group whatsapp

Memandangkan ramai yang buat group whatsapp sekolah di zaman teknologi serba canggih ini, mak ayah patut tahu ‘undang-undang’ cara terbaik untuk berhubung di antara satu sama lain.

Tak dinafikan apabila menggunakan WhastApp, ini memudahkan mak-mak nak buat perbincangan yang dilihat mata kasar dan menerima maklum balas dengan pantas tentang perkembangan anak atau hal berkaitan dengan sekolah.

Namun ada juga yang tersalah guna dengan kemudahan Whatsapp sampai mak ayah lain rasa rimas untuk join dalam group kelas, jadi sebelum ‘macam-macam’ eloklah baca nota daripada Ammar Kamilin ini…

Rutin Harian Mak Ayah Dalam Group Whatsapp

Esok pagi, kita boleh menjangkakan ramai ibu bapa yang akan turun menghantar anak masing-masing ke sekolah.

Kereta akan penuh diletakkan di kiri dan kanan jalan raya. Motor dan kereta bersimpang siur dalam kawasan sekolah. Kita akan jumpa segelintir manusia yang jika boleh mahu meletak kereta dalam kotak parkir guru besar.

Akan kelihatan di mana-mana sekolah, ibu bapa dan anak berpimpinan tangan melintas jalan, bapa-bapa menjinjing beg sekolah anak dan ibu-ibu memegang tupperware (baru beli) masing-masing penuh sabar di kantin menunggu waktu rehat.

Ada antara kita, esok merupakan pengalaman pertama anak sulung memasuki kelas Tahun 1 di sekolah. Tahniah!

Baik, saya mahu berkongsi satu perkara. Jika saya beritahu ini, jangan terkejut!

Duduk saja anak kita di bangku sekolah, kemungkinan besar akan diwujudkan ‘group whatsapp’ untuk kelas mereka. Lalu, sayugia dimaklumkan, bertambahlah 1 lagi group dari puluhan ‘group’ yang sudah sedia ada dalam whatsapp kita.

Ini adalah amalan biasa, terutamanya untuk anak-anak Tahun 1. Maklum saja, anak-anak ini baru ‘berpindah alam’ dan ibu bapa akan sentiasa tertanya-tanya keadaan anak mereka.

Jika tidak diwujudkan group, kita beruntung. Tidak perlu pening kepala mendengar notifikasi ‘ting, ting, ting!’ tak kira masa.

Jika tiba-tiba kita dijemput masuk (invite), maka, bersiap sedialah.

Dari pengalaman 7 tahun bergelumang dalam group whatsapp, saya kongsikan,

Bahagian 1 : 10 perkara bagus dibuat dalam group whatsapp kelas, dan
Dan bahagian 2 : 10 perkara perlu dielakkan dalam group whatsapp kelas.

BAHAGIAN 1

| 10 Perkara Bagus Dibuat Dalam Group Whatsapp Kelas |

1. Sebaik-baiknya, ibu dan bapa, kedua-duanya dimasukkan di dalam group ini. Bukan apa, bagi suami isteri yang bekerja, ada masa, kesibukan akan menyebabkan ada mesej dari guru yang tidak sempat dibaca.

Sekurang-kurangnya, salah seorang dari kita boleh maklum dan mendapat informasi sekiranya pasangan masing-masing sibuk.

Saya faham, kita mungkin terganggu dengan bunyi mesej bertalu-talu, terutamanya orang lelaki (saya memang rimas, tak pasti lelaki lain).

Apa yang boleh dibuat, letakkan notifikasi untuk group ini dalam tetapan (mode) ‘mute’. Jadi segala-galanya akan sunyi sepi. Kita hanya akan baca, apabila bersedia untuk membaca. Yang penting, maklumat sampai.

2. Kita tidak mahu cikgu-cikgu dalam group keliru, sama ada ini group ibu bapa atau group ‘Taman Haiwan’. Tengok foto profil masing-masing, ada gambar kucing, gambar arnab, gambar bunga ros, eh, macam-macamlah.

Jadi, elok ditukar foto profil whatsapp dengan wajah sebenar kita. Letak foto yang paling kredibel, bukan yang bibir juih ikat tepi. Nama yang ‘appear’ di whatsapp juga, gunakan nama sebenar yang sama dengan bin atau binti anak kita tu.

Apa-apa kecemasan berlaku di sekolah, senang cikgu nak skrol dan cari. Takdelah sampai terpaksa buat pengumuman, ‘Siapa bapa Qistina Pavlova?, Siapa ibu Syafiq Kyle?’ Kan susah tu.

Sudah-sudahlah bubuh nama seperti ‘Jejaka Korea’. Buat malu saja masa ambil ‘result’ anak nanti. Buat cikgu tertanya-tanya, ‘celah mana Koreanya?!’

3. Apabila cikgu dah buat group khas untuk maklum apa-apa tentang anak kita, itu menunjukkan cikgu tu sangat prihatin. Mana ada cikgu yang ‘serah tengkuk’ untuk diganggu 24 jam? Jadi, dah dapat cikgu kelas yang begini, kita berbudi bahasa dan berkenalanlah.

Pendek pun tak mengapa, “Assalamualaikum cikgu, saya Ammar Kamilin, bapa Zulfa, terima kasih invite.” Cukup. Cikgu pun boleh ‘save’ nombor henfon kita dengan tepat. Jangan sibuk-sibuk nak tanya, cikgu available ke tidak? Lupa ke bini kita pun dah ‘add’ dalam group tadi.

4. Ada anak kita yang jenis teliti dengar arahan. Ada kawan sekelas anak kita yang susah nak beri tumpuan. Jadi, apabila ada ibu bapa lain yang bertanya tentang tugasan sekolah dan sebagainya, bantulah mereka. Bantu jawabkan bagi pihak cikgu.

Cikgu pun tak terlarat nak jawab setiap masa. Kadang tu saya perhati, “Esok pakai baju sukan ke baju sekolah?.” Soalan macam tu pun, 10 kali orang tanya sejak pukul 7 malam sehinggalah subuh esok pagi. Sian cikgu.

Ada sesetengah parents ni pun satu hal, nak skrol pun berkira. Risau ‘thumb print’ terkikis agaknya. Susah nak ‘punch card’.

5. Dah nama pun ibu bapa, mesti lebih pandai dari anak-anak (banding anak Tahun 1). Jadi, menaip mesej di group, sebaiknya ejaan penuh, tidak kontot-kontot macam bahasa ‘Alien’.

Bukan apa, mengeja penuh boleh elak salah faham. Bukan semua orang mahir teka teki. “Ckg, esk pki bj pe?” Aduh, boleh sewel nak tafsir. ‘pki’ tu apa? macam mencarut pun ya. Eja penuh ya. Tolong.

6. Pagi-pagi sebelum 7.30, biasanya cikgu perlukan maklumat pelajar tidak hadir sekolah. Jika anak kita tidak hadir atas alasan apa sekalipun, maklumkan cikgu.

Lebih bagus, kita boleh tulis whatsapp seperti senarai, dengan tajuk, ‘Murid Tidak Hadir Hari Ini’. Jadi, mudah ibu bapa lain menyambung senarai itu (copy, paste, edit). Cikgu pun senang kerja. Sama-sama gembira.

7. Tiada siapa yang boleh mengelak sakit, begitu juga anak kita. Boleh jika mahu berkongsi berita tersebut dengan group whatsapp kelas. Sekurang-kurangnya, berita kesihatan anak kita, dapat disampaikan oleh ibu bapa lain kepada anak-anak mereka.

Ini mendidik empati pada rakan sekelas. Sebagai ibu bapa, kita doakan kesembuhan buat anak rakan kita. Rakan anak kita, anak kita juga. Begitulah semangat kekeluargaan.

8. Dalam kalangan anak-anak kita, akan ada yang terpilih mewakili sekolah dalam aktiviti luar. Kebiasaannya akan ada guru pengiring atau ibu bapa mereka yang terlibat akan ikut bersama. Tiada masalah untuk berkongsi foto aktiviti tersebut dalam group.

Kita dapat mengetahui wujudnya aktiviti luar yang disertai pihak sekolah. Ada rezeki, kita boleh sediakan anak-anak kita untuk aktiviti atau pertandingan yang sama.

9. Ada masanya, cikgu akan menampal pengumuman dari pihak sekolah dalam group whatsapp, terutamanya yang berbentuk ad hoc.

Sekiranya maklumat tersebut naik, naik, dan naik sehingga tenggelam disebabkan masuk mesej-mesej baharu, ada baiknya ibu bapa yang prihatin mengambil inisiatif menampal semula informasi tersebut untuk mengelakkan ada ibu bapa yang terlepas pengumuman itu.

10. Sekali sekala, apabila cikgu menghantar mesej atau foto aktiviti yang dijalankan di dalam kelas melibatkan anak-anak kita, sebaiknya ibu bapa dapat memberi respon dan penghargaan kepada guru tersebut. Salah seorang, sama ada ibu atau bapa pun sudah memadai.

Sekurang-kurangnya, cikgu merasai sentiasa mendapat sokongan padu dari ibu bapa anak-anak murid mereka.

BAHAGIAN II.

| 10 Perkara Perlu Dielakkan Dalam Group Whatsapp Kelas |

1. Nama pun group whatsapp kelas, jadi, kita elakkan bersembang hal politik negara dalam group ini. 2018 ni tahun pilihanraya, saya yakin, memang ada yang akan buat perangai ‘terlajak perahu’ nanti.

Kekalkan keharmonian group ini. Perkara terakhir kita mahu elakkan, ibu bapa ‘left group’ beramai-ramai kerana bergaduh hal yang tiada kena mengena dengan anak dan sekolah.

2. Elakkan menampal iklan bisnes atau cerita-cerita viral yang tiada kena mengena dengan hal ehwal persekolahan anak-anak. Saya tahu, ramai yang ada ‘part-time business’, tetapi group whatsapp ni bukan saluran yang sesuai.

Kecuali ada yang bertanya, “Mana eh nak cari tudung macamni?” Jika kita boleh membantu, boleh saja PM tepi. Lebih profesional. Cerita-cerita viral artis, politik, perkauman, jauhkan dari group ini. Tak larat nak baca, ‘dari group sebelah’. Entah sebelah mana pun kita tak tahu.

3. Whatsapp group bukan tempat ‘arah-arah’ cikgu. Ini adalah tempat kita ‘minta tolong’ dengan cikgu. Jadi, sewajarnya, ayatnya juga lebih lembut dan tidak mendesak.

“Maaf cikgu, saya terlupa beri duit belanja pada Asyraf Muslim. Mohon jasa baik cikgu pinjamkan duit dulu ya, saya pulangkan kemudian. Terima kasih cikgu.”

Sedap dibaca kan? Mohon maaf, nyatakan tujuan, akhiri dengan terima kasih. Lengkap. Cikgu pun takde rasa tertekan dan ikhlas membantu.

4. Saya selalu perasan perkara ni. Ibu bapa mesej tak kira masa. Apabila cikgu tak sempat menjawab whatsapp, mula meradang. “Eh, mana cikgu ni ek? Tak respon pun.”

Sabar ya. Cikgu pun ada kehidupan dia sendiri. Jika di sekolah, mereka ada jadual mengajar masing-masing. Mana sempat untuk buka whatsapp apabila sedang mengajar.

Jika di rumah, mereka pun ada anak seperti kita. Entah anak dia lebih ramai dari kita. Jika kita mesej jam 7.00 petang, mungkin dia sedang mandikan anak. Kita mesej jam 8.00 malam, mungkin sedang ajar anak mengaji. Mesej jam 9.00 malam, mungkin dia sedang teman suami makan. Mereka pun perlu masa.

Jika tak berjawab juga, percayalah, mereka memang benar-benar tidak sempat menjawab. Jika memang sangat kecemasan, cuba pula hubungi ibu bapa kawan anak kita. Mereka mungkin tahu.

5. “Siapa ibu Aiman Danial dalam group ni? Anak saya kata, dia curi ‘pencil box’.”

Hah, sudah! Tanda-tanda perang akan bermula. Memang ada ibu bapa yang serang ibu bapa lain dalam group whatsapp. Kalau boleh, mahu satu kelas tahu mereka sedang berkonfrontasi. Relaks ya, abah, mama. Perkara begini, elok PM tepi dan selesaikan ‘face to face’. Tidak perlu amuk dalam group.

Tunggu keesokan hari, lapor pada guru kelas di sekolah. Insya Allah, mereka tahu apa yang perlu dilakukan. Sebolehnya, keharmonian group kekal terpelihara. Elok 2 famili saja terlibat, habis 1 sekolah tahu. Kool ya!

6. “Cikgu, macamana ya subjek Bahasa Inggeris anak saya ni? Dapat D.” Mengadu hal anak dalam group. Ini mungkin kurang sesuai. Ya, mungkin ada orang lain yang menghadapi masalah yang sama. Tetapi, jika dibincang dalam group, akan jadi panjang lebar dan mengganggu ibu bapa lain yang melihat notifikasi tanpa henti.

Sebaiknya perbincangan tentang anak kita, dibuat dengan berjumpa guru tersebut. Apabila guru menawarkan solusi, contohnya mengadakan kelas tambahan, barulah sesuai kita iklankan dalam group whatsapp kelas supaya anak-anak lain dapat ‘join’ bersama.

7. Cikgu baru saja tampal pengumuman dan info terkini tentang apa yang anak-anak perlu sediakan esok. Tak sempat dibaca, dah ada ibu bapa yang kecoh bersembang sampai pengumuman tadi akhirnya hilang naik ke atas.

Memang boleh skrol, tapi macam saya tulis awal tadi, bukan semua rajin untuk skrol. Sebaik-baiknya ketika cikgu sedang menaip pengumuman, elak mencelah! Biarkan informasi lengkap sepenuhnya, baru diajukan pertanyaan.

8. Ibu bapa zaman moden ni, memang ramai yang positif! Rajin ‘forward’ foto dan video motivasi ke dalam group. Baguslah jadi orang positif, tetapi group whatsapp kelas ni untuk komunikasi guru dan ibu bapa, jadi kekalkanlah begitu. Hanya hal ehwal sekolah dan anak-anak.

Bab positif ni, biar kekal dalam group positif kita saja. Lagipun, foto dan video menelan ‘data’ yang banyak. Bukan semua ibu bapa ada ‘plan internet tanpa henti’ macam kita. Mereka pun mesti dah tengok foto dan video tu dalam group lain, jadi, cukuplah.

9. Anak-anak kita memang aktif di rumah. Macam-macam aktiviti mereka buat. Melukis, mewarna, menulis, dan banyak lagi. Bagi saya, cukuplah ambil foto dan simpan sebagai kenangan keluarga saja. Tidak perlu tampal dalam group whatsapp kelas.

“Cikgu, tengok, anak saya dah pandai lukis dinasour.” Ya, kami pun tumpang gembira. Tetapi bayangkan jika semua ibu bapa buat perkara sama. Berapa banyak foto kita nak tengok. Entah sempat atau tidak cikgu nak menengoknya. Tah, tah, cikgu pun sedang jadi ‘dinasour’ di rumah. Jika mahu juga, hantar ‘personal’ pada cikgu. Boleh ya.

10. Disebabkan bertukar tempat kerja, anak kita mungkin berpindah dari sekolah itu. Sebaiknya, ceritakan sedikit tentang perpindahan tersebut dalam group dan mohon izin untuk ‘left group’. Sekurang-kurangnya, ibu bapa lain yang sudah lama mengenali anak dan diri kita akan maklum dan memberikan ucapan tanda ‘selamat tinggal’. Suasananya lebih muhibbah.

Meninggalkan group tanpa memaklumkan apa-apa, seolah-olah kita ‘memutuskan’ silaturrahim yang telah diwujudkan dengan ibu bapa lain sebelum ini dan terus menghilang.

Mungkin ada perkara lain yang tidak disebut, saya buka kepada ibu bapa berpengalaman lain untuk menambah dalam ruang komen.

Sebelum ada yang bertanya, anda bebas dan digalakkan untuk SHARE dalam group whatsapp sekolah.

~Ammar Kamilin~
Certified Consultant, Group Whatsapp Kelas Anak

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI