
Isi Kandungan
ToggleBukan pertama kali kita dengar, bila suami beratkan ahli keluarga sendiri, nak apa semua bagi! Isterilah orang yang paling makan hati. Kalau dengan isteri dengan anak-anak bukan main berkira, itu tak boleh, ini tak boleh. Tapi kalau keluarga dia, ya ampun semua lulus.
Sebenarnya tak mudah berdepan dengan situasi sebegini, malah jika dibiarkan akan menjadi nanah dalam hubungan suami, isteri. Lebih teruk, cenderung untuk bercerai.
Ikuti perkongsian kaunselor ini, Puan Normaliza Mahadi dan jadikan iktibar iya:
Banyak sudah kes isteri merasakan suami asyiklah memberatkan ibu, bapa dan adik beradik serta keluarga dia sendiri.
Mak minta ke Langkawi. Sampai.
Adik mintak laptop. Dapat.
Kakak nak pinjam RM20 ribu betulkan rumah. Buat pinjaman peribadi. Bagi.
Belanja raya di kampung dari A sampai Z. Tanggung.
Abang tak bayar kereta tiga bulan. Bayarkan.
Beratkan Keluarga Sendiri, Dari Anak, Isteri
Belanja rumah sendiri…
Bayar rumah. Isteri
Kereta. Isteri
Makan, minum, pakaian . Isteri
Sekolah anak-anak. Isteri.
Belanja raya, sekolah anak, bercuti dan lain-lain. Isteri.
Alasan Dulu Mak Ayah Tanggung Suami
Alasan suami. Isteri gaji lebih besar. Dan mak, bapak abang yang tanggung abang dulu. Abang mesti balas balik!
Habis tu, kami ini?
Suami pun diam sambil membalas WhatsApp kakak dia ajak ke Penang hujung minggu ni.
Jadi kak. Saya sewakan hotel!
Saya yang mendengar ni cuba menstabilkan hormon jeritan dengan cepat dan ligat.
Istighfar. Istighfar. Istighfar.
Baca Quran.
Firman-Nya yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah al-Rad, ayat 28)
by NM
MW: Sebagai suami, fahamilah peranan dan tanggungjawab seorang suami betul-betul sebelum memegang gelaran suami. Tidak kiralah gaji sikit atau banyak, utamakan tanggungjawab anda dahulu sebelum melebihkan orang lain termasuklah ahli keluarga sendiri. Renung-renungkan ya.
Sumber: Puan Normaliza Mahadi
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Isteri Bukan Mesin ATM, Suami Jangan Ambil Kesempatan Bab Duit Gaji

Isi Kandungan
ToggleMakin seram akhir-akhir ini apabila ada segelintir lelaki yang sengaja mencari bakal isteri yang ada kerja.. gaji bagus malah stabil kewangannya. Alasannya nak hidup senang lepas kahwin.
Lebih seram.. bila mana ada pula segelintir bakal mak pak mentua yang letakkan standard menantu perempuan perlu ada kerja bagus, pegawai kerajaan malah gaji tip top. Siap pesan ke anak lelaki, cari menantu sebegitu untuk jaminan masa depan.
Uiii… memang seram. Apa yang dikongsikan Puan Intan Dzulkefli ini benar-benar terjadi ya mak ayah. Sebab itulah kita kena tengok balik, apa sebenarnya tujuan perkahwinan itu. Adakah semata-mata kerana wang, kedudukan atau kerjaya?
Makcik Pesan Kat Anak-anak Cari Bini Yang Kerja Kerajaan
Teringat suatu ketika dulu, saya duduk di dalam satu majlis perkahwinan, kebetulan waktu itu duduk berdekatan dengan kaum wanita yang umurnya lebih kurang ibu saya.
“Apa kerjanya pengantin perempuan?” tanya seorang wanita.
“Tak pastilah cikgu ke nurse. Tapi pegawai kerajaanlah,” Jawab yang lainnya.
“Pandai cari… Bertuahlah,” ujar makcik di sebelah saya. Saya memandang wajahnya. Dia tersenyum memandang saya.
“Zaman sekarang kena pandai cari bini, kalau boleh cari yang bekerja. Lagi bagus kalau kerja kerajaan. Makcik pesan juga kat anak-anak lelaki makcik, macam nilah. Carilah cikgu ke, staff nurse ke. Untung-untung dapat duduk kuarters, elaun banyak, nak buat pinjaman senang.” Jelasnya tanpa diminta.
“Betul, kena pandai cari. Macam anak sedara saya tu, laki kerja biasa je tapi dapat beli rumah sendiri 300k tu kat bandar xx tu sebab bini dia keja staffnurse, loan senang lepas,” cerita makcik seorang lagi.
“Ya, makcik,” saya mengiyakan sahajalah.
Walau Suri Rumah, Puas Hati Dapat Jaga Anak Sendiri
“Awak kerja apa? Cikgu ke?” tanya makcik yang duduk sebelah saya.
“Saya surirumah,” balas saya ringkas. Waktu itu saya baru resign, belum start bisnes online lagi.
Allah. Nampak terus berubah riak wajah wanita itu. Senyuman kelat dilemparkan.
“Takpe… Puas hati kan dapat jaga anak sendiri.” ulasnya pendek.
Saya cuma membalas “Alhamdulillah,” sambil tersenyum nipis.
Dalam hati saya sebak. Sebak sebab bersyukur. Syukur alhamdulillah, suami dan mertua tak ada pemikiran yang ‘advance’ sebegitu. Mereka pinang dan terima kehadiran saya pun waktu saya belum habis belajar lagi waktu tu. Memang tak ada ‘apa-apa’.
Cari Isteri Kerajaan Sebab Nak ‘Tumpang’ Hasil Isteri
Pernah juga lihat komen-komen kaum lelaki tentang kriteria ‘isteri kerja kerajaan’ ni. Begitu jugalah… Senang jika duduk kuarters, senang nak buat loan, senang nak dapat backup bila tak cukup duit tengah bulan.
Baru-baru ini pula saya terbaca berita, seorang doktor wanita ditipu suaminya dengan bebanan hutang dan pinjaman peribadi hingga nilai komitmen mencecah setengah juta.
Ya Allah, banyak tu!
Rupanya, benarlah memang ada segelintir lelaki yang ada persepsi mahukan ‘isteri kerja kerajaan’ untuk ‘menumpang’ mahupun ‘mengerah’ hasil isteri.
Astaghfirullah al adzhim
Setiap Ibu Mahukan Yang Terbaik Untuk Anak-anaknya
Saya tak mahu judge makcik yang ‘berpesan’ kepada anak-anak lelakinya tentang kriteria calon isteri kerana saya tahu, setiap ibu mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka.
Bukan tidak ada kes, suami pula yang berhutang keliling pinggang bagi memenuhi keinginan isteri yang bernafsu besar sedangkan isteri tidak mahu berusaha sendiri. Runtun hati mak apabila lihat anak lelakinya ‘dikerah’ sebegitu. Mungkin sebab itu mula ada pemikiran seperti yang saya ceritakan tadi.
Nak cari menantu berkerjaya. Supaya menantu tak jadi ‘hantu’ yang menyusahkan anak lelakinya.
Namun, harapnya mak-mak yang ada pemikiran sebegini jangan kecil hati, jika pihak lelaki masuk meminang anak perempuan kalian pula bertanya, “anak makcik kerja apa? Kerajaan ke swasta?”
Sedihnya.. Bila Isteri Ada Gaji Tak Lagi Jadi Penerima Nafkah
Pernah juga kenalan yang bekerjaya hebat, terlepas keluhan kepada saya,
“Kadang cemburu dengan kenalan yang housewives, suami mereka tak pernah lupa bagi duit nafkah.
Tahu tak, kadang orang perempuan yang bekerja ni, nampak macam gaji banyak kan, macam senang..
Tapi sebenarnya tak pernah ‘rasa’ pun duit suami. Dapat gaji terus bagi suami, bayar semua komitmen rumahlah, keretalah, belanja itu ini.”
Terdiam saya waktu itu. Sebab luaran kita nampak hebat sahaja kan. Allahu musta’an.
Betul… Tidak semua begitu. Namun, ianya berlaku.
Banyak berlaku kes, isteri tidak lagi menjadi penerima nafkah, bahkan dia pula yang mengepalai nafkah rumahtangga termasuk makan pakai suami! Astaghfirullah al adzhim.
Namun, ramai juga suami yang biarpun isteri berpangkat besar, mereka tak pernah culas bab nafkah. Bahkan perbelanjaan nafkah tak pernah diambil ringan, setakat kemampuannya sahajalah.
Alhamdulillah.
Ingat Ya! Isteri Bukan Mesin ATM
Kadang isteri tak berkerja pun sering dibuli juga, diabaikan bab nafkah dan sebagainya. Atau isteri yang bekerja sendiri pun ada juga yang kena ‘pow’.
JADI ISUNYA BUKAN TENTANG ISTERI BEKERJA ATAU TIDAK. MELAINKAN NIAT DAN PEMIKIRAN INDIVIDU.
Jauhilah persepsi terhadap pasangan sebagai ‘mesin atm’, atau tempat kita mengambil kesempatan semata-mata.
Sebab itulah, niat, matlamat dan pemikiran seseorang individu itu sendiri perlu diperbetulkan sejak dari sebelum nikah. Kita memandang pernikahan dan pasangan kita itu sebagai apa. Semata-mata untuk kesenangan dunia ataupun untuk sama-sama bersusah payah memikul bebanan dakwah dan rumahtangga?
Perkahwinan jika niat awalannya tidak berfokus kepada mardhatillah, mudah membuatkan kita tersasar, bahkan kadang tersungkur dalam perjalanan mengemudi bahtera perkahwinan.
Hal ini kerana, setiap perkahwinan ada pasang surut, ‘upside down’, tetapi kita ‘get back on track’ kerana muhasabah kembali niat dan matlamat perkahwinan kita. Akujanji waktu pernikahan dulu.
Innamal a’malu binniyat.
Pokok bagi sesuatu amal adalah niatnya.
Jika kita berkahwin hanya sebab mahu mengambil kesempatan terhadap pasangan, tidak ikhlas mahu sama-sama mengejar redha Allah, dikhuatiri dari awal lagi kita sudah tercicir keberkatan Tuhan.
Rahsia Pasangan Dulu-dulu Mesra Melekat
Teringat almarhum Tok Guru Nik Aziz pernah bercerita, orang dulu-dulu tidur kadang hanya berbantal lengan, tidur saling menyandar untuk memanaskan badan kerana selimut pun tidak ada, namun tautan hati mereka kadang lebih erat berbanding pasangan yang tidur di tilam empuk dan berpendingin hawa.
Allahuakbar.
Wahai suami, wahai isteri.
Wahai kaum lelaki, wahai kaum wanita.
Betulkanlah semula niat kita berkahwin. Baik yang mahu berkahwin ataupun yang sudah berkahwin. Sama-sama muhasabah kembali.
Sentiasa tajdid niat kita, fokus kepada matlamat kemana pernikahan kita hendak di bawa.
Ibubapa juga sama-sama muhasabah. Jangan hingga menganiaya sesiapa. Menantu kita pun adalah anak kita juga. Betulkan niat, insyaAllah ketenangan akan datang.
“Sesungguhnya setiap amalan tergantung kepada niatnya, dan sesungguhnya seseorang hanya mendapatkan apa yang dia niatkan. Maka barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul, maka hijrahnya untuk Allah dan RasulNya. Siapa yang hijrahnya kerana mencari dunia atau kerana wanita yang dinikahinya, maka hijrah kepada apa yang dia tuju,” (HR Bukhari dan Muslim)
Sumber/Foto : Intan Dzulkefli
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ibu Anak Satu Keliru, Nak Terima Atau Tak Hajat Bekas Suami Penagih Pujuk Rujuk Semula

Isi Kandungan
ToggleHidup manusia sering saja diuji. Baik ujian rumah tangga, mahupun ujian anak-anak. Apa pun setiap ujian itu tetap menyakitkan jika tak ditangani dengan baik.
Ibu anak satu yang menggunakan nama samaran Jiwa Kacau, menghubungi Mingguan Wanita. Minta bantuan menyelesaikan permasalahan ujian rumah tangga yang dialaminya.
Elok-elok Berniaga Bengkel.. Suami Tutup Kedai!
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya berusia 29 tahun dan memiliki seorang anak lelaki berusia enam tahun. Saya telah berpisah dengan bekas suami dua tahun lalu kerana tidak tahan lagi dengan sikapnya yang mengambil dadah.
Perkahwinan saya dan suami berlandaskan cinta, sama-sama kenal ketika di sebuah pusat kemahiran.
Saya mengambil bidang kulinari dan suami pula bahagian permotoran. Hidup kami bahagia dan dia melayan saya dengan baik.
Saya pernah bekerja di sebuah kedai roti sebelum kahwin dan berhenti selepas kahwin. Suami pula mengusahakan bengkel membaiki kereta secara kecil-kecilan.
Pendapatannya agak lumayan, lebih daripada mencukupi untuk kami berdua. Selepas saya melahirkan anak kami, saya dapati ada yang tidak kena dengan suami.
Duitnya asyik tak cukup sedangkan ramai pelanggan yang datang kereta mereka untuk dibaiki.
Sehingga akhirnya dia terpaksa menjual bengkelnya dan bekerja di sebuah bengkel lain.
Entah mengapa, wang gajinya asyik tak cukup hingga kami terpaksa ikat perut. Hendak beli lampin anak pun susah. Nasib baik juga anak menyusu badan.
Patutlah Suami Asyik Tak Ada Duit
Dipendekkan cerita, akhirnya saya dapat tahu rupanya suami terlibat dengan najis dadah, sebab itu asyik tak ada duit.
Dia sering meminta gaji pendahuluan daripada majikannya dan setiap hujung bulan gajinya akan dipotong.
Saya cukup kecewa dan kerap kali berusaha memujuknya untuk berubah. Namun tidak diendahkan. Saya tekad keluar dari rumah kelamin dan membawa anak ke rumah ibu bapa.
Saya juga tekad menuntut cerai dan suami merelakan walau pun terpaksa. Sejak itu saya tekad untuk meneruskan kehidupan dengan anak tunggal.
Saya tahu ramai yang pandang serong tapi saya tahu apa yang saya lakukan. Bukan saya tinggalkan suami kerana tidak sanggup hidup susah dengannya. Tapi takut dia mempengaruhi anak kami kelak.
Janji Suami Buat Saya Berbelah Bagi
Dengan bantuan emak dan ayah, saya mengusahakan perniagaan makanan dari rumah. Saya buat roti dan pelbagai jenis kuih muih untuk mencari rezeki.
Alhamdulillah, hidup saya dan anak semakin baik. Walau pun tak mewah tapi kami cukup makan pakai. Saya bersyukur kerana anak saya matang dan memahami apa yang kami lalui. Dialah kekuatan saya.
Beberapa bulan lepas, tiba-tiba bekas suami muncul. Rupanya dia baru keluar daripada pusat pemulihan dadah dan mencari kami dengan harapan untuk kembali bersatu sebagai satu keluarga.
Dia berjanji untuk berubah dan merayu untuk menerimanya kembali. Hati saya berbelah bagi. Rasa kasih masih bersisa. Tapi saya takut dia akan mengulangi kesilapan lalu.
Dia berjanji untuk mencari pekerjaan bagi menyara keluarga kami kelak. Ibu bapa saya pula tidak melarang atau menyuruh. Apa yang patut saya lakukan?
Jiwa Kacau, Pontian Johor
Foto : Sekadar Hiasan / financialtribune.com
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kerjaya SURIRUMAH Tiada Gaji Lumayan, Usah Rendah Diri, Itulah Pencapaian Terbaik Dalam Hidup

Isi Kandungan
ToggleKerjaya surirumah, bunyi agak janggal tapi itulah hakikat bagi seorang isteri yang mendambakan diri untuk menjadi isteri dan surirumah sepenuh masa. Segala gaji mengharapkan pada suami.
Namun, ada isteri yang rajin, bolehlah membuat kerja part time untuk membantu suami kerna keutamaannya adalah lebih untuk fokus pada keluarga. Sampaikan ada isteri yang berpendidikan tinggi sanggup berkorban untuk fokuskan pada keluarga dan menjadikan kerjaya surirumah yang tetap.
Kerjaya Surirumah, Fokus Pada Kehidupan Harian
Dalam perkongsian oleh Syahirah Omar, isteri yang kerjaya surirumah ini lebih fokus kepada kehidupan hariannya. Malah, boleh dikatakan inilah pencapaian terbaik seorang surirumah yang mampu menguruskan rumah seharian tanpa henti.
Beberapa bulan lepas saya berbual dengan kakak ipar saya. Kami sama-sama suri rumah yang bekerja dari rumah. Dan sebelum ni kakak ipar saya ni pernah berkerja.
Orang bijak pandai dan MasyaAllah sangat hebat dalam dunia baking.
“Apa yang Ina nak capai dalam masa 2 tahun akan datang?”
Saya tak pernah terfikir langsung apa saya mahu dalam masa 2 tahun akan datang.
Sebak sangat.
Sebab saya ni langsung tak sempat fikir yang ke depan. Hidup saya hanya fokus pada kehidupan harian saya.
Bukan tiada impian, tapi banyak yang saya terpaksa korbankan dan lupakan. Tenaga dan kudrat saya hanya cukup cukup untuk saya fokus pada rutin harian saya.
Bagus sebenarnya soalan tadi,
buatkan saya berfikir panjang apa yang saya mahu capai untuk diri saya sendiri.
Adakah saya tiada matlamat hidup?
Adakah saya seorang yang loser?
Orang lain walaupun suri rumah boleh jana pendapatan dari rumah dengan sangat lumayan.
Cukup & Bersederhana
Saya? Biasa saja, tak kaya raya. Alhamdulillah cukup dan sederhana saja.
Saya terbaca satu status di Facebook.
“Apa pencapaian terbaik awak sepanjang jadi surirumah?”
Soalan ni kalau untuk diri saya sendiri,
Memang saya sendiri tak tahu nak jawab apa.
Sebab ini jalan hidup yang saya pilih.
Bila dah terlalu berfikir, semalam saya tak boleh lelapkan mata.
Rindukan anak di asrama. Rindukan anak-anak di bilik sebelah. Dunia saya ni memang anak-anak saja. Nyawa saya mereka ni. Saya cari foto anak-anak di album facebook lama. Saya lihat foto anak-anak saya waktu mereka masih kecil.
Dari baru dilahirkan, kemudian gambar mereka waktu mula merangkak, berjalan. Pandai makan sendiri, pandai butangkan baju, pandai kemas katil sendiri, pandai basuh baju, pandai sidai kain sendiri. Lipat kain, simpan baju dalam almari.
Setiap gambar yang saya rakam tu saya ingat semua momen tu dengan sangat baik.
Dan saya baru tersedar,
Inilah pencapaian terbaik saya sepanjang hidup.
Melahirkan 3 orang anak yang sempurna di mata saya. Membesarkan mereka dan saya harungi banyak ujian hidup.
Pencapaian hidup saya mungkin kecil tetapi konsisten setiap hari. Suri rumah ni mungkin tiada gaji yang lumayan, tiada apa apa penghargaan syarikat.
Tetapi kalau kita ‘pause’ sekejap dan lihat kembali,
Pencapaian terbaik kita adalah menguruskan keluarga tanpa henti setiap hari, menjadi guru pertama buat anak-anak, mempersiapkan anak-anak untuk hidup berdikari, dan dapat lihat sendiri anak membesar di depan mata setiap hari.
Tak semua ibu direzekikan untuk ada di tempat kita hari ini.
Buat kalian yang memakai topi yang sama seperti saya, jangan sesekali rasa rendah diri dan rasa tak berharga.
Sometimes you just need to take a pause.
Look back at how far you’ve come.
Reflect on all progress you’ve made.
See your growth see how you made it through past obstacles and hurdles.
You’re literally doing your best,
And if no one is proud of you,
You should be proud of yourself for still trying and not giving up
Alhamdulillah.
Mingguan Wanita: Betul sangat. Jangan rasa rendah diri, teruskan kehidupan dengan berbakti pada keluarga dan urus rumahtangga dengan ikhlas.
Sumber: Syahirah Omar
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI