Pesanan buat para suami, janganlah terlalu berkira dengan anak-anak dan isteri. Selagi boleh, berusahalah cuba tunaikan apa yang diinginkan. Baik keperluan mahupun kehendak selagi mana dalam batas kemampuan diri. Ini kerana percayalah balasannya berlipat kali ganda dari nilai yang dikeluarkan.
Jemput fahamkan dan renungkan perkongsian daripada Firdaus Shakirin ini;
Abah selalu cakap,
“Nak makan apapun, beli..teringin apapun, beli…duit boleh cari…”
Sampai ke hari ini, bila dah berkahwin pun saya masih guna pakai ayat ni.Saya pesan kat isteri, kalau ada benda yang dia teringin, yang dia nak, bagitau ja kat saya, saya akan usahakan untuk beli. Tak kisahlah samada ianya makanan, barangan, pakaian ataupun kelengkapan-kelengkapan lain.
Kalau tak beli bulan ni, bulan depan. Kalau tak bulan depan, bulan satu lagi.
Ads
Apa yang kita akan dapat sekiranya kita berkira dgn anak isteri sendiri? Duit kita semakin bertambah? Kita semakin kaya?
Sama ja pun..duit habis macam tu jugak. Lagi teruk, tak nampak apa-apa hasil tapi duit dah habis.
Isteri nak beli pencuci muka, kita kata tak payah, tapi kita beli rokok, tak pe pulak? Isteri nak beli baju baru, kita kata pakai ja baju mana yang ada, tapi kita tukar sport rim kereta, tak pe pulak? Isteri nak beli kasut, beg tangan, tudung baru, kita suruh pakai yang lama, tapi kita beli yang baru-baru untuk diri sendiri, boleh pulak?
Ads
Suami jenis yang macam mana kita ni.
Tumpang Rezeki Anak Isteri
Jangan terlalu berkira dengan anak isteri. Apa yang kita dapat pada hari ini sangat berkait rapat dengan mereka. Boleh jadi kita ni yang menumpang rezeki anak isteri kita sendiri ataupun kita dimurahkan rezeki hasil doa tanpa henti dari anak isteri.
Ads
Cubalah untuk tunaikan apa yang anak isteri inginkan. InsyaAllah, Allah akan membalasnya berlipat kali ganda lagi dari nilai yang kita keluarkan.
Nak percaya atau tak, terserahlah…Dapat tengok anak isteri tersenyum gembira setiap hari itu lebih bermakna daripada ada duit banyak, tapi dengan anak isteri sendiri pun BERKIRA..
MW: Memang ada benarnya.. pesanan buat para suami tak perlu terlalu berkira dengan anak dan isteri. Cubalah tunaikan permintaan mereka, percayalah rezeki lagi akan bertambah berlipat kali ganda.
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya berusia 39 tahun, memiliki sepasang cahaya mata berusia 15 dan 13 tahun. Keduanya belajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Terengganu. Saya dalam ketakutan kerana seorang lelaki.
Saya dan suami sama-sama bekerja swasta dan sibuk. Memandangkan anak-anak tinggal di asrama, jadi tak ada masalah untuk kami balik lewat atau kerja hujung minggu. Setiap tiga minggu kami akan terbang ke Terengganu menjenguk anak-anak.
Terus terang, dengan gaji saya dan suami, kami mampu hidup selesa. Alhamdulillah. Bercuti ke luar negara setahun sekali sudah jadi rutin kami. Itu juga perjanjian antara saya dan suami dengan anak-anak. Ketika ini kami akan luangkan masa untuk bersama mereka memandangkan kami tinggal berjauhan.
Namun, perkenalan saya dengan seorang pemuda, J, merubah kehidupan saya. Sebenarnya kami satu tempat kerja tapi berlainan jabatan. Sikap saya yang suka menolong yang membuatkan kami rapat. Saya pernah tumpangkan dia balik kerja bila keretanya rosak di parkir pejabat. Kebetulan saya balik lewat dan nampak dia yang sedang memeriksa enjin keretanya.
Dia rasa terhutang budi kerana saya sanggup menghantarnya pulang sedangkan rumah kami berbeza arah. Dia ingin belanja saya makan sebagai tanda ucapan terima kasih dan saya menerimanya. Saya pergi bukan berdua pun, ada teman lain menemani.
Selepas itu, pertemuan demi pertemuan terjadi tapi saya tiada apa-apa perasaan terhadapnya. Saya anggap dia seperti adik kerana dia lebih muda enam tahun daripada saya. Sering kali juga dia bercerita tentang isteri dan dua anaknya. Saya juga begitu.
Cuma daripada awal, dia tak pernah panggil saya ‘kakak’ walau pun saya membahasakan diri saya dengan panggilan itu. Katanya, tak perlu kerana saya nampak lebih muda daripadanya. Malah dia rasa lebih selesa begitu.
Aidiladha lalu, saya sekeluarga bercuti ke luar negara dan sengaja saya ambil cuti lama kerana kebetulan anak-anak cuti sekolah. Di luar negara, saya tak terlalu berkepit dengan telefon dan hanya sesekali tengok handphone bila di hotel. Ada saya terima whatsapp daripada J yang bertanya bila saya akan balik dan saya beritahu bila tarikh dan masanya. Yang buat saya tak sedap hati bila dia cakap dia rindu saya..tapi tak ambil hati sangat.
Sampai di rumah barulah saya membaca macam-macam whatsapp termasuk daripada J. Saya terperanjat bila dia beritahu dia ada di airport tadi menanti ketibaan saya. Mulanya ingat dia bergurau tapi bila dia tahu di mana saya sekeluarga makan dan saya pakai baju apa, saya naik risau. Katanya, terubat rindu walau pun hanya mampu lihat saya dari jauh! Puan, tiba-tiba rasa takut pula.
Saya minta dia berterus terang kerana tak sedap hati. Dia mengaku bahawa dia dah jatuh cinta dengan saya dan ingin hidup bersama. Tentu saja saya marah kerana kami sama-sama dah berkahwin dan saya hanya anggap dia sebagai adik saja. Tapi dia tak boleh terima dan sanggup berskandal dengan saya. Gila kan?
Selepas itu saya mengelak untuk berjumpa dengan J tapi dia sering kali menghantar whatsapp atau menelefon ke talian pejabat. Saya rasa tak tenteram dan takut. Saya tukar nombor telefon kerana tak nak dia ganggu tapi dia akan telefon ke talian pejabat dan e-mel saya.
Puan, patutkah saya berterus terang dengan suami? Saya juga takut kawan-kawan sepejabat tahu kerana J saban hari akan turun ke jabatan saya. Walau pun hanya memandang saya dari jauh, tapi saya sangat rimas dengan keadaan ini. Saya juga risau dan takut dia makin berani kelak, tak tahu apa dia akan lakukan.
Puan K, KL.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah.Perasaan suka, ingin berkawan, ingin berbicara, jika dibaja boleh bertukar menjadi sayang, kasih, cinta, rindu, mabuk angau dan sebagainya dalam diri seseorang jika dia terasa kekosongan dalam dirinya atau perasaan kecewa yang dialaminya.
Pun terdapat beberapa faktor lain yang merangsang dirinya dengan perasaan yang disebutkan di atas kerana nafsu dan emosi yang tidak dikawal dan diurus dengan baik mengikut batasan adat dan agama.
Individu sebegini mudah terlupa kepada realiti kehidupan dan tanggung jawab serta amanah yang dipikul. Malah tidak dapat membezakan mana yang baik, mana yang buruk, mana yang berdosa mana yang pahala…mana yang boleh mengundang murka Allah dan sebaliknya.
Tahniah diucapkan kepada puan kerana tidak terpengaruh dengan hasutan syaitan untuk terus bersamanya. Puan mengetahui batas dan sempadan dalam budaya dan agama. Tindakan puan menukar nombor telefon bimbit adalah tindakan yang praktikal dan bijak. Sekurang-kurangnya tidak memberi ruang dan peluang kepadanya mengganggu puan melalui telefon bimbit.
Bagi menjawab persoalan yang puan kemukakan sama ada perlu atau tidak untuk memberitahu suami, saya rasa puan sendiri mengenali suami sama ada boleh menerima penjelasan daripada puan atau tidak. Jika suami mempercayai puan, dan kurang dari segi sifat cemburunya, maka mudah puan untuk menjelaskannya.
Jika sebaliknya, puan perlu kebijaksanaan dalam menceritakan apa yang telah berlaku. Puan sendiri yang tahu suami boleh menerima ini atau sebaliknya memburukkan lagi keadaan jika puan memberitahunya.
Sebaiknya biarlah puan sendiri yang menceritakan kepada suami, berbanding jika suami dapat tahu daripada orang lain. Atau lebih buruk, mungkin lelaki itu sanggup berbuat apa sahaja seperti menyamar dan memberitahu suami puan bahawa puan ada hubungan sulit dengan lelaki lain, atau mungkin juga dengannya. Kebarangkalian dan kemungkinan ini boleh berlaku dalam keadaan yang tidak diduga, malah bukan dalam pemikiran rasional kita.
Tindakan puan menjauhkan diri daripadanya adalah langkah bijak. Seboleh mungkin elakkan daripada bertembung dengannya atau melalui jalan yang biasa dilaluinya. Jika dia sering turun ke jabatan puan, cuba elakkan dari bertembung dengannya. Jauh sekali untuk bertegur sapa. Jaga penampilan dan pakaian puan daripada berhias secara berlebihan.
Jika boleh, pakai tudung yang lebih labuh daripada biasa. Jaga pandangan mata apabila bertembung dengannya. Elakkan daripada memberi sebarang respons dalam apa jua bentuk, sama ada lisan, atau bukan lisan.
Puan mungkin tidak tahu sejauh mana “kegilaannya”. Mungkin dengan cara mengelak dan tidak memberi respons, lama- kelamaan berkemungkinan dia bosan. Jika masih diganggu walaupun puan cuba mengelaknya, beritahu dia bahawa puan akan beritahu isterinya tentang perilaku suaminya. Ini semua perlu ketelitian dalam memberi sebarang respons. Pelbagai insiden mungkin tidak dijangka.
Ada orang yang tidak dapat mengawal emosi, minda dan nafsunya. Jika nafsu mengatasi pemikirannya, apa sahaja boleh berlaku. Ilmu hitam tidak mustahil boleh digunakan jika nafsu tidak dikawal dan hilang sebahagian iman daripada dirinya.
Akhir sekali, carilah “pendinding diri” dengan mengamalkan ayat-ayat suci al – Quran. Amalkan doa-doa tertentu yang boleh dicari daripada guru agama. Pada kali ini puan mungkin berjaya, namun puan akan sentiasa terdedah kepada godaan dan pengaruh yang tidak dijangka. Banyakkan berdoa agar puan dilindungi dari sebarang ujian dunia. Wallahualam.
**Permasalahan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan Penulis Bebas, yang juga penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bukan semata-mata cuci rumah dan kemas barang. Tiga amalan masuk rumah baru yang Ustaz Farid Rashidi ini kongsikan adalah langkah pertama yang mak ayah kena buat. Salah satunya, baca surah al-Baqarah.
Tiga amalan mudah ini berpandukan pada hadis. Dan tentulah dengan panduan ini menjadi titik tolak untuk anda dan keluarga menjauhi segala macam gangguan daripada rumah kosong yang terbiar untuk sekian lama.
Itu belum cerita bab kos dan ongkosnya. Fuhh, nak demam jugalah dibuatnya.
Tapi ada lagi yang paling mustahak, iaitu amalan untuk masuk rumah baru. Yelah, rumah kosong yang tak didiami orangkan sebelumnya. Jadi, kenalah minta perlindungan sungguh-sungguh pada Allah SWT agar dapat hindar segala gangguan.
Baik, apa amalan yang ringkas dan mudah diamalkan?
Menurut hadis, ada beberapa amalan yang elok diamalkan.
Daripada Nafi` bahawa Abdullah bin Umar r.a berkata:
إِذَا دَخَلَ الْبَيْتَ غَيْرَ الْمَسْكُونِ فَلْيَقُلِ السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين. “Jika engkau memasuki suatu rumah yang tidak berpenghuni maka katakanlah: Assalamu`alaina wa `ala ibaadillahis solihin (Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh).”
[Hadis Riwayat Bukhari, no. 1055]
Daripada Jabir bin Abdillah r.a, Nabi SAW bersabda:
وَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا “Tutuplah pintu, dan sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup (yang disebut nama Allah).”
[Hadis Riwayat Bukhari, no. 3304). Riwayat Muslim, no. 2012]
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda:
لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِى تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ “Janganlah kamu semua menjadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surat al-Baqarah”
[Hadis Riwayat Muslim, no. 780]
Ok, itu antara amalan masuk rumah baru yang elok sama-sama kita amalkan. InsyaAllah, moga jadi Rumahku Syurgaku. Jom amalkan bersama.
Dalam urusan rumah tangga satu perkara yang suami perlu fahamkan adalah mengenai duit dan pendapatan isteri. Lebih-lebih lagi bagi isteri yang bekerja. Perlu tahu bahawa duit isteri bukanlah duit suami, nak suruh isteri bayar itu dan ini kena tanya dulu. Jangan anggap pendapatan isteri, merupakan duit yang suami boleh gunakan sesuka hati.
“Yang ini awak bayar, yang itu saya bayar”
Perlu diingatkan, duit isteri bukan duit suami.
Suami takde hak ke atas duit isteri, tapi isteri ada hak ke atas duit suami.
Sebelum nak suruh isteri bayar itu ini dalam rumahtangga, tanya dulu isteri, dia izinkan atau tidak duit dia digunakan oleh kita untuk meringankan beban kita.
Tanya dulu.
Jangan mempergunakan isteri dengan alasan dia bekerja, maka dia perlu bayar itu, perlu bayar ini. Setiap sen yang isteri gunakan untuk membayar apa yang sepatutnya menjadi tanggungjawab suami, perlu dia halalkan, perlu dia redha, jika tidak ianya akan menjadi haram.
Suami tak boleh guna duit isteri jika isteri tak izinkan.
Sebab tu, kalau nak kahwin, kena mampu…mampu dari segala segi. Mampu tu kuncinya…bukan setakat mampu menyediakan mas kahwin dan wang hantaran, mampu buat album perkahwinan, mampu buat pelamin 3k, 4k, mampu sewa baju pengantin, mampu ambik photographer…tapi mampu memberi nafkah zahir dan batin apabila dah bergelar suami nanti.
Tempat tinggal, makan minum, pakaian dan perubatan, ini antara nafkah zahir yang seorang suami perlu sediakan tanpa sebarang syarat kepada isteri.
Jangan sesekali menganggap pendapatan isteri itu sebagai duit yang kita boleh gunakan sesuka hati untuk membayar hutang-hutang kita, membeli barangan-baranan keperluan dan belanja rumah, bil-bil utiliti dan sebagainya. Duit dia, is duit dia…kita takde hak, kecuali dia yang izinkan, dia halalkan dan dia redha untuk kita gunakan.
Jika tidak, kita yang jadi suami ni masih perlu gunakan duit sendiri untuk menjalankan tanggungjawab-tanggungjawab kita hatta sampai tinggal seringgit dalam dompet.Itu lebih baik daripada menggunakan duit yang bukan hak kita.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Memang ada benarnya suami perlu faham betul-betul hukum menggunakan duit isteri ini dalam menunaikan tanggungjawab rumahtangga. Namun demikian dalam perkahwinan ada tolak ansurnya, isteri tidaklah begitu kejam hanya membiarkan suami menanggung segala kesempitan bersendirian. Apa yang penting suami faham, tahu tanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan diatas ‘kemurahan’ hati isteri yang sudi membantu.