Sehingga ke saat ini, Najmi Nawawi masih ‘berperang’ merawat penyakit depresi yang didiagnos ke atas isteri, Husna Nadhirah sejak empat tahun lalu. Penyakit depresi yang boleh membawa kepada anxiety dan panic attack.
Penyakit kemurungan yang sebenarnya wujud di sekeliling kita. Kesedaran ini sepatutnya ramai telah sedia maklum. Bila mana, pelakon Diana Danielle berkongsi akan anxiety yang dialami. Dan suami ini berkongsi bagaimana dia berdepan saat sukar isteri diserang depresi.
Penyakit DEPRESI Yang Dihidapi Isteri Aku
Aku nak cerita tentang isteri aku. Artikel ini panjang sedikit tetapi demi Allah aku yakin kau tidak akan rugi baca. Aku nak cerita tentang penyakit DEPRESI yang dihidap isteri aku.
Ya isteri aku, bidadari aku sendiri cik Husna mempunyai depresi. Ini telah disahkan oleh pakar psikiatri 4 tahun yang lepas. Aku masih ingat pada waktu itu kami ke Hospital Sungai Buloh setelah mendapat refer letter dari klinik. Punca dapat surat refer itu pula ialah apabila doktor di klinik tanya soalan ini pada Husna.
‘Husna ada rasa sampai macam nak bunuh diri ke?’
Dan isteri aku cakap – ‘Ya, rasa dah tak mahu hidup‘.
Bagi aku ini ialah satu detik bersejarah dalam hidup kami. Kerana di sinilah bermulanya perjuangan aku dan isteri berhadapan dengan penyakit yang dipanggil depresi atau kemurungan.
Bila aku tahu isteri aku sudah ada perasaan untuk membunuh diri sendiri. Jadi kau fikir aku ada masa untuk main-main lagi? Kau fikir aku ada masa untuk buat benda lain? Aku kena hadapi masalah ini, sebab yang kena ialah isteri aku. Dia amanah untuk aku, aku perlu bantu.
Pegang Tangan Isteri Dan Redah Sahaja
Rentetan itu banyaklah keputusan-keputusan besar yang aku terpaksa buat dan mengubah hidup aku, hidup kami sekeluarga. Pandangan orang luar? Apa yang mereka tahu? Aku korbankan itu semua. Kerana apa yang penting aku sebagai suami kena bertanggungjawab untuk memulihkan isteri aku.
Maka seperti yang diminta oleh pihak klinik untuk refer department psikiatri Hospital Sungai Buloh maka aku menemani bidadariku untuk berjumpa pakar. Harapnya pada waktu itu, tiada apa-apa yang serius.
Kau tahu-tahu sahajalah ini ialah untuk pertama kalinya kami pergi masuk ke bahagian psikatari. Terdengar ada makcik menjerit-jerit bergaduh dengan nurse, ditambah lagi dengan ruang menunggu yang agak sempit memang buat kami tidak selesa. Ada juga yang bergaduh minta ubat lebih dan ada juga yang mengetuk-ngetuk meja. Macam bercampur dengan tempat orang gila.
Waktu itu, ada juga terfikir. Betulkah tindakan kami ini. Rasa macam masuk ke tempat yang tidak sepatutnya. Pegang tangan isteri dan redah sahaja. Kami mahu juga tahu apa yang berlaku dan semestinya ingin mendapatkan rawatan terbaik.
Aku cerita ini peristiwa yang berlaku 4 tahun lepas, masa ini dalam kepala kami tidak mempunyai kesedaran dan ilmu yang luas tentang penyakit depresi ini. Rasa takut, rasa tidak selamat, rasa risau dan sebagainya semuanya mula menghantui lubuk perasaan.
Kau bayangkanlah. Kau masuk tempat psikiatri kot. Dengan keadaan yang macam itu persekitarannya. Itu perasaan aku, bagaimana pula perasaan bidadari aku ketika itu. Jadi aku kena kuatkan semangat.
Ads
Maka berjumpalah kami dengan pakar psikiatri dan isteri aku didiagnos dengan penyakit depresi secara rasmi. Ya pada waktu itu ianya hanya permulaan, dan hanya ada depresi. Tetapi selepas beberapa pertemuan susulan, ia menjadi semakin teruk kerana turut didiagnos juga dengan anxiety dan panic attack.
Fasa Ini Hubungan Kami Diuji
Inilah realiti yang perlu kami telan. Kini bermulanya bahagian yang susah iaitu fasa ujian.
Kenapa aku sebut fasa ujian, sebab fasa inilah hubungan kami diuji. Fasa yang susah dan penat.
Husna selalu rasa macam diri dia tidak berguna dan malang.
Rasa macam semua orang benci. Rasa macam semua orang ambil kesempatan. Rasa macam tiada ada orang beri perhatian. Rasa macam tidak disayangi. Rasa baik diri mati sahaja.
Ini semua ialah luahan yang diceritakan pada aku. Dan dari pemerhatian aku sendiri, diri dia umpama ‘not being present’. Macam dia masih hidup dalam kisah lama, atau terlalu memikirkan tentang masa hadapan. Hingga the real world – the present yang ada depan dia ini macam kosong.
Ubat yang doktor bagi ialah setraline. Kami rasa ubat ini umpama nyawa, kerana kalau tiada ubat ini pasti jiran-jiran akan dengar jeritan husna marah dan menjerit-jerit atau menangis. Kerana pernah juga cuba stop makan ubat ini kerana rasa dah boleh baik. Namun ternyata ianya ialah pilihan yang silap.
Tak Buat Rawatan Susulan, Tinggalkan Ubat
Maka apa lagi, kami dimarahi oleh pakar psikiatri dekat Hospital PPUM kerana tinggalkan ubat. Kami tidak buat rawatan susulan di Sungai Buloh kerana agak jauh maka PPUM dirasakan lebih sesuai kerana berdekatan. Doktor juga bagi amaran jangan tinggalkan ubat ini lagi.
Ubat ini akan buat kau rasa letih dan penat seterusnya mengurangkan rasa marah atau sedih melampau. Kau akan rasa mengantuk dan lebih suka untuk berehat.
Kalau aku cerita tentang apa yang berlaku pada kami kalau isteri aku tiba-tiba kena panic attack. Pasti kau tidak percaya. Menjerit dan meraung? Itu perkara biasa. Pintu bilik pecah ditumbuk sekuat hati. Meronta macam hilang pertimbangan bahkan pernah juga cuba menikam aku dengan kunci.
Ads
Tidak lawak. Aku boleh menangis fikirkan apa yang berlaku.
Anak-anak? Pastinya terkesan. Macam aku ada dua orang anak, alhamdulillah dua-dua perempuan yang comel. Seorang Maryam Deen dan adiknya ialah Aisyah Deen. Mereka ini ialah penguat perjuangan daddy dan mommy untuk menghadapi perjuangan ini.
Zaman Maryam Deen ialah zaman kami struggle untuk mencari jalan untuk penyelesaian masalah depresi ini. Zaman baru nak kenal penyakit depresi dan mencuba rawatan yang ada.
Zaman Aisyah Deen pula ialah zaman masih struggle tetapi ‘getting better’. Harapnya dose ubat makin turun. Tipulah kalau kami tidak belajar dari apa yang berlaku. Aku sudah makin pandai menjaga husna.
Paling penting ialah jaga emosi husna, tahu bahagian mana yang ok dan yang tak ok.
Kisah Pengorbanan Dan Cinta Suami Isteri
Pengalaman yang ajar aku. Pengalaman yang ‘real’ dan perit. Tetapi inilah kisah pengorbanan dan cinta. Aku harap Maryam Deen dan Aisyah Deen dapat berbangga satu hari nanti bahawa mommy berjaya jadi survivor penyakit depresi. Aminn.
Sekarang Maryam Deen dan Aisyah Deen ialah penguat untuk kami sekeluarga. Daddy and mommy sayang sangat kamu berdua.
Depresi bukan gila tetapi ianya ialah penyakit. Sepertimana organ lain pada anggota badan kita boleh sakit. Begitu juga dengan otak.
Orang lain memang tidak akan faham dengan apa yang kami lalui. Mungkin ada yang mengganggap ini masalah orang tidak ada iman, solat tak khusyuk. Jarang baca al-Quran. Berfikiran negatif dan suka fikir yang negatif sahaja. Acah-acah stress, orang lain pun ada masalah juga dan sebagainya.
Ads
Realitinya Tak Sama
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau meminta orang yang depresi untuk melihat the ‘bright side’. Ia umpama kau meminta orang buta untuk melihat matahari!
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau meminta orang yang depresi bersabar sebab orang beriman kan kuat sabar. Kau biar betul? Kalau orang ada cancer kau suruh dia bersabar juga ke? Atau kau minta dia dapatkan rawatan? Bahkan dalam masa yang sama kau sedar tak yang kau tengah ‘judge’ orang depresi kurang iman.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi baca doa itu, baca ayat itu dan ini supaya depresi hilang. Aku tidak cakap doa itu tiada kesan, kerana Allah sudah nyatakan dalam al-Quran dengan mengingati Allah hati akan tenang. Tetapi kita sedang bercakap depresi dari sudut clinically! Doa ialah sebahagian dari solusi.
Sama seperti kalau kau demam, doa untuk pulih memang boleh. Tetapi kau kena makan ubat dan jumpa doktor juga. Jadi janganlah cakap dekat orang yang depressed, baca je doa, nanti depresi tu hilang.
Ayat Ini Satu Penghinaan Kepada Pejuang Depresi
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi untuk melupakan sahaja semua perkara yang bermain di fikiran. Atau ayat seperti ‘move on’ seolah-olah ada red button yang kau perlu tekan sahaja untuk ‘exit’. Tanpa disedari ayat seperti ini sebenarnya satu penghinaan kepada pejuang depresi, lebih-lebih lagi orang yang bercakap ‘knows nothing about depression’.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi untuk membandingkan diri mereka dengan orang lain. Atau memintanya untuk lihat kesusahan atau dugaan orang lain yang lebih susah. Siap bagi contoh orang itu dan ini kononnya. Lagi sekali, ini ialah penghinaan. Tanpa sedar kau sedang ‘judge’ orang yang depresi ini tidak bersyukur atau lebih sesuai lagi ‘spiritually weak’.
Cukup-cukuplah dengan ayat-ayat seperti ini. Belajar dan kenali depresi itu apa terlebih dahulu. Kau kena sedar mengikut kajian tahun 2020 penyakit mental akan menjadi penyakit no 2 paling tinggi di dunia. Kajian ini ialah kajian rasmi. Maka ini bukan isu untuk segelintir dari kita sahaja, ini ialah isu manusia sejagat.
Depresi BUKAN PENYAKIT ATTENTION SEEKER
Ini satu lagi. Aku pun tidak faham kenapa boleh dapat label sebegini dan ianya berlaku di negara kita. Sedangkan di negara-negara maju, depresi dipandang serius sehingga banyak tempat-tempat kaunselling ditubuhkan. Mereka ‘open’ dan sangat membantu dan memahami keperluan pesakit depresi. Berlaku adil kepada pesakit depresi kerana mereka tahu dan mereka kenal apa itu ‘mental illness’.
Depresi bukan bahan untuk kau ketawa dan perlekehkan. Kau kena belajar untuk kenali tanda-tanda, matang dan bantu yang mana boleh. Kerana depresi ini boleh bersembunyi disebalik senyuman. Kau jangan tertipu. Jaga ahli keluarga masing-masing. Jangan pula berlaku sebaliknya dengan memburukkan lagi keadaan dengan perangai sombong dan rasa diri lebih baik dari orang lain.
Aku impikan satu hari nanti wujud ‘social awareness’ dan seterusnya membentuk ‘social support’ yang mantap dari netizen secara keseluruhan terhadap mereka yang menghadapi depresi.
Bagi kami, perjuangan aku dan bidadariku Husna masih perlu diteruskan. Kami belum lagi menjadi survivor dalam hal ini. Demi Allah, please doakan.
Aku sayang isteri aku. Aku sayang anak-anak aku. Yang pasti, depresi tidak akan sesekali berjaya merobohkan keluarga kami, bahkan akan membuatkan kami lebih kuat dan kuat lagi.
#isterikudepresi p/s : tolong sebarkan, biar lebih ramai tahu dan faham apa itu depresi. Tolong.
MW : Pesan untuk anda yang membaca, jika rasa dalam diri itu ada tanda-tanda DEPRESI.. jangan bertangguh. Segeralah dapatkan rawatan dengan pakar. Kerana penyakit ini bukan sekadar boleh dirawat dengan doa dan solat.
Sakitnya hati bila dapat tahu dalam diam suami rupanya sedang menduakan kita. Pasang niat mahu berkahwin lain. Jika alasannya tersangatlah kukuh, isteri pertimbangkan semasaknya. Ini isteri dan anak-anak pun kadang makan kadang tak, ada hati nak kahwin lebih?
Tak rela. Tak terfikir. Tak terlintas. Tak tercapai dek logik akal yang adik akak semua bakal dimadukan.
Betul?
Tapi kalau ada adik akak yang dah bersedia seawal mula bernikah, anda luar biasa!
Sebab itu sebelum kita melangkah ke alam perkahwinan, perlu untuk persiapkan diri dengan ilmu dan kepentingan serta hak sebagai seorang isteri.
Sebagai bakal isteri, perlu untuk kau tahu apa yang sepatutnya kau minta sebelum dinikahi dan seperti yang kebanyakkan kita tahu, Mahar iaitu Mas Kahwin itu merupakan salah satu syarat dalam pernikahan.
Ini tidak, asik dok sibuk fikir pasal hantaran RM25,000 la, handbag Louis Vuitton la, baju sanding bertatahkan batu Swarovski la, nak Anuar Zain menyanyi kat kenduri la apa la.
Udah-udah ler buang duit tu, ikut kemampuan.
Mahar Tu Tanda Kesungguhan Lelaki Nak Bernikah
Untuk pengetahuan adik akak, Mahar ini merupakan pemberian dari boyfriend atau kekasih hati kepada kau, calon mempelai wanita dimana nilainya ditentukan oleh kau sendiri dan dalam pelaksanaannya nanti nilai tersebut dipersetujui oleh kedua belah pihak.
Kerana itulah dia, Mahar yang merupakan tanda kesungguhan dari lelaki untuk bernikah dan kau berhak menentukannya supaya tak ada penyesalan dalam rumahtangga esok.
Kata nak anak dara orang, takkan yang jantan-jantan ni main sondol sesaja ye tak?
Kata sanggup redah lautan api, kata sanggup genggam bara api menjadi debu?
Suami Tak Boleh Bernikah Dengan Perempuan Lain
Bila ditanya tentang Mahar ini, kau digalakkan untuk meminta supaya selama kau masih hidup dan masih boleh menunaikan kewajipan sebagai seorang isteri, suami tak boleh bernikah dengan perempuan lain.
Biasanya lelaki akan kata Mahar yang kau minta itu tak logik, sepertinya mengharamkan poligami dalam Islam.
Seperti satu diskriminasi buat kaum lelaki yang kononnya gagah perkasa, kacak bergaya dan mampu menjaga lebih dari seorang isteri.
Tak adik akak, langsung tidak.
Para Ulama dah membahaskan tentang perkara ni panjang lebar. Tang mana yang adik akak minta sebagai Mahar tadi kononnya mengharamkan poligami yang dibolehkan dalam Al Quran?
Contoh senang faham, lepas kahwin esok suami tak boleh makan budu sebab isteri tak suka bau dan rasa budu sebab kau akan loya misalnya, adakah itu bererti kau sebagai isteri mengharamkan budu?
Wanita yang meminta syarat Mahar seperti ini adalah kerana baginya ianya berfaedah untuk dia dan anak-anak nanti.
We called it long term investment.
Andai Kata Isteri Tak Mampu Beri Zuriat..
Cuma mungkin untuk adil, kedua-dua pihak kena meletakkan syarat.
Andai kata si isteri tidak mampu memberikan zuriat pada si suami, tugas sebagai isteri memberi zuriat anak tidak tercapai, maka hendaklah dibenarkan suami menikahi orang lain seperti Nelofa atau Aida Jebat.
Tapi, kau yang suami pun tak rugi mana sebab hanya tak boleh buka cawangan baru semasa isteri masih hidup dan semasa dia masih boleh menunaikan kewajipan sebagai isteri.
Kecuali kalau isteri tu sakit bertahun-tahun dan tak mampu jalankan tugas sebagai isteri, haa menikahlah kau lagi dua tiga orang.
Itu dibolehkan oleh Para Ulama.
Dipersetuju dari kitab Al-Mughni karya Ibnu Qudamah halaman 93 iaitu ;
“Yang wajib dipenuhi adalah syarat (yang bakal isteri minta) yang manfaat dan faedahnya kembali pada isteri misalnya, suami takkan membawa isteri keluar dari rumah atau dari kampungnya, tidak kemana-mana dengan membawanya atau tidak akan menikah ke atasnya”
Keperluan Wajib Isteri Dan Anak Tak Terjaga, Tapi Nak Kahwin Lebih
Syarat seperti ini wajib ditepati oleh si suami, untuk si isteri dan kalau tak ditepati maka si isteri berhak meminta dihapuskan nikahnya (bukan jatuh Talak).
Hal ini diriwayatkan dari Umar bin Khattab R.A dan Saad bin Abi Waqas Muawiyah dan Amr bin ‘Ash.
Kadang, isteri kita ni cuma ingin jadi seperti Fatimah, puteri baginda Nabi yang seumur hidupnya tidak dimadu oleh Saidina Ali bin Abi Thalib, sepertinya Khadijah yang selama berumahtangga dengan Rasulullah SAW juga tak pernah dimadu.
Kalau yang lelaki suka mencontohi Rasulullah, kenapa yang wanita tak boleh mencontohi Khadijah dan Fatimah?
Kalau yang lelaki takut dengan syarat-syarat Mahar itu, bunga bukan sekuntum bang. Kemon.
Bernikah lagi itu tidak salah, isteri yang meminta untuk tidak dimadukan pun tidak salah, mereka bukannya mengharamkan poligami.
Yang salahnya kita ni bila keperluan wajib si isteri dan anak-anak pun tak terjaga tapi kita gatal kepala merenyam nak tambah penyakit, itu yang salah.
Kita suami ni cukuplah asik sembang poligami tak habis-habis. Jagalah perasaan isteri, hargai dan selamilah hati isteri.
Dan buat adik akak pula, berlaku adillah pada suami dimana jangan pula aurat kau itu dikongsi dengan lelaki lain seperti mana kau tak ingin dikongsi.
Semoga bermanfaat, in shaa Allah.
MW : Moga bakal isteri lebih faham dan jelas haknya. Tidaklah nanti bakal suami itu senang-senang nak kahwin lebih dari seorang. Padahal kemampuan tidak ke mana.
Sumber/Foto : Mizan Dzai yang juga berkongsi Tips Premier tentang Seni Kehidupan, Perkahwinan dan Perniagaan di Telegram Channel PERCUMA : https://t.me/TipsPremierMizanDzai
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sesunguhnya dalam kehidupan ini tak semuanya dilalui dengan perkara yang indah-indah belaka. Adakalanya, sesuatu yang terjadi menguji kesabaran dan keimananan diri. Namun sebagai hambanya, percayalah apabila sentiasa bersangka baik dengan Allah, akan membuatkan kita sentiasa redha setiap yang berlaku dan aturan takdirnya. Sesungguhnya, Allah tak jadikan sesuatu itu saja-saja dan suka-suka.
Jemput baca perkongsian dariJu Wansebagai satu renungan buat kita bersama.
Bukan suka-suka Allah jodohkan kita dengan isteri yang suka melawan.
Bukan suka-suka Allah jodohkan kita dengan suami yang panas baran.
Bukan suka-suka Allah berikan kita anak yang degil dan nakal.
Bukan suka-suka Allah letakkan kita dalam keluarga yang tak kuat agama.
Bukan suka-suka Allah beri kita anak ramai.
Bukan suka-suka Allah langsung tidak beri anak pada kita.
Bukan suka-suka ALLAH beri kita pelbagai sakit..
Bukan suka-suka Allah aturkan kisah silam kita.. Jika bukan kerana kisah silam itu, kita mungkin akan rasa ‘tak banyak dosa” sangat. Jika bukan kerana kisah silam itu, kita mungkin akan rasa “saya ni baik je”. Jika bukan kerana kisah silam itu, kita mungkin tak bersungguh-sungguh memohon ampun daripadaNYA.
Bukan suka-suka kita seorang je yang dapat hidayah.. Dengan hidayah yang kita dapat tu sebenarnya akan jadi asbab kebaikan untuk orang lain.
Hidup kita Allah yang atur. Isteri kita Allah yang punya. Suami kita juga milik Allah.. Anak-anak kita Allah yang punya. Duit kita Allah yang punya. Kesihatan kita Allah yang punya.
Bersangka Baiklah Dengan Allah
Jadi, jika kita kehilangan duit, suami, isteri anak atau kita sakit maka redhakanlah. Kerana semua itu bukan kita punya. Allah yang punya. DIA boleh bagi kita dan DIA boleh ambil balik daripada kita bila-bila masa saja. Namun usah lupa. Allah itu Maha Penyayang. DIA ambil sesuatu daripada kita sebab DIA nak bagi ‘sesuatu yang lebih besar’ untuk kita. Sesuatu yang sangat kita perlukan yang kita tak pernah tahu. Cuma Allah yang tahu. Bersangka baik dengan Allah perlu kita aplikasikan. Percayalah, apabila sentiasa bersangka baik dengan Allah, kita akan sentiasa redha.
Jadi, usah kecewa. Kita ada Allah. Kita minta pada Allah. Kita minta kekuatan pada Allah. Kita yakin dengan Allah. Kita redha dengan ketentuan Allah. Inshaa Allah akhirnya kita dapat menerima semua kelemahannya dengan hati terbuka. Tetapi, untuk mendapatkan hati terbuka itu, perlukan beberapa perlaksanaan. Antaranya solat malam! Inshaa Allah kekuatan itu kita akan perolehi.
Kita ada Allah! Dan Allah itu ada di mana-mana. Bukan hanya di Mekah dan Madinah sahaja., Jika di Mekah dan Madinah ada tempat-tempat mustajab, di tempat lain juga ada. Jika kita berpuasa, doa kita mustajab. Jika kita solat malam, doa kita mustajab.
Dan Allah telah menggariskan panduan, “Sabar dan Solat”!
Lakukanlah! Dan perlahan-lahan, akhirnya kita dapati Allah akan gantikan semula semua yang DIA ambil dari kita tapi berbeza-beza bentuk pemberiannya. Yang pasti, pemberian itu nyata lebih baik, lebih bagus dan lebih perlu.. InsyaaAllah.
~Allah tak jadikan sesuatu itu saja-saja dan suka-suka~
Ada 1001 pahala dan keistimewaan bagi mak-mak yang mempunyai anak ramai, ini diambil kira ketika nikmat mengandung, melahirkan, menyusukan dan menjaga anak-anak.
Kadang mungkin terlepas keluhan sebab penat sedangkan anak-anak itu adalah rezeki yang sangat berharga daripada Allah. Jadi macam mana nak mengatur perbelanjaan dan kewangan buat mereka yang memiliki anak ramai?
Jawapan itu ada dalam perkongsian Puan Intan Izyan Roslan ini, jemput renungkan dan cedok ilmu yang bermanfaat daripada ibu anak lima.
Penat Ke Anak Ramai
Sebenarnya masa anak kecil-kecil ni memang penat sikit, tapi sikit je la. Sebab ibu still boleh main game kejap, main FB kejap, ada ‘me time’ dan sempat juga dating.
Sememangnya jadi ibu abah ni kena pandai manage emosi, sebab kadang-kadang ada masa kita down juga. Tapi ibu pegang satu ni, kalau ibu penat, ibu jadi emosi kemudian akan mempengaruhi tumbesaran anak-anak. Kesian pulak anak-anak nanti..
So, ibu cuba amalkan tip ini:
SENTIASA INGAT ANAK ADALAH AMANAH & MOHON DOA ALLAH BERIKAN KEKUATAN
Ibu abah memang suka anak ramai. So bila Allah makbulkan doa kami, kami kena sentiasa bersyukur. Kalau tiba-tiba rasa down, memang sebagai manusia kerdil, Allah jua tempat kita mohon pertolongan. Kita takkan mampu didik anak-anak kalau tanpa pertolongan dariNya. Ibu pernah je dulu masa twin lahir jadi stress sampai nak lari dari rumah. Tapi abahnya ajar, istighfar banyak-banyak. So ibu akan masuk bilik biarkan anak-anak nangis sekejap, istighfar dalam bilik. Alhamdulillah tak smpai 5 minit dah tenang, ibu boleh fokus balik jaga balik anak-anak.
SEPAKAT SUAMI ISTERI
Kerja rumah yang banyak dengan kain baju untuk 7 beranak memang tak mampu untuk handle sorang. So ibu abah kena sepakat. Kami tak ada jadual agihan tugas, tapi masing-masing alert dan bergerak ikut keperluan semasa. Contoh ibu tengah suap makan, tiba-tiba ada air tumpah pulak, abah yang uruskan hal lagi satu.
MUDAHKAN KERJA MEMASAK
Ini tip terbaik dari abah! hehehe.. tq abah. Kat rumah, menu memang simple cukup sekadar 2 lauk maksima. Bukan kedekut, tapi untuk elak ibu letih uruskan bahan-bahan masakan lepas itu nak masak dan gosok kuali banyak-banyak. Anak-anak ni goreng ayam kunyit pun boleh tambah 3 pinggan. Jadi nak lengkap zat makanan, ibu biasanya masak sup ayam, ayam paprik dan tomyam campur. Campak semua sayur dalam masakan yang satu tu. Menu ringkas, tapi semua makan bertambah-tambah.
SUAP ANAK-ANAK MAKAN
Nak elak ibu abah penat nak basuh pinggan yang banyak dan bersihkan nasi yang berterabur kat lantai, ibu lagi selesa suap anak makan. Basuh pinggan satu je, meja tak bersepah, yang penting anak dapat rasa air tangan ibu walaupun ada kalanya lauk bungkus.
MINIMAKAN PERABOT RUMAH
Bila anak semua lelaki, confirm semua lasak. Kalau banyak meja, banyak pulak meja derang panjat. Kalau ada pasu stress pulak ibu nak fikir pasu tu pecah ke apa. So, cukupla barang-barang asas je ada kat rumah. Tak ada la letih sangat ibu nak kemas, nak lap habuk mahupun letih fikir barang pecah.
MINTA TOLONG ANAK-ANAK BUAT KERJA RUMAH
Ini sangat penting sebenarnya. Walaupun anak ibu abah 4 lelaki, semua diajar untuk bantu uruskan kerja rumah yang mudah. Idola budak-budak ni semestinya abah! Contoh lepas minum basuh cawan sendiri, kalau air tumpah tolong lap, tolong sangkutkan baju sidai dan tolong bersihkan sisa makanan dan mainan yang bersepah. Secara tak langsung kita ajar anak-anak untuk menghargai ibuabah, rumah tempat tinggal dan semua benda disekelilingnya. Insya Allah bila dah kawin nanti ringan tulang tolong isteri masing-masing.
BAWA ANAK-ANAK KELUAR BERMAIN
Kadang-kadang rasa badan penat sangat tak larat. Terutama kalau hujung minggu banyak kerja rumah nak buat. Solution bawa anak-anak keluar bermain kat playground atau pun pergi padang main bola. Anak-anak pun seronok boleh main, ibu abah pun boleh dating sambil-sambil tengok anak-anak main. Rasa rehat sikit. Alhamdulillah di Putrajaya banyak taman dan padang nak bawa budak-budak ni. View tasik pun cantik. Memang tenang.
KAWAL TINGKAH LAKU ANAK-ANAK
Ibu abah agak tegas dengan anak-anak. Tak garang tapi ajar disiplin, apa yang boleh dan tak boleh serta terangkan kenapa. Alhamdulillah budak-budak ni faham dan tak lasak sangat di rumah. Gaduh sikit-sikit tu biasa. Sebab kami amalkan bagi reward atas setiap kelakuan baik. Reward tak besar pun, just bawa jalan-jalan taman, tak pun beli mainan RM2. Beli buku tulis pun derang dah seronok. Oh ya, pengambilan gula memang terkawal. Nak anak-anak behave gula perlu dikurangkan. Pengalaman kami, segelas sirap pun boleh buat budak-budak ni tak duduk diam.
Itu je dapat ibu kongsikan. Semoga anak-anak kita sentiasa di bawah perlindunganNya dan kita diberikan kekuatan dalam membesarkan anak-anak. Lain orang lain situasi. Mana yang sesuai, boleh amalkan bersama.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...