menantu perempuan

Payah dan tak seronok kalau menantu perempuan tak sebulu dengan ibu mentua. Hanya disebabkan berbeza pendapat, apa yang dilakukan mentua pasti tidak enak di pandangan mata.

Begitulah juga kalau ibu mentua yang tidak boleh terima personaliti menantu. Akhirnya semua jadi buntu, paling malang sudah tentulah anak lelaki yang terpaksa cari jalan untuk ‘lagakan hati’ isteri dan mak kandung, pada masa yang sama dia juga yang menggalas tanggungjawab sebagai seorang anak dan suami.

Realitinya tak semua bertuah dapat mentua sejiwa dan ini satu rezeki dari Ilahi dan macam mana nak cipta hubungan yang baik dengan mak mentua sendiri, ikuti perkongsian daripada seorang wanita, Siti (Bukan nama sebenar)…

“Tipulah kalau saya kata hidup rumah tangga saya cukup sempurna dan tak pernah muncul salah faham dengan mentua sendiri. Ada, dan memang pernah lalui, tapi Alhamdulillah saya mampu tepis dari terus keruhkan keadaan dan mengalah adalah satu pilihan terbaik. Tak susah, anda cuma perlu beringat dan bertindak seperti ini…

1. Bab jaga anak tak sama

Cara mak kita ajar lain, mak mentua suruh buat lain. Ini yang jadi rasa nak melawan. Sabar ya, sebenarnya tak payah keruhkan keadaan. Cuba buat dulu dan banyakkan membaca untuk dapatkan fakta yang kukuh. Nanti senang nak terangkan pada ibu kenapa situasi yang dibuat tak betul. Kalau ibu mentua jenis tak mengalah, sila guna bantuan suami. Ini jalan terakhir kalau suami anda jenis anak mak!

2. Buat ibu macam kawan

Ada sesetengah payah betul nak meluah pada ibu mentua, risau sangat ibu mentua akan memihak pada anak manjanya (suami). Tolong ubah ya, inilah salah satu punca hubungan payah nak ‘kamcing’, banyak sangat simpan dalam hati dan jadikan rahsia! Ibu dia itu juga sama seperti ibu kita. Boleh mendengar dan boleh bagi nasihat. Mana yang elok kita kaut, mana yang tak elok tolak tepi. Bagus kalau anda boleh buat mentua macam kawan sebab kalau suami buat silap, senang anda nak mengadu dan minta tolong. Paling penting, minta DOA dari mentua moga suami boleh jadi suami terbaik buat anak-anak.

3. Jangan paksa dan elak mengarah

Ini situasi bab jaga cucu. Memang satu dilema dan selalunya kaum mak-mak bekerja akan lalui masalah ini, termasuk diri saya. Ada ketika, saya diburu rasa bersalah bila terbaca post yang dikongsi rakan media sosial. Bukan nak pentingkan diri sendiri tetapi inilah satu perkara yang sukar untuk ditepis. Tambah pula dapat jenis anak meragam, terpaksa tukar pengasuh beberapa kali demi cari yang terbaik. Allahu… sedih dan selalu rasa macam nak berhenti kerja.

Namun Alhamdulillah, suatu saat mak minta jaga dan dia redha, malah jaga dengan penuh kasih sayang. Bila sampai suatu masa bila dia sendiri yang minta nak rehat… saya tawakal dan minta pada Allah moga ada jalan penyelesaian terbaik. Peganglah kata-kata ini, ibu dia juga tetap punya status seperti ibu kita. Tetap ada syurga di bawah tapak kakinya! Ingat ya, andai ibu tak redha dalam perjalanan hidup kita, sampai bila pun kita tidak akan jumpa PINTU BAHAGIA.

Merujuk satu hadis, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa membuat ibu bapanya gembira, maka sesungguhnya ia membuat reda Allah. Barangsiapa menyakitkan hati ibu bapanya, maka sesungguhnya ia membuat kebencian Allah” (Hadis riyawat Bukhari)

4. Lembutkan hati dengan pemberian

Kadang ibu mentua hanya mahukan kasih sayang daripada anda. Waktu dia melalui masa-masa akhir dala hidupnya, hanya perhatian dan kasih sayang anak-anak yang dia inginkan. Dan kalau ada lebih, belajarlah memberi pada ibu sesuatu yang mungkin boleh buat dia rasa sangat dihargai dan diingati. Jangan sesekali mengungkit dan berkira!

Mungkin ada di kalangan anda yang rasa payah sebab hati sudah retak seribu tetapi sebenarnya andai masing-masing belajar untuk memahami, tiada masalah untuk betulkan keadaan. Semoga beberapa tip ini dapat menjernihkan kembali hubungan dingin anda dengan mentua.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI