Ads

Dari Kad Beras Ke MyKad Canggih, Ini Evolusi Kad Pengenalan Malaysia Yang Ramai Tak Tahu

mykad

Kalau sebut tentang mykad atau kad pengenalan, mungkin ramai hanya nampak ia sekadar dokumen wajib dalam dompet.

Namun, di sebalik sekeping kad kecil itu, tersimpan sejarah panjang yang ramai generasi muda hari ini mungkin tak pernah tahu.

Hakikatnya, evolusi kad pengenalan Malaysia bukan sekadar perubahan reka bentuk semata-mata, tetapi turut mencerminkan perjalanan negara dalam aspek keselamatan, teknologi dan identiti rakyat sejak puluhan tahun lalu.

Baca artikel: MyKad & Pasport Baharu Lebih Selamat Diperkenal Jun Ini, Sistem MyNIISe Mula September

Kad Pengenalan Pertama Malaysia Bermula Pada Tahun 1948

 

Dari Kad Beras Ke MyKad Canggih, Ini Evolusi Kad Pengenalan Malaysia Yang Ramai Tak Tahu

Ramai tak tahu, evolusi mykad Malaysia sebenarnya bermula sejak tahun 1948 ketika negara masih dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu.

Ketika itu, kad pengenalan diperkenalkan dalam bentuk dokumen kertas sebagai salah satu langkah mengekang kegiatan pengganas komunis sewaktu zaman Darurat.

Pada waktu tersebut, sesiapa yang gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri apabila diminta pasukan keselamatan boleh disyaki sebagai anggota Parti Komunis Malaya (PKM).

Disebabkan itu juga, rakyat pada zaman tersebut sangat menjaga dokumen pengenalan mereka.

Menariknya, kad pengenalan pertama itu turut dikenali sebagai kad beras.

Bukan nama rasmi, tetapi gelaran yang diberikan rakyat kerana dokumen tersebut perlu ditunjukkan untuk mendapatkan bekalan beras yang dicatu ketika itu.

Kad pengenalan versi awal ini sangat ringkas. Hanya gambar hitam putih bersama cap ibu jari kanan dan maklumat tempat asal pemegangnya.

Ads

IC Biru Pernah Jadi Kad Pengenalan Paling Ikonik

Selepas tahun 1960, kad pengenalan plastik mula diperkenalkan. Inilah versi yang cukup terkenal suatu ketika dahulu iaitu IC biru.

Boleh dikatakan hampir semua ibu bapa kita pernah menggunakan mykad ini. Ia menggunakan gambar hitam putih bersama maklumat alamat dan cap ibu jari kiri serta kanan pemegang kad.

Walaupun nampak sederhana, IC biru ini bertahan lama dan menjadi antara kad pengenalan paling ikonik dalam sejarah Malaysia sebelum digantikan sekitar tahun 1990.

Ketika itu, kerajaan mula memperkenalkan kad pengenalan bermutu tinggi yang dikenali sebagai IC bunga raya.

Versi ini lebih moden dan menggunakan nombor pengenalan 12 digit yang masih kekal digunakan dalam sistem MyKad hari ini.

Ramai Tak Tahu Nombor Pada MyKad Ada Maksud Tersendiri

Bila bercakap tentang MyKad, ramai sebenarnya tak tahu setiap nombor pada kad pengenalan mempunyai maksud tertentu.

Enam digit pertama menunjukkan tarikh lahir pemegang kad dalam format tahun, bulan dan hari.

Dua digit selepas itu pula mewakili negeri kelahiran. Contohnya Johor menggunakan kod 01, 21, 22, 23 dan 24. Selangor pula menggunakan kod 10, 41, 42, 43 dan 44.

Ads

Malah anggota polis dan tentera turut mempunyai kod khas sendiri iaitu 88 dan 99.

Satu lagi fakta menarik tentang MyKad ialah nombor terakhir pada kad boleh menunjukkan jantina pemegang. Nombor ganjil untuk lelaki, manakala nombor genap bagi wanita.

Tak hairanlah ramai yang suka scan nombor IC bila nak teka asal negeri seseorang.

MyKad Jadi Simbol Teknologi Baharu Malaysia

Dari Kad Beras Ke MyKad Canggih, Ini Evolusi Kad Pengenalan Malaysia Yang Ramai Tak Tahu

Masuk tahun 2001, Malaysia sekali lagi mencipta sejarah apabila memperkenalkan MyKad.

Ketika itu, MyKad dianggap sangat maju kerana menggunakan bahan polikarbonat bersama cip keselamatan khas bagi mengelakkan pemalsuan identiti.

Lebih menarik, ia bukan hanya berfungsi sebagai kad pengenalan diri. Ia juga boleh digunakan untuk urusan ATM dan pembayaran tol lebuh raya.

Ads

Pada waktu itu, teknologi sebegini dianggap sangat moden untuk rakyat Malaysia. Selain MyKad, kerajaan turut memperkenalkan MyKid untuk bayi dan kanak-kanak bawah 12 tahun.

Anda mungkin berminat dengan

Kad berwarna merah jambu itu menggunakan nombor pengenalan yang sama sebelum ditukar kepada MyKad apabila mencapai usia tertentu.

Turut diperkenalkan ialah MyPR bagi pemastautin tetap dan MyKAS untuk pemastautin sementara.

Baca juga artikel: JPN Galak Orang Ramai Ganti MyKad Lebih 10 Tahun, Risiko Tak Dapat SARA RM100 Kalau Cip Gagal Dibaca

Kad Pengenalan Malaysia Terus Berevolusi Mengikut Peredaran Zaman

Dari Kad Beras Ke MyKad Canggih, Ini Evolusi Kad Pengenalan Malaysia Yang Ramai Tak Tahu

Sehingga hari ini, kad pengenalan Malaysia terus mengalami perubahan dari segi ciri keselamatan dan teknologi.

Pada tahun 2012, MyKad versi baharu mula diperkenalkan dengan tambahan gambar kecil hitam putih sebagai langkah keselamatan tambahan.

Walaupun reka bentuknya semakin moden, fungsi utama MyKad tetap sama, iaitu menjadi identiti rasmi setiap rakyat Malaysia.

Bezanya, generasi hari ini mungkin tak lagi merasai pengalaman menggunakan IC biru atau menyimpan dokumen kad beras dalam dompet lusuh.

Namun semua itu tetap menjadi sebahagian daripada sejarah negara yang cukup bernilai.

Ia simbol bagaimana Malaysia berkembang daripada sebuah negara yang pernah berdepan darurat kepada sebuah negara moden dengan sistem identiti digital yang lebih canggih.

Sumber: JPN, Malaysia.gov.my

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Cerita Lain

mencari kedai lejen

Mencari Kedai Lejen Bukan Sekadar Cari Makan, Tapi Menyelami Kisah Di...

Kenali kisah inspirasi Aunty T’s dan Rezeky Tomyam dalam siri Mencari Kedai Lejen, dua restoran penuh sejarah, resipi warisan dan semangat luar biasa yang wajib ditonton.