Kerja Dari Rumah Bukan Anak Ganggu, Tapi Suami Yang Buat Isteri Rimas

Bekerja Dari Rumah? Syukur, kerana masih banyak syarikat yang membenarkan staf bekerja dari rumah dan diberikan gaji penuh. Alhamdulillah! Sekurang-kurang kita masih ada sumber pendapatan sedangkan ramai yang telah hilang sumber pendapatan. Maka bersyukurlah dan penuhi tanggungjawab yang syarikat amanahkan.

Tak Mudah Ye!

Walau bagaimana pun, bekerja dari rumah tak semudah yang disangka, apatah lagi bagi yang telah berkeluarga. Memanglah tak perlu bersiap-siap dan memandu menempuh jem ke opis. Tapi banyak komitmen lain yang perlu diambil kira. Takkan nak menghadap kerja 24 jam. Nak juga kemas rumah, cuci baju dan masak untuk keluarga. Sebab itu, kena berdisiplin dan bijak atur masa sendiri.

 

Mungkin ramai isteri yang mengalami situasi ini; Pada awalnya, bimbang tak boleh nak fokus kerja di rumah kerana akan diganggu anak-anak. Namun hakikatnya, kadangkala yang jadi masalahnya bukan anak, tapi suami!

Kerja Dari Rumah Bukan Anak Ganggu, Tapi Suami Yang Buat Isteri Rimas

Bila dah isteri 24 jam depan mata, macam-macam permintaan pula. Minta masak itu dan ini, sehingga mengalahkan anak-anak. Isteri baru nak buka laptop, dah kena panggil. Bila beritahu ada kerja, muka masam mencuka dan merajuk. Dikatakan isteri sengaja cari alasan. Sebenarnya lagi senang nak pujuk anak berbanding suami.

IKLAN

Ada suami yang tak habis-habis request isteri masak itu dan ini hinggakan banyak masa isteri di dapur. Apron di tubuh pun tak sempat kering. Alasan suami, inilah waktu isteri nak tunaikan segala keinginannya. Tapi, bagaimana pula dengan kerja anda? Bila nak buat? Dia pula acah-acah sibuk memanjang.

Bincang Dan Saling Memahami

Memandangkan tempoh PKP telah dipanjangkan, bermakna makin banyak juga kerja yang mungkin ‘pending’ dan perlu diuruskan di rumah.

Kalau tak nak diganggu suami dengan permintaan pelik-pelik sepanjang masa, buat perjanjian dan bincang dengan suami secepat mungkin. Terangkan situasi kerja anda di rumah. Mungkin selama ini dia kurang faham atau buat-buat tak faham!

Walau pun duduk di rumah, tapi anda masih ada tanggungjawab yang harus dipenuhi untuk syarikat. Jadi suami MESTI faham dan bertolak ansur.

Ambil Tanggungjawab Masing-Masing

Bagi suami yang juga perlu bekerja dari rumah, anda perlu bincang elok-elok soal uruskan anak terutama jika anak masih kecil. Bila dia perlu jaga anak dan bila pula giliran anda. Jadi, tak timbul dua-dua nak buat kerja dan anak-anak terabai. Susah juga tu.

Mungkin waktu pagi, ketika isteri memasak sarapan, suami boleh fokus pada kerjnya dahulu. Selepas itu, isteri pula ambil waktu untuk buat kerja dan rehat. Suami tolong jagakan anak. Kata orang, gilir-gilir.

Bincangkan dengan suami jika pada hari itu anda perlu ‘menghadiri’ mesyuarat secara online dan agak sibuk. Jadi, mungkin anda boleh masak satu hidangan berat sekali gus untuk sarapan dan makan tengah hari. Jangan pula nanti suami muncung sedepa isteri tak masuk dapur masak makan tengah hari.

Begitu juga sekiranya suami ada kerja yang mendesak, isteri kena faham dan bertolak ansur. Yang penting, sentiasa berbincang.

Wujudkan Ruang Kerja Sendiri

Sebenarnya lagi mudah jika suami juga perlu bekerja dari rumah kerana sekurangnya dia sedar ada kerja perlu disiapkan seharian. Mungkin anda dan suami boleh sepakat untuk sama-sama buat kerja rumah dahulu dan siapkan anak-anak. Kemudian, barulah masing-masing boleh fokus kerja. Seeloknya ada sudut kerja masing-masing juga ye.

Apa pun, berbincanglah. Semoga tak ada suami isteri yang bermasam muka pula gara-gara kerja dari rumah ye…Keluarga penting, kerja pun penting!