Pemilik nama sebenar Josephine AK. Egah atau nama Islamnya, Rohana Abdullah, 47 mengakui hatinya lebih tenang selepas memeluk Islam malah dia juga menganggap penghijrahan itu ibarat dirinya dilahirkan semula.

“Alhamdulillah selepas memeluk Islam saya rasa sangat gembira, tidak percaya dengan apa yang berlaku dan menganggap diri seperti dilahirkan semula,” begitulah luahan Rohana Abdullah ditanya detik dirinya memeluk Islam.

Malah ibu kepada tiga orang anak berbangsa Iban ini juga menyatakan sebelum memeluk Islam dia sentiasa memerhatikan kehidupan rakan-rakan yang beragama Islam. Apatah lagi apabila bertemu jodoh dengan bekas suaminya yang merupakan seorang yang beragama Islam.

“Saya memeluk Islam melalui perkahwinan pada tahun 1987. Namun sayangnya jodoh kami tidak panjang dan kini saya sudah bergelar ibu tunggal kepada tiga orang anak dan semua anak di bawah jagaan saya,” terang Rohana yang kini anak pertama dan keduanya sudah bekerja dan yang bongsu pula kini sedang bersekolah di Tingkatan Lima.

 

Belajar Agama Islam Dengan Inisiatif Sendiri

Hidupnya semakin tenang dan Rohana juga kini sudah memiliki syarikat sendiri yang diberi nama Ella Enterprise, yang terletak di Pekan Baru Tatau, Bintulu, Sarawak. Mengupas lanjut mengenai kehidupannya selepas memeluk Islam, Rohana akui dia mengambil inisiatif sendiri mendalami ajaran agama Islam.

IKLAN

“Saya belajar sendiri dengan membaca buku ceramah dan mengikuti kursus-kursus yang berkaitan dengan agama. Malah menerusi kursus-kursus yang saya hadiri saya berjumpa dengan ramai orang dan pergaulan dengan orang-orang kampung juga membuatkan saya lebih dekat dengan Islam.

“Malah selama ini semua perkara berkaitan dengan Islam saya belajar sendiri bekas suami tidak pernah beri tunjuk ajar. Alhamdulillah saya sudah pandai mengaji dan saya juga sekarang ini mejadi ketua kumpulan tadarus Al Quran untuk kampung saya iaitu Kampung Dagang Tatau. Malah saya juga bersyukur kini menjadi Pengasas Urusetia Saudara Kita Cawangan Tatau,” tambah Rohana.

 

Keluarga Amat Memahami

Setiap daripada mereka yang memeluk Islam pada kebiasaanya akan mendapat tentangan daripada keluarga. Namun pada awalnya sememangnya Rohana mengalami perkara yang sama, namun lama kelamaan keluarga dapat menerima.
“Keluarga pada awalnya memang melarang saya meluk agama Islam tapi akhirnya mereka menerima juga. Keluarga juga cukup sporting dan menghormati saya yang kini beragama Islam. Hubungan saya dengan keluarga juga sangat rapat. Saya bersyukur adik beradik tak ada masalah dari segi pemakanan kerana ahli keluarga saya penganut agama Seven Day Adventist SDA. Kalau mereka beli ayam hidup pun mereka beli pada orang Islam yang jual sembelih dulu baru ambil. Kami anak beranak jugab boleh sembahyang di rumah panjang, bukan itu saja malah boleh berpuasa di bulan Ramadan walaupun tinggal di rumah panjang. Saya sangat bersyukur dan berasa sangat terharu apabila semua keluarga amat memahami situasi saya sebagai seorang muslim.

“Bukan itu saja malah pergaulan saya dengan orang Muslim juga tidak ada seabrang masalah kerana kini saya merupakan salah seorang daripada AJK Kemajuan Kampung.

“Malah saya kini sangat-sangat bersyukur kepada ALLAH SWT kerana dapat mengikuti segala pembelajaran dengan sempurna tanpa apa-apa halangan atau rintangan. Selain mendapat ketenangan, Islam telah mengubahnya menjadi insan yang lebih baik. Alhamdulillah, saya seronok dengan kehidupan sekarang kerana diisi dengan nilai-nilai islam. Dengan Allah kita boleh berdoa dan mengadu. Jiwa pun menjadi lebih tenang. Masalah yang menimpa boleh diselesaikan asalkan dengan cara baik dan tenang,” tambah Rohana.

Banyak Hikmah Yang Diterima

Rohana juga menerangkan banyak hikmah dalam kehidupannya sekarang walaupun sudah berpisah dengan suami.

“Alhamdulillah, saya dikelilingi sahabat, masyarakat yang baik, amat memahami. Sokongan rakan saudara baharu lain yang saling memberi sokongan dan galakan sesama kami juga menjadi pembakar semangat serta motivasi kepada saya untuk terus berjihad ke jalan Allah.

“Alhadulillah rezeki saya juga semakin bertambah apabila perniagaan berkembang. Walaupun perniagaan tidak sebesar mana namun perkembangannya sangat baik. Segala permasalahan saya akan mengadu dengan Allah. Dengan Allah tempat kita bersujud dan meminta segala-galanya,” tambah Rohana.

Rohana juga tidak sekadar mengikuti pengajian agama malah dia juga membantu anak-anak yatim.

“Bukan itu saja saya juga masih ada kudrat untuk membantu org lain terutamanya anak-anak yatim. Saya menjaga dua orang anak dari umur 9 tahun sampai sekarang. Umur mereka berdua juga sudah 18 tahun. Saya juga merupakan penaung anak-anak yatim Daerah Tatau. Saya anggap ini semua sebagai amal jariah saya buat agama Islam dan anak-anak yang memerlukan,” terang Rohana yang sememangnya sangat menyayangi kanak-kanak.