Wariskan sifat kehambaan pada Allah SWT dalam diri anak kita. Itu tugas kita sebagai ibu bapa. Apabila melihat bayi kecil yang tidak mengerti apa-apa dan tidak berdaya untuk melakukan apa-apa, mengimbau keadaan diri kita yang sememangnya faqir dan lemah yang harus berpegang kepada sesuatu yang Maha kuat dan Maha kaya, itulah Allah yang sememangnya amat mengasihani dan menyayangi hamba-Nya.

Lebih kuat rasa kehambaan dalam diri dengan penuh faqir dan kelemahan, lebih hebat lagi limpahan kasih sayang-Nya yang bakal kita rasakan. Persis bayi kecil, lebih kuat dia menangis menagih perhatian dan kefahaman lebih lagi rasa empati menerjah diri ibu bapa dan penjaganya. Sungguh kalam Allah itu benar, tiada satupun yang Allah jadikan sia-sia. Setiap inci penciptaan-Nya apabila direnungkan memberi inspirasi dan motivasi diri untuk kekal menjadi hamba-Nya. Maha hebat Allah!

Apa Yang Allah Ingin Didik Kita?

Rakan penjaga yang dikasihi, betapa banyak daripada peristiwa harian kita bersama anak-anak yang benar-benar kita tekuni dan kita tanyakan pada diri, apakah sebenarnya yang Allah ingin didikku melalui peristiwa ini?

Saya percaya, jika soalan ini kerap menerjah pemikiran kita rentetan daripada peristiwa-peristiwa bersama anak yang kita lalui saban hari, pasti akan bertambah rasa kehambaan kita kepada-Nya. Benar anak itu adalah amanah. Namun sejauh mana kita mengimani kata-kata itu dan sejauh mana kita terjemahkannya dalam kehidupan kita bersamanya.

Sudah menjaga amanahkah kita jika keperluan fizikalnya dipenuhi? Sudah jaga amanahkah kita jika material untuk kelangsungan hidupnya sudah tersedia? Apakah sudah cukup amanah jika dia di mata kita sudah cukup berjaya?

Wariskan Sifat Kehambaan Pada Allah Dalam Diri AnakAnak-Anak Indikatornya

Ia berbalik kepada apakah takrifan cukup dan amanah yang kita fahami. Jika ianya disandarkan kepada kefahaman al-Quran maka indikatornya anak-anak ini kenal akan Tuhannya, cinta akan Rasulnya dan menjadikan Islam sebagai cara kehidupan dan pandangan alamnya.

IKLAN

Masya-Allah, dalam keadaan semasa kehidupan kita, cabarannya amat kuat. Mehnahnya hebat.Memerlukan kekuatan dalaman yang kuat untuk kekal dalam arus iman dan takwa. Hakikatnya, kita tidak berdaya mengharunginya sendirian apatah lagi dengan membawa beban amanah. Jadi kembalilah mengadu dan merengek di hadapan Allah Yang mempunyai kekuatan dan Allah yang mempunyai perbendaharaan. Pasti kita akan dibantu-Nya.

Persiapkan Diri Dengan Sifat Hamba

Justeru, persiapkan diri kita untuk benar-benar menjadi hamba kepada-Nya. Hamba yang memiliki sifat hamba, tidak akan pernah merasakan dirinya lebih daripada orang lain hatta dengan anaknya sendiri. Hamba yang memiliki sifat hamba, tidak akan pernah meletakkan apa yang diperkatakan adalah mutlak.

Hamba yang memiliki sifat hamba memiliki sifat tawadhuk yang membenarkan dirinya untuk menghormati dan bertolak ansur dengan yang lain. Dan yang paling penting, hamba yang memiliki sifat hamba akan sentiasa mencari jalan untuk mengagungkan pemiliknya bahkan mengajak orang disekelilingnya untuk melakukan hal yang sama. Begitulah serba sedikit indikator yang boleh kita renungkan dalam diri, melihat kembali, perteguh dan perbaiki. Kerana tiada seorang pun daripada kita yang sempurna.

Baca lagi artikel menarik di sini:

IKLAN

Walau Tak Kaya, Anak Sihat Dan Suami Bertanggungjawab Juga REZEKI

Bila Isteri TERLEBIH Layan Anak, Suami Jadikan Alasan Cari Teman ‘Curhat’ Lain

Jangan lupa follow Mingguan Wanita di instagram

Contohi Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail A.S

Kisah ini harus dijadikan contoh. Betapa Nabi Ibrahim memastikan dirinya mengekalkan rasa kehambaan dalam diri sehingga apa sahaja yang diperintahkan Allah kepadanya dilakukan tanpa gagal hatta perintah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail.

IKLAN

Rasa kehambaan yang baginda miliki bukan sahaja diterjemahkan melalui perlaksanaan setiap perintah Allah malah manifestasi sifat hamba tadi menyebabkan baginda bertindak untuk bertanyakan pandangan anaknya Ismail ketika ingin melaksanakan perintah tersebut.

Ia bukan bermakna baginda ingin mengelak daripada melaksanakan perintah malah sebagai tanda hormat dan kasih sayangnya kepada anak. Dua keadaan ini menjelaskan bagaimana hakikat sifat hamba termanifestasi dalam diri kita selaku ibu bapa. Jawapan Nabi Ismail ketika itu pula mengukuhkan tarbiah ibunya untuk sentiasa menjadi hamba kepada Allah dalam setiap keadaan dan peristiwa kehidupan.

Tidak Bermakna Di Sisi Allah

Itulah hakikat kehidupan kita yang harus kita benar-benar tahu dan faham. Kita bukan sesiapa di dunia ini walau mempunyai jawatan yang tinggi, harta yang banyak, ilmu yang tinggi mahupun kuasa yang besar. Ia tidak bermakna apa pun di sisi Allah. Bahkan yang termahal di sisi-Nya adalah rasa kehambaan yang mutlak daripada hamba-Nya. Masya-Allah!

Jadi, rasa itulah yang harus kita miliki dan diwariskan kepada anak-anak kita. Percayalah rasa kehambaan kepada Yang Berhak menidakkan rasa dimiliki dan ditakluki sesama makhluk. Yang ada hanyalah rasa kasih sayang dan hormat sesama insan atas arahan dan perintah daripada-Nya. Allahuallam.

Sumber: Dr. Nurul Asiah Fasehah binti Muhamad (USIM)

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI