Tak Dapat Ke Sekolah, Guru Masuk Kampung, Redah Hutan Hantar Lembaran Kerja Anak-anak

Hebat usaha guru-guru SK Lemoi, Cameron Highlands ini. Ketika, sekolah ditutup akibat Perintah Kawalan pergerakan Bersyarat (PKPB), dan sedar para pelajarnya sukar meneruskan pembelajaran dalam talian. Guru-gurunya turun padang, masuk kampung anak-anak murid mereka.

Empat buah kampung dijejaki demi menghantar lembaran kerja untuk pelajar-pelajar mereka. Salah satu kampung terletak jauh dalam hutan. Perlu jalan kaki untuk sampai. Ketika merentas belantara ini, guru sama merasai keperitan anak-anak murid untuk mencari ilmu hampir setiap hari.

Belajar Dalam Talian Tak Boleh, Guru Buat Luar Talian

Oleh kerana kita tidak boleh buat pembelajaran dalam talian, kita buatlah luar talian. Apa sahaja kita usaha, asal anak-anak boleh belajar. Kan?

Alhamdulillah, hari ini kami selesai mengedarkan lembaran kerja dan bahan belajar untuk anak-anak SK Lemoi, Cameron Highlands.

Anak-anak yang bersekolah di SK Lemoi datangnya daripada empat buah kampung iaitu Kg Lemoi, Kg Telimau, Kg Chenan Cerah dan Kg Tileb (kampung yang baru di buka). Hanya Kg Lemoi dan Kg Telimau yang boleh dilalui dengan kenderaan (pacuan 4 roda atau motorsikan). Kg Chenan Cerah dan Kg Tileb pula terletak jauh di dalam hutan yang hanya boleh sampai dengan berjalan kaki sahaja.

Biasanya, dari sekolah untuk sampai ke Kg Chenan Cerah memakan masa kurang lebih dua jam dan tambah lagi satu jam untuk sampai ke Kg Tileb.

Masuk Kampung Edar Lembaran Kerja

Semalam kami telah ke kampung-kampung berhampiran sekolah untuk mengedarkan fail yang mengandungi lembaran kerja dan bahan belajar untuk setiap murid.

Tidak susah untuk mengumpulkan mereka, sebab bila mereka nampak sahaja cikgu masuk kampung – akan bersegeralah mereka berkerumun. Walaupun sekadar menempel tanpa berbuat apa-apa.

Dalam hujan lebat dan salakan anjing sahut menyahut petang semalam juga kami telah selesai mengedarkan bahan untuk anak-anak di Kg Telimau.

IKLAN

Pagi tadi pula, dengan berbekalkan sebungkus nasi lemak setiap seorang, roti dan air minuman; kami bergerak masuk ke Kg Tileb.

Fail-fail dan alat tulis telah kami bungkus rapi dalam plastik. Bimbang kehujanan.

Jalan hutan dan denai yang dilalui oleh anak-anak untuk ke sekolah dan asrama mengundang rasa keinsafan dalam diri. Bayangkan betapa kentalnya anak-anak sekecil 7 tahun ini bersama-sama mereka sahaja berjalan untuk ke sekolah.

‘Jangan pakai lagi baju sekolah sayang..’ Demi ilmu 45 minit anak-anak ini berjalan kaki meredah belantara.

Penduduk Kagum Usaha Guru Redah Belantara Demi Anak-anak Murid

Suasana agak “gempar” sedikit apabila kami tiba di Kg Tileb. Boleh jadi mereka hairan dan kagum kerana inilah kali pertama kami para guru sampai di kampung ini. Tiada kelihatan kaum lelaki, hanya kaum wanita beberapa orang dan anak-anak kecil sahaja di rumah dan laman. Barangkali kaum lelaki telah ke kebun atau hutan mencari hasil. Kecuali Batin yang masih di rumah.

IKLAN

Setelah meminta izin daripada Batin, kami mengorak langkah masuk ke kawasan rumah. Hanya ada 7 buah rumah di kampung ini. Sebaik kami merapat, berkerumunlah anak-anak kecil mengelilingi kami. Nasib baiklah hari ini kami bawa banyak bekal gula-gula, coklat, jajan dan biskut untuk mereka. Wahhh bukan main seronok masing-masing mendapat habuan. Kami ikut terhibur melihat mereka rakus membuka plastik pembalut, ada yang agak sukar – tanpa ragu mereka hulur pada kami untuk dibukakan.

Tak Dapat Online, Guru Masuk Kampung, Redah Hutan Hantar Lembaran Kerja Pelajar

Anak-anak ketika itu menjalani rutin mereka jika tidak ke sekolah. Anak lelaki ke kebun, anak perempuan membasuh pakaian, memasak dan mengemas. Mereka berhenti seketika untuk mengambil bahan yang kami bawa. Berkeliling dan berbual-bual bagaikan melepas rindu lamanya tidak berjumpa dek perpisahan yang tergesa-gesa minggu sebelumnya.

Kami tidak dapat berlama di situ kerana risau hujan akan turun. Sekarang hampir setiap petang hujan dan kami tidak mahu ditimpa kesusahan jika terpaksa keluar dalam hujan.

Tubuh Kecil Itu Pikul Beg Berisi Sireh, Sayuran..

Sedang kami bersiap untuk keluar, Arif dan Amirul pulang dari kebun. Ada senyum terukir di wajah demi melihat kami. Di belakang tubuh kecil itu pula memikul beg kecil berisi sireh, pucuk labu, jagung dan sayuran. Sayu hati ini melihat wajah polos yang sekecil ini sudah tahu mencari rezeki untuk keluarga mereka.

IKLAN

Kami tinggalkan pesanan untuk mereka. Insya-Allah kami akan datang lagi nanti untuk pembelajaran seterusnya. Biar bagaimana caranya sekalipun, guru-guru tetap akan cuba memberi yang terbaik buat anak-anak didik.

Tahniah diucapkan kepada semua guru dan staf SK Lemoi yang telah bertungkus-lumus menyediakan lembaran kerja / bahan belajar untuk murid-murid dan seterusnya menghantar kepada setiap mereka.

Terima kasih atas kerjasama semua. Diharap dengan sedikit usaha ini, akan memberi manfaat kepada anak-anak didik kita untuk terus belajar walaupun di rumah dan tanpa kemudahan internet.

THIS IS LEMOI!
Nota: Al Fatihah untuk arwah Syam Din; kalau arwah masih ada – dah tentu dialah yang paling sibuk ketika ini. Ketika PKP sebelum ini, arwahlah yang menguruskan untuk hantar semua kerja kepada anak-anak. Semoga arwah tenang di sana. Al Fatihah.

MW : Luar biasa hebat kerja cikgu! Semoga usaha yang cikgu-cikgu lakukan diberkatiNya.

Sumber/Foto : Al Hanisah

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI