempat mencium dan memeluk anaknya sebelum bertolak ke tempat kerja di Teluk Intan.

“Saya sempat berpesan kepada isteri (Munira) untuk berjumpa di kampung Khamis ini sebelum mereka bergerak dari rumah pada jam 10 pagi.Namun, tidak sampai dua jam, saya mendapat panggilan dari abang, Mohamad Fauzie, 36, yang memaklumkan isteri saya, anak dan ibu bapa mentua terbabit dalam kemalangan dan ketika itu, saya berasakan dunia gelap sebentar,” katanya.

Tidak Sangka Dapat Panggilan Mengejutkan

Sementara itu, adik ipar mangsa, Mohamad Faeeiz, 22 berkata, dia tidak menyangka panggilan yang diterima dari telefon bimbit Munira adalah panggilan yang mengejutkan buat mereka sekeluarga.

IKLAN

“Pada mulanya, saya ingatkan kakak ipar (Munira) menghubungi saya kerana ada perkara mustahak. Namun, jangkaan itu meleset selepas orang awam menggunakan telefon bimbit kakak ipar dan memberitahu dia dan ahli keluarga lain terbabit dalam kemalangan.

“Malah, saya meminta individu itu mengesahkan kejadian berkenaan dan dia membacakan maklumat kad pengenalan kakak ipar. Ketika itu, badan terasa lemah apabila mengetahu kejadian itu,” katanya.

Mohamad Faeeiz berkata, dia turut terkilan kerana tidak sempat berjumpa Aniq Anaqi sejak anak saudaranya itu lahir enam bulan lalu. Jenazah keempat-empat mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lorong Tujuh, Kampung Sungai Sireh, Sabak Bernam, malam tadi.

Kereta Terbabas Rempuh Lori

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata,

IKLAN

“Siasatan awal mendapati kereta Perodua Kancil terbabit terbabas ke laluan lori sebelum merempuh bahagian hadapan kenderaan berat itu, namun siasatan lanjut masih dilakukan.

“Ketiga-tiga mangsa disahkan maut di lokasi kejadian, manakala bayi terbabit meninggal dunia di hospital.”

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

IKLAN

Menurut Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Alimaddia Bukri, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati salah seorang penumpang hadapan Perodua Kancil itu tersepit.

“Anggota kami kemudian menggunakan alat pemotong hidraulik bagi mengeluarkan kesemua mangsa,” katanya.

Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga mangsa. Semoga terus tabah dan diberi kekuatan menghadapi ujian yang menimpa. AlFatihah.

Sumber: hmetro & BHarian