Setiap insan mengharapkan hanya yang terbaik dalam kehidupan. Namun siapalah kita untuk menolak ujian dari Allah SWT. Di sinilah tahap keimanan diukur bagi menentukan sejauh mana ikhlasnya mulut mengatakan redha dengan dugaan.
Kunjungan penulis ke kediaman Azman Lokmat, 53 tahun di Klang tidak lama dahulu benar-benar menyentak hati.
Begitu dalamnya kasih Azman terhadap isteri, Raja Zarifah Raja Ramli. Langsung tidak berbelah bahagi meskipun si isteri sudah tidak seperti dahulu. Hampir sepanjang masa, Raja Zarifah menghabiskan harinya di kerusi roda yang menjadi ‘kaki keduanya’.
Dia kini bergelar Orang kelainan Upaya (OKU) setelah lumpuh separuh badan. Fizikalnya kian susut malah ubat–ubat yang dibekalkan oleh pihak hospital sudah menjadi makanan rutin.
Walau bagaimanapun keadaan si isteri, Azman tidak pernah sekalipun merungut. Dia tegar melaksanakan tanggungjawab sebagai suami meskipun sedikit lelah untuk mengurus keluarga dan keluar mencari rezeki.
Sebelum Pergi Kerja, Suami Siapkan Isteri Dahulu
“Asalnya dahulu, isteri sihat walafiat dan boleh bekerja bagi membantu kami sekeluarga. Tetapi, ketika mengandungkan anak kedua (tahun 1999), berlaku satu keadaan di mana kaki isteri tiba-tiba lemah.
“Macam menggeletar seperti terkena penyakit Parkinson. Masalah itu berlarutan hinggalah anak kami dilahirkan. Sekarang, isteri disahkan lumpuh dari pinggang ke bawah. Langsung tak boleh berjalan. Kata doktor, saraf isteri bermasalah.
“Suami manalah yang sanggup lihat isteri yang dinikahi sempurna, kini menderita kesakitan. Pada awalnya, emosi saya sedikit terganggu. Dia adalah tulang belakang keluarga.
Ads
“Bila dia macam ni, seluruh isi rumah merasa kesannya. Sejak itu, saya belajar untuk ambil alih semua tugas-tugasnya malah setiap hari, sebelum pergi kerja, saya akan siapkan isteri terlebih dahulu.
“Mandikan dia, siapkan makanannya dan beri ubat. Selepas itu, saya akan bawa isteri ke rumah mak. Maksudnya, sepanjang saya keluar bekerja maka mak lah yang diharapkan untuk tengok-tengokkan isteri. Risau juga lah hati ini jika hendak biarkan dia seorang diri di rumah.
“Selain mendapatkan rawatan di hospital, saya tak putus harap untuk mencuba rawatan tradisional. Ada masanya saya akan panggil tukang urut datang ke rumah. Minta urutkan isteri dan betulkan urat sarafnya.
“Alhamdulillah, sekarang dah nampak sedikit perubahan. Isteri dah boleh berdiri tetapi masih perlu berpaut kerana kakinya belum kuat seperti dahulu. Pastinya, saya rasa amat gembira dan bersyukur.
“Sekalipun tidak secara drastik perubahan yang berlaku ke atas dirinya namun semangat dan kesungguhan isteri untuk sembuh membuatkan saya betul-betul kagum.” cerita Azman dengan wajah yang gembira.
Ads
Rezeki Tak Disangka Dari Bantuan PERKESO
Ujar Azman, sebelum ini dia tidak tahu langsung tentang ‘bantuan’ yang boleh diminta dari PERKESO. Namun, kuasa Tuhan yang mempertemukan Azman dengan tukang urut isterinya.
Dialah yang bertanggungjawab memaklumkan masalah tersebut ke pihak PERKESO. Walaupun tidak semewah mana namun, bantuan kerusi roda serta wang pencen minima sedikit sebanyak telah meringankan beban keluarga ini.
“Bayangkan sahaja, lebih kurang 19 tahun isteri ‘diserang’ penyakit ini. Selama itulah kami kerap ulang alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan serta ubat-ubatan.
“Dahulu, kaki isteri kerap menggeletar dan lemah. Bagi mengatasi masalah tersebut, doktor mencadangkan agar isteri dimasukkan ke dalam wad dua minggu sekali bagi mendapatkan ubatan dan rawatan yang sepatutnya.
“Sekarang, isteri dah tak perlu masuk wad lagi sebab doktor sudah pun menjumpai ubat yang sesuai untuknya biarpun anggaran harga bagi ubat tersebut mencecah RM4,000 lebih. Mujurlah, kos tersebut ditanggung oleh kerajaan. Jika tidak, tak tahulah mana saya hendak cari wang sebanyak itu.
“Insya-Allah, jika tiada apa-apa masalah, isteri saya akan jalani ujian imbasan MRI di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 22 Januari ini. Harap-harap semuanya baik-baik sahaja.
Ads
“Jujur dikatakan, tiada yang lebih menggembirakan hati saya selain dari senyuman yang terukir di wajahnya. Saya tahu dia kuat dan tentunya dia seorang wanita yang hebat kerana mampu bertarung dengan penyakit yang dihidapi. Moga Allah beri rahmat kesihatan dan keimanan pada kami untuk terus jalani ujian yang mendatang ini,” ujar bapa kepada tiga cahaya mata dengan suara yang penuh harapan.
Cinta Saya Tak Pernah Berbelah Bagi
Melihatkan ketabahan pasangan ini, hati penulis seakan dijentik untuk bermuhasabah. Sesungguhnya Allah mendatangkan ujian kepada hamba-hambaNya yang benar-benar bersedia.
Betapa polosnya wajah si suami, menjaga dan memanjakan si isteri biarpun sulit untuknya mengambil alih seluruh tugas-tugas di rumah. Memasak, membasuh, menjaga hal kebajikan isteri, anak-anak. Ah, bukan mudah! Namun, inilah keajaiban yang Allah berikan. Selama mana dia ikhlas dengan apa yang dilakukan maka selama itulah Allah memudahkan setiap urusan.
Usai perjumpaan kami pada petang itu, Azman mohon untuk keluar bekerja. Seperti biasa, isterinya akan diletakkan sementara di rumah emaknya. Kelebihan bekerja dalam bidang pemasaran seakan bonus baginya untuk memperuntukkan sedikit masa bersama isteri.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada syarikat kerana memberi sedikit kelonggaran pada saya untuk mengurus isteri. Tak tahulah macam mana hendak balas jasa baik mereka.
“Benarlah kata orang, di saat susahlah baru kita tahu siapakah yang layak digelar sahabat. Alhamdulillah, anak-anak pun dah besar panjang. Mereka pun dah pandai berdikari jadi fokus saya hanya pada isteri sahaja.
“Moga Allah perkenankan doa kami agar isteri kembali sihat biarpun tidak mampu berjalan sepenuhnya, memadailah jika dia betah mengurus diri sendiri. Namun yang pasti, cinta dan kasih saya padanya tidak pernah berbelah bahagi.” Akhiri Azman bersungguh-sungguh.
Penulis : Nazwa Selamat Foto : Nurul Akmar Azimi Terima Kasih kepada En Samson dari PERKESO Klang
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bukan semua fotografer ada peluang merakam momen sayu sepanjang karier mereka. Ada juga fotografer yang sememangnya ‘terpaksa’ merakam kenangan pilu demi tugasan mereka. Itu barangkali yang perlu dilalui oleh fotografer suratkhabar, tabloid malah majalah sepanjang berkampung di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung. Perlu tabah setiap kali membedik lensa ke arah anak-anak syurga.
Cerita fotografer bernama Shahzuwan Pa’Wan ini tak kurang bezanya. Permintaan kliennya, Delayla Abudin yang baru selesai majlis konvokesyen di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’Adzam Shah (POLIMAS), Jitra Kedah mengundang tanda tanya.
Mula-mula dia di bawa ke rumah kliennya. Kemudian, diminta pula ke kubur bersama sekeping gambar di tangan klein. Tanda tanya terus bermain di kepala sampailah kliennya bercerita perihal sebenar dalam linangan air mata.
Terkesan dengan pekerjaannya hari itu, Shahzuwan memuat naik kisah kliennya di facebook miliknya. Perkongsiannya juga diselitkan dengan dialek Kedah.
Diploma Untuk Mak
Hari ini peristiwa paling sedih dan bermakna yang jadi dalam hidup aku. Aku dapat seorang client untuk shoot konvo dia. Macam biasa bila dah deal apa semua dia setuju dengan pakej yang aku bagitau. So pagi tadi lepas shoot post konvo dia minta untuk aku shoot gambaq dia di kuboq.
Aku terkejut tanya ‘pasaipa nak shoot di kuboq’ Dia kata nanti aku tau. Aku pun tak mau cakap banyak so ikut jalah permintaan dia dah nama pun client kena la ikut permintaan dia.
Kliennya memaklumkan kubur yang nak disinggahi terletak di Tunjang. Berdekatan dengan kawasan rumah kliennya itu. Dia pun mengikut saja kehendak klien tersebut. Semasa dalam perjalanan ke kubur, kliennya meminta singgah sebentar di rumahnya dahulu kerana dia mahu mengambil barang miliknya.
Sampai di rumah dia masuk dalam rumah lebih kurang 5 minit macam tu la aku tunggu. Pastu dia keluaq dari rumah dia dengan bawa keluar frame gambaq seorang wanita. Aku mula tu dah pelik pasaipa nak pi kuboq bawa frame gambaq wanita tu p kuboq sekali.
Persoalan mula timboi dalam kotak fikiran aku. Gambaq sapa tu. Memandangkan hari nak hujan aku suggest dia naik keta dengan aku pi kuboq. Dia tanpa membantah terus setuju. Masa dalam kereta otw dari rumah dia ke kuboq kami senyap ja.
Pastu aku mula bersuara tanya gambaq sapa tu. Dengan muka tunduk sambil pandang gambaq tu dia hanya senyap seribu bahasa.
Aku makin diburu persoalan aku tanya lagi dah kenapa bawa gambaq tu p kuboq. Dia tetap senyap tanpa jawapan.
Sebaik sampai persekitaran tanah perkuburan, kliennya minta dia parking kereta bawah pokok besar dekat tepi kubur. Selesai parking, dia turun dari kenderaan itu dan berjalan menuju ke sebuah pusara dan berhenti di situ.
Aku pun tanpa banyak cakap sambil bawa kamera aku follow dia terus ke kuboq tu. Masa di kuboq tu dia pandang aku sambil kata kat aku
“Abg wan nie la kuboq mak Lela”
“Gambaq Lela pegang ni gambaq mak Lela” sambil ayaq mata dia mula jatuh membasahi pipi dia.
Time tu lidah aku kelu, tergamam tak tau nak cakap apa dah dengan ayaq mata aku tanpa aku sedaq mula mencurah sama laju dengan ayaq mata dia.
“Allahuakbar.. ni pertama kali aku shoot client dapat moment macam ni. Sambil aku dok tergaman tu aku tengok dia mula berbicara dengan kuboq mak dia. Aku dengaq dia kata
“Assalamualaikum mak adik mai ni bawa diploma adik.. hari ni majlis konvokesyen adik mak. Adik happy sangat mak sebab dah konvo tapi lagi happykan kalau mak ada sekali dengan adik sambut majlis konvo adik. Mak ingat dak mak kata nak tengok adik konvo. Hari ni adik dah konvo dah tapikan mak tak dan tengok adik hari ni sebab tu adik bawa diploma adik mai sini nak tunjuk kat mak. Walaupun mak tak dak kat sisi adik tapi adik tau mak nampak adik dari sana..”
Time ni seriously aku sebagai lelaki muka ganaih kahaq pun meruntun jiwa beb. Perasan sebak tu menusuk meresap masuk dalam jiwa aku.
Allah saja tau macam na rasa time tu. Sambil ayaq mata aku meramu tu aku tengok dia slow-slow letak gambaq dan diploma dia di sisi batu nisan mak dia dan aku terus capai kamera shoot moment tu.
Dia kata kat aku “abang wan Lela nak shoot gambaq Lela pakai jubah konvo dengan mak bleh dak..” Allah lagi meruntun jiwa aku. Tanpa banyak cakap aku terus shoot. Aku boleh shoot gambaq 3, 4 keping ja sebab hati aku sebak tak mampu nak shoot banyak-banyak.
Lepas tu aku ajak dia balik. Dia ambik masa lebih kurang 15 minit gak untuk tinggai kuboq mak dia. Masa dalam kereta otw nak balik baru la dia bagitau katanya sebelum mak dia meninggal arwah mak dia pesan supaya dia tamatkan pengajian dia dan arwah mak dia nak tengok dia konvo.
Tapi tulah kata sebaik-baik perancangan, perancangan dari Allah tu lebih sempurna. Kita mampu merancang Allah yang tentu semua. Tak dan dia konvo mak dia pergi menemui sang pencipta disebabkan kanser ( tak pasti kanser apa).
Last masa sampai depan rumah dia, dia kata kat aku “Lela syok tengok orang lain sambut konvo dengan mak ayah depa tapi lela ada ayah ja mak dah tak dak” Sekali lagi aku meramu ayaq mata.
Aku pesan kat dia “Lela sekurang-kurangnya Lela dah tunaikan hajat mak Lela..Sabaq banyak-banyak ok. InsyaAllah kebahagian akan tunggu Lela di depan.”
Moral Of The Story
Di sini aku nampk di mana kasih sayag seorang anak pada mak dia. Jadi kita yang masih ada mak ni hargailah mak kita sebaik-baiknya sebelum depa pejam mata tinggai kita. Time tu nak buat apa dah tak dak guna.
Marilah sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah kepada roh arwah mak Lela Allahyarhamah Che Ma Bt Jamaludin (1951-2017). Moga roh arwah mak Lela ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Amin..
Allahu, sayunya hati apabila mendengar berita seorang kanak-kanak perempuan 9 tahun maut, cedera organ dalaman dipercayai mangsa dera ayah mak tiri. Sampainya hati.Memetik laporan Harian Metro, Aina Nabihah adalah kanak-kanak yang maut dipercayai akibat didera ayah kandung dan mak tirinya di rumah keluarganya di Taman Vista Jaya, Lukut, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Zainudin Ahmad berkata, mangsa Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9, dilihat tidak sedarkan diri oleh bapanya pada 11.30 malam.
“Lelaki berusia 38 tahun cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada anak keduanya itu namun tidak berjaya. Dia kemudian membawa anaknya ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk rawatan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor pada 12.30 tengah malam, malah pemeriksaan menemui kesan lebam di seluruh badan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kecederaan Organ Dalaman
Katanya, mayat mangsa diserahkan ke Unit Forensik hospital berkenaan untuk bedah siasat dan keputusan mendapati kematian mangsa berpunca daripada kecederaan parah pada organ dalaman.
“Bedah siasat mendapati buah pinggang mangsa rosak, usus koyak, tulang rusuk kanan dan kiri patah dipercayai dipukul dengan objek tumpul,” katanya.
Berikutan kejadian itu, beliau berkata, suspek ditahan selepas selesai bedah siasat di HTJ hari ini dan akan mendapatkan perintah reman di mahkamah, esok.
Zainudin berkata, sebelum ini bapa kandung mangsa pernah ditahan atas kesalahan sama pada Jun tahun lalu, susulan laporan yang dibuat bekas isteri yang melihat kesan lebam ketika mengambil anaknya daripada jagaan lelaki itu.
“Kes terbabit dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan suspek dibebaskan atas alasan ingin mendidik mangsa,” katanya.
Sementara itu, seorang jiran yang enggan dikenali mendakwa, anaknya yang juga rakan mangsa, mendedahkan kanak-kanak itu kerap mengadu didera bapanya sebelum ini.
Antara luahannya, “Lama-lama nanti aku mati kena bunuh,”.Dia beritahu anak saya, selalu kena pukul malah pernah dibaling kerusi oleh bapanya itu sehingga kerusi itu patah dan dia cedera. Dia juga beritahu kalau keadaan berterusan, dia boleh mati,” katanya ketika ditemui di kawasan perumahan itu di sini, hari ini.
Beberapa Kali Mangsa Lebam Pada Mata
Sementara itu, seorang jiran lain, mendakwa kanak-kanak itu beberapa kali dilihat lebam pada muka, terutama pada bahagian mata.
“Mangsa agak pendiam dan jarang keluar rumah tetapi semua orang di sini tahu dia adalah kanak-kanak yang baik. Apabila saya bertanya mengenai kecederaan sebelum ini, dia memberi alasan terjatuh daripada basikal.
“Kami juga kerap mendengar suara bapanya marah-marah di dalam rumah itu dan disusuli bunyi seperti pukulan. Bapanya memang garang, tetapi mempunyai hubungan baik dengan jiran dan pernah memberitahu tidak sentuh anak-anak ketika marah,” katanya.
Jiran berkenaan turut berkata, tidak pernah mendengar kanak-kanak itu bercerita perkara buruk mengenai bapanya yang juga seorang anggota tentera berpangkat sarjan.
Ditanya mengenai kejadian malam tadi, dia berkata, mereka tidak menyedari bunyi mencurigakan, namun mengakui mendengar suara bapanya marah dengan kuat dari dalam rumah itu pada tengah hari, Ahad lalu.
Semoga arwah adik Aina Nabihah tenang menemui penciptaNya.Berakhir sudah segala penderitaan yang dialami selama ini. Buat mak ayah dalam mahu mendidik dan mengajar anak-anak biarlah berpada-pada, jangan terlalu mengikut perasaan amarah yang mengakibatkan kecederaan dari segi emosi dan fizikal buat mereka.
Macam-macam hal, walaupun pasangan pengantin tidak berkemampuan, tetapi tetap boleh ‘miliki’ hantaran mewah dengan cara tersendiri. Sebuah syarikat di Thailand menawarkan perkhidmatan menyewa wang dan barangan kemas sebagai hantaran kepada pasangan pengantin yang miskin tetapi mahu menunjuk-nunjuk ketika majlis perkahwinan mereka.
Syarikat perunding acara, Romantiese yang berpangkalan di Chiang Mai menawarkan perkhidmatan itu sejak tiga bulan lalu tetapi sambutan yang diterima sangat luar biasa. Bagi masyarakat di Thailand, hantaran atau dikenali sebagai sin sod diberi pihak lelaki sebagai tanda menghargai ibu bapa yang membesarkan pengantin perempuan dan sebagai bukti pengantin lelaki mampu menyara keluarga.
Hantaran yang terdiri daripada wang tunai dan barangan kemas biasanya dipamerkan pada majlis perkahwinan untuk menunjukkan status pengantin lelaki. Bagaimanapun, tidak ramai yang mampu memberi wang hantaran yang tinggi dan Romantiese mengambil kesempatan daripada situasi itu bagi menjaga air muka pengantin lelaki.
Inspirasi Perkahwinan Sendiri
Menurut laporan Coconuts Bangkok, Romantiese menawarkan perkhidmatan menyewa wang tunai, bar emas dan kereta mewah kepada bakal pengantin. Syarikat itu mengenakan bayaran 35,000 baht (RM4,353) untuk pakej wang tunai berjumlah 500,000 baht (RM62,188) dan sebuah kereta mewah Mercedes dipamerkan sebagai hantaran ketika majlis perkahwinan.
Pemilik Romantiese, Tawan Supanontakorn, 31, dan isterinya, Kangkai, 28, memberitahu, perkhidmatan itu diinspirasikan daripada pengalaman perkahwinan mereka sendiri.
“Ketika kami berkahwin lima tahun lalu, kami berharap untuk menyediakan emas dan wang tunai bagi menghargai keluarga kami tetapi pada waktu itu kami tidak mampu berbuat demikian.
“Kami berharap dengan perkhidmatan ini dapat membantu menjadikan majlis perkahwinan pelanggan kami menjadi hari yang indah dan sempurna,” katanya.
Menurut Tawan lagi, perkhidmatan yang ditawarkan ini tiada beza seperti menyewa dekorasi perkahwinan yang lain. Pasangan pengantin haruslah menandatangani kontrak secara undang-undang bersetuju menyewa wang tunai, barang kemas dan kereta ini hanya sebagai dekorasi didalam perkahwinan mereka.
Bahkan, Tawan juga menjelaskan wang tunai yang disewa tersebut juga tidak boleh digunakan untuk membeli apa juga barangan, malah tidak boleh disentuh sewaktu majlis perkahwinan tersebut berlangsung. Ia hanyalah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk kepada para tetamu, dan diuruskan oleh staf syarikat ini.
Macam-macam hal. Nasihat kami di Mingguan Wanita, ukur baju dibadan sendiri.Tak perlulah sehingga nak menunjuk-nunjuk pada orang lain, padahal diri sendiri tidak berkemampuan.
Ibu tiga anak digilis lori simen ketika berhenti di lampu isyarat, kegagalan brek jadi punca. Seorang anggota penjara yang juga ibu kepada tiga anak,...