Tip Jadi Menantu ‘Favourite,’ Bijak Ambil Hati Mak Mentua Tapi Bukan Guna Cara ‘Bodek’
Ramai ibu mentua dan menantu perempuan sukar untuk serasi. Hubungan ibu mentua dengan menantu perempuan sering dikatakan rumit. Pendek kata ada-ada sahaja yang tidak kena.
Alangkah bertuah menantu dan mentua yang hubungannya sentiasa wangi dan mesra. Dan betapa pedihnya bagi mereka yang hubungannya sentiasa panas dan tegang. Pantang bersua muka dan berbicara, saling menyakiti antara satu sama lain. Allahu, sedih sangat!
Apabila menantu dan mentua tidak sebulu, orang lain dalam keluarga akan turut sama merasakan tempiasnya, terutama anak dan juga cucu-cucu yang ada. Tentu tidak menyenangkan apabila cucu-cucu atau anak-anak melihat nenek dan orang tua mereka bermasam muka serta tidak bertegur sapa.
Ada beberapa perkara penting yang perlu kita pahat di kepala dan juga jiwa:
Bagi mentua, ingatlah bahawa menantu itu pilihan anak kita. Tentu ada yang menarik dan baik tentangnya yang membuatkan anak kita tertarik. Pada menantu pula, walau macam mana jahat pun mentua di mata kita, cuba fikirkan bahawa pasti ada kualiti baik dalam dirinya kerana merekalah orang yang bersusah payah membesarkan individu yang kita pilih menjadi pasangan hidup kita.
Jangan sesekali memburukkan mentua@menantu pada pasangan@anak kita. Mungkin dia sedar atau tahu tentang perangai keluarga@pasangannya, tetapi rasa kasih atau menyebabkan mereka tetap mempertahankan apa yang dilakukan oleh orang tua atau pasangan mereka itu.
Sentiasalah bersikap positif terhadap menantu@mentua kita. Ini membuatkan kita dapat melihat mereka daripada perspektif berbeza. Ia akan secara perlahan-lahan dapat meleraikan segala kekusutan.
Jangan terlalu sensitif. Sebagai mentua, ada kalanya kita cepat sangat tersentuh atau kecil hati dengan menantu. Ini mungkin sebab kita bimbang kehilangan kasih sayang anak yang kini sudah menjadi milik orang. Sepatutnya perasaan seperti ini tidak timbul dan kita patut berlapang dada menerima kehadiran seorang `anak’ lagi dalam keluarga. Sementara menantu pula kadang-kadang cepat terasa hati dengan mentua lantaran masih tidak dapat menyesuaikan diri dengannya. Sepatutnya menantu juga mengambil inisiatif untuk mendekati mentua dan cuba menyayanginya sama seperti menyayangi orang tua sendiri.
Bagaimana Menghapus ‘Duri’
Jadi bagaimanakah cara terbaik untuk menghapuskan racun dalam hubungan menantu-mentua ini
Bagaikan panglima perang, baik menantu mahupun mentua sepatutnya bijak dalam mengatur ‘strategi’ untuk memenangi hati pihak yang satu lagi. Kalau anda menunjukkan sikap bermusuhan, pasangan atau anak anda pasti memandang serong pada anda biarpun anda di pihak yang betul. Lantaran itu sikap dan keperibadian anda perlu dijaga agar anda di pihak yang `menang’.
Jangan sekali-kali bersikap kurang ajar. Ia hanya akan memalukan diri sendiri. Juga tidak akan memberi sebarang kebaikan kepada menantu mahupun mentua. Namun jika hubungan anda berdua sangat `buruk’ elok juga perkara ini dibincangkan dengan pasangan mahupun seseorang yang anda percayai boleh membantu.
Pihak ketiga ini sepatutnya mencari jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah tentang hubungan menantu-mentua ini. Mungkin jalan yang terbaik adalah bersemuka dengan kedua-dua pihak untuk mencari akar umbi masalah. Bagaimanapun anda harus sedar bahawa tugasnya tidak mudah, bak kata pepatah bagai menarik rambut dalam tepung, ia perlukan ketelitian dan diplomasi.
Kadang-kadang tanpa kita sedar sikap kita yang berlagak pandai ataupun besar kepala membuatkan hubungan jadi tidak sejahtera. Sentiasalah bersikap merendah diri dan mengeluarkan kata-kata yang lembut dan bersopan.
Ads
Mengalahlah jika itu satu-satunya jalan yang boleh memulihkan hubungan menantu atau mentua. Biar orang nampak seolah-olah kita kalah tetapi hakikatnya kita menang besar kerana berjaya memenangi hati individu yang selama ini menjadi `duri’ dalam kehidupan kita. Ingatlah selalu bahawa `mengalah bukan bererti kita kalah’!
Baik menantu mahupun mentua sepatutnya apa juga perasaan yang kita rasakan terhadap satu dengan lain seharusnya dipendamkan sahaja. Kita seharusnya sedar bahawa hubungan kita bukan sahaja berkisar antara kita berdua, tetapi juga dengan anak dan cucu. Mereka menyayangi kita (ibu ataupun nenek mereka) tanpa sebarang sempadan.
Lantaran itu kata-kata negatif yang kita keluarkan terhadap menantu mahupun mentua boleh meninggalkan kesan tidak elok. Mereka pasti berasa keliru dan sedih mengapa dua orang yang mereka sayangi saling bermusuhan.
10 CARA MENJADI MENANTU FAVOURITE:
Selalu senyum
Apabila berdepan dengan ibu mertua, jangan sesekali menarik muka masam sebaliknya berusaha untuk senyum seikhlas mungkin. Ini kerana bimbang ibu mertua terasa hati walhal punca anda monyok tidak ada kaitan dengannya. Jadi perlu senyum sentiasa walaupun dalam hati anda tidak begitu gembira.
Elak masuk campur
Anda sangat tidak digalakkan untuk masuk campur dalam perihal anak menantunya yang lain selagi apa yang berlaku itu tidak bertentangan dengan syariat. Elakkan bergosip dan menjadi batu api kerana tersilap langkah, ia akan memakan diri anda sebagai menantu. Jadi, berbaik-baiklah dengan mertua dan ipar-duai yang lain.
Murah hati
Ads
Untuk mengambil hati mertua, anda tidak boleh kedekut sebaliknya perlu bermurah hati misalnya belikan ibu mertua hadiah, pakaian atau paling kurang barang keperluan rumah. Anda juga boleh beri wang kepadanya untuk dia berbelanja.
Ringan tulang
Ingat, di rumah mertua anda perlu ringan tulang! Bangun awal pagi, solat Subuh dan segera bantu ibu mertua di dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Anda juga perlu tunjuk skil memasak dan soal sedap atau tidak itu bukan keutamaan. Yang penting anda rajin ke dapur.
Selalu minta pandangan
Sebagai ibu, hati mana yang tidak gembira jika anak menantu selalu menghubungi atau menziarahinya. Selain bertanya khabar, sebagai menantu anda juga boleh bertanya pendapatnya tentang sesuatu perkara misalnya yang melibatkan anak-anak anda yakni cucu-cucunya. Sesekali anda juga boleh bertanya resipi kegemaran suami anda yang juga anak kesayangannya. Pasti ibu mertua anda gembira.
Usah cemburu dengan ibu mertua sendiri
Asyik anda sahaja layan suami! Sesekali berilah peluang untuk ibu mertua melayan anaknya misalnya ketika anda balik kampung. Bukan setiap hari ibu mertua anda berpeluang layan anak lelakinya seperti zaman bujang mereka dulu. Jadi biarkan jika ibu mertua manjakan suami anda. Cemburu biarlah bertempat!
Ads
Jaga air muka suami
Isteri yang baik dan bijak adalah isteri yang pandai menjaga aib suaminya. Jadi, elakkan memarahi suami di depan ibunya walaupun apa yang dilakukan suami ketika itu benar-benar menyakitkan hati anda. Kawal emosi anda depan ibu mertua! Usah sesekali memperkecilkan suami di depan ibu mertua anda dan adik-beradiknya yang lain. Ini boleh memberi gambaran positif pada ibu mertua anda bahawa anda seorang yang sangat menghormati suami.
Jaga percakapan
Usah biarkan kerana mulut badan binasa! Jika anda seorang yang dikategorikan sebagai ‘mulut lepas’, anda dinasihatkan agar kurang bercakap. Dan pastikan anda sentiasa alert apa yang bakal diperkatakan anda, bimbang ia mengecilkan hati ibu mertua. Fikir sebelum bercakap!
Dahulukan dia
Sebagai menantu yang baik, anda perlu dahulukan ibu mertua anda dalam apa jua keadaan. Sebagai contoh mudah, apabila ibu mertua naik kenderaan bersama anda, pelawa dia untuk duduk di hadapan iaitu di sebelah anaknya. Beri dia peluang bersembang dengan suami anda dan sesekali anda duduk di belakang bersama anak-anak tidak mengapa.
Puji suami anda
Hati seorang ibu pasti gembira jika ada orang lain yang selalu memuji anaknya. Jadi, anda perlu selalu memuji kebaikan suami anda di depan ibu mertua. Sesekali ucaplah begini, “Syukur sangat Allah beri suami sebagai jodoh saya. Pandai sungguh mama didik dan ajar dia. Saya rasa sangat beruntung dapat suami macam dia”
Sumber: Majalah Keluarga Januari 2016
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ada mak ayah gigih pakaikan bayi bedak sebab nak bagi bau wangi dan ada yang berniat nak hilangkan ruam yang kulit bayi. Tetapi bagaimana pula dengan kesan bedak itu pada bayi?
Selamat ke?
Nah, sebelum pergi lebih jauh, mak ayah boleh buat keputusan terbaik dengan membaca perkongsian daripada Dr Zubaidi Hj Ahmad tentang keburukan bedak pada bayi kecil.
ELOKKAH GUNA BEDAK BAYI ?
Ramai para ibu yang menggunakan bedak pada bayi mereka selepas dimandikan. Tujuannya agar bayi menjadi lebih wangi, lebih segar dan bagi mengelakkan ruam pada kulit.
Namun begitu saya mencadangkan agar menggunakan bedak bayi dengan cara yang betul. Jika tidak bedak bayi boleh mendatangkan kemudaratan.
American Academy of Pediatrics tidak menggalakkan penggunakan bedak bayi kerana ia boleh mendatangkan masalah berkaitan dengan pernafasan.
Ramai para ibu yang tidak menyedari hal ini. Mereka tidak menyedari jika digunakan dengan banyak boleh menyebabkan bayi terhidu bedak ini.
Bedak merupakan partikel yang kecil dan halus seperti debu. Jika terhidu (walaupun sedikit) secara berterusan setiap hari, ia boleh menyebabkan batuk, selsema malah menyebabkan paru-paru mudah berlendir.
Terutama jika bayi mengalami masalah seperti berat badan yang kurang ketika dilahirkan, lahir pramatang, mengalami masalah pernafasan akibat masalah jantung dan paru-paru sejak lahir.
Malah ada kalanya bedak bayi boleh menyebabkan alahan pada kulit bayi kerana bedak itu memerangkap peluh pada kulit. Jika tidak dibersihkan segera ia akan menyebabkan bayi mengalami ruam dan rasa gatal.
Walaupun bedak bayi digunakan bertujuan untuk mengurangkan ruam dan alahan, ia harus digunakan dengan betul. Pilih bedak bayi yang sesuai.
Pilih bedak bayi yang tidak memiliki bau yang terlalu kuat.
Jangan menepuk-nepuk bedak bayi menggunakan kapas atau puff powder, sebab dapat membuat partikel bedak berterbangan dan boleh menyebabkan senang masuk ke dalam rongga pernafasan.
Bila bedak bayi menyebabkan kemerahan dan rasa gatal pada bayi, atau menyebabkan bayi mengalami selsema dan batuk, hentikan penggunaannya.
Banyak lagi cara mengurangkan ruam pada bayi seperti menggunakan pakaian yang longgar dan lembut, dan perbaiki pengudaraan dalam bilik menggunakan kipas.
Kulit bayi sememangnya sangat lembut dan wangi. Mengapa perlu diletakkan bedak lagi?
Semoga bermanfaat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
‘ME TIME’ ialah situasi yang mana pasangan kita mendapat masa terluangnya sendiri dan dia bebas melakukan apa yang dia mahukan.
Bab bawa anak, terpulang pada dirinya kalau dia mahu. Pilihan terletak di tangan isteri tetapi mengikut kesesuaian keadaan juga. Ini boleh buat bila kaum suami tak bekerja lah, macam hujung minggu. Jangan pula suami kerja, isteri tetiba sesuka hati nak ber’me time’ bagai.
Buat suami yang masih tak faham siatusi ‘me time’, ikuti perkongsian saudara Muhammad Ahmad yang mana dia sendiri sudah buat pada isterinya…
Bila Isteri Dapat ‘Me Time’
Suami. time pergi mall apa salahnya bagi ‘me time’ untuk isteri walaupun 30 minit. Kita pula jaga anak sepanjang ‘me time’ dia.
Kita pantau isteri dari jauh cukup. Tengok dari jauh gelagat dia. Seronok atau tidak dapat jalan sorang-sorang, dapat tengok apa yang dia rasa nak tengok, pilih apa yang mahu dipilih.
Beli tu belum tentu beli. Isteri ni dapat cuci mata pun dia dah rasa seronok. Rasa mall ini dia yang punya.
Sebak tengok isteri senyum dari jauh sambil tunjuk barang yang dia beli. bila nampak kita bersama anak, lagi dia senyum lebar. Dalam senyum itulah sepenuh masa, jiwa, diri untuk suami. Dalam senyum itulah segala susah payah sakit melahirkan anak, menyusukan anak.
Ingat pesan arwah ayah;
“Jagalah isteri kamu baik-baik seperti mana mak ayah dia jaga. Jangan kianati dia jika kamu nak rasa apa itu bahagia. Diam jika nak marah isteri, isteri faham jika suami diam. Jangan mudah naik tangan atau pukul dia. Isteri dan anak amanah dari الله , salah acuan merana kamu di akhirat”
Suami. Jagalah isteri baik-baik. Lemah lembutlah terhadap mereka, hargailah susah payah dia mengandungkan anak, melahirkan anak, menyusukan anak dan menjaga makan minum anak.
Suami. Jadikanlah kita asbab dia rasa bahagia, rasa dijaga, rasa dihargai, rasa di sayangi. Bahagia dia, bahagialah kita.
Nota: Gambar sekadar hiasan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila dah bersatu sebagai suami isteri, perlahan-lahan laki bini akan lalui 5 fasa perkahwinan sebelum masuk dunia bahagia. Dan kena ingat, dunia bercinta tak sama dengan alam perkahwinan sebab anda belum rasa jaga anak, tak rasa bebanan bayar itu ini bersama, dan tak masuk lagi bab bahagikan rezeki kepada adik beradik dan mak mentua bagai.
Jadi kuncinya di sini, fahami dan telan fasa-fasa yang bakal akan tempuhi dengan sabar…
1. Romantik bukan main
Masa awal-awal semunya manis dan wangi. Bak kata pepatah, bau kentut pun wangi. Tambah pula pengantin baru, cinta sedang ‘mekar’ berbunga-bunga membuatkan anda dan pasangan akan bersikap romantik. Tahap ini, nak berjauhan pun tak sanggup! Dan lebih romantik, cawan guna satu dan berus gigi berkongsi pun boleh.
Tidur berpeluk dan tak pernah asing. Panggilan tak yah cakap, ‘anje’, ‘darling’, ‘yayang’, ‘sweety’, ‘sayang’, ‘baby’, ‘ucuk’ pun ada! Nampak tak punyalah manja…
2. Tuding jari, saling menyalahkan
Selepas beberapa bulan menjalani kehidupan sebagai suami isteri, anda akan nampak kesalahan pasangan. Laki bini mula merasakan hakikat sebenar perkahwinan dan perlahan-lahan telan rasa pahit.
Masing-masing mula menunjukkan sikap sebenar malah siap keluarkan perkataan yang tak manis. Ketika inilah anda akan mula mempersoalkan sikap pasangan yang mula berubah. Timbul keadaan saling menyalahkan, rasa marah dan kecewa terhadap pasangan, mahu menang dan merasakan diri mereka lebih betul daripada pasangan.
Ok, masa ni laki bini kena duduk bersama dan cari peluang untuk bercuti. Gali balik sisi kebaikan pasangan, yang kurang belajar melengkapi. Jangan asyik nak kata si dia tak macam dulu je! Nak pasangan layan baik, diri sendiri kena betulkan silap.
Kalau laki, mungkin anda kurang berkomunikasi, asyik balik lambat, jarang memberi sesuatu pada isteri atau tak pernah puji isteri.
Perempuan pula mungkin anda banyak sangat bebel, tak sambut laki balik kerja, suka bandingkan suami dengan laki lain (ini pemusnah cinta), kurang masak atau asyik nak menang.
Cuba betulkan diri sendiri dulu!
Bagi pasangan suami isteri yang tidak mampu berhadapan dalam fasa ini, mereka akan mengambil jalan perpisahan. Minta jauh semua ini berlaku.
3. Mula memahami dan boleh ikut rentak
Bagi pasangan yang mampu melepasi tahap ini bermakna mereka bukan sekadar mencari cinta semata-mata. Perkahwinan yang dibina semakin utuh dan cinta makin kuat dengan kehadiran anak-anak. Pada tahap ini pasangan mula meningkatkan kualiti dalam perhubungan mereka. Tak banyak menyalahkan dan mampu menerima seadanya.
Pasangan mula masuk dunia si dia, fokus jadi suami dan isteri terbaik, saling berusaha untuk memahami diri sendiri dan juga pasangan. Suami isteri yang berada di tahap ini mampu hidup bahagia lebih dari 30 tahun.
Ini yang kita mahu.
4. Rasa dihargai dan harmoni
Masuk fasa ini tak ada dah perasaan rasa susah nak hadap perangai si dia, anda dah mampu menghargai apa yang si dia bagi. Anda akan membuktikan mampu menjadi pasangan yang ideal untuk si dia.
Kalau si dia jenis tak suka bersepah, anda boleh rajinkan diri kemas.
Jika si dia suka benda cantik atau sedap dipandang, anda boleh ubah penampilan.
Andai si dia tak suka kena bebel, anda boleh ubah sikap dengan beritahu awal-awal apa yang tak patut ada dalam diri si dia.
Sekiranya tak ngam dengan seseorang dalam keluarga, anda boleh belajar berhenti cari salah orang lain dan memaafkan apa yang berlaku.
Nak bahagia ni mudah, boleh dibawa bincang, selesaikan masalah dan kenapa nak keruhkan hubungan perkahwinan?
5. Peluk bahagia
Pada tahap ini anda berdua mampu kaut kebahagiaan dalam perkahwinan. Tak ada keinginan lain selain nak habiskan masa bersama orang tersayang. Waktu yang ada akan digunakan sepenuhnya untuk anda saling memberi perhatian. Lagi best tengok anak-anak makin membesar dan boleh berdikari. Maka, tamatlah dunia berperang dengan anak-anak kecil. Kalau ada yang bersambung jaga cucu, itu pilihan.
Ok, setelah memahami lima fasa dalam perkahwinan ini seharusnya anda lebih tahu bagaimana berhadapan dengan permasalahan yang dihadapi dalam rumah tangga. Banyakkan bersabar menjalani dan mengulangi setiap fasa perkahwinan yang anda alami. Paling penting, jangan keruhkan hubungan dengan mencari silap si dia.
Moga anda mampu jadi pasagan terbaik buat si dia!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Isteri ditinggalkan suami selepas derita kanser payudara, tak mampu bekerja sara dua anak. Berat ujian seorang isteri apabila dia ditinggalkan suami selepas mengambil keputusan...