Kes kematian akibat menyusu ketika tidur bukan sesuatu yang baru. Hampir setiap tahun, kemalangan disebabkan tersedak susu atau tercekik makanan dilaporkan media yang kebanyakannya berlaku di pusat penjagaan kanak-kanak.
Ini sesuatu yang cukup malang apabila bayi yang baru saja mengenal dunia tidak dapat meneruskan kehidupan dek kelalaian ibu bapa atau penjaganya sendiri. Belum lagi dengan emosi si ibu dan bapa yang tidak dapat menerima hakikat kehilangan anak tersayang disebabkan kecuaian.
Jadi daripada kes tersedak susu yang berlaku, ini antara punca yang menyebabkan bayi tersedak susu…
1. Apabila seorang bayi tertidur semasa sedang menghisap botol susu, susu itu akan terus mengalir membuatkan bayi tersedak dan susu akan terus masuk ke saluran pernafasan dan paru-paru mereka. Injap paru- paru anak yang masih kecil.
2. Tabiat ibu bapa meletakkan bantal atau kain untuk menyokong botol susu dan meninggalkan bayi keseorangan.
3. Kedudukan bayi semasa minum susu yang salah.
Ads
Cara Beri Minum Susu Kepada Bayi Yang Betul
Ketika menyusu tidak kira susu botol atau susu badan, pastikan kedudukan kepala bayi lebih tinggi daripada dada dan perutnya.
Botol susu pula mesti dipegang dalam kedudukan tidak lebih 45 hingga 60 darjah supaya air susu tidak tersekat pada tekak dan menyebabkan bayi lemas.
Pastikan juga lubang puting botol tidak terlalu besar bagi mengelakkan angin masuk ke dalam perut bayi.
Sekiranya menyusu badan, pastikan kawasan puting masuk sepenuhnya ke dalam mulut bayi.
Ads
Elakkan memberi susu dengan meletakkan bayi di atas lantai, sebaiknya pangku bayi seperti mana teknik menyusu badan.
Selepas menyusu, sendawakan bayi untuk mengeluarkan angin dan mengelak bayi muntah ketika tidur.
Rawat anak sendiri jika anak tersedak susu
Jika anak tersedak susu, ibu- ibu semua jangan panik. Tenangkan diri dan boleh cuba perkongsian untuk merawat bayi yang tersedak susu…
Ads
1. Tiarapkan bayi kemudian seperti position di dalam gambar, tepuk belakang badan beberapa kali sehingga susu atau bahan makanan yang menyekat saluran pernafasannya keluar.
2. Sekiranya susu atau ada benda lain di dalam mulut bayi tidak keluar, dalam keadaan duduk menghadap kehadapan tekan bahagian dada dengan menggunakan hujung genggaman tangan secara perlahan.
3. Selain menekan bahagian perut bayi boleh dibaringkan. Kemudian tekan dan picit bahagian dada beberapa kali menggunakan kedua-dua ibu jari sehingga bayi dapat bernafas semula.
Dengan panduan dan cara rawatan ini, moga ianya bermanfaat untuk kita kongsikan bersama dengan orang- orang yang kita sayang terutamanya ibu bapa yang baru. Yang paling penting jangan terleka, badan kena sihat untuk menjaga anak yang masih kecil dan jangan panik jika terjadinya kes anak tersedak susu.
Moga mak ayah mampu mencegah sebelum berlaku perkara yang tidak diingini.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Nampak mudah nak didik anak tetapi kalau salah beri tunjuk ajar kelaut jadinya. Tambah pula kalau anak mula masuk dunia remaja, nak tegur pun ada ‘piawaian’ tertentu dan paling penting mak ayah tak boleh marah-marah.
Nak lagi memahami dalam proses besarkan anak remaja, mak ayah boleh ikut tip ayah ramai anak, saudara Baharuddin Mohamed ini.
Kekadang saya bawa anak remaja saya dalam projek bisnes catering saya terutamanya irfan. Saya tangkap gambar curi dia dengan mama dia,
Irfan suapkan mak dia “mama, dari tadi mama tak makan lagi. meh irfan suapkan, perut kosong nanti sakit perut “. Saya pun jealous, ayah pun nak irfan suapkan …
Selalu saya berbual dengan kekawan tentang #TipAyahRamaiAnak. Banyak masalah ibu bapa sekarang adalah mendidik anak remaja mereka. Salah seorang sahabat saya cakap
“Zaman sekarang ni, mendidik anak adalah satu cabaran yang besar. Janganlah rasa kita ni pandai sangat didik anak. Walaupun kita berjawatan kat pejabat, tak tentu anak sendiri boleh ikut cakap kita ”
Ianya benar.
Dalam mendidik anak ni isteri sayalah yang juara. Dalam banyak perkara saya akan rujuk dengan dia tentang anak-anak.
1. Jadikan anak remaja macam ‘kawan’.
Anak saya sembilan orang. Paling besar 15 tahun. Empat orang anak saya sudah remaja. Formula terbaik untuk didik anak remaja ni adalah jadikan anak-anak ni ‘ kawan ‘ kita. Masuk zaman remaja mereka.
Kalau boleh
– kita kena tahu pasal bola kalau mereka minat bola.
– kena tahu soal remaja dan tranding terkini.
Bukanlah saya maksudkan jadi macam remaja. Hanya ambil tahu dan mampu bercerita dengan mereka. Bila mereka rasa ibu dan ayahnya macam kawan mereka, banyak masalah mereka akan cerita dengan kita.
Itu kelebihan isteri saya, Anak-anaknya jadi macam kawan dengan dia. Saya ni garang sikit, anak-anak takut sikit, Semua masalah anak-anak pasti awin tahu. Anak-anak suka bercerita dengan dia.
Apa bila kita dah tahu masalah mereka, baru kita atasi masalah mereka satu persatu.
Ibu dan ayahlah yang sepatutnya menjadi mentor anak-anak. Kita seharusnya berusaha memenangi hati anak-anak remaja ni. Jangan mereka memilih mentor yang salah.
Belajar melalui tauladan, Saya perhatikan itulah formula yang terbaik buat anak remaja, Buat je perkara yang betul, cerita perkara yang betul pada anak-anak ni.
Sebagai bapa kekadang memang ada emosi sikit. Malas nak ikutkan karenah anak ni. Tetapi saya perhatikan itu kelebihan banyak ibu yang berjaya termasuk isteri saya. Kekadang saya kurang sabar dengan anak-anak kalau buat salah.
Tetapi isteri saya selalunya akan menasihatkan saya supaya bersabar. Dalam banyak perkara, end-result yang akan mendatang perkara yang baik. Itu kekuatan seoarang wanita.
Anak remaja bukan lagi anak kecil. Jangan tengking dan marah mereka lebih lagi depan adik-adik mereka. Selalunya kalau anak-anak saya, isteri saya akan slow talk sesorang dengan mereka. Lebih lagi anak perempuan.
Kita bukan sahaja perlu faham pasangan kita tetapi kena faham body language anak anak-anak kita. contohnya, kalau balik sekolah je muka masam, hempas pintu kereta, tutup pintu bilik dengan kuat, marah adik-adik. Itu semua mungkin signal yang boleh kita tahu ada yang tak kena masa kat sekolah.
Saya hanya sekadar berkongsi. kami pun bukan ibu bapa yang TERBAIK dan masih banyak belajar dari orang lain juga. maafkan kami.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Terkesan sungguh membaca secebis perkongsian yang dikongsikan Lutfi Lokman ini. Beliau merupakan ayah kepada 5 orang anak yang dahulunya terlalu sibuk mengejar kerjaya, sangat kurang masanya dengan anak-anak untuk melihat perkembangan dan proses pembesaran mereka.Segalanya urusan anak-anak diserahkan kepada isteri, sehinggalah sampai satu peringkat, dia menerima berita yang berjaya mengubah dirinya. Rentetan kisah tersebut, membuatkan dia muhasabah diri, menyesal dan menangis di atas kesilapannya yang terlalu fokus pada kerjaya.
ADA APA DENGAN ANAK?
Petang tadi ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, isteri saya bertanya, “Saya lihat awak sekarang banyak habiskan masa dengan anak-anak. Tak pemarah seperti dahulu. Anak nakal pun, awak peluk anak. Cakap elok-elok. Kenapa ya?”
Saya ketawa. Saya tidak menjawab kerana jawapan itu terlalu panjang untuk diceritakan.Perjalanan dari Port Dickson menuju ke Kuala Lumpur agak tenang. Kecuali ketika tiba di Bangi, ada sedikit kesesakan. Biasalah, Bangi kan bandaraya. Mesti perlu sibuk. Kami menghabiskan masa di Port Dickson untuk melihat pantai. Maklumlah, orang Terengganu ni memang suka pantai dan laut. Maka, tempat terdekat boleh kami berkunjung ialah Port Dickson. Nak pergi Pantai Dalam macam tak berapa kena.
….
Setiap hari, anak-anak dan saya akan bertemu pada waktu mereka telah hampir lena. Atau ketika solat subuh berjemaah. Itu sahaja. Waktu solat subuh, nak berbual apa sangat? solat pun sebelah mata terpejam. Selain itu, mereka akan keluar awal untuk ke sekolah dan kami jarang bertemu waktu matahari masih ada. Saya pulang lambat dari pejabat hampir setiap hari. Anak pula sudah tidur awal.
Pada hari minggu, saya berniaga ke pasar dan pulang ketika senja. Hanya ada waktu malam. Itu pun penat dan keletihan telah menguasai diri. Silap berbual, kena marah. Apalah sangat yang boleh didapati oleh si kecil ini semua.
Segala-galanya berubah apabila saya mendapat berita tentang anak sahabat saya Ustaz Nazri Mansor disahkan menerima Brain Tumor. Baca Disini:
Siapa sangka. Anak yang sihat, yang cergas, yang ceria tiba-tiba terlantar di hospital dan sudah tidak seriang dahulu.Saya sangat terkejut dan bersimpati. Namun, saya bersyukur kerana Tuhan menghadirkan Syamil untuk kita semua sedar tentang sesuatu.Tentang kasih seorang ayah terhadap anak-anak. Tentang nilai seorang anak buat ibubapa.
Berita ini benar-benar memukul jiwa seorang ayah. Saya memandang kesemua wajah anak saya yang dahagakan kasih sayang seorang ayah namun mereka hanya mampu menerimanya sebentar sahaja. Kadangkala apa yang diterima hanyalah kemarahan dan pukulan kecil kerana kenakalan mereka.
Ramai yang menasihati saya agar jangan terlalu mengejar kerjaya. Jangan terlalu meletakkan kerjaya sebagai priority utama. Ini juga nasihat emak kepada saya. Saya tidak hiraukan. Bagi saya, saya perlu fokus pada bina syarikat dan kerjaya. Anak-anak nombor empat dan lima.
“Mak tengok Pi ni stress sangat fikir pasal kerja. Hutang. Nak cari duit. Lihat sama anak dan isteri. Itu semua aset kita. Aset berharga dunia dan akhirat. Jika Pi tak lihat itu semua aset, Pi lihat itu semua amanah Allah beri. Untuk didik dan pelihara dengan baik. Jangan sampai waktu, anak dah besar dan sudah keras kepala. Kita terlepas semua moment mereka waktu kecil. Waktu masih lembut. Waktu masih boleh terima kata. Menyesal tak sudah nanti,” amanat emak diberikan kepada saya pada suatu hari yang baik ketika kami di Terengganu.
Emak menyuarakan kebimbangan apabila melihat saya hanya menumpukan pada kerja sehingga tidur pun bermimpi kerja. Berbual pun berkisar pada kerja. Namun, tiada apa yang berubah dalam hidup dan kerjaya. Malahan, semakin penat kerana mengejar sesuatu yang tidak pasti. Pasti ada sesuatu yang tidak kena. Ujar emak.
Sesungguhnya, saya pernah murung dan berubah tingkah laku kepada seorang yang pemarah ketika dilanda masalah pekerjaan tempohari. Saya tidak dapat berfikir dengan baik. Kesabaran saya sangat tipis. Dengan anak-anak lagilah teruk. Mereka langsung tidak berani bersuara dengan saya. Akibat yang diterima sangat sakit.
Saya pernah jatuh terduduk. Keluarga pun sudah berhempas-pulas memberikan bantuan sehingga tiada apa yang dapat diberi kecuali kata semangat dan jangan putus asa. Saya pernah merayu di FB untuk bantuan daripada para sahabat. Boleh baca di sini:
Alhamdulillah. Hasil bantuan semua, kata-kata semangat dan sokongan, saya bangkit kembali. Saya cuba bangun.Melihat kepada anak-anak. Saya lihat sinar dalam mata mereka. Benar. Perkara yang lepas jangan dikenang.
Saya sudah terlepas beberapa saat indah bersama mereka. Saya jarang luangkan masa untuk mendengar cerita dan permainan yang telah mereka ciptakan. Saya tidak mengenali rakan-rakan sekolah mereka. Saya tidak tahu cerita kejayaan peperiksaan mereka. Tahukah anda, Basmah mendapat 100% dalam ujian Pendidikan Islam? Naseem mendapat 96% dalam beberapa mata pelajaran. Saya tidak tahu sehingga pada suatu hari perlahan-lahan mereka bawa kertas ujian dan maklumkan pada saya ada benda nak cerita dengan Baba.
“Apa dia?” soal saya keras. Tangan masih memegang dokumen dan kertas kerja.
Lalu si comel ini menunjukkan kertas ujian masing-masing. Kecuali Waseem. Saya menangis kerana saya tidak pernah mengajar mereka untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Segalanya saya serahkan kepada isteri bagi menguruskan anak-anak. Saya langsung tidak mempunyai masa dan tidak tahu waktu bila anak saya ada ujian sekolah.
Teruk betul diri ini.
Malam tadi pula, saya melihat Hanaan dan Haneen (kembar) bermain bersama mereka. Bermain mangkuk dan gelas yang dibelikan oleh nenek mereka. Sungguh comel dan tanpa saya sedari, mereka telah boleh berbual sesama sendiri dalam bahasa yang saya fahami.
Ya Allah. Apa jadi pada aku ni?
Anak membesar pun saya tidak peduli. Anak boleh bercakap pun saya tidak sedar. Saya tidak tahu! Tahukah anda, saya kadang-kadang confuse dengan si kembar ini. Tidak tahu mana satu Hanaan dan Haneen. Asyik bertukar ketika panggil. Walhal umur mereka sudah hampir 3 tahun!
Perkara-perkara ini membuatkan saya menangis. Menangis dan menangis. Menyesal di atas kesilapan saya yang terlalu fokus pada kerjaya. Padahal, rezeki itu bukan terletak pada usaha kita. Ia adalah kurniaan Tuhan pada hambaNya siapa sahaja yang Dia ingin berikan. Untuk itu, saya sudah berjanji akan menumpukan perhatian pada anak-anak yang merupakan amanah daripada Tuhan kepada hambaNya. Bila-bila masa sahaja, amanah ini boleh direntap dan diambil.Ada orang menginginkan anak walau seorang. Yang kita ni, Tuhan kurniakan sampai 5 orang anak boleh pula sia-siakan.
Sedangkan ketika berumur lima dan enam tahun pun saya masih lagi teringat dengan jelas memori indah ayah dan emak sama-sama membuatkan kapal terbang polisterin kepada saya lalu kami bermain di taman. Inikan pula anak-anak yang sudah mencecah 11 tahun.
Ya Allah. Ampunkan dosa kami, ibubapa yang kadang-kadang terlupa tentang tanggungjawab dan amanah ini. Pelihara lah anak-anak kami ini. Masukkan iman dan taqwa dalam diri mereka. Penuhi lah diri kami dan keluarga dengan kasih sayang dan harmoni. Wujudkan lah ikatan mesra antara kami satu sama lain. Pandu lah kami ke arah keluarga yang diredhai oleh Mu Ya Allah. Jadikan lah kami serta anak-anak ini pembela agama Mu Ya Allah.
Kurniakanlah rezeki memiliki anak kepada sahabat-sahabat kami yang ingin menimang cahaya mata. Agar mereka juga dapat merasai kebaikan daripada zuriat mereka sendiri.
Terimalah doa kami ini Ya Allah. Ya Razzaq.
Amin.
Itulah jawapan saya kepada isteri. Panjang kan? Nanti dia ingat saya berleter pada dia pula. Maka saya memilih untuk menjawab di sini sahaja.
Share sahaja jika mahu.
Ikhlas,
Lutfi Lokman
EPL TRAVEL AND TOURS.
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Sebenarnya ia juga satu peringatan buat kita. Ramai mak ayah yang terlalu sibuk bekerja dan tanpa sedar terlepas momen penting, pembesaran anak-anak sewaktu mereka kecil. Semoga ia dapat ‘menjentik’ hati kita, agar jangan alpa dan terlalu fokus dalam mengejar kerjaya. Nikmatilah saat anak-anak membesar, hargailah setiap masa bersama mereka.
Ibu ini, Noor Fadhila Bakribukan ambil masa beberapa lama untuk survey vaksin Pneumococcal anaknya. Sebab harga vaksin jenis ini bukan murah, cecah ratusan ringgit untuk sekali suntikan. Demi memberi imunisasi dan cegah jangkitan kuman di paru-paru anak, ibu ini sanggup menolak dari memberi barang keperluan dirinya.
“Alhamdulillah. Selesai 1 dos vaksin Pneumococcal untuk Iman Zahrawi. Lama jugalah Dila survey harga vaksin ni dan yang paling murah Dila jumpa dekat Poliklinik UKM Kesihatan Bandar Baru Bangi. Untuk umur Iman, hanya 2 dos diperlukan.”
“Dila pilih vaksin Pneumococcal untuk perbelanjaan bulan ini daripada membeli beg, baju, kasut, restoran hipster yang memahal tu. Keperluan kesihatan anak kami sentiasa di barisan pertama. Tapi kalau pendapatan awak melambak boleh la beli semuanya. Dila pilih ‘ukur baju di badan sendiri’.”
Menurut ibu ini, Vaksin Pneumococcal ni ada dua jenis:
Pertama : Synflorix (melindungi anak daripada 10 jenis bakteria)
Kedua : Prevenar (melindungi anak daripada 13 jenis bakteria).
“Sila dapatkan nasihat daripada doktor untuk pilihan jenis vaksin. Untuk anak saya, kami suami isteri sudah mendapatkan nasihat daripada doktor dan ikut keadaan anak saya, jenis Synflorix sudah pun memadai.”
“Namun, kalau puan/tuan ada bajet lebih atau anak puan dinasihatkan untuk ambil vaksin jenis Prevenar, baiklah ikut nasihat doktor. By the way, harga Synflorix adalah lebih murah berbanding Prevenar.”
Tambahnya apa yang dikongsikan itu bukahlah review berbayar. Sebaliknya sekadar berkongsi manfaat vaksin ini dan di mana nak dapatkan vaksin ni pada harga yang berpatutan.
Ini sedikit indo berkenaan vaksin Penumococcal yang saya baca dan kongsikan di sini dari website Momma.
Suntikan Vaksin Pneumococcal merupakan sejenis imunisasi yang boleh diberikan kepada kanak-kanak sebagai langkah awal untuk mencegah daripada jangkitan kuman di paru-paru yang dikenali sebagai penyakit Pneumonia.
Penyakit Pneumonia ini kerap di alami oleh kanak-kanak di bawah umur 5 tahun. Ianya terjadi akibat bakteria, virus, fungus dan parasit yang menyebabkan jangkitan pada hidung dan berterusan hingga ke paru-paru.
Penyakit pneumonia boleh membuatkan seseorang yang dijangkiti sukar untuk bernafas. Ini berlaku kerana nanah dan lendir memenuhi saluran udara pada paru-paru yang akan menggangu sistem pernafasan .
Jika ianya dibiarkan berterusan, oksigen mungkin tidak dapat sampai ke dalam darah dan sel tubuh yang seterusnya membahayakan nyawa anak anda.
Sekiranya anak anda mengalami simptom awal jangkitan pada paru-paru seperti demam panas, batuk dengan atau tanpa kahak, sakit dada, tiada selera makan, rasa tidak sihat dan sering merengek, pernafasan laju atau susah bernafas, muntah atau cirit-birit, segeralah bawa anak anda berjumpa dengan doktor.
Jika jangkitan kuman pada paru-paru ini disebabkan oleh bakteria, kebiasaannya doktor akan memberikan antibiotik kepada anak anda. Tetapi, jika jangkitan kuman di paru-paru ini berlarutan dan teruk, anak anda akan dimasukkan ke hospital untuk diberikan oksigen, antibiotik dan sokongan perubatan yang lain bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius dan membahayakan nyawa anak anda.
Sekiranya mendapati anak anda juga mengalami batuk yang berpanjangan selama tiga hari, keadaan badan yang lesu, mengalami muntah, nafas berbunyi dan dehidrasi, bawalah segera anak anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Untuk membezakan batuk biasa dan batuk Pneumonia, bunyi batuk biasa ‘tidak dalam’ berbanding batuk akibat Pneumonia yang bunyinya agak ‘dalam’ dan ianya kerap terjadi pada waktu malam sehingga ke pagi.
Dan sebaiknya, ibu bapa perlu mempertimbangkan pengambilan suntikan vaksin Pneumococcal di hospital atau klinik swasta bagi meningkatkan lagi imunisasi anak anda. Semoga dengan suntikan imunisasi vaksin Pneumococcal ini anak anda dapat dihindari penyakit Pneumonia dan menjalani aktiviti harian dengan ceria!
Avatar The Last Airbender jadi perhatian selepas klip filem baharu bocor di media sosial. Seorang lelaki ditahan kerana didakwa akses server secara haram.