Ketika dilanda konflik rumah tangga kronik dengan isteri yang sedang hamil, wahai suami.. ingatlah bahawa hormon isteri anda ketika itu tidaklah stabil. Amatlah peritnya jika suami cerai isteri dalam keadaan isterinya hamil.
Kerana itu, anda sebagai ketua keluarga seharusnya bertindak wajar, lebih bijak dan perhalusi semula niat untuk melepaskannya. Biarpun, hukumnya harus lafaz cerai yang dilepaskan pada isteri mengandung dan jatuh talaknya, namun dimanakah kewajaran bagi seorang suami.
Apatah lagi, ketika itu isteri sedang mengandungkan zuriat suami dan terpaksa berdepan keletihan malah tekanan perasaan lagi-lagi melibatkan bayi dalam kandungannya.
Lelaki ini, BroOhsem, Akhtar Syamir berkongsi gambaran benar yang isteri hamil lalui. Sungguh prosesnya tak mudah, malah memeritkan.
Ini Sebab Cerai Isteri Ketika Hamil Tak Bertanggungjawab
Cerai isteri ketika hamil. Ini adalah satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab yang boleh dilakukan oleh seorang lelaki.
Apa bezanya waktu lain dan semasa hamil? Kalau anda tak nampak perbezaan ini, maknanya hati dan mata anda sebenarnya telah buta. Sama ada buta ditusuk cinta dan sayang orang yang baru atau sememangnya dilahirkan tidak mengambil berat mengenai isteri.
Ini Yang Jadi Sebaik Isteri Tahu Dirinya Hamil
Proses kehamilan itu bukan sekadar hamil sahaja. Ianya bermula dengan sebelum terjadinya hamil itu. Sebelum hamil itu berdua. Kalau seorang sahaja memang tak jadi. Jadi, selalunya di tahap ini, indah dan seronok.
Kemudian tibalah tahap di mana isteri itu disahkan hamil. Segala hormon di dalam badan isteri berkecamuk umpama kapal yang sedang terbalik. Percayalah pada ketika ini, isteri sangat memerlukan suami.
Makan itu tak boleh, bau ini nak muntah. Kepala sentiasa pening, mood selalu tidak baik. Apabila makan pun tidak terurus, tenaga pun akan berkurangan ditambah pula dengan muntah yang berlarutan.
Ads
Di sini datangnya keperluan seorang suami untuk membantu isteri menjalani kehidupan yang normal dengan keadaan sebegitu. Isteri sangat memerlukan sokongan moral kerana pada masa inilah jiwanya terganggu.
Sewaktu Alahan Teruk, Nak Bangun Dari Katil Pun Susah..
Dari segi fizikal pula, si isteri yang mengalami alahan yang teruk tidak akan cukup nutrisi dan zat di dalam badan. Ini kerana isteri tidak berhenti muntah sehingga tidak terkira berapa kali sehari. Suamilah yang patut bantu masak atau menyediakan makanan.
Dari segi pakaian, dari segi kebersihan juga perlu dibantu. Ada kalanya nak bangun dari katil pun satu perkara yang sukar untuk dilakukan seorang diri. Inikan pula mandi. Suami yang prihatin, pasti akan mandikan isterinya.
Waktu Pemeriksaan Kehamilan, Isteri Perlu Sokongan Suami
Kehamilan tidak dapat lari dari kunjungan ke klinik kesihatan. Nampak seperti satu perkara yang mudah. Pergi klinik dan jumpa Doktor. Apa yang susahnya? Jika anda berfikiran sebegini, malanglah isteri anda.
Ini kerana proses pemeriksaan di klinik kesihatan adalah antara perkara yang paling menyusahkan dan memenatkan wanita yang sedang hamil. Dari masa pergi, daftar, menunggu, menunggu dan menunggu hinggalah akhirnya semua proses itu selesai berjam-jam selepas itu.
Itu belum campur jika ada keperluan lain seperti buat BSP yang pastinya memberi lebih tekanan kepada bakal ibu. Tanpa suami, terkontang-kantinglah isteri seorang diri menguruskan semuanya. Jika ada anak kecil pula, pastinya lebih teruk.
Proses menunggu waktu bersalin juga adalah fasa yang memenatkan. Jika tidak sakit, hati pasti akan sentiasa risau dan gundah gulana. Ada pula yang sentiasa rasa sakit tetapi badan tidak bersedia. Pada waktu ini, suamilah yang menjadi tempat mengadu dan menenangkan jiwa. Risau, takut dan ada yang kecewa kerana lebih dari tarikh yang sepatutnya sangat memberi tekanan.
Dalam Dewan Bersalin, Nyawa Isteri Bagi Dihujung Tanduk
Apabila sudah masuk di dalam dewan bersalin. Isteri akan ditinggalkan keseorangan memikir seribu persoalan di dalam kepala. Adakah semuanya akan selamat?
Ads
Bagaimanakah anak aku nanti? Pada waktu itu, sangat penting bakal ibu ditenangkan oleh suami.
Saya sendiri luka di tangan akibat digenggam dengan kuat oleh isteri. Biar dia luka, biar saya sakit. Saya tahu itu hanya secebis sahaja kesakitan yang isteri sedang alami.
Saat meneran juga antara saat yang terpenting dalam proses kelahiran. Nyawa isteri berada di hujung tanduk. Kekuatan bukan datang dari diri sendiri lagi kerana semuanya telah habis digunakan.
Kesakitan yang dialami tiada tolok bandingnya. Jika semua suami boleh merasai kesakitan itu, saya jamin tidak akan ada yang tergamak melayan isteri dengan buruk. Cuba bayangkan anda digunting dan dijahit tanpa bius. Bayangkanlah.
Selepas Bersalin, Luka Jahitan Ambil Masa Nak Sembuh
Selesai bersalin, masa pemulihan pun bermula. Jahitan akibat digunting perlu ambil masa untuk pulih. Si ibu akan sibuk menguruskan bayi. Jalannya tidak teratur. Langkahnya singkat. Perlu sentiasa berhati-hati kerana jika kesannya amat buruk jika tersilap langkah.
Jika ada anak lain pula yang perlu diuruskan, sememangnya satu tugas yang perit. Mungkin ada yang boleh buat semuanya, tetapi ramai yang benar-benar tidak mampu. Mana nak jaga diri, mana nak jaga anak lagi.
Masa Berpantanglah, Risiko Meroyan Boleh Terjadi
Faktor gangguan emosi juga sering terjadi selepas bersalin. Terlalu banyak kes depresi yang terjadi. Ada yang terlalu teruk sehingga timbul perasaan untuk mencederakan anak. Allahuakbar. Jika tiada peneman, tiada yang menenangkan, akibatnya amatlah buruk.
Ads
Begitulah serba sedikit perjalanan dari awal sehingga selepas hamil. Ini hanya sedikit gambaran kasar. Hanya yang melaluinya sahaja tahu betapa sukarnya mengandung dan melahirkan anak.
Manusia biasa pasti tidak tergamak membiarkan isteri melalui semua itu seorang diri. Manusia yang berakal akan cuba membantu sebaik mungkin untuk memudahkan segala urusannya. Perlu ingat, mereka jadi seperti ini disebabkan suami juga. Jadi, bertanggungjawablah atas perbuatan itu.
Kejamnya Lelaki Yang Menceraikan Isteri Semasa Hamil
Inilah sebabnya kenapa saya kata, lelaki yang menceraikan isterinya semasa hamil adalah lelaki yang sangat tidak bertanggungjawab. Tidak kiralah anda siapa. Anda seorang yang kejam.
Tidak kira perpisahan itu atas sebab apa. Sebagai seorang suami yang bersama-sama semasa proses bermulanya kehamilan, ianya perlu diteruskan sehingga selesai kesemua proses itu. Bukan ditinggalkan begitu sahaja.
Semoga kita dijauhkan dari keadaan seperti ini. Hargailah isteri anda. Tiada siapa yang boleh melahirkan zuriat sendiri selain isteri. Jadilah manusia yang bertanggungjawab.
Kongsikan penulisan ini buat pedoman semua. Ini bukan soal menyibuk hal rumah tangga orang lain. Ini soal memberi kesedaran. Jika tiada siapa yang beritahu, tidak semua akan faham apa yang isteri lalui.
MW : Jangan ingat wanita hamil ini semua kuat, mungkin hatinya kata kuat. Tapi siapa tahu apa yang ‘baby’ dalam perut itu sedang alami. Fikirlah sedalamnya sebelum buat keputusan mahu cerai isteri semasa hamil.
Sumber/Foto : Akhtar Syamir, yang selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan dan isu semasa.
Berbakti pada orang tua bukan hanya memberi duit semata-mata sekadar untuk membalas jasa mereka yang menjaga anak sejak dari kecil. Tanpa mak ayah, siapalah kita. Mereka sanggup bersusah payah demi anak-anaknya.
Sebab itulah, jangan sesekali kita sebagai anak lupa jasa dan lepas tangan untuk berbakti pada mereka.
Sementelah apabila anak sudah dewasa dan mempunyai kehidupan sendiri. Langusng lupa untuk berbakti pada orang tua. Apa yang difikirkan hanya untuk keluarga sendiri. Paling ditakutkan lebih-lebih lagi anak lelaki yang ada setengahnya lebih suka menurut kemahuan isteri.
Selalunya apa yang kita dengar anak lelaki bila sudah berisiteri mula lupa untuk berbakti pada orang tuanya. Lebih menyedihkan bila isteri sendiri tidak suka dan tidak membantu suami untuk berkhidmat pada orang tua.
Jangan begitu, syurga seorang isteri adalah pada suaminya. Tapi suami, syurga baginya terletak pada restu dan doa mak ayah. Sebagai isteri, sentiasalah ingatkan suami tentang khidmatnya pada mak ayah.
Seperti apa yang dikongsikan oleh Liza Idris ini, boleh dijadikan panduan untuk suami isteri di luar sana.
Masa dengar ceramah baru ni, saya sangat terkesan dengan ayat “isteri bantulah suami untuk dapat kunci ke syurga.”
Bagaimana?
Bantu suami berkhidmat untuk ibu dan ayahnya. Bila suami dapat kunci ke syurga insya Allah turut dibawa kita bersama.
Usah kita jadi penghalang atau batu api untuk suami berbuat kebaikan pada ibu ayahnya.
Kadang suami terlepas pandang, beri hadiah pada isteri macam-macam, namun ibu ayah di kampung tidak dimanjakan.
Kita selesa dengan kereta mewah, rumah banglo, ibu ayah di kampung pula rumah nak roboh.
Buatla kebaikan sebanyak mana pun dalam dunia ni, jika tak jaga hati mereka dan terguris maka tiada keberkatan dalam hidup.
Sebab tu dalam kisah Ulama Hassan Al Basri.
Seorang sahabat telah tanya pada beliau, dia sedang belajar Al Quran, ibunya pula sedang tunggu untuk makan malam.
Jawab Hassan Al Basri. “Pergilah makan dengan ibu mu. Gembirakan dia. Aku lebih suka daripada kamu buat Haji Sunnat.”
Masya Allah, di situ bertapa tingginya darjat ibu dan ayah.
Buat suami, keutamaan adalah ibu dahulu, kemudian isteri seterusnya anak. Buat isteri, keutamaan adalah suami dahulu, kemudian ibu dan seterusnya anak.
Namun hari ini, suami utamakan isteri lebih dari ibunya.
Balas Jasa Orang Tua
Kawan.
Jika kita masih ada ibu ayah berkhidmatlah kepada mereka. Duit yang ada berbelanjalah untuk mereka selagi kita mampu.
Biarpun mak ayah kita berada dan berharta, hulurlah setakat yang mampu demi balas jasa mereka. Usah berkira-kira. Allah akan gantikan dengan pelaburan yang lain.
Jika tak berkemampuan sumbanglah kerahan tenaga untuk mereka.
Gembirakanlah mereka kerana redha Allah terletak pada redha ibu ayah. Ia jambatan kita ke syurga.
Sedikit pun terguris hati mereka, maka tiada keberkatan dalam hidup.
Masa kita kecil dulu mak ayah jaga dan tatang kita. Apa kita nak, mereka cuba tunaikan.
Ada yang bergolak gadai semata-mata mahu anaknya sambung belajar. Ada juga yang sanggup pinjam Along demi beli gajet untuk anaknya belajar.
Namun, lepas tamat belajar kita pun bekerja. Kemudian berkahwin. Ada kehidupan sendiri.
Kita sibuk dengan pasangan dan anak-anak.
Lebih parah suami dikawal oleh isteri. Kita semakin jauh dari mereka. Kita lupa pengorbanan mereka.
Isteri yang hebat sayang pada suaminya sehingga dia menyayangi orang yang disayangi suaminya.
Malah, isteri yang baik akan ingatkan suaminya supaya berbakti dan berhubung dengan ibu ayah.
Suami yang soleh juga akan berkasih sayang dengan ibu ayah juga mertua. Layanan dibahagikan sama rata.
Korbanlah apa sahaja untuk ibu ayah dengan syarat dalam kemampuan kita.
Beruntung Masih Ada Mak Ayah
Hari ini beruntung lah jika masih ada ibu dan ayah, kerana 2 kunci pintu syurga masih tersedia.
Sekiranya salah seorang telah tiada, kita masih dikurniakan 1 kunci pintu ke syurga.
Bagaimana jika keduanya telah tiada?
Panjangkan hubungan silaturrahim bersama sanak saudara dan sahabat ibu ayah kita.
Anak yang soleh akan sentiasa mendoakan ibu ayah di alam sana.
Minta mereka doakan kita sementara mereka masih ada, kerana doa mereka tiada hijapnya.
Mingguan Wanita : Jangan sesekali lupa tentang jasa mereka. Berbakti pada mak ayah selagi mereka masih hidup.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Ramai yang tak sedar, ada pertanyaan yang diajukan itu rupanya melukakan hati orang lain. Daripada tak ada apa-apa, jadi haru biru hanya disebabkan kata-kata itu.
Pesan Ustaz Asrulnizam Abas ini banyak benarnya. Fikir-fikirlah jika pertanyaan itu akan memberi kesan yang lebih besar kepada hidup orang yang ditanyakan, lebih baiklah DIAM.
Sekilas Dengar Macam Biasa, Tapi Sebenarnya Sangat Melukakan
Seorang teman bertanya, “Berapa gaji kau sebulan kerja di kedai tu?”
Dia menjawab, “RM900.00 sahaja.”
“RM900.00 sahaja? Sedikit sekali boss hargai keringat. Cukup ke nak hidup sebulan?”
Sejak saat itu temanmu jadi membenci pekerjaannya. lalu dia meminta kenaikan gaji pada majikannya, dan pihak majikan tidak dapat mempertimbangkannya. Kini temanmu tidak lagi bekerja bahkan menjadi penganggur.
Saat seorang ibu bertanya;
“Rumahmu ini bukankah agak sempit? Bukankah anak-anakmu ramai?”
Rumah yang tadinya terasa lapang, sejak saat itu mulai dirasa sempit oleh penghuninya. Ketenangan pun hilang saat keluarga ini mulai berhutang untuk mendapatkan rumah yang lebih besar.
Seorang abang bertanya saat kunjungan seminggu setelah adik perempuannya baru sahaja dapat melahirkan baby baru.
“Hadiah apa yang diberikan suamimu setelah engkau melahirkan?”
“Tidak ada.” Jawab adiknya pendek.
Abangnya bertanya lagi: “Apakah suamimu fikir kamu ini tidak berharga? Aku selalu memberi hadiah isteriku walau tanpa alasan yang istimewa.”
Keesokannya, ketika suaminya lelah pulang dari tempat kerja dan pulang, kelihatan isterinya merajuk dan meminta hadiah. Mereka bertengkar. Sebulan kemudian, antara suami isteri ini terjadi perceraian.
Kerana apa? Kerana kalimah sederhana yang diucapkan seorang abang kepada adik perempuannya.
Sebab Itu Kena Ada ‘Insurans’ Mulut..
Seseorang bertanya pada nenek tua itu,
“Berapa kali anakmu mengunjungimu dalam sebulan?”
Si nenek menjawab, “Sebulan sekali.”
Yang bertanya membalas balik,
“Wah keterlaluan sekali anak-anakmu itu. Diusia senjamu ini seharusnya mereka mengunjungimu lebih kerap.”
Hati si nenek menjadi sedih padahal awalnya ia amat rela dan memahami situasi anak-anaknya. Maka menjangkakan si nenek dan kesihatannya pun bertambah buruk.
APA SEBENARNYA KEUNTUNGAN YANG KITA DAPAT DENGAN BERTANYA SOALAN-SOALAN BEGITU?
Ada masanya mulut kita perlu ada ‘insuran’ untuk tidak bertanyakan benda yang dianggap remeh tapi sebenarnya sangat melukakan orang lain.
MW : Sebab itulah sebelum nak membawang bertanyakan soalan ‘makan dalam’, sebaiknya cuba letakkan diri dalam ‘kasut’ mereka. Jika anda pun rasa sukar nak terima, apatah lagi yang ditanya itu. Pedih weh!
Sumber/Foto : Asrulnizam Abas, Baik diam dari terkeluar soalan sensitif.
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mungkin ada yang tak tahu, sebenarnya mak ayah boleh ‘claim’ pelepasan cukai sebanyak RM1,000 jika mempunyai anak berumur 6 tahun dan ke bawah yang dihantar ke taman asuhan mahupun pra-sekolah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Pendidikan.
Mak ayah boleh rujuk Perenggan 44(6)(1)(r) Akta Cukai Pendapatan 1967 atau lihat saja perkara #10 di bawah bagi Pelepasan Cukai Individu yang menyatakan “Yuran penghantaran anak ke Pusat Asuhan Kanak-Kanak atau Pra-sekolah”:
Sangat penting bagi mak ayah untuk mendaftarkan anak-anak di taska yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia sahaja. Ini adalah bagi memastikan tahap keselamatan dan tahap pendidikan taska tersebut adalah lebih terjamin.
Berikut adalah perincian lebih lanjut mengenai taska atau taman asuhan kanak-kanak.
Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 [Akta 308]
Tujuan penggubalan adalah untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran, pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas TASKA dan bagi perkara yang berkaitan dengannya demi menentukan kesejahteraan, keselamatan dan perkembangan menyeluruh kanak-kanak diutamakan.
Definasi Taman Asuhan Kanak-Kanak
Di bawah Seksyen 2, Akta 308
“Taman asuhan kanak-kanak” ertinya mana-mana premis yang menerima masuk empat (4) orang atau lebih kanak-kanak di bawah umur empat (4) tahun dari lebih daripada satu isi rumah untuk dijaga dengan upah.
Definasi Taman Asuhan Kanak-Kanak Berdaftar
“Taman asuhan kanak-kanak berdaftar” ertinya suatu taman asuhan kanak-kanak yang didaftarkan di bawah seksyen 7.
Di bawah Seksyen 6 (1) tiada seorang pun boleh menjalankan atau mengambil bahagian dalam pengurusan suatu taman asuhan kanak-kanak yang tidak didaftarkan dibawah peruntukan–peruntukan Akta ini.
Di bawah Seksyen 6 (2) Akta 308 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan
Kategori Taska
Seksyen 5 Akta 308 memperuntukkan 4 kategori TASKA seperti berikut :
1.TASKA Di Institusi
Menerima 10 orang atau lebih kanak-kanak dalam jagaan.Ditubuhkan atas inisiatif pihak swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO)
2.TASKA Di Tempat Kerja
Menerima 10 orang kanak-kanak atau lebih dalam jagaanDitubuhkan atas inisiatif majikan untuk kebajikan pekerja
3.TASKA Komuniti
Menerima 10 orang kanak-kanak atau lebih dalam jagaan.Menerima bantuan daripada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri.Ditubuhkan atas inisiatif komuniti untuk manfaat kepada keluarga yang berpendapatan rendah di bandar dan luar bandar
4. TASKA Di Rumah
Menerima 4 hingga 9 orang kanak-kanak dalam jagaan.Dijalankan di kediaman sendiri
Simpan Resit Dan Boleh Claim Dengan LHDN
Namun perlu ingat, walaupun bayar yuran taska anak sampai RM10,000 setahun, tapi dapat RM1,000 saja pelepasan cukai. Sebab itu pihak LHDN tulis RM1,000 (TERHAD). Semasa isi e-filing nanti isilah RM1,000 di ruang yang disediakan. Jimat juga jumlah cukai yang perlu dibayar. Silap haribulan bila masukkan pelepasan ini terus tak layak bayar cukai.
Nota : Pastikan simpan resit daripada taska tadi. Pastikan resit tersebut disimpan elok-elok selama 7 tahun. Anak anda pun dah masuk sekolah menengah selepas tujuh tahun kelak.
Semoga bermanfaat! Kongsikan pada mak ayah yang lain juga.