Mak anak ramai ini cabarannya memang tak terduga. Lagi-lagi bila minta anak buat kerja rumah. Kalau tak sabar, mak bukan takat jadi tarzan, naga.. gorilla semua keluar. Apa pun membesarkan anak agar mereka memahami tanggungjawab bukan satu pekerjaan yang enteng.
Sebenarnya, baik perempuan mahupun lelaki, mereka perlu diajar tanggungjawab buat kerja dapur. Sama rata. Inilah yang cuba disampaikan oleh Puan Farizah Shamsudin, 43.
Ibu anak 5, yang mana masing-masing berusia antara 7 tahun hingga 17 tahun. Cuma, kali ini anak perempuan kecilnya, Syahindah Humaira, 7 tahun menguji kesabarannya sebagai ibu. Bila diminta buat kerja rumah.. buat tak dibuat. Tapi ‘slow’ yakmat. Macamana ibu ini tunjukkan reaksi?
Terdengar Keluhan Berat Bila Diminta Basuh Pinggan
Selesai makan, dia letak pinggan ke dalam sinki. Basuh tangan laju-laju dan bersedia untuk beredar….
“Haipp…!”
Langkah terhenti.
Mata terkebil-kebil pandang mama yang tiba-tiba dah tercegat di belakang.
“Basuh pinggan!”
Pantas mama bagi arahan sebelum dia sempat lari jauh-jauh. Terus dia balas dengan muka macam kucing lemas kena siram air.
“Alamaaak… tak sempat Syahindah nak jadi patung.”
Terdengar satu keluhan berat sebelum dia perlahan-lahan berpaling semula ke arah sinki. Wajah kecewa kerana hajat yang terputus di tengah jalan.
Dia Buka Air Laju-laju, Main Air Sabun
Kurang satu minit, riak wajah itu dah bertukar rupa, bersinar-sinar macam matahari baru terbit. Rupanya ada mentol sedang menyala-nyala dalam minda!
Ads
Dia buka air laju-laju. Tadah pinggan kotor. Tutup air. Celup span dalam air sabun. Perah span sampai kempis. Isi penuh-penuh dalam pinggan sampai berbuih-buih. Celup lagi. Perah lagi. Ulang lagi dan lagi. Wajah bahagia tanpa sedikit pun rasa bersalah.
“Syahindah ni memang suka main sabun.”
Mulut bersuara tanpa ditanya. Konon macam Chef Wan dalam rancangan masakan. Sambil campak ramuan sambil ajar. Gitu.
Mama perhatiiii saja dengan nafas turun naik. Ingatkan dah menang tanpa bertanding, rupanya ada ujian tahap dua. Ini ujian maha halus. Melibatkan jiwa dan raga. Tak mahu kalah, terus mama meratib laju-laju dalam hati.
Selepas beberapa ketika, akhirnya dia pun angkat tinggi-tinggi pinggan yang dah siap berbasuh sambil sengih lebar-lebar tayang gigi.
“Ok, dah bersih!”
“Thank you Syahindah!”
Saya hadiahkan dia ciuman paling manis. Paling bersari!
Ads
Fuhh! Hampir berjanggut kali ini mama terpaksa tunggu dia selesai membasuh sebiji pinggan. Ya, hanya sebiji pinggan untuk tempoh lima minit. Mengigil buku lali! Hati pun dah ada percikan api.
Mencabar Bila Minta Anak Buat Kerja Rumah
Begitulah. Cabaran nak minta anak buat kerja rumah bukan calang-calang. Nampak remeh, tapi penting. Tak selamanya berjaya dan tak selamanya juga gagal. Ada hari saya mampu tersenyum sampai ke telinga. Ada ketika saya mengamuk macam singa!
Isu culas? Biasalah. Sedangkan dewasa pun sarat dengan isu lari dari tanggungjawab, inikan pula kanak-kanak yang baru kenal hidup.
Lalu cabaran kita sebagai ibu bapa adalah memahamkan mereka bahawa tanggungjawab itu bukan sejenis hobi yang kita punya pilihan untuk melakukannya atau tidak. Sebaliknya, ia adalah satu kemestian yang mahu tidak mahu, satu hari nanti kita memang perlu ambil tahu dan buat!
Lalu, bagaimana mahu membiasakan anak-anak untuk menerima tanggungjawab tanpa berdolak-dalik lagi. Atau muka masam mencuka. Atau bertolak-tolakkan sesama mereka. Abang suruh adik. Adik jeling kakak. Kakak jegil pada adik-adik.
Akhirnya Ibu Praktik 3 Pendekatan : ‘Berdesup Anak Buat Kerja Rumah’
Peringkat 1 – Pendedahan
Haramkan ayat ini dalam hidup kalian – ‘Tak apa. Dia masih kecil lagi’.
Ads
Ini ayat makan diri namanya. Tidak perlu terlalu terikat dengan umur. Peringkat umur yang sesuai untuk mula didedahkan dengan tanggungjawab, sangat subjektif. Dua tahun? Tiga tahun? Empat tahun? Tidak ada masalah jika mereka sudah menunjukkan tanda-tanda berminat untuk turut serta melakukannya. Kita lebih kenal kemampuan mereka.
Nampak mereka dah boleh diharap angkat pinggan? Biarkan.
Takut pinggan mahal pecah? Bagi pinggan plastik.
Dah boleh jemur baju? Silakan.
Yang penting, berikan pendedahan dengan tugasan yang mudah. Jangan sesekali memandang rendah kebolehan mereka berdasarkan faktor umur. Potensi anak-anak berbeza antara satu sama lain. Pendedahan dapat memancing kebolehan dan kemahuan mereka.
Mulakan dengan tanggungjawab untuk diri sendiri dulu. Kemudian baru luaskan untuk bantu orang lain juga. Biar mereka berasa diri mereka sama penting dan diperlukan, seperti orang lain.
Peringkat 2 – Pemahaman
Biar dia faham, di peringkat awal yang diutamakan adalah USAHA. Bukan hasil.
Jadi, nampak hasil yang kurang memuaskan, usahakan ’wat lek wat pis’ saja. Baiki dan bimbing dari masa ke semasa. Salah satu sebab manusia kecundang sebab dia tak mendapat kepercayaan. Bila tak dipercayai, keyakinan dirinya akan merudum. Benda yang mudah pun akan jadi sukar. Practice make perfect! Lama-lama oklah….
Yang penting, hargai usaha dia. Puji. Itu perlu sebagai makanan motivasi. Puji pada setiap peningkatan. Bukan hanya tahu marah pada kesalahan sahaja. Biar mereka tahu, kita sedar dan peka dengan setiap usaha yang mereka buat. Gagal atau berjaya, raikan.
Kita mahu mereka terbiasa membantu kerja rumah tanpa rasa terbeban. Malah meraikannya sebagai sebahagian daripada kehidupan.
Nampak dia terkial-kial? Tak apa. Jangan cepat sangat cair kalau anak buat muka simpati. Belajar ‘membaca’ fikiran dia. Kalau nampak seolah dia memang nak lari dari tugas dengan sengaja, maka wajiblah keraskan hati. Ini ujian jiwa raga. Perlu ketahanan mental yang tinggi kalau nak lihat hasilnya yang baik di masa akan datang. Tunjukkan bahawa hati kau keras macam Roy! Langsung tidak terjejas atau terancam dengan sebarang propaganda.
Kalau dia nampak stres dan perlu bantuan, tawarkan bimbingan. Bukan ambil alih. Ingat ya. Bukan ambil alih!
Penting untuk mereka faham bahawa jika mereka tak lakukan sendiri, tak ada siapa yang akan buatkan untuk mereka. Jangan mudahkan jalan untuk mereka lari daripada tanggungjawab.
Peringkat 3 – Penguatkuasaan
Kalau kita sejenis manusia yang malas nak ulang arahan banyak kali, ambil kertas dan tampal di dinding. “Basuh pinggan selepas makan.” Contoh cenggini ha! Nak lagi power, kau ikut mereka macam bayang-bayang selagi tugas tak diselesaikan. Biar stres sampai ke urat nadi.
Itulah yang saya lakukan jika saya dapat kesan siapa yang punya angkara. Saya akan kejar sampai ke lubang cacing! Huh! Dah beritahu berkali-kali, lagi mau lari? Tidak hairanlah untuk hal yang satu ini, sehingga sekarang mama kekal dengan gelaran singa, abah… arnab.
Kalau perlu ulang sehingga 365 hari berturut-turut, silakan.
Kesulitan hari ini adalah untuk kesejahteraan masa hadapan. Gitu.
Suami ceraikan isteri. Perkara yang sebolehnya tidak ingin berlaku kepada suami isteri. Janji dan ikrar yang dibina ebelum berkahwin dengan harapan berkekalan hingga ke akhir hayat.
Namun, tiada siapa yang menduga dan menyangka kasih yang disemai selama ini berakhir. Jika perkahwinan masih baru, mungkin boleh dianggap sebagai belum kenal hati budi dan ambil keputusan tergesa-gesa.
Tapi bagaimana pula dengan perkahwinan yang sudah menjangkau 30 tahun. Adakah ia masih lagi tidak kenal hati budi, baik buruk pasangan dan sebagainya. Cukup sedih jika keadaan ini berlaku.
Suami ceraikan isteri, antara alasan yang selalu diberikan kerana sudah bertemu dengan orang lain yang sangat memahami. Cukup senang alasan yang diberikan.
Sedangkan isteri yang selama ini sanggup berkorban, menjaga rumahtangga dengan baik pun tidak pernah pula dihargai.
Kalau keadaan ini berlaku, apa yang patut isteri lakukan. Inilah antara hujah yang diberikan oleh Suriati Ghani, peguam syarie untuk isteri membuat tuntutan yang sepatutnya.
Suami Ceraikan Isteri, Tuntutan Mut’ah Untuk Mulakan Hidup Baru
Menyedihkan, isteri yang sanggup berhenti kerja dan menumpukan 100% pada rumahtangga. Malah, usia perkahwinan bukanlah setahun jagung, sudah menjangkau 30 tahun. Tapi hati suami tertarik pada orang lain, jodoh katanya.
Dalam kes ini, dengan keadaan isteri yang tiada pendapatan dan tidak bekerja, bagaimana mahu teruskan kehidupan. Jalan terbaik adalah dengan mengemukakan tuntutan mut’ah.
TUNTUTAN MUT’AH – SELEPAS BERLAKU PERCERAIAN
Mesti ada saudara mara kita @ kenalan kita yang senasib macam ni. Fikirkan macam mana nak mulakan hidup baru apabila diceraikan suami. Cerai berai ni sesuatu yang tak dijangka, tak diminta tapi kalau memang Allah dah tentukan itu takdir kita walaupun dah lama kawin, kena terima dengan redha.
Boleh tuntut mut’ah, digunakan untuk memulakan hidup baru tanpa suami. Buktikan sepanjang tempoh perkahwinan puan-puan telah banyak berkorban untuk rumahtangga contohnya:
a) Melayan keperluan zahir suami
b) Menjaga & menguruskan anak-anak
c) Sanggup melepaskan jawatan dengan berhenti kerja untuk menguruskan rumahtangga
d) Dengan pengorbanan di atas, suami dapat bekerja dengan tenang & selesa bertahun-tahun sehingga pendapatan suami semakin stabil.
Mingguan Wanita : Mungkin dengan cara ini sajalah dapat membantu isteri untuk memulakan hidup baru. Moga ia bermanfaat dan jadi panduan buat bekas isteri di luar sana.
Menguruskan rumah tangga dari awal pagi hingga tengah malam bukan satu tugas yang mudah buat mak-mak. Bukan mengungkit namun ada ketikanya bila terlalu kepenatan mak-mak akan mood swing, dari elok-elok boleh jadi emosi secara tiba-tiba.
Kadang-kadang tanpa sedar akibat kepenatan, anaklah menjadi mangsa kepada mak-mak. Padahal sikapnya bukan begitu tetapi bebanan kerja di pejabat dan di rumah berganda membuatkan mereka jadi kepenatan.
Oleh sebab itu, bila suami dapat kesan punca isteri “mood swing” disebabkan kepenatan, suami kena ringankan beban dan kongsi tanggungjawab uruskan rumah tangga Bersama. Tak dapat tolong banyak, sedikit pun sudah membuatkan isteri merasa lebih tenang.
Ikuti perkongsian Hafizul Hakim ini dan hadam baik-baik:
Isteri sangat letih dan penat…
Punca utama isteri kita ‘mood swing’ sebenarnya disebabkan kepenatan. Mental dan fizikal. Seharian menguruskan kerja di pejabat dan di rumah.
Mereka ini bangun paling awal, tidur paling lewat.
Nak siapkan anak di sekolah, buat sarapan, mengurus bayi, ambil anak-anak sekolah, sediakan makanan, mengemas, mencuci dan sebagainya.
Mereka bukan bekerja 8 pagi hingga 5 petang. Tapi 430 pagi hingga 12 tengah malam.
Sebagai suami, kita ringankan beban mereka. Share tanggungjawab bersama.
Isteri buat sarapan, kita kemaskan anak-anak ke sekolah.
Kemudian isteri lipat baju, kita buang sampah.
Selepas itu, isteri sediakan makanan, kita kemaskan katil anak-anak lepas tidur.
Kalau pejabat dekat, bawa isteri lunch sesama.
Suami Kena Kongsi Tanggungjawab
Kalau dia kenyang, offer cuci rambut di salon. Bukan selalu.
Rumahtangga perlu ada tolak ansur dan perbincangan. Barulah kekal bahagia. Haa gitu.
MW: Rumah tangga ini memerlukan suami isteri saling memberi, tak bermakna bila ayah jadi suami hanya perlu menerima saja. Bila saling memberi barulah bahagia rumah tangga.
Allahuakbar… sampainya hati seorang pengasuh letak mayat bayi Adam Rayqal Mohd Sufi, lima bulan, dalam peti ais. Ini Kejam!
Sungguh tragis… tak dapat bayangkan macam mana perasaan seorang ibu, Farah Madiha Othman, 28 yang berada di tempat kerja terus bergegas pulang apabila tahu berita kehilangan anaknya.
Semalam tular pengasuh menyatakan bayi lelaki itu kena culik dengan lelaki tak dikenali tetapi ditemui sudah meninggal dunia di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, Gombak.
Ditemui Di Dalam Peti Rumah Pengasuh
Mayat Adam Rayqal ditemui kira-kira jam 11 malam tadi dan disorokkan dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak yang membuat pemeriksaan di rumah berkenaan.
Apa yang cukup menyedihkan, mayat bayi berkenaan ditemui lengkap dengan pakaian namun berbalut kain napkin dan disumbat dalam beg berwarna hijau.
Sebijak mana pengasuh itu cuba menipu, namun mayat Adam Rayqal ini akhirnya ditemui selepas siasatan polis mendapati terdapat keraguan dalam keterangan pengasuhnya.
Polis kemudian membawa pengasuh berkenaan ke rumahnya sebelum ditunjukkan lokasi mayat bayi itu disimpan.
Pengasuh Disiasat!
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis menahan dua suspek iaitu pengasuh yang berusia 33 tahun serta rakan serumahnya yang berusia 36 tahun.
Mayat bayi berkenaan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
Petang semalam, selepas tahu anak kecil ini yang konon dilarikan orang tak dikenali, bapa bayi itu, Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28, siap memuat naik gambar Adam di laman sosial miliknya meminta orang awam membantu mengesan anaknya itu.
Takziah kepada keluarga mangsa dan semoga kes ini menjadi pengajaran untuk mak ayah lebih berhati-hati dengan pengasuh yang menjaga anak-anak.
AL-FATIHAH.
Info: Harian Metro
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Black hadiahkan kereta mewah idaman isteri. “Kadang-kadang kita terlalu mencari yang sempurna, sampai terlupa untuk hargai yang selalu ada di sisi” Inilah ungkapan penuh...