Mak ayah cukup lemah bila anak menangis. Nak-nak kalau ke pasar raya dan merengek-rengek nak mainan. Tak beli, habis satu ‘shopping mall’ dengr jeritan dia.
Begitulah, mesti mak ayah akan turuti dan cepat-cepat pujuk bila anak menangis. Sedangkan cara yang kita buat ini adalah salah. Seakan-akan kita akan layan apa kemahuannya. Nanti boleh naik lemak.
Siapa yang tak sayang anak. Tapi kalau asyik layan kemahuannya setiap kali anak menangis, ini dah salah cara mak ayah nak mengajar anak disiplin dan adab.
Biarlah anak menangis, nanti lama-lama dia akan tahu, tak semua kemahuannya dituruti. Bukan tak boleh tapi ada masanya. Inilah yang diajarkan oleh Mohd Fhais Salim dalam perkongsiannya.
Pada mulanya bayi menangis sebab itu cara dia komunikasi dengan kita. Dia nangis sebab nak bagitahu kita dia lapar, haus, sakit, ngantuk dan nak dukung. Itu normal.
Malah, ini juga satu benchmark yang kemahiran bercakap seawal usia 2 tahun tu penting.Supaya dia boleh berkomunikasi dengan cara yang lebih sihat selain menangis.
IKLAN
Semakin dia membesar, menangis bukan lagi cara untuk komunikasi sebaliknya dia dah jadikan menangis sebagai teknik manipulasi.
Selalunya nak mainan, gajet, ais krim dan apa sahaja yang dia berkenan, dia akan guna teknik manipulasi ni.
Ini bahaya! Sekali kita turutkan memberi apa anak nak “selepas” dia menangis berkali kali anak akan ingat paten kelemahan kita.
Hah, sedialah anak akan buat paten yang sama berulang ulang kali sampai kita naik jelak.
Sebab tu la kalau anak cuba buat teknik manipulasi dengan menangis, biarkan je dia menangis!
Mak Ayah Kena Tegas
Serius! Biar dia menangis.
IKLAN
Asalkan tak ada mudarat, bebas dari bahaya, walau mata sembab sekalipun biarkan. Sembab senang hilang tapi sikap besar kepala susah giler nak hilangkan, huh!
Kena tegas sikit, kalau dah kata No mean No. Jangan bolak balik dalam mengajar tentang displin & adab pada anak anak ye.
Lagipun itu sahaja cara untuk ajar anak tentang “Frustration Tolerance”, lama kelamaan nanti anak faham bahawa menangis bukan cara untuk mendapatkan apa yang dia mahu.
Frustration tolerance ini la yang banyak beri manfaat pada kemahiran kemahiran lain seperti :
self control urus diri berunding tolak ansur displin minta izin, tolong hormat orang
IKLAN
Dan banyak lagi kemahiran penting penting.
Jadi ibu ayah semua, jangan cepat kecut perut bila nampak anak menangis ya. Cool, anak sedang test kita ni tegas atau lemah. Tu je!
Mingguan Wanita : Sekali sekala boleh sebagai ganjaran. Tapi kalau dah bagi umpan dengan menangis, tak boleh dilayan sangat. Nanti, esok-esok mak ayah juga yang susah.
Isu doula hangat diperkatakan kebelakangan ini. Terbaru, melibatkan kes kematian bayi yang dilahirkan dirumah disebabkan komplikasi.Perkara ini, mendapat perhatian meluas di media sosial termasuklah Mufti Wilayah Persekutuan sendiri. Mohon para mak-mak yang pernah berhasrat untuk mendapatkan khidmat doula dan bersalin ikut ‘pandai’ sendiri dirumah fikirlah sedalam-dalamnya. Proses bersalin bukan perkara main-main, ia melibatkan dua nyawa ibu dan anak.
Berikut merupakan ulasan dan pandangan oleh Mufti Wilayah Persekutan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkaitan isu ini.
Isu doula mula timbul beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi semakin hangat apabila dikejutkan dengan kematian seorang bayi yang dilahirkan di rumah, tanpa kehadiran bidan atau pakar perubatan bertauliah. Bayi berkenaan dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi kerana bayi dan ibunya hanya berada di bawah pengawasan doula.
Walaupun kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, kami merasa terpanggil untuk mengulas isu ini secara menyeluruh berdasarkan laporan-laporan yang diperoleh daripada sumber-sumber kedua-dua belah pihak. Kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Hukum Menggunakan Khidmat Doula.
BAYAN LINNAS SIRI KE- 125: HUKUM MENGGUNAKAN KHIDMAT DOULA
Definisi
Sebelum kami memberi jawapan dengan lebih terperinci, kami mulakan dahulu dengan definisi khidmat doula. Perkataan ‘doula’ itu sendiri berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”.
Kamus English Oxford menghuraikan doula sebagai “woman, typically without formal obstetric training, who is employed to provide guidance and support to a pregnant woman during labour.” (wanita, tipikalnya tanpa latihan perbidanan yang formal, yang mana diambil bekerja untuk menyediakan panduan dan sokongan kepada wanita mengandung semasa proses kelahiran)
Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan)[1].
Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin. Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.
Jenis Doula
Menurut WebMD, secara asasnya, terdapat 3 jenis doula:
Doula Antepartum membantu memberi ilmu kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung.
Doula Labor pula berada di sisi ibu ketika bersalin.
Manakala, Doula Postpartum akan berada di sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan termasuk penjagaan ibu dan pengurusan kerja rumah.[2]
Hukum Menggunakan Khidmat Doula
Kes kematian bayi yang melibatkan doula baru-baru ini di Malaysia membuka mata banyak pihak akan betapa seriusnya isu ini dalam kalangan masyarakat kita. Begitu juga ada kes kematian wanita yang bersalin akibat daripada khidmat doula yang tidak profesional.
Doula sebagaimana pengamalan di luar negara, menggalakkan kelahiran bayi di hospital dengan dibantu oleh doktor. Mereka tidak berperanan mengambil alih tugas bidan dan doktor terlatih.
Ini kerana, sekiranya berlaku apa-apa komplikasi seperti pendarahan selepas kelahiran, proses kelahiran yang memerlukan caesarean, janin stres di dalam kandungan, tersangkut dan bayi songsang, ia memerlukan kemahiran yang tinggi oleh pakar. Jika tidak, ia mungkin boleh membawa kepada kematian ibu atau bayi atau kedua-duanya.
Setelah meneliti dan menekuni isu ini, disamping mendapatkan maklumat dari pakar perubatan[3], kami berpandangan penggunaan khidmat doula adalah TIDAK BOLEH dilakukan TANPA pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih.
Nyawa Lebih Penting
Alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat tidak timbul kini dengan adanya seluar bersalin mesra aurat, hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat, disamping perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut.
Selain itu, meyakini bahawa melahirkan anak di rumah adalah mencontohi Maryam alahissalam adalah tidak benar kerana kejadian yang berlaku di zaman tersebut adalah kehendak Allah SWT untuk membuktikan kekuasaan-Nya. Adapun bagi manusia selainnya, tidak terlepas daripada aspek sabab-musabab-musabbib al-asbab (causality).
Apa yang diusahakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia jelas menunjukkan kejayaan dalam pengurangan kadar kematian ibu bersalin dari tahun demi tahun, begitu juga kadar kematian bayi.
Bagi tahun 2017, 12.5 kematian bayi dalam setiap 1,000 kelahiran berbanding 12.9 pada tahun 2016 dan 13.69 pada tahun 2014. Dalam masa yang sama, amat penting supaya penjagaan sejak mengandung dilakukan di tempat-tempat yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bukannya hanya melalui konsultasi doula semata-mata.
Rujukan Hadis
Suka untuk kami ingatkan kepada pengamal perubatan dan juga doula, sebuah hadis daripada Amru’ bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).”(Riwayat Abu Daud, no. 2633)
Maksudnya: “(Dia tidak mengetahui) Rawatan yang sahih, yang kebiasaannya boleh membawa kepada kesalahan. Maka dia tersilap dalam rawatannya dan menyebabkan terjadi sesuatu yang buruk (atau kecacatan/kematian) pada pesakit. (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 6/2293)
Al-Muzhiri menjelaskan,
مَنْ شرع في علم الطب ولا يكون مشهورًا فيه، فإذا عالج مريضًا فهو ضامن
Maksudnya: Barangsiapa yang memasuki ilmu perubatan dan dia tidak menjadi masyhur dalamnya (tidak menguasainya), jika dia mengubat pesakit, dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).” (Lihat al-Mafatih Syarh al-Masabih, 4/217)
Ini juga satu bentuk peringatan daripada Rasulullah SAW untuk tidak bermudah-mudahan dalam ilmu perubatan sekiranya tidak ada pengetahuan yang cukup mendalam tentangnya kerana ia akan membawa risiko kepada pesakit sendiri.
Sebuah hadis Nabi SAW yang menjadi Kaedah iqh menyebut:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”
Riwayat Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) serta selainnya dengan sanad yang bersambung, juga diriwayatkan oleh Imam Malik (2/746) dalam Muwattho’ secara mursal dari Amr bin Yahya dari bapanya dari Rasulullah SAW, beliau tidak menyebutkan Abu Sa’id. Namun ia memiliki jalan-jalan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.) Hadis hasan.
Perkataan dharar (ضرر) dan dhirar (ضرار) sebahagian ulama berpendapat kedua lafaz ini dengan satu makna dan disebut dengan kedua-duanya sebagai ta’kid (penguat).
Ibn Habib berpendapat dharar (ضرر) di sisi ahli bahasa arab adalah isim (kata nama). Sebaliknya dhirar (ضرار) pula memberi maksud fi’il (kata kerja)
Al-Khusyani berpendapat: “Dharar (ضرر) ialah yang mendapat manfaat bagi kamu sedangkan jiran kamu pula mendapat mudarat. Sebaliknya perkataan dhirar (ضرار) di mana ia tidak memberi sebarang manfaat dan ke atas jiran kamu sedangkan kamu mendapat mudarat. Inilah wajah yang baik dari sudut maknanya.”
Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa al-Mahasini berkata: “Bahawa yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudharat”.
Ini adalah pendapat yang benar. Sebahagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan ‘kamu membahayakan’ iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu. Sedangkan yang dimaksudkan “saling merugikan” iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan bukan untuk membela kebenaran.”
Menyelamatkan Dari Mudharat WAJIB
Berdasarkan hadis di atas, menyelamatkan nyawa dari sebarang mudharat dan yang membawa kepada mudharat adalah wajib. Ini bertepatan dengan prinsip penjagaan nyawa (hifz al-nafs) dalam maqasid syari’ah yang diletakkan oleh Imam al-Ghazali dalam bahagian dharuriyyat. Kita amat berharap agar setiap nyawa dapat diselamatkan dari tindakan yang boleh membawa kepada kematian disebabkan oleh doula yang tidak bertanggungjawab.
Dalam banyak hadis, Rasulullah SAW melarang segala perlakuan yang boleh membahayakan sesama Muslim. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Sesungguhnya darah kalian dan harta kalian haram atas kalian
(Riwayat Muslim, no. 1218)
Melakukan sesuatu yang membahayakan atau mencalarkan kehormatan dan juga melibatkan harta atau jiwa umat Islam adalah tindakan kezaliman yang diharamkan oleh Allah SWT.
Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi seperti dalam isu ini dengan merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia agar sebarang tindakan rawatan kesihatan sentiasa dalam keadaan yang selamat.
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan 11 Februari 2018
Melihat anak asyik menggaru-garu kepala sebaik pulang dari rumah pengasuh, taska atau sekolah, masalah kutu pasti terlintas di fikiran. Ia boleh jadi ingauan ngeri dan memang ‘masalah besar’ buat mak-mak, iyalah satu hal nak kena uruskan masalah kutu pada rambut anak pula.Apa tidaknya jika tidak dihapuskan kutu-kutu ni, kemungkinan satu keluarga akan dijangkiti masalah kutu yang menyebabkan kepala gatal malah luka akibat menggaru.
Punca Jangkitan Kutu:
1.Tidur atau duduk dekat dengan orang yang sudah dijangkiti kutu
Kutu boleh berpindah dari satu kepala ke kepala yang lain melalui interaksi secara langsung. Sebagai contoh, tidur dengan seseorang yang mempunyai masalah kutu.Begitu juga jika anak anda duduk di dalam kelas bersebelahan dengan kanak-kanak yang mempunyai kutu, kebarangkalian untuk berjangkit adalah amat tinggi.
2. Memakai kelengkapan peribadi orang yang berkutu
Antara penyebab utama timbulnya masalah kutu kepala adalah kerana berkongsi barangan peribadi seperti sikat, tuala, baju, topi dan sebagainya.Ia akan menyebabkan kutu tersebut dapat berpindah ke kepala lain.
3. Pengabaian penjagaan kebersihan kepala
Menjaga kebersihan bahagian kepala dan rambut penting untuk mengelakkan berlakunya masalah kutu.Bagi anak-anak yang mengenakan tudung, keadaan rambut yang kotor boleh menjadi penyebab wujudnya masalah kutu rambut.Selain itu, masalah rambut seperti rambut kering, rosak dan berkelemumur juga boleh menjadi faktor pendorong masalah kutu rambut.
Namun begitu, sekiranya mak-mak risau dengan penggunaan syampu kimia untuk menghapuskan kutu pada rambut anak,boleh cuba petua mudah ini yang menggunakan bahan semula jadi dan pastinya lebih selamat.
Antaranya;
1.Lemon
Sifat asid yang dimiliki oleh lemon sememangnya tidak disukai oleh kutu rambut. Caranya amat mudah iaitu dengan mengambil beberapa biji lemon segar dan diambil jusnya.Gunakan perahan jus sebagai syampu untuk rambut. Lumurkan dan biarkan selama 30 minit sebelum dibilas dengan air bersih.
2.Limau Nipis dan Minyak Kayu Putih
Campuran kedua-dua bahan ini dikatakan amat efektif untuk mengatasi masalah kutu rambut. Ubat secara tradisional ini bertindak untuk mematikan telur kutu dan baunya tidak digemari oleh kutu rambut.
3.Minyak Zaitun
Ia juga dikatakan sebagai bahan ramuan semulajadi yang baik untuk membasmi masalah kutu rambut. Caranya amat mudah iaitu dengan melumurkan minyak zaitun di seluruh bahagian kepala dan membiarkan ia selama 30 minit. Serkup rambut menggunakan shower cap.Kemudian bilas rambut seperti biasa diikuti dengan mencuci rambut dengan menggunakan syampu.
4.Bawang Merah
Bawang merah juga dikatakan berkesan untuk menghilangkan masalah kutu rambut. Ambil beberapa biji bawang merah yang telah ditumbuk dan lumurkan di atas kepala. Biarkan seketika sebelum membilasnya dengan air biasa.
5.Cuka Makan
Ia berfungsi sebagai pembasmi kutu kerana cuka makan akan membuatkan telur kutu mati dan tidak sempat menetas.Kadar asid yang tinggi juga membantu mengatasi masalah kutu.
Namun begitu, jika masalah ini kerap berulang, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan rawatan susulan agar masalah ini tidak terus membelenggu anak-anak yang pastinya tidak selesa berhadapan dengan masalah ini dalam tempoh yang lama.
Selamat Mencuba!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila dengar ada anak menangis atau menjerit-jerit di pusat membeli belah, kita cepat mudah kasihan. Mungkin sebab apa yang dia nak tak dapat dan mak ayah pula buat tak tahu saja.
Bagi yang tak nak anak menangis dan mudah kasihan akan terus bagi apa yang anak nak. Bimbang bila anak ‘melalak’ mahunya satu mall dengar kan. Ini belum lagi dengar suara-suara sinis orang.
Anak tantrum ni, bukan hanya di pusat membeli belah sebab tak dapat apa yang dia inginkan tapi boleh jadi di merata-rata tempat. Salah satu anak bersikap begini, sebenarnya dia nak tarik perhatian mak ayah.
Ada tip dan pesanan daripada Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan terutamanya bila anak tunjuk tantrumnya. Mak ayah uruslah dengan sebainya.
“Bangun! Kalau tak, Mama tinggalkan Adik dekat sini!”
Ramai mak ayah tak tahu cara tangani perilaku anak-anak. Mereka tak tahu apa perlu dilakukan, terutamanya bila anak tunjuk tantrum ketika di tempat awam, atau di majlis keramaian.
Tantrum adalah cara anak-anak mengambil perhatian kita, dan memberitahu bahawa mereka mahukan sesuatu. Oleh kerana mereka tak tahu cara yang sesuai, sebilangan anak-anak menggunakan cara ganas, atau sering disebut sebagai menunjuk perasaan.
Ada yang menangis berguling-guling di lantai, menjerit-jerit hingga tegang urat leher, menghentak barangan, malah ada yang memukul mak ayah serta diri sendiri.
Jika anak kalian berkelakuan begini, maka:
1. TAK USAH MARAH:
Dalam keadaan begini, anak tidak akan dengar apa yang anda marahi dan nasihat padanya kerana emosi dan pemikirannya pada masa itu adalah tidak rasional.
Anda harus kekal tenang. Jika anda turut naik marah, maka anak-anak ini mendapat signal bahawa emosi marah ini adalah cara yang betul untuk meminta.
Yalah, mak ayah mahu anak hentikan tantrum dan cara yang digunakan untuk sampaikan mesej itu adalah melalui marah.Jika kita perasan, ia tak beza daripada kelakuan anak kita tu. Dia nak sesuatu, dan dia gunakan emosi marah anda berontak. Sama, kan?
Jadi tak usah marah, apatah lagi memaki atau gunakan kekerasan fizikal. Silap hari bukan anak kita ikut gunakan kekerasan fizikal ketika tantrum kelak.
2. TAK USAH TURUTI:
Adakalanya mak ayah malas hendak melayan karena tantrum anak, maka mereka hanya turuti sahaja kemahuan dan permintaan anak. Hentikan amalan ini.
Amalan ini akan menyebabkan anak merasakan apa yang dilakukan itu adalah perkara lazim dan efektik untuk menyampaikan dan mendapatkan kemahuan.
Mereka tak akan sedar bahawasanya memberontak itu adalah salah, dan selesa melakukannya di mana-mana dan bila-bila masa sahaja.
Malah, amalan menuruti kemahuan anak ketika tantrum adalah sesuatu yang menggalakkan lagi anak ulang kelakuan itu.
Jadi tak usah menuruti kemahuannya ketika anak sedang tantrum jika tak mahu ia menjadi sebahagian daripada keperibadiannya.
3. ABAIKAN TANTRUM ANAK:
Perkara terbaik untuk mengatasi masalah komunikasi ini adalah tak mengendahkan perlakuan tantrum anak anda dengan syarat-syarat berikut:
Berada di kawasan selamat
Tiada objek yang berbahaya
Anak tidak mencederakan diri
Jangan beri perhatian: jangan pandang, jangan pujuk, jangan bercakap dengannya. Ini beri mesej pada anak bahawa kelakuannya tidak akan dilayan.
Jika anda di rumah, tinggalkan bilik/kawasan di mana anak sedang tantrum. Teruskan aktiviti anda sebelum itu. Namun, pastikan anak selamat.
Jika anda di tempat awam, cuba bawa anak ke tempat yang kurang orang seperti di lorong antara kedai atau ke dalam kereta. Biar mereka.
Biasanya, jika tak diberi perhatian, mereka akan berhenti setelah 10 minit kerana kepenatan mencuba dapatkan perhatian.
4. ABAIKAN KATA ORANG:
Orang persekitaran akan mengkritik serta mengecam perbuatan mak ayah mengabaikan perilaku anak. Namun, ketahuilah apa yang dibuat adalah perkara terbaik buat anak.
Jangan makan hati bila kawan-kawan kritik. Jangan makan hati jika emak dan mentua sindir. Jangan juga biarkan pasangan kita “kasihan” atau mudah kasihan pada anak.
Lagipun orang dulu pun ada gunakan cara begini. Bila anak tantrum mereka akan kata “Kau mengaruklah situ sorang-sorang” dan kemudian buat tak tahu.
Sebagai pihak ketiga(penonton) pula, tak usahlah kita berprasangka buruk pada ibubapa yang sedang mendidik anak-anak mereka.
Tak perlu masuk campur dengan menawarkan untuk beri apa yang budak itu mahu, atau sibuk memburukkan ibubapa berkenaan.
5. RASIONALISASI:
Ini langkah yang hanya boleh dilakukan setelah anak bertenang serta berhenti menunjukkan perasaan. Ketika ini emosinya dah stabil dan pemikirannya dah sedikit waras.
Pada waktu ini, barulah tunjukkan empati dan kasih sayang. Peluk anak dan tanya elok-elok apa dia mahu. Beri masa anak untuk beritahu apa kemahuannya.
Jika perkara yang dia minta itu tak boleh ditunaikan segera, berilah alasan yang rasional. Namun, jangan sesekali janji perkara yang tak mampu kita tunaikan.
Jika perkara yang diminta tu boleh ditunaikan segera, maka tunaikan dan perlu beritahu anak bahawa cara meminta begini adalah cara yang sihat (betul).
Terakhir sekali, nasihatkan dia bahawa perilaku tantrum adalah perilaku yang tak elok dan ia tak akan membuatkan kemahuannya ditunaikan.
Semoga bermanfaat! Semoga dipermudahkan urusan mak ayah dalam mendidik anak-anak!
Mingguan Wanita : Inilah cara nak didik anak. Jangan dilayan atau jangan dimanja. Kalau permintaan itu tidak melampau, tiada masalah pun buat mak ayah, demi anak-anak.
Bella & Caprice akhirnya berdamai. Menerusi ruangan komen, majoriti netizen menyambut baik perkara tersebut dan berharap tiada lagi perbalahan antara Bella Astillah dan Caprice.Malah...