Beruntunglah pasangan suami isteri yang dianugerahkan anak ramai. Usah mengeluh atau merasakan anak yang lahir itu satu bebaban. Kita tidak tahu setiap anak itu telah ditentukan rezekinya dan tidak mustahil, kita yang menumpang rezeki mereka.

Ini antara ulasan yaang diberikan oleh Mohd Shariman bin Che Deris tentang anak ramai ini.

“Pandai buat anak je, berderet ramai tetapi menjaganya tidak, mendidiknya jauh sekali,  pakat-pakat jadi sampah masyarakat”  Ini namanya ibu bapa yang derhaka.

Apatah lagi jika di sebalik ketidakmampuan hidup berkeluarga ini, ada ibu bapa yang masih tetap beringinan dan mahukan anak yang ramai.  Benar, di sebalik setiap anak itu ada rezekinya yang tersendiri namun perlu di ingat bahawa rezeki ini bukannya macam cerita Alladin yang semudah minta dan dikabulkan oleh Jin, ia perlu diusahakan dengan tenaga, fikiran dan idea.  Hanya berpeluk tubuh dengan rezeki sedia ada adalah satu kezaliman untuk anak-anak.  Inilah antara punca berlakunya ibubapa derhaka.

Bayangkan sahaja, dulunya anak seorang dan dengan pendapatan ayahnya RM1,500.00 sebulan,alhamdulillah sudah cukup untuk memenuhi asas hidup, kini anaknya sudah bertambah kepada enam orang dan dengan gaji yang hanya RM2,000.00 kehidupan sudah bertambah perit dan sempit.

Benar, dan ini diperakui masayarakat bahawa mempunyai anak yang ramai adalah satu cabaran tidak hanya kepada ibu bapa malah lebih lagi kepada anak itu sendiri.  Malangnya ada ibubapa yang terlupa akan hakikat ini, dan menganggapnya sebagai remeh, kerana itu dalam soal mempunyai anak ramai ini setiap ibu bapa perlu sedar akan lima perkara utama :

  1. Apakah anak sekarang ini telah disara dengan baik dan mampu dipenuhi keperluan persekolahan, keperluan asas dan sosial anak-anak?
  2. Apakah sekarang ini cukup ruang untuk dibesarkan anak-anak dengan baik, memisahkan antara jantina bagi menjaga aurat anak-anak?
  3. Apakah sekarang ini anak-anak mampu diberikan masa dan ruang yang cukup untuk dimanjai, dibelai dan dididik?
  4. Apakah sekarang ini, anak-anak rapat dan mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga dan tiada mempunyai masalah di sekolah?
  5. Apakah kesihatan ibu bapa cukup baik untuk membesarkan anak-anak ini sehingga melepasi tempoh persekolahannya?

Jika kesemua lima soalan ini, jawapannya ‘Ya’ bermaksud, ibu bapa ini telah bersedia dengan komitmen baru, dan sebaliknya kerana soal mempunyai anak ramai adalah perkara yang perlu dilihat dalam aspek keseimbangan  hidup.

IKLAN

Ambil Perhatian

Kesedaran perlu wujud di kalangan ibu bapa yang mahu mempunyai anak yang ramai Apakah formula kejayaan untuk mereka yang mempunyai anak ramai ini?  Ada enam perkara asas yang perlu diambil perhatian oleh setiap ibu bapa yang mahu berkeluarga besar.

Urus Masa Dengan Baik

Anak-anak memerlukan ibu dan ayahnya, keupayaan memperuntukan masa untuk anak-anak adalah sangat perlu bagi memastikan perkembangan emosi dan mental anak-anak adalah baik dan sesuai dengan umurnya.

Kawal Dan Urus Emosi Dengan Cemerlang

Ramai yang berkata bahawa 95% perubahan kepada anak adalah bergantung kepada ibu bapanya, dalam erti kata mudahnya apabila mempunyai anak ramai, ibu bapa akan berhadapan dengan pelbagai ragam emosi.  Di sana menangis, di sini mungkin merajuk, di laman pula bergaduh, di dapur pula mungkin berebut makanan.  Ibubapa perlu sentiasa dalam mode emosi yang stabil dan tidak meletop tanpa kawalan dibimbangi kelak akan lebih memburukkan suasana dalam keluarga.

 Mempunyai Kewangan Yang Cukup Dan Sesuai

Ini adalah satu kewajipan yang mesti ada, bayangkan betapa banyak keperluan untuk anak di setiap kali buka sekolah, hampir-hampir saja mungkin mencecah RM200.00 untuk seorang anak, bayangkan jika ada 8 orang anak.  Jika ekonomi tidak kukuh mahu roboh jiwa hilang semangat nak menyediakan modal anak-anak.  Itu belum lagi kira, duit belanja sekolah dan keperluan pembelajaran lainnya.

IKLAN

Mempunyai Ruang Dalam Rumah Yang Cukup

Ini sangat penting kerana kajian membuktikan anak-anak perlukan ruang privasi mereka yang tersendiri bagi perkembangan fizikal dan emosi diri, mempunyai anak yang ramai  menuntut ruang yang lebih untuk anak-anak.  Ada keluarga yang apabila waktu tidurnya, hanya cukup dengan satu tilam dan tidur beramai-ramai. Ini sangat tidak digalakkan apatah lagi jika bercampur anak lelaki dan perempuan.  Pemisahan ruang ini perlu ada untuk anak lelaki, anak perempuan dan anak dewasa serta ibu bapa.

 Persetujuan Bersama

Menjaga anak ramai bukanlah hanya perlu digalas oleh ibu semata-mata, malah peranan ayah adalah sangat penting, dek kerana itu perlu ada persetujuan bersama antara suami dan isteri jika mereka mahu mempunyai anak ramai agar tidak berlakunya ‘finger pointing’ dalam keluarga.

Mempunyai Kesihatan Yang Baik

Membesarkan anak-anak memerlukan tenaga, fokus dan kesihatan yang baik, apatah lagi jika mempunyai anak yang ramai.  Setiap anak ini akan menuntut kita bekerja keras melayani karenah mereka dan percayalah, menguruskan anak-anak yang ramai memerlukan kekuatan tenaga fizikal, emosi dan mental yang tinggi, jiwa perlu besar dan ketahanan perlu kuat.

Keluarga Meriah

Anak-anak adalah permata, berkeluarga besar akan mendatangkan lebih kemeriahan, keriangan dan keseronokan dengan keletah dan karenah mereka di sepanjang hari, inilah juga yang akan mendatangkan rezeki dan rahmat Allah S.W.T

IKLAN

Setiap ibu bapa mempunyai pilihan samada mahukan anak ramai atau sekadarnya sahaja, ianya satu keputusan yang perlu dibuat bersama.  Suis  utama adalah kepada ibu bapa itu sendiri bagaimana mahu dilayari bahtera keluarga ini dengan baik dalam keadaan mempunyai anak yang ramai tanpa dihukum  sebagai ibu bapa derhaka.

Realitinya perit namun ianya berlaku apatah lagi di zaman millennial ini yang masing-masing ibu bapa sibuk dan terikat dengan pelbagai macam kekangan masa dan ruang sehingga akhirnya anak-anak terbiar dan mula terlibat dengan pelbagai gejala yang tidak sihat.

 

 

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI