
Isteri bertahan demi anak, ini nasihat peguam syarie buat wanita tidak dengan perangai suami.
Bukan semua isteri bernasib baik mendapat suami yang rajin mencari rezeki dan bertanggungjawab terhadap keluarga. Ada yang terpaksa bekerja keras siang malam demi memastikan anak-anak cukup makan dan segala keperluan rumah terjaga sedangkan suami lebih selesa berpeluk tubuh.
Lebih menyedihkan, ada suami yang sihat tubuh badan dan mampu bekerja tetapi langsung tidak berusaha mencari nafkah. Akhirnya, isteri terpaksa mengambil alih tanggungjawab yang sepatutnya dipikul bersama. Malah ada yang hidup seolah-olah ibu tunggal walaupun masih bersuami.
Namun, demi anak-anak, ramai isteri memilih untuk terus bertahan. Hakikat inilah yang turut disentuh Peguam Syarie Fahmi Ramli apabila berkongsi tentang nasib wanita yang terpaksa menanggung beban rumah tangga akibat sikap suami yang tidak bertanggungjawab.

Isteri bertahan demi anak, suami hanya goyang kaki
Tanyalah mana-mana wanita, tiada seorang pun yang mahu berkahwin untuk menderita. Namun hakikatnya, ramai wanita di luar sana hidup seolah-olah mereka adalah ibu tunggal, walaupun mereka masih bersuami. Mereka menanggung beban menguruskan anak-anak, bekerja mencari nafkah dan mengurus rumah tangga sendirian.
Lebih menyedihkan apabila ada wanita yang menanggung segala perbelanjaan keluarga meskipun suami mereka sihat dan mampu bekerja.
Berikut adalah beberapa punca utama keadaan ini berlaku:-
1. Suami Banyak Hutang Peribadi
Ramai lelaki tidak membuat perancangan kewangan sebelum berkahwin. Mereka memikul beban hutang seperti pinjaman peribadi, kad kredit, atau kereta mewah yang melebihi kemampuan. Akibatnya, tanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak terabai kerana wang habis membayar hutang.
2. Pembaziran Oleh Suami
Pembaziran seperti langganan perkhidmatan yang tidak perlu (contohnya Astro atau Netflix) atau pembelian barangan seperti rokok dan vape adalah antara punca lain. Walaupun perkara ini tidak memberi manfaat, ia tetap menjadi keutamaan berbanding keperluan keluarga.

3. Suami Malas Atau Tidak Mahu Bekerja
Ada juga suami yang enggan bekerja atau tidak berusaha untuk mencukupkan keperluan keluarga. Lebih menyedihkan apabila mereka bergantung kepada isteri atau keluarga untuk menyara hidup. Perkara ini menimbulkan beban mental dan emosi kepada isteri.
4. Suami Berpoligami Tanpa Kemampuan
Poligami memerlukan tanggungjawab kewangan yang besar. Namun, ada lelaki yang tetap berpoligami walaupun tidak mampu dari segi kewangan, menyebabkan isteri dan anak-anak sedia ada terabai.
Anda mungkin berminat dengan
5. Bekas Suami Tidak Faham Tanggungjawab Nafkah
Selepas perceraian, ada bekas suami yang enggan memberi nafkah anak dengan alasan anak tinggal bersama ibu. Ini menunjukkan kurangnya pemahaman tentang tanggungjawab sebagai seorang bapa.
Mengapa Ramai Wanita Masih Bertahan?
Sebahagian besar wanita memilih untuk bertahan demi anak-anak. Mereka bimbang anak-anak membesar tanpa bapa atau kehilangan figura seorang ayah. Namun, Peguam Syarie Fahmi Ramli menegaskan bahawa perceraian itu dibenarkan dalam Islam sekiranya perkahwinan tersebut mendatangkan mudarat. Islam tidak memaksa wanita untuk terus hidup dalam penderitaan akibat suami yang tidak bertanggungjawab.
Pilihan Di Tangan Anda
Wanita yang hebat dan kuat, pilihan untuk meneruskan atau menamatkan perkahwinan berada di tangan anda. Jika anda masih ingin memberi peluang kepada suami untuk berubah, berikhtiarlah. Namun, jika penderitaan itu berlanjutan, percayalah bahawa perceraian bukanlah satu dosa. Ia adalah jalan yang dibenarkan untuk menjaga kebajikan diri anda dan anak-anak.
Semoga setiap pengorbanan anda sebagai isteri dan ibu mendapat ganjaran besar dari Allah. Kehidupan anda dan anak-anak adalah tanggungjawab anda. Pilihlah jalan yang terbaik untuk kebahagiaan dan ketenangan hati anda.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

