Ikatan perkahwinan adalah satu ikatan suci yang menyatukan dua jiwa untuk terus bercinta hingga hujung nyawa. Alam perkahwinan, alam baru untuk diterokai dan sering dinilai atas nikmat kasih sayang, namun, jarang sekali cabaran dan dugaan di sebalik perkahwinan itu dibincangkan.

Salah satu penyebab atau cabaran yang sukar ditepis oleh pasangan suami isteri dalam kerukunan rumah tangga adalah kehadiran orang ketiga. Baik suami mencurangi isteri atau isteri beralih arah pada lelaki lain. Hakikatnya, keadaan ini lebih berlaku kepada suami yang mula ‘mata keranjang’ mencari wanita lain atas sebab-sebab tertentu. Ulasan lanjut tentang topik ini bersama Puan Diyana, Pakar Hubungan & Keintiman.

Air Mata
Sebagai wanita dan isteri yang dicurangi suami, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima dengan berlapang dada. Kelukaan hati yang mendalam pasti bertamu sehingga setiap hari tiada lagi tawa dan gurau senda menghiasi hubungan, sebaliknya air mata dan pergaduhan mengisi kehidupan harian.

Lebih buruk lagi ada pasangan yang memilih untuk berpisah dan membawa haluan hidup masing-masing. Sebenarnya, tidak ramai yang dapat menerima kenyataan perpisahan dengan baik kerana perasaan kecewa dan menyesal menguasai diri. Kesudahannya ramai yang mula mencari orang untuk dipersalahkan atau juga bertindak menyalahkan diri sendiri.

IKLAN

Bangkit Kembali
Sering kali juga kita meletakkan kesalahan di bahu suami semata-mata dan merasakan diri sebagai mangsa keadaan. Kedukaan yang dialami terasa menghimpit diri terutama ketika kedukaan dan kekecewaan hadir bertimpa-timpa. Bagaimana pun, sebagai manusia biasa menyedari bahawa setiap dugaan dan ketentuan Allah itu akan menjadikan kita individu yang lebih baik dan semakin dekat denganNya. Jadi, beberapa cara untuk bangkit dan move on selepas dicurangi.

CIPTA BAHAGIA
Bina kembali hidup anda dengan penuh ceria melalui pelbagai aktiviti yang anda gemari. Rasakan kejayaan, kebahagiaan dan kegembiraan dalam diri anda. Cntohnya aktiviti yang boleh mulakan adalah hobi yang telah lama anda tinggalkan atau pernah mempunyai keinginan untuk mencuba sesuatu aktiviti baru seperti kayuhan basikal lasak, bercuti ke Bali bersama rakan-rakan atau mula berkebun sayur di laman rumah.

JADIKAN PENGAJARAN
Ramai yang menganggap kesilapan dan kegagalan masa lalu perlu dilupakan dan kemudiannya meneruskan hidup seperti biasa seolah-olah tidak pernah berlaku. Sedangkan inti pati kegagalan itulah sebenarnya yang menjadikan anda seorang yang kuat dan hebat seperti sekarang. Bagaimanapun jika anda tidak belajar dari kesilapan sekarang sudah tentu anda akan mengulangi drama kegagalan yang sama pada masa akan datang. Malah hati dan trauma anda yang tidak dirawat dengan baik akan menjadi semakin parah lantas menyebabkan kedukaan dan penderitaan berterusan. Situasi ini terbukti melalui satu kajian yang menunjukkan kadar kegagalan perkahwinan kedua sebenarnya jauh lebih tinggi berbanding kegagalan perkahwinan pertama iaitu pada kadar 70 peratus manakala kadar kegagalan perkahwinan pertama cuma 30 peratus.

RAWAT HATI DAN TRAUMA DENGAN BETUL
Pernahkah anda perhatikan terdapat banyak kes perpisahan atau perceraian menyebabkan pasangan jadi tidak keruan atau bahasa pasarnya “gila talak”. Keadaan ini berlaku disebabkan kekecewaan yang dialami tidak langsung dirawat malah dibiarkan sehingga menyebabkan kemarahan, penyesalan dan pelbagai emosi negatif diluahkan dalam cara yang salah. Pelbagai teknik terapi dan rawatan khas boleh didapati bagi merawat kelukaan hati sehingga sembuh.
a)Bertindak bijaklah dengan mencari bantuan dan merujuk kepada pakar dalam bidang berkaitan. b) Berhati-hati ketika meluahkan masalah kerana tidak semua orang bersedia mendengar aduan dan masalah anda, apatah lagi membantu anda dengan berkesan.
b)Kesilapan yang sering dilakukan ramai orang adalah mereka bercerita masalah rumah tangga kepada orang yang salah sehingga membuka aib pasangan. Kesilapan sebegini sebenarnya tidak membawa kepada penyelesaian sebaliknya menjadikan anda lebih kecewa dan murung.

BAHAGIAKAN DIRI
Bangkit dari perpisahan bukanlah sesuatu yang mudah namun tidak mustahil untuk dilakukan. Pujuk diri anda untuk menerima hakikat dan belajarlah untuk bahagiakan diri sendiri. Mula jadikan diri anda seorang pencipta bahagia yang anda impikan. Bahagiakan diri anda!.

Terima diri seadanya walaupun anda sering menganggap diri serba kekurangan kerana percayalah anda juga sama seperti orang lain yang punya kelebihan dan kekuatan tersendiri. Cara untuk gembirakan diri adalah dengan fokus kepada sebarang aktiviti yang mendatangkan kegembiraan pada diri anda. Berhentilah meratapi hal-hal yang menyakitkan. Fokus kepada perkara yang anda mahukan dan bukan kepada perkara yang anda tidak mahu.

Pesanan Untuk Suami Isteri

  • Kecurangan berlaku kerana suami isteri tiada ilmu tentang keperluan bahasa cinta dan keperluan seksual yang spesifik.
  • Hadirnya orang ketiga dalam perkahwinan sebenarnya bukan berpunca daripada orang ketiga tetapi berpunca dari perhubungan yang tidak memenuhi keperluan masing-masing. Jadi, bila pasangan anda tidak dapat sesuatu dari anda, pasangan akan mencari dari tempat lain. Tidak perlu terlalu fokus sangat kepada orang ketiga. Hanya perlu fokus kepada root cause (tiada ilmu).
  • Bila kita berkahwin, kita berkahwin dengan orang yang berbeza. Perlu ilmu untuk mengenal diri dan mengenal pasangan dan ilmu untuk communicate keperluan pasangan dan mengekalkan perhubungan.