Elak Rawat Sendiri. Pengambilan Vitamin C Dalam Dos Tinggi TIDAK Mencegah @ Merawat COVID-19
Gambar sekadar hiasan

Malaysia dan hampir semua negara di dunia sedang berdepan dengan penularan wabak coronavirus disease 2019 atau Covid-19. Elak rawat sendiri bagi mencegah covid-19.

Sehingga 7 April 2020, sebanyak 3963 kes positif dan 63 kematian telah dilaporkan di Malaysia.

Perintah Kawalan Pergerakan juga telah diisytiharkan bermula 18 Mac hingga 28 April 2020 sebagai usaha mengurangkan bilangan kes baharu Covid-19.

Elak Rawat Sendiri. Pengambilan Vitamin C Dalam Dos Tinggi TIDAK Mencegah @ Merawat COVID-19

Sejak  awal lagi, masyarakat disarankan mengamalkan langkah pencegahan dengan kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun mengikut kaedah yang betul serta amalan penjarakan sosial (social distancing) antara individu.

Masyarakat juga dinasihatkan untuk tidak menyentuh mata, hidung atau mulut dengan tangan yang belum dicuci.

Hand sanitizer pula boleh digunakan sekiranya tiada air dan sabun. Hand sanitiser yang digunakan perlu mempunyai sekurang-kurangnya 60% kandungan alkohol, serta berdaftar atau bernotifikasi dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara.

Status pendaftaran atau notifikasi hand sanitiser yang digunakan boleh disemak melalui laman web www.npra.gov.my atau aplikasi telefon pintar NPRA Product Status.

Baca sini:

IKLAN

keluar-rumah-pakai-sarung-tangan-cara-itu-lebih-berbahaya

Tidak Beli Ubat Terkawal Secara Dalam Talian

Beberapa negara telah menggunakan ubat-ubatan yang di dapati memberikan kesan kepada Covid-19. Di Malaysia, ubat yang sama juga digunakan untuk rawatan Covid-19. Doktor menggunakan ubat-ubat ini dengan pemantauan rapi serta menyesuaikannya dengan keadaan dan tindak balas pesakit.

Di samping itu, Malaysia juga telah dipilih menjalankan kajian klinikal Multicentre Adaptive Solidarity Trial – Covid-19 yang mengkaji keberkesanan ubat-ubatan sebagai rawatan khusus bagi Covid-19.

Walaupun ubat hydroxychloroquine dan chloroquine digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 di hospital, ini tidak bermaksud bahawa kedua-duanya boleh diambil sendiri oleh masyarakat sebagai cara mencegah jangkitan Covid-19 tanpa pemantauan doktor.

Ubat ini adalah Ubat Terkawal dan orang awam dinasihati agar tidak membeli ubat ini yang dijual secara dalam talian. Penggunaan hydroxychloroquine dan chloroquine tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan mudarat kepada kesihatan.

Beberapa laporan tentang keracunan dan kematian yang disebabkan oleh rawatan sendiri orang awam dengan menggunakan hydroxychloroquine bagi mencegah Covid19 telah dilaporkan di luar negara.

Ada Gejala Segera Dapatkan Pemeriksaan Doktor

Di dapati kebanyakan pesakit yang mengalami gejala jangkitan yang serius terdiri daripada warga emas dan pesakit kronik seperti pesakit darah tinggi, diabetes dan asma.

IKLAN

Ini disebabkan sistem imun mereka yang lemah. Golongan ini disarankan agar mengambil langkah perlindungan seperti kerap mencuci tangan dan amalkan penjarakan sosial.

Sekiranya terdapat ahli keluarga yang mengalami gejala seperti demam, batuk, sakit tekak dan kesukaran bernafas, dapatkan pemeriksaan lanjut oleh doktor di fasiliti kesihatan dengan segera. Sebarang nasihat daripada pasukan kesihatan hendaklah dipatuhi bagi mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19.

Terdapat mesej yang tular dalam media sosial dan mendakwa bahawa pengambilan produk tertentu dapat mencegah jangkitan Covid-19, contohnya suplemen vitamin C pada dos tinggi dan air rebusan daun semambu. Walau bagaimanapun, dakwaan ini tiada bukti secara saintifik dapat mencegah Covid-19.

Suplemen vitamin C pada dos tinggi tidak menambahkan kepekatan vitamin C di dalam darah. Malahan, vitamin C yang berlebihan akan terus dikumuhkan keluar daripada badan. Sesetengah individu pula berisiko untuk mengalami kesan sampingan seperti pembentukan batu karang dan cirit-birit.

Air rebusan daun semambu dikhuatiri boleh menyebabkan keracunan dan kesan mudarat . Bagi kanak-kanak daun semambu boleh menyebabkan sawan, muntah, koma dan maut. Manakala wanita hamil pula berisiko tinggi mengalami keguguran.

Daun semambu mungkin selamat diambil oleh orang dewasa tetapi pada dos yang rendah dan untuk tempoh masa yang singkat sahaja.

Baca sini juga:

hadam-apa-pesan-doktor-ini-jangan-abaikan-simptom-biasa-covid-19

IKLAN

bimbang-ada-risiko-covid-19-boleh-buat-ujian-saringan-jangkitan-coronavirus-online

 Jangan Terpedaya Dengan Iklan Di Internet

Sebagai kesimpulan, langkah mencegah Covid-19 ialah tanggungjawab semua pihak, termasuk masyarakat yang berada di rumah.

Elak berada di tempat awam tanpa sebab yang mustahak. Sentiasa mengekalkan jarak sosial yang selamat serta amalkan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau dengan hand sanitizer.

Orang awam dinasihatkan untuk berhati-hati apabila membeli atau menggunakan produk kesihatan yang mempunyai tuntutan perubatan, khususnya berkaitan rawatan Covid-19.

Jangan terpedaya dengan iklan oleh penjual dalam internet serta elak menggunakan produk yang belum terbukti sama ada berkesan atau selamat untuk mencegah Covid-19.

Pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang), jika ada sebarang pertanyaan lanjut berkaitan dengan ubat-ubatan.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Mohd Shahiri Abd Ghapar

Artikel ditulis oleh Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Mohd Shahiri Abd Ghapar