Boleh bayangkan perasaan isteri yang tiada pendapatan, yang seratus peratus jadi suri rumah sepenuh masa. Urus anak-anak, jaga makan pakai suami. Alangkah lapang hati isteri, bila suami prihatin bagi duit belanja bulanan. Tak banyak.. sedikit pun dah boleh buat isteri lapang dada.
Lelaki ini, BroOhsem Akhtar Syamir juga pernah melalui saat terdesak selalu tidak cukup duit untuk beri isteri duit belanja. Sampai satu masa, dia mula berubah. Sediakan juga bahagian duit belanja untuk isteri setiap bulan. Dan ini yang dia dapat.
Sentiasa Rasa Tak cukup Nak Beri Isteri Duit Belanja
Dulu saya sentiasa rasa tak cukup untuk beri duit belanja kepada isteri. Banyak benda perlu selesaikan dulu. Hutang kena bayar, bil kena bayar, barang dapur dan barang rumah kena beli. Akhirnya baki cukup-cukup sahaja. Tiada pun bahagian isteri.
Tapi lama kelamaan saya sedar. Dia jadi tak cukup sebab saya letak keutamaan memberi duit belanja kepada isteri itu di tempat yang terakhir.
IKLAN
Jadi, saya mula ubah. Saya bagi bahagian isteri dahulu. Yang lain saya buat selepas itu. Cukup pulak. Magik sungguh.
Sebenarnya bukan magik pun. Tapi keberkatan rezeki yang kita dapat tu. Sebab saya sentiasa percaya, apa juga rezeki yang saya dapat ini ada bahagian isteri saya. Sebab, tanpa dia di sisi membantu, menyokong, menggembirakan dan mempermudahkan urusan saya, saya takkan dapat rezeki yang saya dapat sekarang.
Isteri Tiada Pendapatan, Pendapatannya Patut Datang Dari Suami
Isteri yang tidak mempunyai pendapatan sendiri, pendapatan dia patut datang dari suami. Bayangkanlah, pembantu rumah pun kita kena bayar, inikan pula isteri sendiri.
IKLAN
Cuba fikir satu benda ni sahaja. Isteri yang tiada pekerjaan, tiada bisnes, menjadi suri rumah sepenuh masa, menjaga rumah, menjaga anak, menjaga makan pakai semua ahli keluarga tapi tidak ada langsung pendapatan. Dapat tak rasa sesaknya kehidupan seperti itu?
Kalau masa di luar, nak beli apa suami bagi. Bagus macam tu. Tapi duit di tangan langsung tiada. Tak banyak, sikit pun jadilah. Isteri perlu ada kuasa membeli sendiri apa yang dia inginkan. Bukannya setiap masa perlu melalui suami.
Kalau jadi apa-apa pada suami bagaimana? Jika sudah buat hibah atau rumah dan kereta dah habis bayar, lainlah ceritanya. Kalau tak cakna langsung bab tu? Terkontang-kantinglah si isteri nanti.
IKLAN
Pasanglah niat dari sekarang untuk beri duit bulanan secara konsisten kepada isteri. Kalau kasih rasa berat, mulalah dengan RM50 dahulu. Lama-kelamaan amaun tu akan naik dengan sendirinya. In Shaa Allah.
Yang penting, tukarkan tangga keutamaan untuk memberi duit belanja kepada isteri dari kedudukan yang bawah kepada yang teratas.
Saya bukan nak menghasut, saya nak mendetikkan sesuatu je. Mungkin selama ni tak terfikir benda macam ni. Harap janganlah salah faham. Ini untuk kebaikan.
Sumber/Foto : Akhtar Syamir, yang selalu menulis menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan, emas dan isu semasa.
Juga mempunyai Supergroup Telegram BroOhsem Fans di mana followernya boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi. Dan boleh berbual, bertanya pendapat dan berkongsi masalah atau apa-apa pun asalkan tidak berkenaan Poligami dan Politik. http://t.me/broohsemfans
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Angkara cemburu! Seorang suami tergamak tetak isteri hingga mati menggunakan pisau pemotong. Begitulah kejadian yang berlaku semalam, bila amarah menguasai diri.
Setiap kali berdepan dengan masalah dalam rumah tangga, bincanglah baik-baik. Jika berlaku kes sebegini, menyesal sudah tak berguna.
Angkara Cemburu!
Disebabkan perasaan cemburu, seorang lelaki tergamak menetak leher isterinya sehingga mati di bilik sewa pasangan terbabit di tingkat 3, Jalan Segama, Kota Kinabalu, Sabah.
Mangsa berusia 23 tahun itu ditemui terbaring berlumuran darah di tilam oleh polis selepas suaminya menghubungi talian kecemasan dan memaklumkan dia menetak wanita itu pada 11.47 malam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 10.50 malam selepas suspek dikatakan bertengkar dengan isterinya.
Katanya, suspek yang berang kemudian ke dapur lalu mengambil pisau sebelum bertindak menyerang mangsa.
“Akibat daripada serangan itu, mangsa mengalami cedera di leher kanan, muka, tangan dan luka di perut.
“Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Tetak Isteri Hingga Mati
Beliau berkata, susulan itu, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bertindak menahan suspek yang masih berada di lokasi kejadian.
“Motif kejadian dipercayai cemburu, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti puncanya.
“Suspek yang menghubungi talian kecemasan 999 dan memaklumkan menetak isterinya dengan pisau sehingga mati dan hendak menyerah diri,” katanya.
Mohd Zaidi berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian merampas sebilah pisau dan parang pemotong daging dan salah satunya dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.
“Suspek berusia 31 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.
“Suspek akan direman untuk tindakan lanjut manakala mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) bagi tujuan calitan Covid-19 dan bedah siasat,” katanya.
Mohd Zaidi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
ZAMAN DAHULU BOLEH LAH NAK PERMAINKAN WANITA. SEKARANG ‘BIG NO’ Wanita hari ini PANTANG DICABAR!
Pernah diperlekehkan? Dipijak kepala? Buli atau takut berdepan masalah hidup? Dengar apa nasihat pakar. Jom sertai webinar sehari, AURA: Wanita Pantang Dicabar ini.
Tak dinafikan, ada sesetengah wanita bujang lebih selesa berkawan dengan suami orang. Bukan setakat berkawan tapi lebih daripada itu dengan niat untuk dijadikan suami. Dengan anaggapan lelaki itu sudah stabil dari segi ekonomi dan ‘berpengalaman’.
Tak salah wanita bujang dan suami orang pun akalau terbuka ruang dan pintu hati pun boleh jadi juga. Kalau tepuk tangan sebelah tak akan berbunyi. Dilayan akan menjadilah.
Kadang-kadang pelik, apa yang menarik perhatian wanita bujang pada suami orang ini. Masing-masing ada alasan tersendiri.
Walau bagaimanapun, nasihat Dr Azizul Azli Ahmad ini boleh dijadikan panduan terutamanya yang bergelar suami orang dan wanita bujang agar tidak sesekali memilih suami orang.
Kenapa suami orang nampak tenang dan stabil dan matang dan kaya dan semua lah!
1, Suami orang lebih stabil secara kewangan nampaknya.
Memang stabil kalau duit rumah bini tolong bayar bersama, bini gaji cikgu DG48 dia gaji D29. Mesti nampak stabillahkan.
2. Pakai Kereta Honda atau BMW punya, mana pakai Axia.
Bila suami bayar kereta, benda lain semua dia suruh bini bayarkan. Pastinya kereta lebih baik dari orang bujang. Orang bujang kalau pakai kereta mewah CCRIS dah tercekik biasanya.
3. Pakaian kemas dan lebih meyakinkan.
“Bagi boxer abang, sayang nak gosok” sampai boxer kita bini tentukan warna apa nak pakai, macam mana tak nampak ensem.
4. Meyakinkan dan matang.
Dah tiap hari hadap wanita, dia tahu apa yang wanita suka. Buat lawak tak hambar lagi. Dia memang juara biasanya, suami orang katakan. Nak makan kat mana pun dia tahu, orang bujang tempat makan pun dah pening!
5. Hidup Lama Makin Stabil.
Bila dah sedikit ‘matang dan berusia’ pastinya pengalaman dah tinggi. Begitu juga gaji. Maka jika dibandingkan dengan graduan mula kerja, jauh kena tinggal Mamat UiTM nie.
6. Pemurah ya abang Mat nie?
Memang la pemurah, dik nak pikat kau dik. Semua dia akan bagi, kau mintak saja. Lagi pun kena ingat yang dia bagi tu sebenarnya bajet beli susu anak dia yang ke 12 sebenarnya. Balik mesti gaduh dengan bini.
7. Nampak Tenang Cool Jer!
Kau tak serumah dengan dia dik, cuba ajak bini dia ngopi kat struback tanya bab laki dia. Bini dia sahaja tahu semua cerita. Tenang dia sebab banyak pikir benda nak kena bayar, nafkah bini pun main buat muka kesian, Tak pun hujah, “Awak makan apa saya makan itu nafkah la”.
8. Bina Hidup Sama Sama Dengan Orang Bujang!
Belajar hadapi hidup bersama, jangan ambil jalan mudah. Kebahagian banyak dicipta saat susah menuju bahagia biasanya. Jangan nanti kau hempas bantal mengadu kat Capress dik!
Pesan pesan abang nampak simple, tapi inilah hakikat hidup.
Jodoh adalah rahsia Allah. Kita tak tahu siapakah jodoh kita. Kadangkala, jodoh itu dengan individu yang usianya lebih separuh daripada usia kita sendiri!
Ikuti pengakuan daripada seorang wanita yang telah bertemu jodoh dengan lelaki yang berusia 22 tahun lebih muda daripada dirinya dan mendapat tentangan hebat daripada keluarga si lelaki terutama mak mentua. Ikuti pengakuannya kepada Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan juga penulis tetap ruangan YA TUHAN di dalam MAJALAH MINGGUAN WANITA.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah sentiasa. Sukar untuk saya kongsikan kisah peribadi saya ini namun saya gagahi jua untuk berkongsi agar menjadi panduan untuk wanita di luar sana yang mungkin menghadapi masalah yang sama dengan saya. Setahun lepas, saya bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang 22 tahun lebih muda dan ini menimbulkan konflik apabila saya tak diterima oleh keluarga mentua terutama maknya.
Saya berusia 47 tahun dan memiliki sepasang cahaya mata yang kini berusia 23 dan 21 tahun. Saya memiliki perniagaan sendiri dan syukur, ia melebihi daripada mencukupi untuk menampung kehidupan saya dan anak-anak.
Warisan Suami
Saya balu kematian suami, sebelum bertemu jodoh dengan suami sekarang. Perniagaan yang saya miliki juga sebenarnya adalah perniagaan yang saya bangunkan bersama arwah suami dahulu. Kini salah seorang anak saya turut serta dalam mengendalikan syarikat tersebut.
Sepuluh tahun lalu, suami meninggal dunia secara tiba-tiba akibat penyakit jantung dan ia tamparan hebat buat diri saya kerana kami sangat rapat. Ke mana saja berdua. Nasib baik ada anak-anak yang menjadi kekuatan untuk saya teruskan hidup. Selepas kematian arwah suami, fokus saya pada bisnes dan anak-anak.
Bukan sedikit lelaki yang cuba mendampingi namun saya tolak mentah-mentah. Mana taknya, kebanyakan mereka bergelar suami orang dan prinsip diri saya, takkan sesekali mengambil hak orang atau berkongsi kasih dengan wanita lain.
Apabila anak-anak semakin dewasa dan perniagaan pun stabil, saya mula ada masa untuk libatkan diri dalam aktiviti yang saya suka. Antaranya, saya kembali aktif membuat aktiviti lasak iaitu hiking. Mulanya anak kedua (lelaki) yang kenalkan saya dengan hobi ini bila saya sibuk nak buat aktiviti sihat.
Perkenalan
Saat itulah juga saya kenal dengan seorang pemuda, M, yang merupakan rakan hiking anak. Dia bekerja di sektor awam. Pada mulanya dia memanggil saya ‘auntie’ kerana saya mak kepada rakannya (anak saya) namun saya tak tahu sejak bila, panggilan itu bertukar menjadi ‘awak’ dan ‘saya’. Katanya saya tak nampak tua malah kali pertama bersua, dia ingatkan saya ini kakak kepada anak saya.
Sikap M yang sangat ambil berat dan penyayang membuatkan saya selesa bersamanya. Namun saya tetap ‘sedar diri’ akan jarak usia kami dan pendamkan saja rasa suka yang mula bercambah. Saya rasa tak layak untuk dirinya yang baru berusia 25 tahun, lebih kurang sebaya anak saya!
Ternyata takdir tersurat, dia juga sukakan saya dalam diam dan telah luahkan isi hatinya saat kami sama-sama hiking menawan Gunung Ledang. Waktu itu, saya seakan tak percaya dan minta dia beri saya masa.
Terima
Berbulan juga saya berfikir dan buat solat istikharah. Akhirnya pintu hati saya terbuka untuk menerima dirinya walau saya sedar macam-macam rintangan akan datang. Namun, saya bersyukur kerana anak-anak dapat terima kehadiran papa baru mereka dan itu juga alasan utama saya terima M.
Masalah paling perit apabila keluarga M terutama maknya tak dapat terima saya sebagai menantu sehingga kami tekad berkahwin diam-diam di utara tanah air. Kini, selepas setahun, maknya masih tidak dapat terima saya. Hanya ayah dan adik beradik M (M anak sulung) sudah mula terima. Sebab itu juga saya tak pernah balik ke rumah M tapi saya sentiasa galakkan M balik dan jalankan tanggungjawab sebagai anak.
Saya sedar bukan mudah mak mentua saya nak terima janda berusia seperti saya sebagai menantu untuk anak bujangnya. Apatah lagi kami sebenarnya sebaya. Namun, saya tak dapat putarkan masa dan sayangkan M. Saya nak rumah tangga ini berkekalan. Apa pandangan puan untuk saya mengambil hati ibu mentua saya?
Puan K, Setiawangsa.
Jawapan:
Dengan Nama Alllah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Kata orang jodoh pertemuan di tangan Allah… tua, muda, cantik, kurang cantik, kurus, gemuk, hitam, putih, semuanya tidak terbatas apabila jodoh telah sampai dengan ketentuan Allah. Kadang-kadang ada orang tidak menjangka jodohnya dengan seseorang yang jauh beza umurnya.
Jadi Bualan
Jika lelaki lebih tua berbanding wanita, itu mungkin biasa. Namun jika sebaliknya iaitu wanita lebih jauh berusia dari lelaki, ianya akan jadi bualan orang. Pada hal, nabi sendiri berkahwin dengan Siti Khadijah yang jauh lebih berusia daripadanya dan isteri yang paling dicintai nabi.
Puan yang dirahmati Allah. Tidak dinafikan siapa sahaja yang bergelar ibu bapa mahukan jodoh yang terbaik untuk anaknya. Tidak kira anak lelaki mahupun perempuan, majoriti ibu bapa mahukan kebahagiaan bukan sahaja untuk anak mereka, tetapi “bahagia” di mata mereka.
Erti Bahagia
Mungkin bahagia pada mereka tidak sama dengan bahagia buat anak. Malah mereka cukup mengambil kira pandangan orang terhadap menantu yang bakal dipilih oleh anaknya. Bagaimana rupanya, akhlaknya, kedudukannya, harta yang dimilikinya, latar belakang diri dan keluarganya, semuanya dilihat sebagai kayu pengukur kepuasan atau kebahagiaan ibu bapa.
Kriteria Pilihan
Jika pilihan anaknya menghampiri kriteria idaman ibu bapa, maka tidaklah berlaku krisis antara anak dan menantu. Namun jika sebaliknya, maka keadaan itu boleh jadi berpanjangan yang memerlukan kebijaksanaan pihak anak dan menantu untuk menguruskan keadaan.
Jika dilihat dalam perspektif yang lebih jauh, pastinya seorang ibu mahukan zuriat daripada anaknya sendiri, iaitu cucu dari darah dagingnya. Ini adalah antara kemuncak kebahagiaan seorang ibu dan bapa apabila dapat bergelar nenek dan datuk.
Letak Diri
Jika puan dapat meletakkan diri puan dalam situasi ibu mentua puan, pastinya puan dapat merasakan betapa kecewanya hati seorang ibu. Jika puan dapat membayangkan ini terjadi kepada puan, bagaimana andai ditakdirkan anak puan yang lelaki berusia 23 tahun mendapat jodoh yang berusia lewat 40-an. Bagaimana perasaan puan?
Bagaimana puan dapat memberitahu orang lain bahawa menantu puan adalah wanita yang hampir sebaya dengan puan? Bolehkah puan menerima hakikat itu. Rasa saya siapa sahaja yang bergelar ibu berkemungkinan mengalami kekecewaan.
Faham Situasi
Jika puan dapat memahami situasi yang saya paparkan di atas, maka puan boleh menerima hakikat bahawa mentua puan masih belum menerima puan. Sekurang-kurangnya ini boleh memberi kelegaan kepada diri puan.
Untuk memenangi hati mentua bukan sesuatu yang mudah. Namun, sekurang-kurangnya puan bersyukur kerana ramai yang telah dapat menerima puan – bapa mertua dan adik beradik suami, malah anak-anak puan telah dapat menerima pilihan puan.
Tak Mudah
Seperti yang saya sebutkan, bukan mudah untuk memenangi hati ibu mentua puan, namun beberapa pendekatan boleh puan gunakan bukan untuk memenangi hatinya, tetapi puan melakukan yang terbaik untuk ibu mentua.
Mungkin puan ada melakukan ini, namun, berterusanlah berbuat baik dengannya. Pertama selalu belikan hadiah di hari ulang tahunnya, ulang tahun perkahwinan, Hari Ibu, Hari Wanita, menyambut Ramadan dan menyambut Syawal.
Hadiahkan melalui suami jika puan merasakan dia masih belum menerima kehadiran puan. Jika hadiah puan tidak sudi diterimanya, jangan mudah putus asa, anggapkan puan telah bersedekah untuk mertua. Pahala bersedekah tetap mengalir. Teruskan berbuat baik dan mengambil berat tentangnya melalui suami. Jika keadaan mengizinkan barulah puan menziarahinya.
Mohon Pertolongan Allah SWT
Kedua, banyakkan solat malam dan memohon pertolongan Allah agar dilembutkan hatinya untuk menerima kehadiran puan. Banyakkan zikir Ya Latiff dan niat agar Allah lembutkan hatinya untuk menerima puan.
Ingat, kita tidak mampu mengubah hati manusia dengan usaha yang kita lakukan, namun, Allah sahaja yang boleh melembutkan hati manusia. Ketiga, selalu ingat setiap yang Allah takdirkan dalam hidup kita ada hikmahnya yang kita tidak tahu. Allah hantar orang yang paling dekat dalam hidup kita tetapi tidak menyukai kita. Apa hikmahnya?
Tingkatkan Keimanan
Ya, Allah mahu kita berusaha berbuat baik walaupun orang tidak menyukai kita kerana Allah mahu meningkatkan keimanan kita. Allah mahu kita akan sentiasa berdoa dan mendekati-Nya memohon pertolongan. Sebab itu Allah bagi banyak ujian kepada Nabi dan kepada orang-orang terpilih kerana Allah mahu mengujinya.
Jika kita sebagai hamba menerima ujian itu dengan berlapang dada, selalu bermunajat dengan Allah untuk atasi masalah hubungan dengan orang itu, maka usaha kita mendekati Allah itulah hikmah yang kita tidak nampak. Bayangkan jika tiada ujian ini dalam hidup.
Tak Bersungguh-sungguh
Mungkin kita tidak bersungguh-sungguh berdoa , solat malam dan melakukan malan-amalan yang mendekatkan diri dengan Allah bukan? Lazimnya begitulah…. Jika tiada ujian dalam hidup kita, mungkin kita akan leka dengan kehidupan dunia, menjalani hidup yang biasa-biasa sahaja tanpa menyelami erti kehidupan yang sebenar.
Rajin-rajin mengikuti kuliah agama, bersedekah dan mendekati orang-orang miskin dan kurang upaya. Maka kita akan dapati Allah hanya menguji kita sedikit sahaja berbanding orang lain yang lebih jauh melalui kesukaran dan kesusahan dalam hidup.
Jika Allah izinkan, Dia akan lembutkan hati ibu mertua puan untuk menerima puan. Jika belum masanya, maka teruskan berdoa dan berbuat baik terhadapnya. Mudah-mudahan Allah memakbulkan doa puan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mengaku jadi kekasih Aliff Aziz, peguam ulas “penyondol hanya dapat sisa bini dia saja, jangan bangga sangat…”. Hari ini kecoh dengan pendedahan Sarah Yasmin...