Masuk dalam kereta, sambil memandu, tiba-tiba pasangan melihat seorang perempuan cantik. Kita yang duduk sebelah mulalah panas punggung. Pantang nampak wanita cantik lalu di depan, mata pasti melirik, memandang dan kadang-kadang depan isteri pun dipuji wanita yang lalu di depan mata. Bagaimana seorang isteri untuk lalui keadaan bila suami mata keranjang?

Menurut Prof Madya Ts Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM), mata keranjang itu sendiri adalah simpulan bahasa yang digunakan untuk merujuk kepada lelaki yang suka melihat wanita atau lelaki yang pantang nampak perempuan cantik atau mengayat perempuan.

Sekadar Suka-suka

Secara fitrahnya, lelaki memang dicipta tertarik dengan kecantikan dan keseksian wanita. Kalau ada lelaki yang tidak suka melihat wanita cantik dan seksi, itu bukan lelaki normal dan dia perlu mendapatkan rawatan untuk mengembalikan kepada fitrah asalnya.

Walau bagaimanapun fitrah asal itu tifak boleh terlalu ditentang dan tidak boleh terlalu ditatang. Sebaliknya perlu diuruskan dengan sebaiknya dengan ilmu dan iman. Sebab itulah, lelaki yang baik hendaklah menundukkan pandangannya daripada meliar melihat wanita cantik dan menarik dengan bernafsu kerana ia boleh membawa kepada kesan yang lebih negatif.

IKLAN

Melihat untuk berkahwin dan sekadar suka-suka. Itu adalah dua perkara yang berbeza. Secara jujurnya, ada lelaki yang suka melihat wanita cantik bukan untuk tujuan berkahwin.

Isteri, Jangan Lupa Berhias

Fitrah lelaki suka melihat perempuan cantik, jadi kita sebagai isteri boleh mengubah diri kita supaya menjadi seorang wanita cantik, manja, menarik dan seksi. Bila kita tahu, suami suka melihat wanita sebegini, isteri jangan lupa untuk mengubah seperti yang diinginkan.

Kadang-kadang isteri selekeh, memakai mekap bila keluar rumah dan tanpa sedar menjadi tatapan suami orang lain.

Isteri, cantik dan seksilah di rumah

Suami, fokuslah dengan kecantikan dan keseksian isteri di rumah

Lelaki, kawallah pandangan agar tidak melihat banyak tarikan yang boleh mempengaruhi kita untuk bertukar menjadi mata keranjang.

Pesanan Untuk Isteri

  1. Yakinlah bahawa kita dipilih oleh suami kita untuk dikahwini dulu kerana kita terbukti cantik di matanya.
  2. Elakkan salahkan orang lain yang mengganggu pandangan suami kita, tetapi gunakan kelebihan kita sebagai pasangan yang sah untuk menarik pandangan suami kita.
  3. Tahu suami suka melihat wanita cantik, sentiasalah jaga kecantikan kita dan biasakanlah berpakaian yang cantik dan sesuai bila waktu bersama suami
  4. Tahu suami kita suka melihat wanita ‘gedik’. ‘Gedik’lah ikut kesesuaian untuk suami kita, pastinya ia tidak lagi memerlukan kepada wanita lain untuk menggembirakannya.
  5. Tahu suami kita kadangkala suka melihat wanita seksi, fikirkan cara yang sesuai untuk jadi lebih seksi bersama suami.
  6. Sekiranya berlaku sekali sekala, sebaiknya ambil sikap untuk memahami dan menerima dengan tenang, di samping berusaha untuk mengelakkannya dengan melakukan perubahan-perubahan pada diri kita.