Genggam tangan anak-anak kita walau dalam apa keadaan sekali pun. Dalam maksud ‘genggam’ itu. Bukan sekadar memegang tangan anak, tapi sentiasa di sisi anak saat mereka berjaya atau ketika diuji dengan kegagalan.

Anak akan membuat kita ketawa bahagia dan ada kalanya mampu membuat kita sedih hingga menitiskan air mata. Apa pun, mereka tetap permata hati kita, amanah Allah untuk kita jaga sebaik mungkin dalam apa jua keadaan. Ikuti perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhamad (USIM). https://www.facebook.com/naznur.muhamad

Kehidupan

Kehidupan diibaratkan sebuah perjalanan menuju ke destinasi. Dalam meniti perjalanan ada ketikanya kita berhenti seketika untuk menikmati pemandangan yang indah dan pada ketika lainnya pula kita terjelepok jatuh akibat terlanggar batu.

Itulah yang dikatakan ujian yang dihadirkan untuk melihat kadar iman yang tersemat di hati kita tidak kurang juga sebagai tanda cinta dan kasih sayang Allah yang tidak ternilai buat hamba-Nya. Apa yang harus kita lakukan sewaktu menghadapi ujian ini adalah dengan duduk merenungi apakah agaknya mesej cinta yang ingin Allah sampaikan dan belajarlah daripadanya.

Genggam Erat Tangan Anak, Tak Kira Saat Mereka Berjaya Atau Gagal!Pemegang Amanah 

Begitu jugalah halnya dalam situasi kita dengan anak-anak. Mereka juga adalah ujian nikmat yang Allah kurniakan untuk kita. Bagaimana kita mendidiknya, bagaimana kita menghadapinya semua itu adalah KPI yang akan diteliti selaku pemegang amanah. Oleh yang demikian, jadilah pembimbingnya dalam apa jua keadaan sekali pun kerana mereka adalah cerminan diri kita. Genggam tangan mereka sebagai tanda kita sentiasa di sisi mereka, membimbing dan menasihati mereka tentang kehidupan.

IKLAN

Rakan penjaga yang dihormati, pandanglah anak-anak kita dengan pandangan yang sentiasa positif walau dalam keadaan marah sekali pun. Ini kerana persepsi ibu bapa amat mempengaruhi pembentukan kendirinya iaitu bagaimana dia melihat diri dan kehidupannya.

Mengapa demikian? Pemikiran dan persepi ibu akan memepengaruhi tindakan ibu terhadap anaknya. Contohnya, jika anak sering melakukan kesilapan, jika ibu melihat anak sebagai orang yang lalai maka kita akan mudah mengherdiknya dan melabelnya dengan pelbagai jenis perkataan yang menunjukkan hal tersebut.

Minda Bawah Sedar Anak

Jadi, perbuatan dan percakapan itu tadi hakikatnya sudah pun bertapak dalam minda bawah sedar anak pula. Keadaan inilah yang akan pula membentuk persepsi diri anak tentang dirinya dan kehidupan. Apabila anak sudah percaya bahaya dia adalah seorang yang lalai maka minda bawah sedar akan menerima label tersebut untuk mendefinisikan dirinya. Jadi anak itu akan percaya bahawa dia adalah seorang yang lalai.

IKLAN

Dalam masa yang sama, keadaan anak yang dikatakan lalai sebelum ini mungkin sahaja hanyalah akibat daripada sebuah kesilapan kecil sahaja namun ditambah dengan tindakan ibu dan ayah yang mudah memberikan label akan menyebabkan dia percaya bahawa dia adalah seorang yang lalai. Jadi, genggam tangan mereka ye mak ayah tanda kita tetap sayang mereka dalam apa keadaan pun!

Terbit Rasa Rendah Diri

Kepercayaan ini tadi sekali gus mempengaruhi tindakannya. Dia akan merasa rendah diri dan tidak berani untuk mencuba sesuatu perkara kerana takut akan label yang bakal diterimanya. Dalam situasi ini hakikatnya tidak keterlaluan jika saya katakan kita telah pun dalam tidak sedar meletakkan racun dalam pemikiran anak yang akhirnya membentuk keperibadiannya wanauzubillah.

IKLAN

Oleh yang demikian, genggamlah tangan anak-anak kita erat-erat. Dia adalah anak kita dalam apa jua keadaan sekali pun. Bukan masa dia melakukan perkara yang membanggakan sahaja malah dalam keadaan dia tidak berjaya lebih-lebih lagi dia memerlukan kita di sisinya untuk menyatakan sokongan dan dorongan.

Bentuk Ujian

Itulah yang dikatakan ujian, ia boleh hadir dalam bentuk kesenangan dan kesukaran. Bagaimana kita menghadapinya membezakan kita. Jika berjaya menghadapinya dengan redha, sabar dan bersyukur maka itulah sebenar-benar kejayaan.

Rakan penjaga yang dihormati, jagalah persepsi kita terhadap anak. Usah mudah melabel dan menunjukkan ekspresi negatif terhadap dirinya walaupun dalam keadaan dia melakukan kesalahan. Sebaliknya nyatakanlah sokongan dan kasih sayang kita yang tidak kunjung malap buat dirinya. Doakanlah untuk anak. Sesungguhnya doa adalah senjata paling ampuh buat kita untuk mereka.

Akhirnya, pimpinlah tangannya erat-erat. Bimbing mereka dengan sepenuh hati tanpa syarat. Dia adalah zuriat kita dalam senang atau sukar, dalam kejayaaan atau kekalahan malah dalam keadaan soleh mahupun sebaliknya. Dia amat memerlukan kita…Wallahuallam.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI