
Anak Amyza Aznan berkongsi situasi terkini kesihatan bapa, “ayah masih kritikal tapi stabil…
Suami kepada pelakon Amyza Aznan, Khairil Izhar Mohd Nazir, 51, dilaporkan masih dalam keadaan kritikal namun stabil dan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Perkembangan terkini mengenai keadaan Khairil Izhar dikongsikan anak kedua pasangan itu, Adrian Adam, 18, menerusi Instagram Story (IGs) pagi ini. Menurut Adrian, mereka sekeluarga masih menunggu keputusan daripada doktor mengenai tahap kesihatan bapanya.
“Update: buat masa sekarang keadaan ayah saya masih lagi kritikal tapi stabil, kita sedang menunggu keputusan daripada doktor, 24 August 2026 9:21,” tulisnya ringkas.

Kemas kini tersebut turut dikongsikan semula oleh Amyza, 50, menerusi IGs miliknya. Sejak berita mengenai keadaan Khairil Izhar diketahui umum, ramai menitipkan doa agar urusan rawatannya dipermudahkan dan kesihatannya kembali pulih.
Ditidurkan Selepas Alami Sesak Nafas
Terdahulu, Amyza memaklumkan suaminya berada dalam keadaan kritikal dan terpaksa ditidurkan di HKL selepas mengalami masalah paru-paru berair serta tekanan darah tinggi.
Menurut Amyza, keadaan kesihatan suaminya mula tidak menentu sejak lima hingga enam hari lalu apabila sering mengalami sesak nafas. Malah, masalah tersebut tetap berlaku biarpun Khairil Izhar menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

Keadaan kurang sihat itu sebenarnya sudah berlarutan lebih dua minggu apabila Khairil Izhar sukar tidur seperti biasa kerana mengalami kesukaran bernafas. Ada ketikanya dia terpaksa berdiri atau duduk sepanjang malam kerana posisi berbaring membuatkannya tidak selesa.
Selepas cuba bertahan, Khairil Izhar akhirnya meminta untuk dibawa ke hospital sebelum Amyza mengambil keputusan menghubungi ambulans bagi mendapatkan bantuan.
Pernah Diserang Jantung, Jalani Dialisis Tiga Kali Seminggu
Ini bukan kali pertama Khairil Izhar berdepan masalah kesihatan serius.
Pada Disember 2017, dia pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan swasta selepas mengalami serangan jantung.
Enam tahun kemudian, pada Disember 2023, Amyza sekali lagi melalui detik mencemaskan apabila suaminya ditidurkan akibat masalah sesak nafas. Selepas dua hari ditidurkan, Khairil Izhar kembali sedar namun kemudiannya didapati dijangkiti COVID-19 dan perlu meneruskan rawatan rapi.
Pada Mac 2024, Khairil Izhar turut dilaporkan mengalami masalah buah pinggang kronik tahap lima sehingga memerlukan rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu.

Adrian Turut Diuji Dengan Kanser
Di sebalik perkongsian Adrian mengenai keadaan bapanya, anak muda berusia 18 tahun itu sendiri sebenarnya sedang melalui ujian kesihatan yang besar.
Pada Februari lalu, Amyza mendedahkan Adrian telah disahkan menghidap kanser. Ketika pengumuman awal dibuat, penyakit itu dikenal pasti sebagai kanser tulang.
Bagaimanapun, perkembangan ujian kesihatan Adrian selepas itu menunjukkan kanser berkenaan bukan berasal daripada tulang sekali gus menyebabkan keluarga masih menantikan kepastian mengenai jenis kanser yang sebenarnya dihidapi.

Ujian tersebut hadir ketika keluarga Amyza sedang melalui satu lagi episod paling berat dalam kehidupan mereka.
Hanya beberapa hari selepas berita mengenai penyakit Adrian dikongsikan, anak sulung Amyza dan Khairil Izhar, Andre Mikhail, 20, meninggal dunia pada 23 Februari 2026 selepas kira-kira setahun berjuang melawan kanser paru-paru tahap tiga.
Andre sebelum itu dilaporkan berada dalam keadaan semakin lemah apabila paru-paru kanannya tidak lagi berfungsi berikutan ketumbuhan yang semakin membesar. Pembedahan juga tidak dapat dilakukan kerana saiz ketumbuhan tersebut.
Kehilangan Andre tentunya meninggalkan kesan besar buat seluruh keluarga. Dalam masa yang sama, mereka perlu memberikan kekuatan kepada Adrian yang turut berjuang dengan penyakitnya sendiri.
Anda mungkin berminat dengan

Ujian Bertimpa Buat Keluarga Amyza
Kini, belum pun setahun kehilangan anak sulung, keluarga ini sekali lagi diuji apabila Khairil Izhar berada dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di hospital.
Amyza dan Khairil Izhar mendirikan rumah tangga pada 2003 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Allahyarham Andre Mikhail, Adrian Adam dan Ayden Andika.
Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, keluarga berkenaan berdepan satu demi satu ujian kesihatan. Daripada masalah jantung dan buah pinggang yang dialami Khairil Izhar, perjuangan Allahyarham Andre melawan kanser paru-paru sehinggalah Adrian yang kini turut menjalani perjuangannya sendiri melawan kanser.

Di sebalik segala ujian itu, perkembangan terbaharu bahawa Khairil Izhar kini berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil sedikit sebanyak memberikan harapan buat keluarga yang masih menantikan keputusan lanjut daripada doktor.
Semoga segala urusan rawatan Khairil Izhar dipermudahkan dan diberikan kesembuhan, manakala Amyza serta anak terus diberikan kekuatan menghadapi ujian yang datang silih berganti.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

