Benar bukan saja isteri, suami juga perlukan ‘me time’ atau masa sendirian untuk dirinya sendiri. Namun, tak perlukan sampai suami menipu, mempersendakan isteri apatah lagi mengada-adakan sesuatu yang tiada.
Walau sudah mendirikan rumah tangga, ada sesetengah suami yang masih berkeinginan untuk melepak dengan kawan-kawan. Ada isteri yang faham dan sebaliknya juga.
BroOhsem, Akhtar Syamir mengulas tindakan gambaran segelintir suami yang terpaksa menipu isteri demi dapat melepak dengan kawan-kawan.
Isteri Call, Kawan-kawan Suami Support
Maaf cakap la, benda macam ni memalukan sungguh. Saya tak rasa kelakar pun.
Isteri call dan kawan-kawan support dengan baca surah Al Fatihah. Mungkin ingin menggambarkan yang si suami sedang dalam majlis ilmu atau di Surau / Masjid.
Apa ke teruk sangat komunikasi antara suami dan isteri sampai perlu menipu untuk lepak bersama kawan-kawan? Perlu ke sampai seperti mempersendakan surah Al Fatihah?
Ads
Teruk weh macam ni, serius cakap. Tak boleh ke berterus terang dengan pasangan yang korang nak lepak? Saya faham, suami pun perlukan ME TIME jugak. Perlu ada masa nak santai, borak, jumpa member. Selain mengeratkan silaturrahim, kadang-kadang kawan boleh jadi penyelesai masalah atau sahabat untuk mendengar.
Saya nak sarankan semua pasangan, berbincanglah pasal perkara ni. Para isteri pun tolong faham sama. Asalkan tak terlalu kerap sampai mengabaikan keluarga atau buat perkara yang tak baik, apa salahnya kan? Bincang elok-elok lepak kat mana, dengan siapa, sampai pukul berapa?
Ads
Janganlah marah kalau si suami terlewat dan jangan pula sekejap-sekejap mesej atau telefon. Itu boleh memalukan suami.
Pokok pangkalnya pembahagian masa tu perlulah bersesuaian. Janganlah sentiasa bersama kawan, isteri dan anak dipinggirkan. Minggu ni memancing, minggu depan ride motor, minggu lagi satu futsal, habis bila masa dengan keluarga? Memanglah selalu jumpa kat rumah, tapi tak sama bila kita fokus masa dengan keluarga.
Perhubungan Perlukan Kerjasama Dua Pihak
Lagi satu, perhubungan ini bukan sebelah pihak sahaja. Jika si suami rasa dia perlukan masa dengan kawan-kawan, isteri pun sama. Diorang pun ada kalanya nak keluar dengan kawan dan buat benda-benda yang wanita suka buat. Pergi shopping ke, window shopping ke, kedai emas, makan-makan dan sebagainya.
Percayalah, tak semua lelaki suka masuk 10 kedai tapi tak beli apa atau masuk kedai emas lama-lama.
Ads
Kat sini pentingnya kenal dengan kawan-kawan pasangan. Dari situ boleh bina kepercayaan dan yang paling penting, keselamatan.
Jika selama ini suami perlu menipu untuk melepak dengan kawan, apa kata tak perlu menipu dah? Cuma ingat sahaja batasannya dan seimbangkan masanya. Tak bestlah kalau terpaksa baca surah Al Fatihah untuk tipu isteri.
Boleh?
Mingguan Wanita : Menipu itu satu perkara, mempersendakan agama itu satu perkara. Sebaiknya suami isteri belajarlah untuk berkomunikasi dengan sebaik-baiknya. Agar tidak perlu sampai mempersendakan hubungan perkahwinan yang dibina atas dasar kasih sayang.
Setelah berumah tangga dan memiliki anak, ada pasangan suami isteri yang memilih untuk sama-sama bekerja bagi menampung keperluan. Setengahnya pula bila anak semakin ramai, lebih selesa meminta isteri menguruskan anak dan keluarga sepenuh masa.
Segalanya bergantung kepada kehendak masing-masing, jadi jangan anggap orang lain yang bekerja seorang diri menganggap mereka tidak berkemampuan kerana hidup ini adalah pilihan.
Kerja seorang cukup ke? Biarlah tak mewah tapi paling penting boleh spend masa pada bila-bila masa bersama keluarga. Ikuti perkongsian Firdaus Shakirin ini dan hadam baik-baik ya.
Kerja Seorang Cukup Ke?
Pernah hamba Allah ini tanya saya,
“Kau kerja seorang, cukup ke…lepas ke…”
Saya jawab, alhamdulillah, cukuplah untuk anak bini… Boleh lah juga bagi mereka selesa walaupun tak mewah mana… Saya tanya balik, kenapa…
“Tak lah, buatlah kerja lain… yang boleh tambah pendapatan lagi…”
Eh, tak naklah… Saya rasa ok saja dengan pendapatan sekarang… Cara hidup kena adjust ikut pendapatan…
Kita yang kena mencukupkan apa yang tak cukup berdasarkan apa yang kita ada sahaja…
Biarlah Hidup Tak Mewah
Kerja lebih macam mana pun, habis macam itu juga sebab lagi banyak kita dapat, lagi macam-macam yang kita commit…
Kita cari jalan untuk ringankan beban, tapi dalam tak sedar, kita tambah pula beban…
Mungkin ada yg pendapatan makin tinggi, tapi hidup maintain sama, maka alhamdulillah…
Tapi kebanyakannya yang berlaku, bila pendapatan makin tinggi, maka automatically gaya hidup mesti berubah… Banyak benda yang diupgrade…
Bila sudah upgrade serba-serbi, dia akan rasa pendapatannya sekarang itu pula tak cukup… Kena cari lagi, buat lagi kerja lain…
Selepas itu saya tambah lagi, sekarang ini masa saya untuk keluarga… Anak-anak kecil lagi… Moments anak-anak masa kecil ini tidak akan boleh berulang lagi…
Jadi sekali saja dan sekelip mata… kalau masa ini kita sibuk, maka tanpa kita sedar, anak sudah pun besar, sudah nak masuk sekolah…
Saya hendak ada waktu mereka kecil… Saya perlu ada ketika mereka kecil…
Banyak sudah suruh buat kerja lain, part time tambah duit… So far, alhamdulillah… Walaupun tak mewah, tapi cukup… Itu sudah memadai… Dapat spend masa dengan family itu tersangatlah best…
MW: Hidup ini adalah pilihan, oleh itu hiduplah dan hormati cara hidup orang lain. Betul tak mak, ayah??
Mak ayah mana yang tak sedih andai anak-anak tidak ada matlamat dalam hidup. Suruh belajar malas. Bila tanya cita-cita, katanya lepas belajar nak kerja sebagai penghantar makanan saja. Bukan merendahkan sebarang kerja, asalkan halal tak mengapa. Tapi, sebagai mak ayah pasti ingin yang terbaik untuk anak. Lebih-lebih lagi mereka sedar anak itu berpotensi besar untuk berjaya dalam pelajaran. Ikuti luahan hati seorang ibu ini.
Assalamualaikum Puan. Saya ibu kepada tiga orang cahaya mata. Dua perempuan dan seorang lelaki. Saya seorang guru dan begitu juga suami.
Saya mengalami dilema yang mungkin ada ibu bapa yang bergelar pendidik turut mengalaminya. Orang kata, didik anak orang jauh lebih mudah daripada didik anak sendiri.
Dua Anak Perempuan Cemerlang
Dua anak perempuan saya iaitu yang sulung dan nombor dua sangat mendengar kata dan cemerlang dalam akademik. Keduanya kini sedang mengikuti pengajian di dua buah universiti tempatan. Saya tak ada masalah dengan mereka. Tapi, berbeza dengan anal lelaki.
Ketika UPSR, dia mendapat keputusan yang cemerlang, semua mata pelajaran A. Tentu saya dan suami sangat gembira. Tapi semakin meningkat remaja, dia menunjukkan penurunan prestasi yang teruk dalam bidang akademik. Keputusan PT3 dulu sangat mengecewakan walau pun semua kredit.
Ada Lebih Masa
Kini dia bakal menduduki SPM dan bila dianjakkan ke tahun hadapan, saya dan suami menarik nafas lega kerana ada ruang untuk anak kami itu membuat persediaan. Tapi yang merungsingkan kami bila anak itu tak menunjukkan langsung minat belajar. Puas disuruh baru belajar. Hantar tuisyen tapi keputusan tetap tak memberangsangkan.
Saya dan suami tak tahu lagi apa yang patut dilakukan. Rasa gagal dan kecewa bila anak sendiri tak mampu dididik. Risau dengan masa depannya kelak. Pernah kami tanya apa dia nak jadi kalau tak minat belajar. Katanya, ulat dalam batu pun boleh hidup asal usaha. Katanya dia tak kisah nak kerja sebagai penghantar makanan asal tak perlu masuk kolej.
Puan, sedih saya dibuatnya. Bukan pandang rendah pada orang yang cari rezeki sebagai penghantar makanan. Tapi, harapan saya tinggi, nak juga lihat dia macam kakak-kakaknya. Saya tak kisah, kalau dah ada ijazah, kerjalah apa saja. Nak jadi petani sekali pun saya okay. Asalkan jadi petani yang berilmu. Baru boleh maju dan bukan di takuk yang sama saja.
Bagaimana saya nak sedarkan dia betapa pentingkan pendidikan…Saya dah habis cara. Dia umpama tak fikir panjang soal masa depannya.
Ibu risau. Melaka.
Jawapan Kaunselor
Foto: Pexels
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah..
Setiap ibu bapa mahukan kejayaan untuk anak-anaknya. Kejayaan dunia dan kejayaan di akhirat. Lazimnya, kejayaan dalam akademik adalah kayu pengukur yang menjadi kebanggaan ibu bapa.
Ibu bapa yang mementingkan pendidikan lazimnya sanggup bersusah payah menyediakan segala keperluan anak demi mencapai kejayaan pencapaian akademik hingga mendapat ijazah. Majoriti Ibu bapa memang meletakkan harapan yang tinggi terhadap anak. Harapan agar anak berjaya dalam akademik, hingga mampu mengharumkan nama sama ada di sekolah, di peringkat daerah , malah negeri akan menjadi kebanggaan ibu bapa yang tiada nilainya. Seboleh mungkin jika ada anak tujuh orang contohnya, mereka mahu ke tujuh-tujuh mencapai kecemerlangan yang lebih kurang sama.
Ikut Penilaian Umum
Perpektif kita sebagai ibu bapa tentang kejayaan adalah dalam penilaian yang diterima umum. Namun kini ramai ibu bapa agak kecewa kerana anak tidak mengikut cara dan perspektif yang ibu bapa tentukan. Bagi anak, kejayaan bukan dengan mencapai kecemerlangan dalam akademik hingga dapat melengkapkan pengajian ke peringkat ijazah.
Bagi mereka, tugas atau kerja yang menyeronokkan itulah kejayaan dan kebahagiaan. Perkara yang membebankan bagi mereka seperti berhempas pulas belajar adalah seperti menyiksa diri. Walhal kefahaman kita, kehidupan sememangnya begitu, perlu kekuatan minda, kekentalan jiwa dan ketahanan fizikal.
Mak Ayah Terlebih Beri Tumpuan
Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada anak yang tidak mahu meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Pertama, ini banyak berlaku kepada anak bongsu. Kadang-kadang kita (termasuk saya) terlupa, kita beri terlebih tumpuan dari segi material, masa, dan kasih sayang dan layanan kepada anak bongsu.
Bagi kita, layanan terhadap semua anak adalah sama, namun kita tidak perasan bahawa secara tidak langsung layanan kita terlebih kepada anak bongsu. Ketegasan dalam mendisiplinkan anak bongsu lazimnya kurang berbanding dengan adik beradiknya yang lebih tua daripadanya.
Perkara ini hanya disedari oleh anak-anak yang lain, bukan dari pandangan kita. Mungkin benar, mungkin sebaliknya. Namun itulah hakikat yang dapat dilihat pada kebanyakan ibu bapa cara layanan dan tumpuan kita terhadap anak bongsu ada perbezaan jika dibandingkan terhadap anak-anak lain.
Justeru, kelebihan layanan dan tumpuan ini boleh diambil kesempatan oleh anak. Kedua, faktor jantina juga boleh mempengaruhi. Anak lelaki memang kurang tumpuan dan kurang ketaatan kepada pelajaran berbanding anak perempuan. Mereka cepat bosan, tidak suka kerja-kerja rutin yang tertumpu kepada satu tugas (seperti belajar) dan sukakan sesuatu yang “adventure”, suka melakukan tugas yang menggunakan kemahiran dan kekuatan fizikal serta pengalaman luar yang mencabar.
Puan seorang guru, puan tahukan perbezaan pelajar lelaki dan pelajar perempuan.
Ketiga, pengaruh sosial media, penggunaan gajet, kemudahan internet menjadikan mereka terbuai dan lalai dengan tugas hakiki mereka iaitu belajar. Keseronokan yang dirasai dengan kehadiran “dunia fantasi” boleh mempengaruhi minda mereka ke arah yang leka dan tidak berjejak di bumi nyata.
Faktor lain pula ialah mempunyai anak sebegini adalah ujian untuk kita. Anak adalah ujian. Jika apa yang kita mahu dan kita rancang itu menjadi realiti, maka tidak adalah ujian dalam hidup. Selalu ingat, Allah beri kita anak yang sihat dan baik, itu juga adalah kejayaan kepada ibu bapa.
Mak Ayah Letak Jangkaan Tinggi
Sebagai ibu bapa kita sering meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap anak. Seolah-olah kita mahu memenuhi impian kita, bukan impian mereka. Mungkin kita tidak dapat semasa kecil atau dalam hidup kita, tetapi kita mahu ianya dilaksanakan oleh anak agar impian tercapai.
Logiknya apa yang kita mahu daripada anak itu betul, sebab kita tahu bagaimana mencorakkan kehidupan yang lebih untuknya, kita tahu bahawa ilmu perlu dalam hidup, kita tahu cabaran dalam kehidupan. Namun sebaliknya ia tidak dapat ditafsir dan dinilai oleh anak kerana faktor luaran yang lebih menarik. Kita hanya mampu berdoa agar anak kita menjadi anak yang soleh.
Kadang-kadang kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Mungkin anak yang sebeginilah yang akan bersama kita hingga ke hari tua. Kita mungkin kata dia dan kita akan bahagia jika dia punya ilmu yang tinggi dan pekerjaan yang baik. Itu belum tentu menjadikan dia anak yang baik yang boleh mendoakan untuk kita. Mana tahu jika dia tidak menjawat jawatan yang tinggi, tidak punya ilmu yang tinggi, tetapi mampu membahagiakan kita di hari tua.
Mak Ayah Berdoalah Untuk Anak
Justeru, sebagai ibu bapa, seringlah berdoa untuk anak. Berdoalah agar anak jadi anak yang soleh, jika hajat kita tidak ditunaikannya ketika ini. Pada masa yang sama cuba dekatinya tanya apa perancangan yang ingin dibuat.
Tanya dia soalan adakah dengan perancangannya itu boleh memberi jaminan hidupnya. Juga bawa cerita tentang bagaimana berjaya dan sukanya Allah jika seorang anak mampu membahagiakan ibu bapanya. Beritahu juga apa yang puan mahu itu sebenarnya untuk kebaikan dia juga.
Sebaliknya, jika puan mahukan dia ikut perancangan daripada puan dan suami, puan masih boleh mencuba. Sebagai guru, puan tahukan sistem ganjaran dan dendaan? Berilah ganjaran jika dia buat apa yang puan suruh. Dendalah atau tarik balik keistimewaan yang puan berikan kepadanya jika dia tidak lakukan.Puan lebih tahu membentuk disiplinnya.
Lihat Hikmah Di Sebaliknya
Akhir kata jika apa yang puan lakukan itu tidak berjaya, mungkin ada hikmah di sebaliknya. Dalam hidup kita, Allah selalu beri apa yang kita perlu, cuma Allah tidak beri apa yang kita nak.
Allah beri anak buat teman di kala kita tua nanti. Kejayaan di dunia yang kita harapkan dari anak mungkin tidak dapat, namun berkat doa dan kesabaran kita mungkin anak inilah yang mampu membahagiakan kita di hari tua dan mendoakan kesekahteraan kita di alam kubur.
Justeru, teruskan berdoa setiap kali sujud agar dia menjadi anak yang soleh. Seringlah berdoa khusus di waktu tahajud yang baik-baik untuk anak, kerana doa ibu khususnya amat mustajab. Moga anak puan menjadi anak yang soleh. Aamiin. Wallahualam.
Soalan Dijawab oleh: Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor
Berkebun merupakan terapi buat Siti Mariah Alias, 49 dan suaminya Abdullah Muji, 57. Bukan itu saja malah dengan cara ini juga merupakan salah satu riadah selain dapat mewujudkan jalinan kasih sayang, cinta dan rindu sesama ahli keluarga. Selain itu dengan berkebun dapat merapatkan lagi hubungan dengan anak-anak.
Inilah antara konsep yang digunakan oleh Siti Mariah dan suaminya dalam merealisasikan taman herba di laman belakang rumah. Walaupun tinggal di rumah teres lot tengah tetapi Siti Mariah dan suami tetap berjaya merealisasikan taman herba di belakang rumahnya. Lebih menggembirakan lagi taman di rumahnya pernah diiktiraf sebagai tempat pertama (Juara) di dalam pertandingan Landskap anjuran Majlis Perbandaran sepang, Kategori Rumah Teres Lot tengah 2015.
“Pada masa sama saya turut berinteraksi dengan alam dan menyedut udara segar setiap hari. Ia terapi bagi saya,” katanya yang sangat mengagumi mereka yang memiliki taman yang hebat dan penuh kehijauan.
Tetapi tidak semua orang mempunyai minat berkebun terutama individu yang tinggal di kawasan kediaman teres lot tengah kerana beranggapan ruang yang ada terlalu kecil untuk bercucuk tanam.
“Saya amat mengagumi sebuah rumah yang memiliki sebuah taman yang hebat dan penuh dengan kehijauan. Tidak semua orang mempunyai minat berkebun dan sudah pasti barang siapa yang memilikinya pasti dia juga seorang yang hebat. Apa yang saya suka tentang taman telah lahir dalam diri secara semulajadi,” sambung Siti Mariah.
Tanam Lebih 30 Jenis Tumbuhan Herba
Kadangkala dilihat, mereka yang menetap di rumah teres lot tengah sering mengabaikan halaman rumah di belakang rumah kerana beranggapan ruang sekecil itu tiada daya tarikan jika dihias cantik sekalipun kerana hanya sebuah ruang kosong yang sempit. Tetapi sungguh mengkagumkan dan berlainan sekali dengan rumah Siti Mariah dan suaminya ini mereka menggunakan sepenuhnya bahagian belakang rumah. Usaha pemilik yang menjadikan back line yang sering dijadikan ruang yang terbiar (abandoned space) sebagai sebuah taman herba. Terdapat hampir 30 jenis tumbuhan herba yang ditanam di dalam bekas seperti, pasu yang berbeza saiz.
“Ada antaranya adalah spesis yang jarang ditemui seperti buah ajaib, mahkota dewa, belalai gajah dan sebagainya. Pada saya taman herba ini juga umpama platform meditasi bagi saya sekeluarga merehatkan minda dan fizikal serta mendekatkan diri dengan alam semulajadi. Oleh kerana rumah berada di lot tengah, saya mengambilnya sebagai cabaran apabila bersama suami menggunakan sepenuhnya bahagian belakang rumah dengan menukar 100 peratus ruang terbiar kemudian dihiasi hampri 30 jenis tumbuhan herba yang ditanam di dalam pasu yang pelbagai saiz. Ada antaranya adalah spesis yang jarang ditemui seperti buah ajaib, mahkota dewa, jerangau dan buah letop. Pada saya taman herba ini juga umpama platform meditasi saya sekeluarga merekehatkan minda dan fizikal serta mendekatkan diri dengan alam semulajadi, katanya yang turut menanam herba popular seperti mas cotek jantan, mas cotek betina, bangun2, sabung nyawa, senduduk putih, senduduk ungu, kunyit hitam dan halia bentong,” tambah Siti Mariah lagi.
Wanita ini turut berkongsi mengenai keunikan buah ajaib yang dapat menghilangkan sebarang rasa asal contoh pedas dan menghadirkan rasa manis ketika mengambilnya. Selain herba Siti Mariah turut menanam tumbuhan untuk kegunaan harian dalam masakan seperti, selom, limau purut, limau nipis, lengkuas, cili padi, ulam raja, tomato, rosemary, basil dan lain-lain lagi yang hidup subur kerana diberikan penjagaan rapi.
“Jika hendak masak atau makan ulam-ulaman saya hanya tinggal petik sahaja di belakang rumah, jadi saya boleh jimat belanja selain menyahut seruan kerajaan untuk menanam sayur sendiri. Tanaman kontan ini mudah sahaja penjagaannya. Saya juga turut memberikan hasil kebun herba dibelakang rumah pada rakan-rakan sepejabat dan jiran berdekatan. Ini dapat juga mengeratkan silaturrahim. Pokok terbaru yang saya tanam ialah pokok letup-letup. Pokok ini digunakan dalam perubatan sebagai ubat pening, sakit pinggang dan kanser. Buahnya yang muda boleh dijadikan ulam. Buahnya yang masak boleh dijadikan jus boleh untuk merawat sakit kerongkong,” ujar Siti Mariah yang akui berkebun sama saja dengan kerja-kerja lain di mana perlu jujur, ikhlas dan disertai minat mendalam.
Perlu Konsisten
Dalam konsep penjagaan tanaman di taman herba Siti Mariah juga menerangkan seseorang itu perlulah konsisten.
“Saya dan suami selalunya akan membuang rumput, membaja, menanam yang baru dan mencantas pada hari minggu. Supaya tidak terlupa untuk membaja saya akan setkan dalam telefon bimbit tarikh yang sesuai untuk membaja. Ada sesekali anak-anak juga membantu. Di taman herba ini jugalah saya dan keluarga selalu membuat barbeku atau pun minum-minum petang sambil bersantai dan melihat anak-anak pokok herba membesar dengan sihat cukup menjadi kepuasan pada diri saya dan suami. Saya berbangga kerana mempunyai seorang suami yang memang rajin berkebun, kerana suami banyak membantu. Suami saya bukan sahaja menjaga tanaman yang berada di dalam kawasan halaman rumah tetapi turut mengambil berat ruang diluar kediaman saya. Contohnya ada kawasan tanah lapang dihujung pejalan kaki berhadapan rumah saya. Suami ada menanam pucuk ubi, serai, nenas, keladi, pisang, pandan untuk kegunaan seharian,” kongsinya.
Ditanya tentang rujukan dalam menjaga laman belakang rumahnya, Siti Mariah menerangkan, “Untuk mendapatkan ilmu-ilmu tentang penjagaan pokok-pokok herba ini pula saya selalu membaca blog-blog, membeli majalah dan di media sosial tentang penjagaan pokok. Saya juga ada memberi sedikit tip seperti cara-cara penanaman, penjagaan pokok bersama-sama kawan di media sosial. Pada saya inilah salah satu cara untuk memberikan ilmu dan sedekah secara tidak langsung. Menjaga pokok ini sebenarnya tidak susah kerana bukan membaja semata-mata menjadikan pokok kita hidup gemuk dan subur.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pelajar tingkatan tiga jatuh asrama kritikal, ibu rayu doa orang ramai anak kembali pulih. Tiada yang lebih menyakitkan daripada melihat darah daging sendiri terbaring...