
Kembali tenang kes salah faham antara Izara Aishah dan Lestari Kejora, malah biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza percaya setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan serta berpendapat perselisihan yang berlaku seharusnya diselesaikan dengan saling memaafkan dan bukan diperbesarkan.
Dato’ Sri Siti Nurhaliza Damaikan Keadaan

Menerusi hantaran di Instagram Story, Siti Nurhaliza, 47, mengingatkan orang ramai agar tidak terus mengungkit perselisihan yang berlaku apabila pihak yang terlibat sudah memilih untuk berdamai.
Setiap manusia ada khilaf. Ada waktunya emosi mendahului pertimbangan dan sebuah hubungan diuji dengan salah faham.
Namun apabila dua insan yang berselisih sudah memilih untuk saling memaafkan, di situlah seharusnya cerita itu berhenti, bukan terus dipanjangkan oleh mereka yang berada di luar.
Difahamkan, kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada isu yang membabitkan menantunya, Izara Aishah dengan penyanyi Indonesia, Lesti Kejora.
“Setiap Manusia Ada Khilaf…”

Dalam hantaran sama, pelantun lagu Kesuma itu turut berkongsi firman Allah SWT daripada Surah al-Hujurat serta hadis riwayat al-Bukhari yang menyentuh kepentingan menjaga hubungan sesama umat Islam.
Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu, Islam mengajar umatnya untuk mengutamakan perdamaian dan bukannya mencari pihak yang menang atau kalah dalam sesuatu perselisihan.
Indahnya Islam, kita tidak diajar untuk mencari siapa yang menang dalam sebuah perselisihan. Kita diajar untuk mencari jalan kembali kepada perdamaian.
Meminta maaf tidak menjadikan seseorang itu rendah. Memaafkan pula tidak menjadikan seseorang itu kalah. Kedua-duanya memerlukan keberanian dan kebesaran hati.
Dan apabila mereka yang terlibat sendiri sudah berdamai, mungkin tugas kita bukan lagi untuk menghakimi, mengungkit atau memilih pihak.
Menurut Siti lagi, dia berharap setiap salah faham yang berlaku dapat dijadikan pengajaran dan panduan hidup dalam memperbaiki jati diri seseorang.
Cukuplah kita mendoakan agar yang keruh kembali jernih, yang terluka kembali sembuh, dan silaturahim yang pernah diuji menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
Kita juga tidak pernah tahu bila kita sendiri akan berada dalam keadaan yang sama, tersalah kata, tersalah faham, kemudian berharap diberi ruang untuk memperbaiki keadaan.
Anda mungkin berminat dengan

Yang sudah bermaafan, jangan kita adu-adukan lagi. Yang sudah berdamai, jangan kita nyalakan kembali apinya Semoga Allah menjaga tutur kata kita, melembutkan hati kita dan memelihara persaudaraan sesama kita.
Terdahulu, Izara menerusi hantaran di Threads mendakwa pasukan Lesti bersikap kurang mesra dan hanya bertegur sapa dengan individu tertentu ketika Konsert Gema Bumantara Siti Nurhaliza yang berlangsung pada Sabtu lalu.
Untuk rekod, Lesti merupakan antara artis jemputan yang membuat persembahan pada konsert berkenaan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

