
Jangan pandang remeh kesan jerebu pada kanak-kanak sebab golongan ini lebih mudah menerima akibat terlalu terdedah kerana paru-paru dan sistem badan mereka masih dalam proses perkembangan.
Awas, Kesan Jerebu Pada Kanak-kanak!

Biasanya kanak-kanak juga bernafas dengan lebih cepat berbanding orang dewasa, menyebabkan jumlah bahan pencemar yang disedut berbanding saiz badan mereka boleh menjadi lebih tinggi.
Haaa… sebenarnya pendedahan kepada jerebu boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami batuk, sakit tekak, sesak nafas, mata berair dan ketidakselesaan pada saluran pernafasan.
Bagi kanak-kanak yang mempunyai asma atau masalah pernafasan, keadaan udara yang tercemar juga boleh memburukkan gejala mereka.
Kajian berkaitan kanak-kanak di Malaysia turut menunjukkan, kejadian jerebu dikaitkan dengan peningkatan kemasukan ke hospital akibat masalah pernafasan, dengan kesannya boleh menjadi lebih serius dalam kalangan kanak-kanak berumur bawah lima tahun apabila jerebu berlaku pada tahap tinggi atau berpanjangan.
Mak Ayah, Pastikan Anak Dalam Rumah

Kesan jerebu bukan sahaja membabitkan kesihatan fizikal, malahan boleh mempengaruhi pembelajaran, dan rutin harian kanak-kanak. Langkah proaktif perlu diambil bagi mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada jerebu. Ini antara pesanan yang dikongsi oleh Dr Siti Nurshahida Nazli kepada orang ramai…
- Kalau bacaan IPU melebihi 100 (tahap tidak sihat), mak ayah perlu memastikan anak berada di dalam rumah dan elakkan sebarang aktiviti di luar.
2. Kemudian pastikan pintu dan tingkap ditutup apabila pencemaran di luar berada pada tahap tinggi.
3. Memasang penapis udara (air purifier) yang dilengkapi penapis HEPA di dalam rumah dapat membantu menapis pencemar udara di dalam kediaman.
4. Kalau terpaksa keluar, pastikan kanak-kanak memakai topeng muka yang berkesan seperti facemask N95 saiz kanak-kanak dan pastikan facemask dipakai dengan betul.

5. Pastikan anak-anak minum air secukupnya kerana air dapat membantu membuang toksin dan memastikan badan anak-anak terhidrat.
Anda mungkin berminat dengan
6. Cuci muka dan tangan sebaik sahaja kembali dari luar. Tukar pakaian bersih amat digalakkan kerana pakaian yang terdedah dengan jerebu mungkin mempunyai bahan pencemar yang melekat.
7. Sekiranya mengalami batuk berterusan, kesukaran bernafas atau gejala yang semakin teruk, pemeriksaan perubatan perlu dilakukan.
Ada yang tidak kisah pun, tetapi masalah jerebu tidak seharusnya dianggap sebagai gangguan bermusim semata-mata. Usaha mengurangkan pencemaran udara memerlukan kerjasama semua pihak. Jadi kalau ada buat pembakaran, elok hentikan buat masa ini kerana setiap kanak-kanak berhak membesar, belajar dan bermain dalam persekitaran dengan udara bersih dan sihat.
Jom, sama-sama kita tingkatkan usaha menjaga persekitaran dan kesihatan orang tersayang!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

