Selepas berkahwin, tentulah pasangan suami isteri mengharapkan anak pertama adalah lelaki dan bukan anak perempuan sulung. Bila besar nanti mampu menjaga adik-adiknya dan pewaris keluarga.
Mungkin ada yang kata, jaga anak perempuan sangat susah. Masa kecil bolehlah jadi peneman mak tapi bila besar, taatnya hendaklah pada suami. S
Tapi, janganlah sedih, jika rezeki dapat anak perempuan sulung. Itu tanda berkat anak perempuan.
Dalam perkongsian video oleh Ustaz Muhaizad sendiri turut menceritakan perihal anak Rasulullah yang kesemuanya adalah perempuan.
Dalam video itu, ustaz turut mengatakan, Rasullullah bersabda, sesiapa yang bahagiakan 3-4 orang anak perempuan, syurgalah baginya. Sebab jaga anak perempuan susah dan tak sama dengan jaga anak lelaki.
Antara intipati lain dalam perkongsian ustaz Muhaizad ini turut mengatakan:
Bila anak perempuan berkahwin, ketaatannya pada suami. Sebaliknya, suami/lelaki ketaatannya pada ibu.
Ads
Kita sebagai mak ayah, bila anak perempuan sudah berkahwin, jangan sesekali ganggu sebab dia sudah jadi milik orang. Jangan memaksa sehingga bercanggah dengan suami.
Terima hakikat, perempuan wajib kena taat suami.
Bagi anak lelaki, kena taat pada ibunya.
Ads
Mingguan Wanita : Jangan sedih, anak lelaki atau perempuan, masing-masing ada rezeki dan keberkatannya. Paling penting, mak ayah kena jaga amanah yang diberikan.
Telekung mahal atau murah Allah tak pandang, yang penting ikhlas & istiqomah. Baru-baru ini telah tular apabila seorang pengasas hebat berkongsi sebuah video pendek di akaun Tik Toknya memaklumkan telekung bernilai RM16,000 digunakan untuk berjumpa Allah sekaligus menghilangkan rasa bersalah memakai beg berharga belasan ribu untuk berjumpa rakan-rakan.
Perkongsian tersebut telah menimbulkan perbincangan dan pertikaian di kalangan warganet. Malah video tersebut yang mendapat 16.6 ribu tanda suka juga dihujani pelbagai komen. Ada yang memberikan komen positif, negatif dan tidak kurang yang mencadangkan agar wang tersebut dibelanjakan bagi kegunaan para asnaf.
Dek kerana hal tersebut Mingguan Wanita terpanggil untuk mendapatkan komen dari aspek agama. Pendakwah Bebas, Ustaz Hj Mohd Riza Hj Kamaruddin telah sudi memberi pandangannya secara umum.
Moga nasihat dan perkongsian dari Ustaz Haji Mohd Riza ini memberi manfaat kepada semua.
“Pertamanya saya ingatkan diri saya dan kepada kita semua agar bertaqwalah kepada Allah dalam semua urusan termasuk dalam urusan pakaian lebih-lebih lagi berpakaian ketika hendak beribadah kepada Allah.
Islam sama sekali tidak pernah melarang cara dan rekabentuk pakaian kita ketika hendak beribadah asalkan ia bersih dan menutup aurat secara syarie dan hendaklah ia berpakaian ikhlas kerana Allah.
Syarat diterima sesuatu ibadah itu adalah Ikhlas dan Ittiba’ ( mengikuti petunjuk Rasulullah) dalam semua perkara ibadah termasuk berpakaian ketika beribadah.
Secara umumnya, Islam tidak menetapkan jenama khusus bagi pakaian individu muslim. Ini menunjukkan keluasan dalam menggayakan pakaian walaupun ketika solat samada mengikut pakaian adat setempat sekalipun pelbagai gaya dan reka bentuk fesyennya. Namun, perkara yang perlu dititikberatkan ketika mengayakan pakaian ialah wajib menepati ciri-ciri pakaian yang menutup aurat dengan sempurna selain mengikut piawaian yang telah ditentukan syarak.
Bagi menjawab persoalan yang diajukan berkisar wanita yang memakai telekung untuk solat dengan harga yang mahal mungkin kerana gaya rekabentuknya, cara jahitannya atau kerana jenamanya. Maka, saya cenderung menyatakan bahawa ia merupakan satu nikmat Allah untuknya dan dia wajib mensyukurinya namun dia perlu berhati-hati agar dia termasuk dalam kategori orang yang bersifat melakukan pembaziran dalam berpakaian, apatah lagi JIKA disertakan niat untuk bermegah dengan mempamerkan kecantikan secara berlebihan. Islam melarang umatnya melakukan pembaziran serta sikap bermegah berdasarkan dalil-dalil berikut:
Maksudnya : “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah al-A’raf : 31)
Ayat di atas menunjukkan bahawa manusia perlu bersikap sederhana dalam melakukan sesuatu kerana Allah tidak suka sama sekali mereka yang melampaui batas. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 4/2174). Ayat ini turut menjelaskan bahawa Allah SWT tidak suka kepada mereka yang melakukan pembaziran pada makanan, minuman dan semua aspek lain (Rujuk Tafsir al-Muyassar 1/154). Bahkan, Allah menjelaskan bahawa perbuatan membazir adalah amalan syaitan berdasarkan firman berikut:
Maksudnya Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. Surah al-Isra’ (27)
Saya menasihatkan diri sendiri dan kepada semua umat islam agar tidak berlebih-lebihan dalam berpakaian kerana ia akan boleh menimbulkan rasa bangga diri dan berlagak angkuh kepada orang lain.
Rasulullah SAW melarang memakai pakaian untuk meraih kemasyhuran. Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
Maksudnya : “Siapa yang memakai pakaian syuhrah di dunia maka Allah memakaikan kepadanya pakaian kehinaan pada hari kiamat.”Riwayat Ibn Majah (3606)
Maksud pakaian syuhrah ialah baju yang ketara perbezaannya dengan manusia lain dari sudut warnanya atau bentuknya yang mampu untuk menggamit pandangan manusia lain untuk tertumpu melihat kearahnya sehingga menimbulkan perasaan ujub dan takbur dalam diri pemakai. Hadis tersebut turut menunjukkan larangan memakai pakaian syuhrah (Lihat, Nail al-Authar (303).
Namun perkara tersebut berbeza bagi mereka yang berkemampuan untuk berpakaian cantik disertakan niat tawadhuk (rendah diri) kerana ingin menzahirkan nikmat kurniaan Allah SWT kepadanya. Ini bertepatan dengan sebuah hadis Nabi SAW yang menasihatkan sahabatnya yang kaya dan bersabda:
Maksudnya: Jika Allah mengurniakan kepada kamu harta, maka perlihatlah kesan nikmat Allah ke atas kamu dan kemuliaannya. Riwayat Abu Daud
Perkara kedua dalam isu ini adalah sifat hasad dan dengki melihat kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Sifat hasad dan dengki ini bermula dengan pandangan mata seseorang dan akan bersarang dalam hatinya yang akan membuatkan dirinya merasa tidak senang melihat nikmat dan kurniaan Allah kepada orang lain.
Sehubungan dengan itu saya sekali lagi menasihatkan diri sendiri dan kepada seluruh umat islam agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada agar kita tidak dijangkiti dengan virus yang bakal merosakkan amal ibadah kita kelak.
Maksudnya: Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang Allah SWT kurniakan kepadanya harta dan dia membelanjakannya pada jalan kebenaran, serta seseorang yang dikurniakan hikmah dan dia berhukum dengannya dan mengajarkannya. Sahih al-Bukhari (73)
Maksudnya: ‘‘ Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang dikurniakan ilmu tentang al-Qur’an dan dia membacanya sepanjang malam dan siang, serta dengki terhadap seseorang yang dikurniakan harta dan dia menginfakkannya (ke jalan Allah SWT) sepanjang malam dan siang ‘. Sahih al-Bukhari (7529) dan Sahih Muslim (815)
Akhirnya saya ingin menarik perhatian para pembaca semua tentang kisah seorang lelaki dari kaum ansar yang Rasulullah istiharkan dia sebagai Lelaki Ahli Syurga dihadapan para sahabat baginda sebanyak tiga kali di masa dan tempoat yang berbeza sehingga membuatkan Abdullah bin Amru al-Ash bertindak menyelidiki apakah amalan lelaki tersebut sehingga dia diistiharkan oleh Rasulullah sebagai Ahli Syurga.
Setelah tiga hari dia tumpang bermalam di rumah lelaki tersebut Abdullah bin Amru Al-Ash tidak menemui apa-apa ibadah yang luar biasa yang dilakukan sehingga dia bertanya kepada lelaki tersebut ;
“Sebenarnya apa rahsia amalanmu yang membuatkan Rasulullah mengatakan bahawa kamu ahli surga?” soal Abdullah Ibnu Amru.
Lelaki itu berkata, ”Ya, benar, amalanku adalah seperti yang kamu saksikan.”
Setelah merasa yakin jawapan dan kejujuran lelaki tersebut , Abdullah bin Amru Al-Ash pun mahu beransur pulang. Namun, belum jauh dari rumahnya, orang itu berlari-lari untuk memanggil kembali Abdullah bin Umar semula sambil menjelaskan kepadanya :
“Ketahuilah, amalanku adalah seperti yang kamu lihat. Namun, aku tidak pernah merasa iri atau dengki kepada seorang pun dari orang-orang islam atas kebaikan atau kenikmatan yang mereka perolehi dari Allah SWT.”
Mendengar itu, Abdullah bin Amru al-Ash berkata, ”Inilah amalan yang dapat engkau lakukan dan yang belum dapat kami lakukan!” (HR Ahmad : 12236)
Pesan ibu “contohilah ayah”, Allahu banyaknya kebaikan buat diri terasa kerdil dan malu. Luahan dari Ustaz Wan Ali Akbar ini menyentuh perasaan setiap insan yang bergelar anak.
Air mata mengalir membaca setiap bait ayat yang dilontarkan hingga penulis sendiri teringatkan arwah bapa.
Mana tidaknya, kebaikan yang dilakukan sepanjang hayat Allahyarham Haji Wan Abdullah Haji Wan Long yang juga ayahanda kepada Ustaz Wan Ali Akbar ini memberi contoh terbaik. Bukan sekadar melunaskan tanggungjawab yang baik sebagai seorang bapa malah arwah juga melakukan banyak amalan hariannya boleh dijadikan contoh.
Benarlah apa yang dipesan oleh ibu Ustaz Wan Ali, selepas pemergian arwah ayah berulang kali dipesan kepada anak-anak agar mencontohi sikap ayah. Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat masyarakat di luar sana.
“Begitulah berulang kali kedengaran pesan bonda kepada kami anak-anak. Sebenarnya pesan ini memang selalu dialunkan sejak ayahanda masih ada lagi, namun makin kerap diulang-ulang oleh bonda selepas kematian ayahanda…
“Apa amalan ayahanda sampai bonda berpesan sedemikian?
1) ayahanda menjaga kesempurnaan solat. Bukan solat ye, tapi kesempurnaan solat. Jika kesempurnaan solat dijaga, solat apatah lagi.
“Dari sudut kebersihan, ayahanda akan mandi setiap kali sebelum solat (kecuali Solat Isya’ kerana ia dikira pakej sekali dengan Solat Maghrib). Bahkan, ketika rancak berniaga catering dulu pun, ayahanda tetap akan bergegas mandi sebelum solat.
“Ayahanda juga akan memastikan dia memakai pakaian terbaik. Baju Melayu atau kurta atau jubah, satu set matching warna dari kepala hingga ke kaki, sudah disiapkan bonda dalam rak bajunya, hanya tunggu untuk disarungkan sahaja. Baju dan kain pelekat juga matching warnanya dan tidak semberono dipakainya. Walau ketika sakit, solat di rumah, ayahanda tetap menjaga bahagian pakaian ini.
“Ayahanda juga pasti akan memakai wangi-wangian. Kalau dia lalu, sudah tentu semua akan terpesona dengan bau-bauan yang terbit daripada ayahanda. Semua orang juga dah tahu, waktu solat nak masuk kerana terbau wangian ayahanda.
“Ayahanda juga bersegera untuk solat. Memang kebiasaan ayahanda akan sampai awal ke masjid atau surau. Sampaikan ada AJK surau bercerita pada saya, “Kalau nampak Ayah Wan sampai, kita dah kelam kabut sebab dah tahu waktu solat dah hampir nak masuk.” Kalau hari Jumaat, jam 12.30 adalah waktu paling lambat untuk ayahanda menuju ke masjid sebab biasanya lebih awal daripada itu. Hal ini sangat dijaga, walaupun ketika sibuk menguruskan catering dulu pun, dia akan tinggalkan kerja yang ada untuk solat.
“Dalam bab menjaga kesempurnaan solat ini, kata bonda, memang menjadi amalan ayahanda sejak muda. Allahu…
“Sebelum meninggal, terutamanya ketika saya menjaga ayahanda di wad, kerap juga ayahanda tertinggal solat. Dia tidak sengaja, tapi keadaannya yang mamai menyebabkannya dia tidak sedar. Kami anak-anak hanya mampu membisikkan ke telinganya. Tapi, jika dia sedar, dia akan solat berkali-kali walau tanpa wudhuk. Pernah juga saya wudhukkan dia dan bisikkan ke telinga dia untuk solat, juga saya lihat dia solat berkali-kali. Saya fikir, mungkin dia qadha’ solat. Moga Allah ampuni dosa-dosanya.
2) ayahanda suka baca al-Quran, walaupun ayahanda tidak mahir baca al-Quran dan baca dengan gagap. Ayahanda tidak malu belajar al-Quran daripada bonda. Ayahanda juga suka duduk dekat dengan cucu-cucu ketika mereka membaca atau belajar al-Quran.
3) ayahanda suka baca buku. Hobi baca buku ini nampak lebih terserlah sejak ayahanda ‘pencen’ daripada berniaga. Sebelum ‘pencen’, ayahanda lebih banyak membaca surat khabar. Selepas ‘pencen’, ayahanda mula beralih kepada bahan bacaan yang lebih berat. Saya sendiri, apabila berkunjung ke PBAKL, memang ada bajet khusus untuk membeli buku untuknya.
4) Ayahanda suka bersedekah.
Saya pernah tengok, selepas dia dapat payment daripada pelanggan, dia kumpul sebahagian duit itu, diletakkan dalam sampul, lalu dimasukkan dalam tabung masjid. Agak tebal juga sampul tu. Saya sendiri tidak pasti berapa yang dia sedekahkan.
Pakaian dia juga, banyak yang dia telah hadiahkan kepada orang kampung. Sampaikan songkok UIA milik saya yang selalu dia pakai, saya tanya bonda selepas kematiannya, katanya telah diberikan kepada orang lain.
Makanan juga, dia suka hantar pada jiran-jiran. Anak-anak saudara dia yang susah-susah juga, kerap dia minta kami anak-anak untuk bank-in duit kepada mereka.
Kerap juga ayahanda membeli bukan dengan niat untuk memiliki, tetapi kerana ingin membantu peniaga. “Apa beli banyak sangat ni,” kata bonda. “Kesian tengok makcik tu menjual, takde sape beli,”jawabnya.
Ayahanda juga purposely membeli di kedai saudara mara untuk membantu mereka, walaupun harganya sedikit mahal daripada kedai lain yang lebih dekat.
Dengan cucu-cucu juga, pantang dengar sesuatu pencapaian, pasti ada alokasi duit khusus untuk mereka. Masuk IPT, dapat RM 1000. Dapat keputusan UPSR, PMR atau SPM, terima habuan lagi. Dapat masuk asrama, berjaya hafal Quran, semua ada hadiah berbentuk kewangan. Sampai tahap ayahanda mengumpul duit dan berkira-kira untuk tujuan tersebut. Allahu…
Ayahanda memang sangat pemurah.
5) Ayahanda tidak lokek ilmu. Ayahanda ada banyak ilmu, terutama yang dibina daripada pengalamannya. Saya kerap dengar, ada saudara mara dan kenalan yang suka datang ke rumah untuk dengar nasihat dan tips perniagaan daripada ayahanda. Tidak kurang juga yang datang untuk mendapat resepi rahsia air tangan ayahanda. Ada saudara mara kami yang kini membuka kedai bermodalkan resepi ayahanda dan mesin juga dibekalkan oleh ayahanda. Kekal hingga ke hari ini. Alhamdulillah. Moga menjadi saham ilmu yang bermanfaat dan kekal buat ayahanda.
6) ayahanda tidak suka berhutang. Alhamdulillah. Ayahanda pernah ditawarkan pinjaman daripada bank untuk modal perniagaan, tapi ayahanda tolak. Ayahanda tidak suka hidup mewah berhutang, sebaliknya ayahanda lebih selesa hidup sederhana bebas hutang.
7) ayahanda sangat menjaga silaturahim. Ayahanda pernah minta saya bawa dia ziarah saudara maranya, yang sedekat sekitar Terengganu dan jauh sehingga ke Johor. Saudara mara dia juga sentiasa dalam ingatan dan dia sangat cakna dengan perkembangan saudara maranya. Jika susah, dia akan pesan agar dikirimkan duit untuk mereka. Jika mereka berniaga, ayahanda selalu pesan untuk membeli di kedainya. Saya pernah kena marah dan dipersoalkan, kenapa tidak beli di kedai saudara mara sebaliknya membeli di kedai lain. Allahu…
“Ayahanda memang support peniaga Muslim. Saya pernah dipersoal, kenapa beli jam di kedai bukan Islam, di kala ada orang Islam yang turut buka kedai jam? Allahu…
“Banyak lagi amalan ayahanda yang setiap satunya pasti akan dinilai oleh Allah.
“Ayahanda, Jannah buatmu, insya’Allah. Moga kita ketemu di sana,” kongsi Ustaz Wan Ali.
Mingguan Wanita : Semoga perkongsian ini memberi manfaat berguna buat kita sebagai seorang anak.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa, hari yang lebih baik dan dikurniakan ganjaran pahala yang lebih besar dari pergi berjihad ialah pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah.
Bulan Zulhijjah antara bulan kebesaran Islam. Oleh yang demikian, kita sangatlah dituntut untuk menambah nilai ibadah untuk merebut ganjaran pahala yang dijanjikan terutamanya pada 10 hari pertama dalam bulan ini.
1. Esok merupakan hari pertama bulan Zulhijjah. Tahukah anda bahawa 10 hari pertama dari bulan Zulhijjah ini dapat memberikan pahala yang lebih besar dari Jihad?
“Tiada amalan yang dilakukan pada hari lain yang lebih baik daripada amalan pada 10 hari ini. Para sahabat bertanya: Walaupun Jihad? Baginda menjawab: Tidak juga Jihad, kecuali jika seseorang keluar dengan nyawa dan hartanya dan tidak kembali lagi. (HR al-Bukhari)
2. Mengapa 10 hari pertama Zulhijjah ini lebih baik dari Jihad?
Menurut al-Imam Ibn Hajar: والذي يظهر أن السبب في امتياز عشر ذي الحجة لمكان اجتماع أمهات العبادة فيه ، وهي الصلاة والصيام والصدقة والحج ، ولا يتأتى ذلك في غيره
“Secara zahirnya, sebab yang menjadikan 10 hari pertama Zulhijjah ini lebih utama dari yang lain kerana 10 hari ini menghimpunkan semua amalan utama di dalam Islam iaitu solat, puasa, sedeqah dan haji. Himpunan amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain. (Fath al-Bari)
3. Dengan sebab itu Rasulullah mengangkat hari-hari ini sebagai hari yang paling baik dalam setahun.
“Sebaik-baik hari dalam dunia ini adalah 10 hari ini.”
4. Sehingga atas dasar itu al-Imam Ibn Taimiyyah menganggap 10 hari pertama ini lebih utama dari 10 hari terakhir dari bulan Ramadan.
Kata beliau: أيام عشر ذي الحجة أفضل من أيام العشر من رمضان والليالي العشر الأواخر من رمضان أفضل من ليالي عشر ذي الحجة
Sepuluh hari awal Zulhijjah lebih afdal daripada sepuluh hari akhir Ramadhan, dan malam sepuluh akhir Ramadhan, lebih afdal daripada malam sepuluh awal Zulhijjah. [Majmu’ al-Fatawa, jilid 25, m/s 287]
5. Atas dasar itu Rasulullah meletakkan hari ini sebagai hari yang mesti dipertingkatkan amalan harian kita. Baginda melihatnya sebagai hari yang sangat dicintai oleh Allah. Sabda
Rasulullah: ما من أيام أعظم عند الله سبحانه ولا أحب إليه العمل فيهن من هذه الأيام العشر. فأكثروا فيهن من التهليل والتكبير والتحميد
“Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah dan tidak ada hari yang lebih disayangi oleh Allah supaya kita beramal di dalamnya melainkan pada 10 hari ini. Maka perbanyakkanlah bertahlil, bertakbir dan bertahmid” (HR al-Tabrani)
Mingguan Wanita: Sama-sama kita mempertingkankan amalan apabila memasuki bula Zulhijjah ini, lebih-lebih lagi pada 10 hari pertama. Semoga diperolehi ganjaran pahala berlipat ganda yang lebih besar dari pergi berjihad di jalan Allah.
Madam Mariyah cari jodoh sekufu, elak orang cakap tumpang kesenangan bini. Walau pernah diuji dalam rumah tangga, usahawan sensasi ini tidak tertutup untuk berkahwin sekali lagi.