Sungguh malang tidak berbau. Siapa sangka anak yang sihat diwaktu pagi sewaktu dihantar ke rumah pengasuh, akhirnya ditemui dalam keadaan tidak lagi bernyawa.
Tersedak Susu
Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan didakwa tersedak susu ketika dijaga pengasuhnya sebelum disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Melaka, semalam.
Menurut ibu mangsa dikenali sebagai Zaidah, 35, dia menghantar anak sulungnya itu ke rumah pengasuh di Ayer Molek kira-kira pukul 7.30 pagi sebelum kejadian dimaklumkan kepadanya pada pukul 11 pagi.
“Saya biasa hantar anak pukul 7.30 pagi dan ambilnya pada pukul 5 petang, semalam tiba-tiba pukul 11 pagi pengasuh hubungi beritahu anak saya sudah kebiruan dan tidak sedarkan diri mungkin akibat tersedak susu.
“Saya memintanya membawa anak ke Klinik Kesihatan berhampiran kerana khuatir saya lambat sampai ke rumahnya susulan saya kerja di Sungai Udang, manakala suami pula di Pulau Gadong,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Lubok China, di sini, lewat malam tadi.
Ads
Pengasuh Diperkenalkan Rakan
Jelasnya, bayinya itu bagaimanapun dimaklumkan pengasuh telah dibawa oleh pasukan kesihatan ke Hospital Melaka untuk diberikan rawatan.
“Saya terus ke Hospital Melaka dan diberitahu anak telah meninggal dunia, namun punca kematian masih belum diketahui susulan laporan bedah siasat sedang dilengkapkan.
“Saya hantar anaknya ke pengasuh berkenaan sejak hujung tahun lalu selepas diperkenalkan rakan,” ujarnya.
Sementara itu, bapa mangsa yang enggan dikenali memberitahu, meskipun dia dan isteri masih terkejut dengan kejadian yang berlaku, namun keluarganya reda dengan kehilangan tersebut.
Ads
“Saya tidak mahu cakap apa-apa, tak mahu menyalahkan mana-mana pihak, apa-apa pun kita tunggu sahajalah keputusan bedah siasat dan siasatan pihak polis,” katanya ringkas.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi pemberita mengesahkan kejadian tersebut dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat.
Mingguan Wanita: Salam takziah buat keluarga bayi ini. Semoga menjadi pengajaran buat pengasuh yang lain supaya lebih berhati-hati apabila mengasuh anak asuhan.
Gadis Cekal Berperahu Rentas Sungai Rajang Ke Sekolah Kini Berjaya Bergelar Peguam! Hasil kesungguhan dan kecekalan dalam menuntut ilmu, menghasilkan kejayaan yang cemerlang. Meskipun terpaksa bersusah payah dan melipatgandakan usaha dalam menimba ilmu.
‘Basak Budouk Basak Tenguk’. Itu pepatah dalam dialek Melanau Dalat yang membawa maksud asalkan rajin berusaha akan memperoleh hasil yang lumayan.
Pepatah itu juga mengambarkan usaha kental Jacquelyn Juliet Suching, 25, wanita asal Kampung Kebuaw, di sini, sebuah perkampungan pendalaman di Sarawak mengejar impian ke menara gading sehingga berjaya bergelar peguam.
Wanita Melanau Iban yang berasal daripada keluarga petani itu bersemangat mahu mengubah nasib keluarganya dengan pendidikan biarpun perlu merentas Sungai Rajang dengan menaiki perahu dihantar ibu setiap hari untuk ke sekolah.
Kisah Jacquelyn Juliet mendapat perhatian di TikTok selepas peguam muda itu berkongsi video yang dimulai dengan dirinya ketika berusia 11 tahun pulang dari sekolah ditunggu ibu di perahu, bergraduasi dan ditauliahkan sebagai peguam.
Berkongsi kisahnya, Jacquelyn Juliet berkata, kampungnya terletak di bahagian hilir Sungai Rajang dan selama enam tahun dia menjadikan perahu sebagai pengangkutan utama ke sekolah di persisiran Sungai Rajang, Batang Igan.
Menurutnya, setiap hari dia akan dihantar dan diambil ibu, Catherine Stin, 48, yang mengemudi perahu sendirian, sementara bapa, Suching Jugei, 58, mengambil upah berkerja di kebun rumbia milik orang.
“Sebagai anak pedalaman saya sudah biasa merentasi Sungai Rajang, malah tak berasa takut menyeberanginya biarpun ada buaya kerana perahu satu-satunya kenderaan kami di kampung untuk ke sekolah. Lagipun saya tahu hanya dengan pendidikan dapat mengubah nasib kita.
“Malah saya beruntung mempunyai ibu bapa yang sangat mengutamakan pendidikan, malah pendapatan tidak menentu sebagai petani dan mengambil upah mengerjakan kebun rumbia tetap diutamakan untuk persekolahan kami,” katanya.
Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, ketika berusia 13 tahun dia belajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Miri dan setiap kali cuti sekolah dia akan membantu ibu bapa di kebun rumbia untuk mencari pendapatan lebih, manakala waktu makan dimanfaatkan untuk mengulangkaji pelajaran.
“Kehidupan sederhana tanpa kemewahan di kampung yang tiada kemudahan Internet yang baik, jalan raya dan air bersih mendidik saya untuk tekad mengejar impian sekali gus membuktikan anak pendalaman juga boleh mencapai cita-cita.
“Sehingga belajar di universiti saya dan adik-beradik masih membantu mak dan ayah di kebun rumbia. Itu juga menaikkan semangat saya untuk memberi kesenangan kepada mereka yang banyak mengorbankan masa serta tenaga untuk kami,” katanya yang berkerja di sebuah firma guaman di Bintulu.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah itu berkata, kejayaan yang diperolehinya disifatkan bukan usahanya semata-mata sebaliknya ia adalah kerja keras ibu bapanya yang membanting tulang empat kerat.
“Saya masih baru dalam bidang perundangan kira-kira setahun tujuh bulan termasuk tempoh chambering dan apabila sudah tamat belajar saya melihat apa diperolehi ini hasil usaha pahit manis sejak kecil menjadikan saya sebak.
“Walaupun mak ayah hanya petani tetapi mampu membentuk masa depan kami dengan pendidikan. Tiga adik saya juga masing-masing bergraduasi dan masih belajar di universiti tempatan dan seorang di Australia, manakala dua abang saya sudah berkeluarga dan berkerja,” katanya yang masih bujang.
Berhubung video TikToknya, Jacquelyn Juliet berkata, video itu dirakam guru matematiknya, Cikgu Ermi pada 2009 dan ketika itu dia adalah pelajar terakhir yang pulang selepas mengikuti kelas tambahan di sekolahnya.
Katanya, Cikgu Ermi memberikan video itu kepadanya pada 2018, namun dia tidak pernah berkongsi video berkenaan di media sosialnya sebelum tergerak hati untuk memuat naik di TikTok, baru-baru ini sebagai kenangan selain penghargaan buat ibu bapa dan guru serta pensyarahnya.
Mingguan Wanita: Tahniah atas kejayan mencapai cita-cita bergelar peguam. Meskipun laluannya tak mudah, terpaksa meredah sungai yang ada buaya dengan perahu ketika pergi ke sekolah, namun tetap cekal untuk rajin belajar. Semoga menjadi inspirasi buat anak-anak yang lain.
Ibu luah rasa terkilan, anak cirit 21 kali doktor hanya beri 3 paket air garam sebelum meninggal. Ajal maut di tangan Allah, kita hanya mampu berusaha. Luahan hati seorang ibu, Erma Iswani yang meluahkan rasa terkilan dan marahnya atas kehilangan anak syurganya, Umair. Erma mendakwa doktor di sebuah klinik kesihatan di Lurah Bilut hanya memberikan tiga paket air garam di saat dia memaklumkan anaknya alami cirit 21 kali.
Ekoran tidak berpuas hati, Erma membawa anak syurganya ini ke sebuah klinik swasta di mana doktor mengesahkan darah putih anaknya terlalu tinggi sebelum ditahan di hospital. Namun takdir menentukan anaknya adalah penghuni syurga. Sebagai ibu, rasa terkilan itu ada,” kata Erma.
Berikut adalah perkongsian dari facebooknya, Erma Iswani.
Assalamualaikum..
Post saya ini bukanlah utk menyalahkan mana-mana pihak, nak nk lagi memburukkan agensi klinik kerajaan, saya tak dendam, saya MARAH saya TERKILAN. Sesungguhnya kesemua ini adalah salah dan silap saya sendiri…
Anak saya telah mengalami cirit birit dari tengah malam hingga ke pagi (1 hari) sebanyak 21 kali ..
Dr tempoh itu saya pantau anak dirumah, dia masih minum air dengan banyak.
Pada hari rabu 12/7/2023 saya telah bawak anak saya ke KLINIK KESIHATAN LURAH BILUT pada pukul 11.30 tengahari untuk mendapatkan rawatan di sana, saya memberitahu anak saya mengalami cirit birit sebanyak 21 kali dan pada ketika itu saya juga memberitahu doktor tersebut bahawa kekerapan anak membuang air besar pada ketika itu sangat banyak iaitu 21 kali.
Dari awalnya kuantiti najis yang dikeluarkan banyak dan semakin lama semakin sedikit. Saya juga turut memberitahu doktor bahawa anak saya tidak aktif seperti kebiasaan. Doktor sedia maklum mengetahui anak saya seorang OKU yang mempunyai masalah GDD.
Doktor mesti tahu kalau budak macam ni kena jangkitan berapa teruk boleh jadi. Tapi langsung tak elert. Saya jugak turut memberitahu doktor anak saya demam dan pada ketika itu doktor mengatakan anak saya tidak mengalami demam kerana suhu telah di ambil di luar terlebih dahulu.
Setelah diperiksa mulut dan berapa bahagian seperti kulit, perut, doktor tersebut mengatakan anak saya tiada tanda “dehydrated”. Dan keadaan dia ketika itu DIKATAKAN OK. Doktor telah memberi kan anak saya ubat air garam 3 sachet dan saya turut meminta ubat demam kepada beliau.
Saya turut bertanya adakah anak saya “KENA KERACUNAN MAKANAN”? Dan beliau berkata “YA” “MUNGKIN”. Pada ketika itu saya rasa agak risau kerana mata dah mula kelihatan tenggelam. Saya sedikit kecewa kerana saya mengharapkan refer ke hospital ataupun darah diambil tetapi “TIADA”.
Sebaik keluar daripada klinik, apabila di dalam kereta saya melihat kaki anak kemerahan berbintik sambil berfikir “takkan la doktor tu tak nampak kaki anak aku”, mata pun cengkung ke dalam.
Walaupun mengenangkan ayat dia yang mengatakan anak saya ok TIADA TANDA KERING. Saya rasa tidak berpuas hati dan tanpa berlengah saya terus pergi ke klinik swasta klinik hijraa di Bentong untuk dapatkan rawatan dari doktor lain.
Sesampai di sana, saya menceritakan keadaan yang sama apa yang saya ceritakan pada doktor sebelumnya dan keadaan anak saya di klinik itu masih sama dengan di Bilut cuma suhu diambil suhu anak saya adalah 40.1.
Dan Dr tersebut sangat alert dengna keadaan mata anak saya yang ke dalam yang nampak seperti ada tanda dehydrated, doktor tersebut menyarankan saya untuk mengambil darah anak untuk melihat sama ada, ada virus ataupun jangkitan.
Selepas result darah keluar, doktor disitu terus memberi surat refer untuk admit ke hospital kerana bacaan darah putih terlalu tinggi memandangkan pada Masa yang sama doktor tersebut alert dengan keadaan anak saya yang nampak tidak aktif.
Dalam pukul 3 petang, saya bawak anak saya ke emergency Hospital Bentong dalam keadaan sudah lembik Dan tidak sedarkan diri.HANCUR HATI SAYA DOK USUNG ANAK KE EMERGENCY DALAM KEADAAN LEMBIK MACAM SAYUR…
Sebaik sahaja saya sampai anak saya terus di intubated, ditidurkan dan keadaannya sangat kritikal dalam badan AIR KERING. Dan pada hari yang sama anak saya dihantar ke NICU Hospital Temerloh.
Pada 14 Julai 2023 saya telah kembali ke klinik untuk mendapatkan penjelasan doktor tersebut mengenai apa yg dia diagnosis anak saya.
Saya sangat terkilan bila Mana dia menjawab bahawa prosuder klinik kerajaan keadaan anak ketika itu tidak memerlukan darah untuk diambil (berdasarkan keadaan nadi, bacaan oksigen pada masa itu ok.
Anak pertama saya terkena cirit birit pada tahun 2017 bawak di klinik kerajaan berak kurang Dari 21 pon Dr di klinik kesihatan di Bentong mintak untuk darah diambil. Tak tahu pulak prosuder sekarang dah lain.
Kalau benarlah itu prosuder klinik kesihatan kerajaan sekarang. Saya sangat HAMPA! 21 kali tu mugkin tidak dipandang serius. Saya juga turut mempersoalkan keadaan mata anak saya ketika itu sudah tenggelam tetapi dia kata dia tak nampak dan asyik mengulangi dia sudah memegang anak saya sebanyak dua kali.
Dia ada mengatakan antibiotics tidak diperlukan, point saya sekarang bukanlah antibiotics. Cuma saya terkilan kenapa dischargekan anak saya hanya berbekalkan 3 schet air garam tanpa darah diambil. Dalam keadaan saya dah SEBUT ANAK SAYA TIDAK AKTIF seperti kebiasaan..
Saya seorang manusia Tak Lepas Dari perasaan Tak puas hati Dan rasa kalau lah waktu tu Dr alert dgn keadaan anak sy , at least ambil darah die , die xmgkin akan mengalami keadaan seperti skrg .. tp itu lah kalau Nak cerita pasal “KALAU”.
KESILAPAN TERBESAR SAYA ADALAH SAYA PERGI KE TEMPAT YANG SALAH SETELAH MEMIKIRKAN KK LURAH BILUT YG PALING HMPIR SERTA BERHARAP DARAH DIAMBIL SERTA MDPTKN SURAT REFER YG CEPAT JIKA ADMIT DIPERLUKAN .. DAH INI YANG SANGAT SAYA KESALKAN SEHINGGA SEKARANG.
Buat encik doktor..
Saya TERKILAN. Dari saya keluar bilik jumpa Dr, sampai la sy terus ke klinik lain dan kemudian ke Hospital Bentong, anak saya jadi kritikal dalam ANGGARAN Masa 3 jam je .. Dan Dr sendiri pon xkn pernah jangka bukan ? Saya TERKILAN.
Macam saya cakap dengan doktor…
Saya ni bodoh, sebab tu saya perlukan orang yang pandai macam doktor untuk bantu rawat anak saya.
Saya hilang senyuman anak saya hanya dalam masa 1 Hari je ..
Dan pada Hari ini ank saya telah kembali kepada pencipta .. anak sy telah menghembuskan nafas yg terakhir pada Hari isnin 09.34 am.
Saya harap penulisan saya ini sampai ke Dr amar klinik kesihatan lurah bilut
Andai ada lg insan malang seperti anak saya dpt kan rawatan dgn Dr .. tolong la alert dgn keadaan patient nak2 lg patient yg mmg tk normal mcm org lain ..
Anakku Umair ..
Awk anak lelaki Erma yang hebat
Dan awk anugerah yang indah yg Allah berikan yang saya gagal menjaga dgn baik ..
Terima kasih kerana sudi hidup Selama 2y6m walaupun saya masih mahu inginkan awk dalam kehidupan saya. Saya sangat redha tapi saya perlukan masa untuk pulihkan jiwa saya yang sedang rapuh.
Alfatihah anakku si pejuang kecilku yang hebat. Awak tak kalah. Awak dah menang dalam perjuangan ini. Rehat la pejuang kecilku ..
Apabila mak ayah semakin meningkat usia dan mulai jatuh sakit, menjadi tanggungjawab anak-anak untuk memberi tumpuan dan menjaga segala keperluan mereka. Memang bukan mudah, apatah lagi terpaksa mengenepikan kerjaya seketika, namun demi berbakti kepada mereka, ia perlu menjadi keutamaan.
Menjaga mak sakit bukan pengorbanan tapi satu tanggungjawab itulah pendirian buat pelakon lelaki versatil, Azhan Rani,47 yang berkongsi pengalaman menjaga ibunya yang sedang sakit di hospital baru-baru ini.
Biarpun sibuk dengan urusan kerjaya dan jadual padat saban hari, pelakon Azhan Rani mengakui terpaksa mengetepikan beberapa tawaran yang datang kerana perlu memberi perhatian kepada ibunya yang sedang sakit.
Menurut Azhan, sejak lebih dua minggu lalu, ibunya, Salmah Budin, 77, dimasukkan ke hospital dan memerlukan pemantauan rapi selepas beberapa kali tidak sedarkan diri di rumah.
Mengambil tanggungjawab untuk menjaga ibu bersama adik-beradiknya, pelakon yang popular dengan drama Nur itu lega apabila keadaan wanita itu beransur baik dan kini sedang menjalani rawatan fisioterapi serta pemulihan.
“Sudah hampir sebulan saya tidak terikat dengan urusan kerja kerana mahu memberikan tumpuan menjaga ibu yang sedang terlantar di hospital. Dia kini hanya terbaring, tidak mampu untuk duduk dan berdiri.
“Ibu juga memakai pampers 24 jam, jadi anak-anak perlu menjaga dan menguruskan segala keperluannya. Buat masa ini saya bergilir-gilir dengan adik.
“Apa-apa pun saya bersyukur melihat ibu menunjukkan perkembangan positif. Mungkin sukar sembuh sepenuhnya kerana faktor usia, tetapi sekurang-kurangnya ibu dalam keadaan yang baik,” katanya.
Dalam pada itu, Azhan mengingatkan anak-anak di luar sana agar tidak berasa susah atau terbeban menjaga ibu bapa yang sedang sakit kerana itu adalah tanggungjawab mereka.
“Saya akui menguruskan orang tua yang sakit sememangnya tidak mudah. Apatah lagi jika anak lelaki yang kena menjaga dan menguruskan ibu. Bagaimanapun kita kena buang perasaan malu, kotor atau geli nak bersihkan najis dan sebagainya.
“Saya harap bila orang tua kita sakit, anak-anak janganlah datang untuk melawat sahaja. Mereka tak perlukan pelawat tapi penjaga.
“Saya tidak melihat menjaga ibu bapa ini sebagai satu pengorbanan, tetapi tanggungjawab seorang anak,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media drama terbaharu Astro yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur pada Selasa.
Berkongsi perkembangan terkini, Azhan berkata, jadual kerjanya kembali sibuk bermula September ini apabila terlibat dengan penggambaran drama dan telefilem yang sudah dipersetujui.
“Insya-ALLAH jika semuanya berjalan lancar, saya akan memulakan penggambaran drama dan telefilem bulan depan termasuk menjalani penggambaran di Makkah. Kalau ada rezeki juga saya juga akan mengerjakan ibadah umrah pada Oktober ini.
“Selain itu, saya juga dalam persiapan untuk misi pendakian terbaharu di Nepal yang dijangka bermula tahun hadapan. Jadi pada Ogos ini, saya perlu mengikuti beberapa sesi latihan pendakian di Gunung Kinabalu.
“Bagaimanapun saya kena tengok juga perkembangan terkini kesihatan ibu dan mungkin perancangan akan berubah berdasarkan keadaannya,” katanya.
Ramai yang turut mendoakan kesembuhan bagi ibu Azhan Rani ini.
Azhan juga mengucapkan terima kasih di atas doa-doa semua pihak.Tidak lupa juga penghargaan buat seluruh team doktor, jururawat dan staf hospital KKB dan unit paliatif hospital selayang yang banyak berkorban menguruskan dan beri tunjuk ajar padanya.
“Terima kasih atas doa semua. Mak self rehab di rumah setelah 18 hari warded. jutaan penghargaan buat seluruh team doktor, nurse dan staf hospital kkb dan unit paliatif hospital selayang yang banyak berkorban menguruskan dan beri tunjuk ajar.”
“Semoga Allah bukakan seluas-luasnya pintu rahmat, rezeki dan kesihatan yang baik buat anda semua. terima kasih juga yang memahami dan memberi ruang privacy buat kami. in shaallah doa yang baik-baik sentiasa buat kalian juga,” ujarnya.
Mingguan Wanita: Alhamdulillah, tahniah buat Azhan Rani menunaikan tanggungjawab sebagai anak, berbakti menjaga ibu yang sakit. Semoga diberi kesembuhan buat ibu tersayang.
Ibu bapa anak kanak-kanak yang tertinggal di dalam kereta semalam dilihat sukar mengawal perasaan dan hanya menangis ketika menunggu jenazah anak di Unit Forensik Hospital Rembau.