adab berhari raya

Macam mana sibuk pun membuat persiapan raya, jangan sampai terlupa nak hadam adab berhari raya ketika syawal nanti, terutama bab menziarahi rumah orang.

Nah, sebelum sibuk sambung membuat persiapan raya yang lain, jemput baca ya.

Adab Berhari Raya

Antara adab-adab pada hari raya ialah:

1. Mandi, memakai bau-bauan dan memakai pakaian yang baru. Sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabatnya iaitu Ibn Umar dan Ali bin Abi Thalib dan lain-lain. Said bin al-Musayyib berkata: “Sunat-sunat hari raya ada tiga: “Berjalan ke tempat solat, makan sebelum keluar dan mandi.”

2. Sunat bersegera ke masjid pada pagi hari raya. Bagi imam solat hari raya, sunat datang akhir iaitu ketika hendak memulakan solat hari raya sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

3. Sunat makan sedikit makanan sebelum pergi bersolat Aidilfitri, manakala Aidiladha pula tidak disunatkan makan dan minum sehingga selesai solat.

4. Sunat pergi ke masjid dengan berjalan kaki dan balik semula melalui jalan yang lain. Hal ini berdasarkan hadis, daripada jabir R.A, katanya:

Maksudnya: “Nabi SAW melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan balik pada hari raya.” Riwayat al-Bukhari (943)

5. Sunat saling mengucapkan tahniah dan doa antara satu sama lain. Ini berdasarkan hadis Wasilah yang diriwayatkan oleh al-Bukhari. Aku bertemu Rasulullah SAW pada pagi hari raya, seraya mengucapkan kepada Baginda:

Semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu, lalu Baginda menjawab: Ya, semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu.

6. Selepas matahari terbit, makruh bagi imam bersolat sunat sebelum solat hari raya, manakala tidak makruh bagi orang lain melakukannya. Ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Abbas R.Anhuma:

Maksudnya: “Nabi SAW keluar pada hari Aidilfitri, lalu Baginda bersolat hari raya sebanyak dua rakaat dan tidak melakukan solat yang lain sama ada sebelum atau selepasnya.” Riwayat al-Bukhari (945)

Kesilapan Adab Pada Hari Raya

Namun ada juga beberapa kesilapan adab yang menyalahi sunnah Rasulullah SAW ketika kita rancak menyambut hari raya. Antara adab tersebut ialah:

1. Tidak melakukan solat hari raya dan tidak pergi ke tempat solat, sebaliknya hanya berada di rumah.

2. Banyak menonton rancangan televisyen sehingga tiada dalam kamusnya untuk menziarahi sanak saudara. Hal ini semakin membarah kerana tarikan rancangan yang begitu menarik lagi melalaikan.

3. Tidak menutup aurat atau berpakaian yang menjolok mata tanpa mengikut syariat Islam.

4. Memasang lagu-lagu dan nyanyian hari raya yang kurang sopan dan berlebih-lebihan dalam berhibur atas nama hari raya. Alangkah baiknya jika digantikan dengan alunan zikir, nasyid dan nyanyian sopan yang tidak keterlaluan.

5. Pergi beraya di rumah rakan-rakan dalam tempoh masa yang amat panjang sehingga mengganggu tuan rumah.

6. Mengkritik makanan yang dihidangkan atau membandingkan kelazatan makanan antara satu rumah dengan rumah yang lain.

7. Meminta duit secara berlebih-lebihan sehingga perasaan tuan rumah tertekan dan tidak selesa.

8. Bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram atau berkumpul setempat sehingga timbul perasaan kurang selesa pada golongan yang beragama.

9. Pergi beraya di rumah seseorang sehingga lupa untuk menunaikan solat fardu dan melambatkan solat pada waktunya.

10. Lupa menziarahi golongan fakir miskin dan anak yatim, tetapi matlamatnya lebih kepada rumah bangsawan dan hartawan.

11. Merayakan hari raya sehingga sebulan dan tidak lagi mampu untuk menunaikan puasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal.

12. Kurang bersedekah dan memberi bantuan kepada fakir miskin, anak yatim serta mereka yang berada dalam kedaifan.

13. Berlebih-lebihan dalam berpakaian sehingga menampakkan kemewahan yang melampau hingga membawa perasaan takbur, riak dan sombong.

14. Berkumpul secara beramai-ramai tanpa faedah dan tidak menghiraukan orang lain.

15. Terlupa untuk menziarahi pesakit di hospital atau mereka yang mengharapkan bantuan sebaliknya kita menyibukkan diri dengan kegembiraan yang melampau bersama rakan taulan yang sihat.

Kenyataan Mufti Wilayah

Ini sebagai pelengkap pada adab-adab berhari raya. Antaranya:

1. Tunaikanlah zakat fitrah dan pastikannya dilakukan pada malam hari raya ataupun pagi hari raya sebelum solat raya. Inilah sunnah yang diajar oleh Rasulullah SAW. Zakat fitrah hukumnya adalah wajib.

2. Bersihkan hati kita dahulu dari sebarang akhlak dan sifat mazmumah seperti dendam kesumat, hasad dengki dan lain-lain.

3. Hiasilah dengan akhlak mahmudah seperti ikhlas, jujur, warak, amanah, rendah diri dan sentiasa berharap kepada-Nya.

4. Dengan terbenamnya matahari dan masuknya satu (1) Syawal, maka mulalah dengan doa, munajat kepada-Nya.

5. Begitu juga hiasilah pada malam tersebut dengan gemaan takbir kerana patuh kepada perintah Ilahi.

6. Zahirkan rasa syukur atas pelbagai nikmat kurniaan Ilahi sehingga mukhayyam tarbawi yang kita lalui dapat dilaksanakan dengan jayanya.

7. Sebelum meminta maaf, maafkanlah semua orang agar kemaafan yang kita pinta dari hati yang benar-benar bersih.

8. Hidupkanlah malam hari raya dan paginya dengan zikrullah dan juga acara ibadat untuk menambahkan lagi pahala kita.

9. Gunakanlah kesempatan yang ada semasa di kampung atau desa untuk mengeratkan lagi tali silaturrahim dan hubungan ukhuwwah sesama keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai.

Apa pun, semoga amalan yang kita lakukan diterima Allah.