Kata orang tua, garang biarlah bertempat dan jangan pula terbawa-bawa hingga berpasangan. Sikap garang jika kena pada tempatnya tidak salah, namun jika hingga tidak menghormati orang lain terutamanya suami atau mertua amatlah tidak wajar.

Berhubung dengan isu Isteri Garang, Kecilkan Hati Mertua, Dr Ben Fadzil Mohd Salleh cuba berkongsi pendapatnya dengan pembaca Mingguan Wanita.

Garang adalah satu sifat ego seseorang yang mempunyai perwatakan semula jadi atau yang sengaja dibuat untuk mendapatkan perhatian dan juga untuk menakut-nakutkan orang lain.

Ianya juga adalah sifat yang sering dibuat-buat untuk menunjukkan sikap kelebihan diri seseorang kepada orang lain. Adakalanya ia adalah sifat yang sengaja dilakukan atau diadakan dengan niat menunjuk.

Selain itu, dikatakan ianya berlaku apabila kita ingin memberitahu dengan bahasa badan bahawa kita berkuasa dan bukan jenis untuk dipermainkan atau diperlekehkan. Sikap garang boleh memberi salah tafsiran kepada orang yang melihatnya seperti sombong, menunjuk-nunjuk, riak dan juga bongkak.

Tidak ada mertua yang suka menantunya bersifat atau berlaku garang dihadapan mereka. Kebiasaannya mertua inginkan menantu mereka mempunyai sifat penyayang dan lembut serta memberi mertua penghormatan sebagai mertua dari anak menantu dan bukan menunjukkan betapa garangnya kelakuan menantu mereka.

Isteri yang garang sudah pastin akan mengecilkan hati mertua sebab mertua akan merasa rendah diri serta rasa dibuli oleh anak menantu mereka. Sifat garang akan menyukarkan lagi pergaulan di antara mertua dengan menantu kerana mertua akan berasa tiada kebebasan berbicara dan bergaul.

Cara Lembutkan Sikap Garang

Bagi melembutkan sikap isteri yang garang, seorang wanita itu perlulah mempunyai sikap hormat-menghormati, bertolak-ansur, mempunyai perasaan kasih sayang seperti menyayangi mertua seperti ibu bapa mereka sendiri, banyak mengalah dan kurangkan perasaan membanggakan diri.

Ibu mertua adalah orang yang paling rapat dengan suami dan memahami setiap perangai si suami tersebut.

Langkah yang paling efektif untuk memulihkan hubungan ibu mertua dan isteri ialah dengan membawa isteri berjumpa dengan mertua dan mengadakan komunikasi kekeluargaan.

Di samping itu, suami hendaklah menjalankan tugasnya dengan merapatkan hubungan isteri dengan mertua dengan memastikan mertua dilayan dengan baik dan dihormati oleh isteri mereka.

Akhir kata, anggaplah mertua seperti ibu dan bapa sendiri. Sebagai menantu, isteri tidak sepatutnya ada istilah menyakitkan hati mertua kerana ianya seperti menyakitkan hati ibu bapa isteri sendiri.

Sebaiknya sebagai seorang isteri patut menjaga tertib dengan setiap hubungan bersama mertua dalam menjaga hati, harmoni kekeluargaan dan silaturahim dengan mertuanya.

Langkah menghindarkan diri pulang ke kampung atau jarang pulang ke kampung hanya akan menjauhkan perhubungan di antara isteri dan mertua dan ia bukanlah alternatif terbaik.

Oleh hal yang demikian, segala masalah di antara menantu dan mertua perlulah diselesaikan dengan baik dalam suasana yang damai.