Kalau Rumah Tangga Ibarat 'Neraka', Baik Putuskan Saja Dan Carilah Bahagia Sendiri!

Puan Suzana Ghazali telah lebih 22 tahun terlibat dalam bidang Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie. Beliau juga salah seorang penulis tetap di dalam Majalah Mingguan Wanita. Ramai isteri yang berjumpa dengannya mengadu sudah tidak bahagia dengan rumah tangga mereka tapi malangnya tetap bertahan! Ikuti perkongsiaannya.

Rata-rata wanita bernama isteri (anggaran 8:10 kes) yang mendapatkan khidmat nasihat daripada saya akan bersikap sabar dan pejam kedua-dua mata bila si suami lalai atau sengaja gagal melaksanakan tanggungjawab memberi nafkah.

Malah, paling mendukacitakan bila 6:10 kes pula sanggup bertahan atas nama kasih sayang kepada suami biarpun menjadi mangsa pukul dan penderaan fizikal oleh suami sendiri.

Enggan Tamatkan Perkahwinan

Berbagai panduan dan teladan dikongsikan namun mereka masih enggan keluar daripada perkahwinan yang sudah lari dan menyimpang jauh daripada syariat Islam. Alasan mereka; akan bersabar dan bertahan sebab yakin suami masih sayang dan akan berubah juga satu hari nanti.

Tak kurang juga yang bimbang andai perceraian berlaku, akan berikan kesan negatif kepada hidup anak-anak. Namun, bila isteri-isteri ini mengetahui suami mereka mempunyai cinta baru atau sedang mesra dengan wanita lain; mulalah wanita-wanita ini menggelabah.

IKLAN

Malah ada kes; suami terlibat dengan zina bersama teman wanita sendiri tetapi si isteri masih tetap memanjakan suami; berikan wang belanja, tak peduli suami balik lewat malah hingga satu tahap; terjumpa bukti sahih perzinaan suami dengan wanita lain, tapi masih enggan bertindak. Dengan alasan, biarlah apa pun yang suami buat di luar rumah asalkan suami masih ada di depan mata dan balik ke rumah!

Kalau Rumah Tangga Dah Macam 'Neraka', Baik Putuskan Saja Dan Carilah Bahagia Sendiri!

Hilang Harga Diri

Mereka ini bertemu saya untuk dapatkan kekuatan bagi meneruskan hidup bersama suami berperangai ‘jahat’ tersebut.

Apa ni? Ke mana perginya harga diri anda sebagai wanita yang dimuliakan oleh agama Islam? Betullah perceraian itu perkara yang tidak disukai oleh Allah tetapi Allah halalkan sebab perkahwinan mempunyai prinsip dan hikmah yang tersendiri dan setiap perkahwinan sama ada perkahwinan suka sama suka atau pilihan keluarga; perlu dan wajib menepati hikmah dan prinsip tersebut.

Antara prinsip yang perlu dicapai ialah perkahwinan tersebut sebagai satu cara untuk setiap individu iaitu suami dan isteri, melaksanakan peranan, tanggungjawab dan kewajipan masing-masing. Apakah tercapai prinsip perkahwinan jika tanggungjawab suami yang sepatutnya menyediakan nafkah zahir berupa keperluan untuk isteri dan anak-anak dilaksanakan oleh si isteri; sama ada terpaksa atau paksa rela?

Apakah wujud ketenangan dan kebahagiaan apabila saban hari dipukul, ditampar, dihentak dan didera dengan pelbagai rupa oleh suami sendiri? Hatta ada kes, bila saja suami mendekat atau akan pulang ke rumah, isteri akan menggeletar ketakutan bagaikan sedang berdepan dengan penjahat atau pembunuh upahan.

Tiada Ertinya

Apa erti kasih sayang jika begitu keadaan hidup berumah tangga yang ada hadapi? Seperti yang selalu saya tegaskan; kalau sayangkan suami, sayangilah diri sendiri lebih agar hidup anda lebih terjamin dan menerima bahagia yang sebenar.

Fikirkan anak-anak? Sedarlah dan ingatlah! Kebanyakan kes suami yang memukul dan mendera isteri bermula dengan kisah hidup mereka tika kecil menyaksikan ibu mereka dikerjakan sedemikian rupa oleh ayah mereka sendiri.

Mereka ini terdidik dengan didikan tidak sihat, percaya sang suami berhak dan berkuasa untuk memukul isteri sebab suami ketua keluarga. Apakah anda mahu kisah hidup ngeri anda dipanjangkan pula kepada anak cucu anda nanti? Apakah anda mahu anak-anak lelaki anda bersikap seperti suami anda yang sesuka hati menjalinkan hubungan haram dan dicela agama?

Sedarlah!

Saya merayu: tolonglah sedar dan insaf!! Wanita bergelar isteri bukan hamba suami, bukan juga pembantu rumah atau ejen kewangan suami. Wanita punya hak untuk hidup ceria dan bahagia, menikmati kehidupan yang sepatutnya sebagai seorang yang dilindungi dan dikasihi selayaknya oleh suami! Jangan biasakan diri anda dibuli dan anda takkan jadi mangsa dera, insya-Allah! Jika bukan anda yang sayangkan diri sendiri, nak harapkan siapa lagi?