Dialah satu-satunya buah hati pengarang jantung. Baik buruk dan perangainya mak ayah saja yang tahu. Manja tu tak payah cakaplah. Ada mak ayah sanggup lakukan apa sahaja demi anak tunggal.

Ada sesetengah mak ayah terlalu manjakan anak, pantang diusik atau tegur, mulalah melenting sebab merasakan semua yang dilakukan anaknya semua betul. Itu, kalau terlalu manjakan anak sangat. Nanti bila dah besar dan dewasa, mungkin ia memberi kesan yang tidak elok. Taulah itu saja waris yang dia ada.

Walau bagaimanapun, tidak semua anak manja atau anak tunggal itu tidak boleh berdikari. Bila kita tengok, ada sesetengah anak tunggal atau anak manja nie tak boleh berdikari tapi kalau dididik dengan cara yang betul, anak-anak ini lebih caring dalam menjaga mak ayah. Berutnungnya bila dia sudah berumah tangga, ada rasa tanggungjawab pada isteri dan keluarga.

Tapi, bagaimana pula dengan bakal isteri atau suami yang berkahwin dengannya. Bukan hanya manja, sebaliknya siapakah tanggungjawab yang perlu dia dahulukan sama ada keluarga atau isteri @suami? Mengulas lebih lanjut tentang hal ini, Dr. Ben Fadzil Mohd Salleh, Business Forencic Psychologist Grand master Hypnotherapist dari Practice Training & Consultancy di Asia Barat ada komentarnya.

Bukan Semua Anak Manja @ Tunggal Tak Boleh Berdikari, Malah Lebih Caring Lagi!

 Anak Tunggal Anak Manja

Tidak dinafikan sebagai anak tunggal dalam keluarga tentu timbul perasaan dilema, siapakah yang perlu didahulukan. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Pandangan seperti ini agak berbeza.

Bagi anak tunggal, ia akan terus dilihat dan dilabelkan seperti anak manja. Perangai anak manja ini banyak bergantung pada mak ayah dalam apa sahaja sama ada membuat keputusan, kerja rumah, memasak, mengemas atau membasuh. Dia tidak pernah merasa susah dan jarang sekali ada masalah yang berat berkaitan dengan dirinya sendiri. Namun begitu, anak manja akan merujuk kepada mak ayah dalam semua perkara agar mendapat restu dan persetujuan mereka.

Bukan Stereotaip

Tak mustahil juga bila anak sudah berkeluarga sendiri, ia turut dikawal oleh ibu bapa mereka. Dari segi kasih sayang anak tunggal akan mendahulukan ibu bapa mereka dahulu walaupun telah berkahwin dan ini akan menyulitkan pergaulan suami isteri kerana tidak ada siapa yang berani melarang atau menasihati. Malah, mungkin pasangan akan kerap bergaduh kerana tidak bersetuju dan makan hati tentang perhatian yang diberi.

Namun begitu, anak tunggal tidak semestinya manja. Ini ada tanggapan stereotaip orang ramai tentang anak tunggal. Zaman dahulu mungkin ramai anak tunggal yang manja tetapi sekarang boleh dikatakan sudah berkurangan disebabkan pergaulan dan latihan. Walau bagaimanapun, perasaan manja tetap ada. Anak tunggal juga ahli keluarga mereka.

Lebihkan Keluarga

Dikatakan anak tunggal akan melebihkan keluarga. Tetapi,  untuk mengatasi situasi begini, setiap orang harus mengetahui dan memahami perangai dan sikap pasangan mereka dengan teliti.

Jangan sesekali mengatakan kepada pasangan dan mengungkit hal berkenaan dengan kelakuan anak tunggal atau anak manja kerana ia boleh menyinggung perasaan anak itu sendiri dan akan menyulitkan lagi perhubungan suami isteri. Sebaliknya, anak tunggal ini perlu tahu yang dia telah berkeluarga dan memerlukan dirinya menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Jaga Hati Mentua

Anak manja sering ingin melakukan sesuatu perkara dengan cara tersendiri dan kehendaknya perlulah dipatuhi setiap arahannya (Demanding) agar tidak datang kemarahan padanya.

Memang setiap anak tunggal itu ada sifat manjanya dan sifat manja tidak semestinya datang dari anak tunggal. Dalam menjaga hati mentua, suami atau isteri tidaklah boleh menghalang tindakan manja anaknya dan perlulah ditegur dengan memberi nasihat secara baik dan bercontoh.

Ramai bertanggapan bahawa tinggal dengan mentua yang mempunyai anak manja akan menimbulkan berbagai masalah kekeluargaan. Namun dari pengalaman yang silam, bukan semua mentua yang tinggal dengan menantu menimbulkan masalah melainkan mentua tersebut terlampau menyayangi anaknya dan ingin mengawal pergerakan keluarga anak tersebut sehingga tidak memberi ruang pada anak dalam menjalankan kehidupan berkeluarga sendiri.

Seharusnya tinggal bersama anak tidak boleh berlaku melainkan mentua memerlukan penjagaan rapi atau tidak sihat. Di dalam konteks ini, isteri tidak boleh dipaksa menjaga mentua yang sakit melainkan dengan persetujuan isteri itu sendiri. Suami atau anak manja perlu memahami hati dan perasaan hati isteri.

Mana Harus Diutamakan

Di dalam sesuatu keluarga, ketua keluarga berhak menentukan perjalanan keluarganya sendiri. Walaupun tugas keutamaan adalah pada keluarga dan kemudian pada ibu bapanya.

Setiap perkahwinan hendaklah hidup berasingan daripada ibu bapa kerana proses ini akan mematangkan lagi suami isteri dalam membina keluarga mereka. Tinggal berasingan daripada ibu bapa bukan bererti menderhaka.

Selain daripada itu, suami atau isteri tentunya dilema antara tanggungjawab dengan keluarga atau orang tua. Memang benar, menjaga orang tua adalah tanggung jawab suami, sama juga menjaga isteri dan keluarganya adalah tanggung jawab suami.

Cara Terbaik

  • Suami isteri perlulah berbincang secara terbuka dan memahami masalah yang timbul. Tidak boleh berkeras dalam perbincangan atau mementingkan kehendak sendiri dan haruslah menghormati sesama sendiri.

  • Suami isteri harus cari jalan penyelesaian agar tidak membebankan kedua-dua pihak dan mentua. Pasangan masing-masing haruslah menerima hakikat dan keadaan yang sedang berlaku serta menggunakan hakikat tersebut dengan sebaik mungkin.

  • Banyakkan bersabar agar tidak mencetuskan rasa kurang senang ibu bapa dan mentua masing-masing.

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI