Berat mata memandang, lagi berat bahu yang memikul. Kehilangan bayi yang baru berusia tiga bulan ini sudah tentu memberi kesan mendalam kepada ibunya. Anak yang ditatang penuh kasih sayang pergi secara tiba-tiba.
Semoga ibu dan keluarga kepada bayi lelaki berusia tiga bulan ini redha dengan pemergiannya. Bayi ini dipercayai meninggal dunia selepas tidur di rumah pengasuhnya di Taman Universiti, Johor Bahru.
Kejadian telah berlaku kira-kira jam 3 petang semalam, mangsa didapati tidak sedarkan diri selepas tiga jam diberi susu dan ditidurkan pengasuhnya. Sudah sampai masanya barangkali kerana menerusi pemeriksaan awal tiada unsur jenayah mahu pun kesan tersekat susu di kerongkong. Tentu ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.
Tidak Sedarkan Diri Selepas Tiga Jam
Menurut, Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah, bayi lelaki berkenaan dihantar secara harian oleh ibunya ke rumah pengasuh pada hari bekerja.
“Pada hari kejadian, mangsa diberikan susu sebelum ditidurkan pengasuhnya kira-kira jam 12 tengah hari.
“Pada jam 3 petang, pengasuh berkenaan mendapati mangsa tidak sedarkan diri sebelum menghubungi ibu bayi itu.
“Mangsa kemudian dibawa ke klinik kesihatan berhampiran oleh pengasuh serta ibu bapa bayi berkenaan untuk mendapatkan rawatan segera.
“Namun bayi berkenaan disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya.
Bedah Siasat Telah Dijalankan
Mengulas lanjut, Fariz Ammar berkata, siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah, termasuk penderaan ditemui pada mangsa setakat ini.
“Bedah siasat sudah dijalankan hari ini dan polis masih menunggu analisis makmal mengenai punca sebenar kematian bayi berkenaan.
“Hasil bedah siasat awal mendapati tiada kesan susu tersekat di kerongkong atau saluran pernafasan bayi berkenaan, namun kita perlu tunggu hasil analisis lengkap,” katanya.
MW: Semoga keluarga bayi ini dikurniakan ketabahan untuk hadapi ujian yang maha hebat ini.
Sumber: Berita Harian
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mak Pening Anak Asyik Dengan Gajet, Ini Caranya Nak Galakkan Mereka Buat Aktiviti Luar
Kanak-kanak yang sedang membesar lazimnya memang aktif. Berlari, berpusing, melompat, memanjat dan keinginan mereka untuk terus bergerak dan bergerak adalah baik untuk menggalakkan tabiat kecergasan yang kekal lama.
Seperti juga orang dewasa, kanak-kanak perlu cergas untuk meningkatkan kesihatan dan memastikan bahawa badan mereka boleh melakukan apa yang mereka perlu lakukan. Senaman yang kerap membantu kanak-kanak membesar, membina otot dan tulang yang kuat, membangunkan kemahiran motor penting, dan meningkatkan keyakinan diri.
Memang tak dinafikan kakak-kanak pada usia 5 dan 6 tahun telah sedia aktif, namun dengan teknologi dan gajet yang ada pada hari ini, mereka mungkin tidak seaktif yang kita sangka. Jadi apa yang perlu ibu bapa lakukan untuk memberi motivasi kepada anak-anak anda? Untuk memastikan masa aktif si kecil anda menyeronokkan, kenal pasti apa aktiviti yang terbaik untuk kumpulan umur anak anda dan beri keutamaan untuk sesuatu yang menggembirakan mereka. Sebagai contoh, kanak-kanak prasekolah mungkin mengeluh jika anda mengheret mereka berjalan kaki sekitar trek senaman. Tetapi jika anda berjalan melalui hutan, berhenti untuk menerokai alam semula jadi dan membaling batu ke dalam sungai atau berjalan kaki melalui denai yang ringkas pasti lebih menarik.
Fahami kemahiran mana yang ada pada anak anda juga boleh menjadi kunci untuk mengekalkan keseronokkan sesuatu aktiviti. Membaling bola bersama atau bermain sepak bola mungkin menjadi kemahiran yang terpendam dalam diri si kecil. Biarkan dia mengasah bakatnya itu dengan bermain bersama-sama. Bukan mereka sahaja yang mengeluarkan peluh, malah anda juga boleh kekal sihat dengan aktiviti sebegini.
Aktiviti luar
Jangan biarkan anak anda terperap di rumah dengan gajet di tangan atau menonton televisyen seharian di rumah sahaja. Permainan dan peralatan tidak perlu mewah. Kanak-kanak menikmati permainan yang mudah, seperti menangkap dan membaling, bermain dengan raket plastik dan bola, menari atau jatuh serta bangun sendiri.
Kanak-kanak prasekolah melatih kemahiran seperti melompat, mengimbangi pada satu kaki, membaling dan menangkap bola, mengayuh basikal roda tiga, dan bermain tali skipping yang mana kebaikan itu akan dimanfaatkan untuk kegunaan pada masa kini dan juga masa hadapan. Apabila kanak-kanak belajar kemahiran asas tersebut, ia membina keyakinan dan besar kemungkinan mereka akan terus aktif secara fizikal sehingga mereka dewasa. Sebuah organisasi sukan dan pendidikan fizikal menyarankan kanak-kanak prasekolah membuat sekurang-kurangnya 60 minit aktiviti fizikal berstruktur (dibimbing oleh orang dewasa) sehari.
Masa lapang
Berikan sedikit kebebasan untuk anak anda juga boleh memberi motivasi kepada kanak-kanak prasekolah menjadi aktif. Walaupun beberapa aktiviti fizikal mereka hendaklah distrukturkan dan diketuai oleh ibu bapa atau penjaga, mereka juga perlu mendapat sekurang-kurangnya 60 minit aktiviti fizikal bebas setiap hari.
Menggalakkan bermain aktif yang bebas, bermaksud membiarkan anak-anak memilih aktiviti dan membuat keputusan tentang apa yang perlu dilakukan , sudah tentu semuanya dalam persekitaran yang selamat dan diselia. Ini termasuk meneroka laman belakang rumah, berkebun, berjalan di sekitar taman permainan, atau bermain dengan anak patung mereka di dalam rumah.
Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik. Kanak-kanak sentiasa memerhatikan gerak geri anda, maka jadilah contoh yang baik dengan bersenam secara teratur. Anak akan jadikan anda sebagai panduan mereka dan akan mengikut apa yang anda buat secara semulajadi.
Cara lain galakkan aktiviti fizikal:
Hadkan masa menonton televisyen dan bermain dengan gajet. Dengan cara ini, anak-anak akan mencari satu aktiviti lain yang lebih bermanfaat. Tak salah untuk dedahkan kepada mereka dengan teknologi masa kini, namun anda perlu pastikan aplikasi dan permainan atau tontonan mereka sesuai dengan usia.
Pastikan ia menyeronokkan. Membantu mencari aktiviti anak anda suka dan kemudian menawarkan banyak peluang untuk dinikmati oleh mereka tentu mengujakan. Bermain sorok-sorok atau mengejar mereka di sekitar rumah pastinya buat mereka teruja. Atau anda juga boleh menunggang basikal bersama di taman pasti eratkan lagi hubungan dengan anak-anak.
Perhatikan kebolehan fizikal anak-anak seperti memanjat ke puncak gelongsor di taman permainan atau bergayut di palang yang ada mungkin melebihi keupayaan mereka untuk menilai apa yang selamat dan apa yang berbahaya. Begitu juga, mereka tidak tahu bila masanya untuk berehat pada hari yang panas. Cara ini sedikit sebanyak dapat membantu kanak-kanak berseronok di luar sambil memastikan mereka dalam keadaan selamat. Tapi jangan lupa botol air, kudapan sihat, dan pelindung matahari juga ya!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Asbab Peluk Dan Cium, Anak Yang Kasar Boleh Jadi Tenang
Betapa hebatnya kuasa peluk anak tetapi masih ramai mak ayah yang tidak mengamalkan tip mudah ini untuk melembutkan hati anak-anak yang sedang kecewa.
Lagi teruk, ada mak ayah terus marah dan membiarkan anak baik sendiri. Salah gayanya itu, sepatutnya anak-anak kena dipeluk dan dicium setiap hari bagi mood bahagianya muncul.
Seperti yang saudara Muhammad Hassan amalkan, peluk cium itu makanan jiwa dan rohani untuk anak-anak.
Bina emosi,bina akhlak.
Anak-anak tinggikan suara depan mak ayah,melenting apabila ditegur,susah dengar cakap apabila disuruh. Sebenarnya bukan akhlak mereka bermasalah sebaliknya emosi mereka sedang terganggu. Anak buat salah mak ayah pukul,tengking,denda,pulau mereka. Dari kecil anak-anak dibesarkan dalam suasana huru hara. Paling Sadis dipukul sehingga meninggalkan kesan. Semua ini akan ganggu emosi mereka.
Apa kata sentiasa peluk dan cium anak jika mereka buat salah,tidak dengar cakap. Bagi yang dewasa ajak berbual, dengar apa yang mereka ingin luahkan. Adakalanya kita perlu jadi pendengar yang setia untuk mereka, bahkan lebih dari kawan-kawan mereka. Dengar masalah mereka walaupun dalam perkara yang remeh.
Kuasa Peluk Anak
Insya Allah asbab peluk dan cium anak degil akan jadi anak yang taat, anak yang kasar akan jadi anak yang mendamaikan. Rahmat الله akan bersama kita tatkala saat kita peluk anak dengan kasih sayang. Rotan dah boleh gantung di dinding dengan tenang.
Nabi s.a.w tidak pernah pukul anak dan isteri. Cara nabi s.a.w bentuk umat dengan akhlak dan kasih sayang. Senda gurau bersama anak dan isteri. Adakalanya nabi s.a.w berkejar-kejaran dengan aisyah r.ha. Biarkan aisyah r.ha menang dan adakalanya nabi s.a.w menang. Nabi s.a.w suka bergurau dengan anak-anak kecil. Inilah akhlak seorang manusia yang sangat mulia disisi Allah s.w.t,didik umat dengan penuh kasih sayang.
Tuan Puan Perbaiki JIWA kita, perbanyakkan istighfar. Anak degil, anak bermasalah, anak isap rokok, anak tidak solat, suka keluar rumah,balik lewat malam puncanya dari kita. Kita tidak hidupkan kasih sayang dalam jiwa mereka. Mereka tidak faham apa itu erti kasih sayang, yang mereka faham erti ‘ketakutan’ ‘Kebencian’
Dari kecil ajar anak-anak ‘khidmat’. Kemas rumah bukan sebab takut mak ayah, tetapi sebab sayang mak ayah, sebab nak kejar pahala. Setiap hari dakwah mereka kelebihan khidmat. Dengan khidmat الله lembutkan hati yang keras.
Adik kemas rumah, basuh pinggan, basuh kasut sekolah, buang sampah nanti الله bagi hadiah untuk adik disyurga, nanti الله sentiasa sayang adik,nanti الله bantu adik ketika susah dan senang. Bukan kemas rumah untuk dapat hadiah atau habuan dunia. Hari-hari cakap begini kepada Anak.
Salah faham kita hari ini, letak habuan dunia depan anak. Anak kemas rumah mak janji bagi rm10, mak janji bagi PS3, mak janji ajak jalan-jalan di Mall. Sampai satu tahap mereka akan ‘boikot’ jika tidak tunaikan apa yang kita janjikan. Hadiah bagi kemudian untuk raikan mereka.
Apa Yang Mak Ayah Perlu Buat
Waktu makan suapkan makanan untuk anak walaupun telah dewasa. Hidupkan solat-solat sunat bersama anak, hidupkan zikir, berzanji,qasidah, ta’lim, al-quran secara berjemaah.
Saya yakin dan percaya, akan lahirnya anak-anak yang Taat الله Rasul jika kita sentiasa hidupkan suasana kasih sayang dalam kehidupan mereka. Paling penting Jangan tunjukkan masalah peribadi kita, masalah pejabat kita,jangan gaduh suami isteri depan mereka. Tunjukkan akhlak dan layanan yang baik terhadap mereka.
Anak adalah amanah yang الله anugerahkan kepada kita untuk bawa mereka masuk syurga bersama. Ibu-ibu,ayah-ayah, tahan tangan kita dari memukul mereka. Ringankan tangan untuk peluk cium mereka.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bersalin Empat Bulan Lebih Awal, Bayi Paling Pramatang Dunia Sambut Hari Lahir Pertama
Melahirkan bayi pramatang banyak ujiannya. Selamat bersalin empat bulan lebih awal, bayi paling pramatang dunia ini sambut hari lahir pertamanya awal bulan lalu.
Bukan satu perjuangan yang mudah untuk mencapai umur setahun bagi bayi pramatang. Terpaksa tinggal di hospital dalam jangka waktu yang lama agar bayi betul-betul kuat serta sihat sudah tentu menguji emosi ibu dan bayi.
Bersalin Empat Bulan Lebih Awal
Seorang bayi di Washington, Amerika Syarikat yang lahir hampir empat bulan lebih awal daripada sebelum tarikh sepatutnya. Dia berjaya mengatasi semua rintangan untuk terus bernyawa dan menyambut hari lahir pertamanya, lapor majalah Newsweek.
Richard Scott William Hutchinson diiktiraf Guinness World Records sebagai bayi paling pramatang yang masih hidup selepas berumur setahun pada 5 Jun lalu.
Richard sepatutnya lahir pada 13 Oktober 2020 tetapi ibunya, Beth Hutchinson mengalami komplikasi kesihatan dan bersalin empat bulan lebih awal daripada yang sepatutnya.
Dilahirkan pramatang selama 131 hari, berat Richard cuma 338 gram semasa lahir.
Bayi Paling Pramatang Dunia Sambut Hari Lahir Pertama
Dia sungguh kecil sehinggakan muat dalam tapak tangan ibu bapanya.
Doktor-doktor di Hospital Kanak-Kanak Minnesota di Minneapolis kemudian memberitahu berita buruk kepada ibu dan bapa bayi tersebut, Rick Hutchinson.
“Apabila Rick dan Beth menerima kaunseling, mereka diberitahu bahawa kebarangkalian Richard dapat terus hidup adalah 0 peratus,” kata doktor yang merawat bayi tersebut, Stacy Kern kepada Guinness World Records.
Di sebalik semua itu, Richard menyambut hari lahir pertama di rumah bersama keluarganya awal bulan ini.
Baca Juga Di sini:
Ingatkan Sudah Meninggal, Selepas Enam Jam Dalam Peti Sejuk, Bayi Pramatang Hidup Semula
Lahir Pramatang Usia 23 Minggu, Kulit Nipis Nampak Salur Darah, Bayi Bertahan Hidup Sihat!
Isteri Koma Cuma Bergantung Susu, Selamat Lahirkan Bayi Pramatang
Kisah Richard Beri Kesedaran
“Kami terkejut tetapi gembira. Kami berkongsi kisah Richard untuk meningkatkan kesedaran tentang kelahiran pramatang,” kata Beth kepada Guinness.
Setelah enam bulan berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal, Richard dibenarkan meninggalkan hospital.
“Siapa sangka bayi lelaki sihat ini dahulunya begitu lemah dan terpaksa bertarung nyawa untuk hidup.
“Bayi ini muat dalam tapak tangan saya dan kulitnya begitu nipis sehinggkan saya dapat melihat setiap tulang rusuk dan salur darah di dalam tubuhnya.
“Saya amat bangga dengan Richard,” kata Kern. – Agensi
Mingguan Wanita : Siapa sangka bayi tak tidak punyai harapan untuk hidup, kini bertambah sihat dan menyambut sambutan hari lahirnya yang pertama. Semoga kisah bayi ini menjadi inspirasi buat mak-mak yang melahirkan anak yang pramatang.
Sumber: Kosmo Online / AGENSI
JOM SERTAI GRUP TELEGRAM BANGKIT WANITA MW
Kesan pandemik C19, ramai gaji dipotong atau dibuang kerja. Boleh buntu juga sekejap. Namun, ada berita baik untuk para wanita B40 & M40. Mingguan Wanita prihatin dengan nasib menimpa anda dan susulan itu, kami menjemput semua untuk menyertai group Telegram Bangkit Wanita MW sebagai platform untuk mendapatkan info niaga, promosi kursus, tip berbisnes, perkongsian usahawan yang memberi inspirsasi dan lain-lain. Klik link ini untuk menyertainya: https://t.me/bangkitwanitaMW
Selepas penganjuran Webinar Bangkit Wanita #bisnesdarirumah, Mingguan Wanita menerusi kempen Bangkit Wanita, membuka pendaftaran kepada kursus latihan praktikal jangka pendek.
Kursus-kursus akan bermula hujung Mei hingga Ogos ini dan kemuncak kepada kempen ini ialah penganjuran Konvensyen Inspirasi CEO Bisnes Viral. Kursus latihan yang ditawarkan akan berlangsung selama sehari setiap satu dan orang ramai khasnya wanita B40 dan M40 boleh memilih kursus yang diminati.
Apa yang menarik kursus ini memang direka khas untuk mereka yang mahu berniaga sebaik tamat latihan asas kemahiran ini. Sejumlah tujuh kursus asas latihan praktikal dan demo dibuka untuk penyertaan merangkumi sektor makanan, pengurusan, busines kedai online, jahitan dan perkhidmatan.
Nak Jadi Usahawan Viral, Ini Pilihan Antara Kursus Kemahiran Untuk Wanita B40 & M40
Buat Aneka Kuih Frozen. Confirm sedap, laku keras. Dibuka pada 24 Julai 2021. Peserta diberi tunjuk ajar menyediakan beberapa jenis makanan sejuk beku yang laris di pasraan seperti donut, samosa, pizza dan banyak lagi. Sila klik pautan ini untuk pendaftaran //toko.ideaktiv.com/product/buat-aneka-kuih-frozen-confirm-sedap-laku-keras/
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita – https://www.facebook.com/mingguanwanita/
Instagram Mingguan Wanita – https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Twitter Mingguan Wanita – https://twitter.com/MingguanWanita
Telegram : https://t.me/bangkitwanitaMW
Youtube : https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI